Tuesday, July 29, 2008

Bagaimana Menguasai Meditasi Dalam Masa Singkat

Ramai yang bertanya berapa lama masa yang perlu diambil untuk menguasai meditasi dan masa yang di perlukan untuk melakukan meditasi. Sebenarnya untuk menguasai kaedah meditasi super sedar bukan sesuatu yang mudah. Ramai yang cuba melakukan namun tidak dapat mencapai matlamat yang diinginkan.

Perlu saya tekankan sekali lagi, meditasi sememangnya baik untuk kesejahteraan jiwa namun jika kita tersilap melakukannya ia mampu memberi kesan negatif dalam jangkamasa panjang. Ini kerana tanpa mereka sedari kadar penambahan dalam ketegangan, kemurungan, kekeliruan atau kegelisahan akan berlaku.

Menjawab satu e-mail mengenai masa yang diperlukan untuk menguasai meditasi Islam, saya telah merumuskan satu formula khusus yang begitu praktikal supaya setiap peserta tidak kira samada mereka yang baru mencuba meditasi atau mereka yang telah lama mahupun mereka yang mempunyai pelbagai penyakit samada spiritual mahupun medik mampu menguasai tahap gelombang theta dalam masa beberapa jam.

Ramai juga yang bertanya mampukah meditasi mengubati penyakit spiritual seperti saka dan sihir. Sebenarnya meditasi super sedar mampu memulihkan masalah spiritual kerana apabila seseorang yang telah dilatih untuk mencapai kekuatan jiwa (bukan kekuatan minda) beliau akan berada dalam kondisi yang begitu sihat secara spiritualnya. Ketenangan jiwa adalah satu empangan tenaga yang tiada batas. Apabila ketenangan jiwa dicapai, pancaran rohani seseorang akan memberikan anjakan paradigma yang besar yang bukan sahaja mampu memulihkan masalah spiritual tetapi mampu mengubah corak kehidupan peribadi kerana setiap tuturkata dan perbuatannya datang dari jiwa yang tenang, kuat dan mantap.

Setelah kita mengupas halangan kepada kejayaan meditasi, kita juga bagaimana untuk mencapai matlamat meditasi dengan pantas. Ini kerana pada zaman yang serba cepat semuanya harus berlaku dengan pantas dan praktikal kerana hampir kesemua dari kita begitu sibuk sepanjang hari.

Imam Ibnu Qayyim berkata “barangsiapa yang diberi makanan berupa zikir serta bersih dari penyakit duniawi kemudian diberi minuman berupa tafakur (meditasi) maka dia akan memperolehi pelbagai hikmah” Formula yang saya rumuskan untuk mencapai ketenangan jiwa dalam masa yang pantas melalui kaedah meditasi Islam yang dikembangkan hanya akan membuahkan kejayaan jika sekiranya setiap peserta tersebut mampu membuang penyakit duniawi. Saya menumpukan kepada tiga jenis penyakit duniawi yang terlalu banyak membuangkan tenaga kita serta membuatkan fikiran kita menjadi korup. Perjalanan minda super sedar ialah masuk ke dalam diri manakala minda bawah sedar pula menuju ke arah yang bertentangan. Justeru, penyakit duniawi yang akan saya kupas akan menarik fikiran serta emosi ke arah yang bertentangan dengan minda super sedar.

1. Irihati

Penyakit yang pertama yang wajib dibuang ialah irihati. Irihati yang dimaksudkan ialah irihati yang bersifat negatif. Jika kita merasa irihati dengan kejayaan seseorang itu dan cuba memperpaiki diri agar berjaya sepertinya ianya suatu yang positif. Tetapi jika kita irihati dan memikirkan jalan yang mampu merosakkan kejayaan seseorang itu agar kita dapat dilihat berjaya, ianya sertus peratus negatif. Sifat irihati yang negatif ini akan membawa bebanan fikiran. Seseorang itu akan sentiasa memikirkan tentang jalan ataupun kaedah yang membolehkan dia menjatuhkan seseorang. Fikiran negatif yang sebegini akan menjana satu bentuk emosi negatif dan seterusnya membuatkan seseorang itu bersikap merosakakn. Dalam kaedah super sedar kita harus duduk merenungkankan ke dalam diri untuk memperbaiki diri dan bukannya merenungkan kaedah kemusnahan orang lain.

2. Dendam

Terdapat salah seorang peserta saya yang telah menghadiri latihan meditasi Islam dan berjaya mencapai matlamat meditasi pada hari kursus. Tetapi seminggu selepas itu beliau menghubungi saya kembali kerana menurutnya beliau gagal mencapai ketenangan jiwa dua tiga hari kebelakangan. Apabila kami bertemu dan melakukan meditasi bersama, apa yang dapat dilihat ialah sifat dendamnya kepada bekas rakan kongsinya. Menurut beliau, beliau telah difitnah dan ditipu oleh rakan kongsinya, maka sebab itu beliau berazam membalas kembali setiap perbuatan temannya agar semua orang tahu keburukannya. Ikatan emosi dendam inilah yang merosakkan fikiran serta membawa emosi negatif. Walaupun beliau duduk bermeditasi namun fikirannya tanpa sedar memikirkan jalan untuk membalas perbuatan temannya itu. Hal ini begitu merosakkan kerana selagi kita terikat dengan dendam selagi itu kita terbeban dengan hidden emotion. Sebenarnya telah banyak pembuktian yang saya lihat jika sekiranya seseorang itu benar-benar mencapai kekuatan jiwa, maka pelbagai keinginannya termasuk ingin melihat kebenaran terlaksana akan tercapai. Apa yang perlu ialah jangan mengikat diri kita dengan sifat dendam walau sedikitpun.

3. Sangka buruk

Satu lagi sikap yang perlu dikikis dari kehidupan seharian ialah sangka buruk. Orang yang selalu menyangka buruk terhadap seseorang akan mempunyai satu sikap negatif iaitu gelisah jiwa. Orang yang selalu sangka buruk pasti memikirkan orang lain juga menyangka buruk terhadap mereka. Hasilnya mereka akan terfikir-fikir bagaimana untuk membuktikan sangkaan mereka benar. Ini satu lagi sikap yang membuatkan kita berfikir untuk orang lain dengan lebih banyak daripada memikirkan diri sendiri. Segala tenaga positif yang ada digunakan untuk memikirkan orang lain dari sudut negatif.

Wajah mereka yang selalu mempunyai penyakit-penyakit duniawi ini selalunya tidak ceria dan muram. Jika anda ingin mencapai ketenangan jiwa maka hilangkanlah penyakit duniawi ini maka kita akan memperolehi pelbagai hikmah. Pelbagai hikamah yang dimaksudkan bukanlah hanya terlakluk kepada satu bidang sahaja. Ramai yang memberi definisi pelbagai hikmah ini sebagai satu kelebihan dalam bidang pengubatan alternatif. Tidak, pelbagai hikmah bermakna jika kita seorang ahli perniagaan kita akan mendapat pelbagai hikmah untuk berniaga contohnya idea yang bernas, strategi yang canggih dan lain-lain kebaikan kompetitif. Begitu juga jika kita seorang penulis misalnya, kita akan dapat berkarya dengan lebih menarik melalui bentuk penulisan. Janganlah kita kecilkan takrifan pelbagai hikmah dalam satu bidang sahaja kerana ia pasti tidak dapat membantu kita untuk membina jati diri yang sempurna. Jika anda seorang pendidik maka jadilah pendidik yang hebat, jika anda seorang salesman maka jadilah salesman yang hebat. Kesemuanya mampu dicapai hanya dengan jiwa yang tenang, kental dan mantap.

Read More......

Wednesday, July 23, 2008

Dialah Jalan Itu

Jika engkau tidak mempunyai ‘ilm dan hanya prasangka,
milikilah prasangka yang baik tentang Tuhan.
Itulah jalannya!

Jika engkau hanya mampu merangkak,
maka merangkaklah kepada-Nya!

Jika engkau tidak mampu berdoa dengan khusyu’,
maka persembahkanlah doamu yang kering, munafik, dan tanpa keyakinan!
Karena Tuhan dalam rahmat-Nya
tetap menerima mata uang palsumu.

Jika engkau mempunyai seratus keraguan kepada Tuhan,
maka kurangilah jadi sembilan puluh sembilan saja. Itulah jalannya!

Wahai pejalan,

Walau kau telah seratus kali ingkar janji,
datanglah, dan datanglah lagi!
Karena Tuhan telah berfirman:
“Ketika engkau mengangkasa, ataupun terpuruk dalam jurang,
ingatlah kepada-Ku, karena Aku-lah Jalan itu.”

~Jalaluddin Rumi

Read More......

Friday, July 18, 2008

Are All Meditations the Same?

Read More......

Saturday, July 12, 2008

Negara Orang, Negara Kita


Semalam hujan begitu lebat, kesempatan ini dapat digunakan untuk menghirup kopi di sebuah kedai minum berhampiran dengan pejabat. Cuaca sekarang sukar dijangka, dulu kita mungkin mudah untuk menyatakan bulan-bulan tertentu hujan yang turun dengan jumlah yang banyak namun sekarang mungkin alam juga mula menunjukkan kebosanan dengan sikap penghuni bumi yang tidak pernah sunyi dari perbalahan.

Duduk di meja sebelah sekumpulan wanita yang agak berumur dan mungkin disebabkan usia yang mencecah fasa veteran, mereka berbual dengan suara yang tinggi. Sekali sekala saya mencuri dengar apa yang mereka bualkan kerana nada mereka tinggi dan pastinya satu topik menarik yang dibincangkan. Tiba-tiba seorang dari mereka berkata “Aku taubat tak nak pergi kota raya hari minggu”. Tanpa diminta untuk menjelaskan kenyataannya tadi dia menyambung “nak tahu kenapa, bila pegi sana aku rasa macam bukan kat Malaysia, lepas tu naik seram kena pandang dengan dia orang”.

Saya tertarik juga dengan kenyataan yang dibuat oleh wanita tersebut. Saya tidak menafikan bahawa hal itu memang benar terjadi. Bukan sekadar di kawasan yang disebutkan oleh wanita tadi tadi banyak lagi tempat yang sebenarnya telah kita telah dijajah oleh mereka. Kadang-kadang betul juga kata P.Ramlee dalam filemnya, baik hati tu tak pe tapi murah hati tu bahaya. Malaysia mungkin terlalu murah hati maka dengan sebab itu kita amat mudah dijajah oleh mereka.

Perkara pendatang asing tanpa izin ini bukan satu perkara baru dan bukan perkara yang sepatutnya menjadi isu. Akan tetapi kita terpaksa menjadikannya isu kerana maslah ini bukan hanya tidak diselesaikan bahkan makin membesar. Saya berpendapat ianya telah mula menjadi virus dalam negara kita yang mana jika tidak dimusnahkan akan merosakkan negara dan ianya juga satu bentuk penjajahan baru yang dicipta oleh Negara yang kurang membangun dari negara kita.

Kita sedia maklum bahawa operasi menghantar pulang bakal memakan belanja yang besar dan duit yang keluar ialah duit rakyat. Kita juga sering mendengar bahawa mencegah itu lebih baik dari merawat. Seharusnya hal pendatang tanpa izin ini dicegah terlebih dahulu. Mengapa kita begitu rapuh dalam mempertahankan negara dari dibanjiri mereka hingga rakyat kita sendiri merasa tidak aman. Kita mempunyai undang-undang yang cukup baik namun kita mempunyai perlaksanaan yang cukup memalukan. Terlalu sukarkah untuk menjaga sempadan negara hingga kita dijajah oleh mereka yang tidak mempunyai senjata yang hebat. Atau mungkin juga mereka mempunyai senjata rahsia hingga mereka yang diberi amanah untuk menjaga semapadan negara baik di darat mahupun di air tumpas. Mungkin senjata mereka canggih dan mahal.

Jika kita mencegah dari awal wang kita tidak akan membazir dan masalah social tidak akan bertambah. Banyak kes yang melibat mereka dan banyak masalah yang ditimbulkan hasil dari kedengkelan mereka terhadap budaya masyarakat Malaysia yang murah hati. Ada yang menyalahkan majikan-majikan kerana mengambil PATI ini bekerja. Majikan adalah golongan peniaga yang menjadikan keuntungan sebagai motif dan jika berniaga pastilah motifnya untung dan untuk untung lebih kos perlu dikurangkan. Jika dilihat dari satu sudut mereka tidak salah akan tetapi mereka mampu melakukan kerana tiada perlaksanaan undang-undang yang ketat lagi menggerunkan.

Jika di negara lain, PATI mahupun mereka yang tinggal lebih masa atau pekerja asing yang melakukan kesalahan akan di hukum penjara dan sebat. Pihak berkuasa membuktikan kata-kata mereka dan dengan pembuktian itu, mereka akan merasa takut untuk melakukan kesalahan walaupun mereka masuk dengan dokumen yang sah. Jika kita memberi kursus induksi kepada pekerja asing sebelum mereka sampai ke Malaysia, mungkin ianya hanyalah satu langkah pengenalan Malaysia kepada mereka tetapi bukan satu arahan atau tatacara yang menggerunkan. Justeru apabila mereka tiba di sini mereka tidak mengikut apa yang diajar kerana mereka tidak gerund dengan undang-undang yang lemah perlaksanaannya.

Mencari PATI atau pekerja asing yang biadap bukanlah satu perkara yang sukar. Saya rasa setiap dari kita pasti menemui mereka paling tidak seorang sehari. Jika di negara orang mereka takut berkeliaran mengapa di negara kita mereka bebas laksana raja. Jika anda ditanya apakah sebabnya, jangan risau jawabnya cukup mudah, kita murah hati, mungkin sikap ini terlalu banyak ketika perlaksanaan. Seharusnya kita tegas dari awal, kita buktikan kepada mereka bahawa negara yang mereka ingin jajah ini adalah negara berdaulat. Jika senjata mereka ‘mahal’ , maka senjata kita bukan undang-undang tetapi perlaksanaan undang-undang. Kita terlalu menjaga hati orang, hingga sanggup menyusahkan rakyat sendiri.

Kita patut malu kerana untuk menjajah negara orang dengan muzik sahaja amat sukar tetapi mereka mampu menjajah kita bukan sekadar muzik bahkan kehidupan. Cubalah kita berjalan di kawasan pasar borong selayang, di kawasan kota raya, lihatlah kehebatan mereka hinggakan papan tanda juga telah mula menggunakan bahasa luar. Kita sibuk untuk menukar papan tanda kepada bahasa yang digunapakai rakyat Malaysia hingga kita alpa kita telah pun hilang dalam jajahan senyap pendatang asing. Cegahlah sebelum Malaysia dijajah sepenuhnya.

Read More......

Thursday, July 10, 2008

Kehidupan Adalah Matematik



Kehidupan yang kita lalui saling tak tumpah seperti kita berada dalam kelas matematik. Sewaktu dalam kelas, cikgu akan menceritakan apakah formula yang perlu untuk kita gunakan bagi permasalahan dalam soalan ketika peperiksaan nanti. Contoh paling mudah ialah formula tambah.

Ketika belajar, cikgu memberitahu “murid-murid, 1+1+1 = 3, jangan pula nanti kamu jawab 1+1+1 = 4 atau 1+1+1 = 2” murid-murid pun mengangguk faham, terdengar satu suara dari belakang “ wah… senang ni cikgu, tak lah seram nak ambik periksa”. Si guru pun tersenyum kerana murid-muridnya faham pelajaran yang baru diajar tadi. Selang beberapa lama musim peperikaan tiba. Masing-masing tersenyum apabila masuk ke dalam dewan peperikaan kerana mereka berkata formulanya cukup-cukup mudah iaitu1+1+1 = 3, mana mungkin1+1+1 =2.

Sebaik sajaha mereka dibenarkan membuka kertas soalan, terloponglah mulut seorang demi seorang, berpinar kepala mereka kerana soalan tidak pula bertanyakan berapakah jumpalah 2+2, tetapi soalan tersebut berbunyi.
“satu pagi ali pergi ke kedai. Dia ingin membeli sebiji buah manggis. Dia cukup menggemari buah manggis. Sewaktu di kampong dahulu dia sering mengikut datuknya ke kebun. Di kebun tersebut ada banyak pokok termasuk pokok durian. Setiap kali musim buah manggis, Ali akan pergi ke kebun untuk makan sebiji buah manggis. Kadang- kadang dia makan hingga dua biji. Adakalanya dia makan durian kerana datuknya sering mengambil sebiji durian untuk di bawa pulang. Ali tersenyum mengenangkan kisah dia makan dua biji manggis. Dia terus ke kedai untuk membelinya. Setelah membeli, dia terus sahaja mengopek untuk merasa isinya yang manis. Sambil berjalan dia terjumpa makciknya. “Ali kamu makan apa?” Tanya makciknya “Manggis” jawab Ali ringkas. Tiba-tiba makciknya memberinya sebiji manggis muda untuk dibawa pulang. Ali terpengun kerana mendapat manggis tersebut. Makcik tersenyum dan berkata” makcik gurau je… ni ambil satu lagi yang elok”. Ali tersenyum lalu terus pulang ke rumah. Sampai sahaja di rumah, ibunya bertanya “ Ali berapa banyak manggis kamu ada hari ini?” Silajawab berapa banyak manggis yang Ali ada pada hari tersebut.

Berpinarlah kepala murid-murid, ada yang jawab 1 ada yang jawab 2, ada yang jawab 3 bahkan banyak lagi jawapan yang di tulis. Setelah selesai peperiksaan masing-masing merungut soalan matematik cukup susah.

Mereka bertanya kepada cikgu”cikgu berapa biji manggis yang Ali ada?”. Jawab cikgu Ali ada tiga biji manggis. Terpinga-pinga murid-murid tersebut. Cikgu berkata, kalau kita belajar hanya untuk jawab soalan maka kita budak yang tak tahu bagaimana menyelesaikan masalah. Cerita dalam soalan hanyalah untuk melupakan sekejap formula yang kita faham kerana kita akan jadi asyik dengan cerita tetapi tujuan sebenarnya bukan untuk faham cerita, tujuannya sebenar untuk mengetahui jumlah buah manggis.

Begitulah kehidupan kita, hari-hari kita disodokkan dengan cerita hingga kita lupa formula kita hidup, tujuan kita hidup. Allah telah membekalkan kita guidelines untuk kita berlakon di atas pentas dunia, namun kita syok sendiri. Akhirnya kita mencari jalan sendiri untuk hidup kerana bagi kita itu satu yang pasti. Kita alpa bahawa yang pasti sampai ketujuan ialah dengan mengikuti guidelines. Hidup umpama matemaktik, formula mudah tetapi soalannya tidak straight forward. Maka dengan itu biar bagaimana panjang soalannya, formulanya tetap sama. Ikut formula, dapat jawapan. Jangan cuba mencipta formula baru kerana ianya hanya membawa kepada kesusahan.

Read More......

Saturday, July 5, 2008

Kuasa Satu 'Kuasa'


Sejarah merupakan sebuah gedung yang menyimpan pelbagai formula kehidupan. Di dalamnya kita mampu meneroka formula kejayaan sesuatu bangsa dan sejarah juga menyatakan secara jelas formula kemusnahan bangsa tersebut. Justeru itu masyarakat melayu cukup bijak untuk mempuat perumpamaan hasil dari rentetan sejarah seperti "menang sorak kampong tergadai", "gajah sama gajah berlawan pelanduk mati ditengah" dan banyak lagi yang berjaya dinukil dengan sempurna oleh datuk nenek kita. Kemudiannya kita hanya menjadikannya satu perumpamaan tanpa kita ketahui cerita terjadinya hal tersebut. Begitu juga hari ini, kita mungkin tidak perasan bahawa dalam lipatan sejarah kekuatan kuasa satu bangsa bermula dari penyatuan. Penyatuan ini cukup kuat untuk memartabatkan bangsa ke satu makam yang tinggi, namun formula yang ditulis dalam sejarah manusia ialah kejatuhan sesuatu bangsa bukanlah disebabkan oleh kebodohan peperangan tetapi kebodohan untuk mengekalkan kuasa.

Aristotle mengatakan manusia, secara semulajadi adalah political animal (haiwan berpolitik). Jika kita menilai kembali apa yang telah berlaku dalam lipatan sejarah ketamadunan manusia, tidak dapat tidak, kita akan dapati apa yang dikatakan itu ada kebenarannya. Jika kita lihat bagaimana haiwan yang bernama manusia berpolitik cukup hebat kerana sejarah telah berjaya membuktikan yang manusia memang hebat dalam permainan ini. Jika dulu kita berjuang untuk kuasa namun pada hari ini kita diambang kejatuhan akibat kuasa yang kita pegang. Jatuhnya sesuatu bangsa hanya kerana mereka tamak akan kuasa yang ada pada mereka. Ketamakan yang datang dari nafsu haiwani ini menyebabkan kita memberi peluang kepada anasir luar untuk bersatu demi mencapai kuasa yang kita ada. Jika dulu kita diberi peluang untuk berkuasa hasil ketamakan kuasa mereka yang memerintah, kini sebaliknya berlaku. Jika kita mengkaji formula yang ada dalam sejarah maka kita kini benar-benar berada diambang kehancuran. Bukan setakat bangsa tergadai bahkan negara juga hilang kedaulatan. Begitulah kaedah yang dulunya terjadi bagi membolehkan orang luar menguasai kita.

Biar siapapun kita, samada kita duduk atas timbangan atau sudah naik ke bulan mahupun bermata satu, yang pastinya kita sudah tidak berupaya. Kita sudah pun menjadi bangsa yang hampir gugur akibat kuasa yang ada di tangan. Kita berpecah akibat kuasa yang ingin kita perjuangkan tetapi tanpa sedar kita memberi orang lain berkuasa kerana kita sibuk untuk bertelagah. Kuasa yang kita perjuangkan tiada erti kerana sebenarnya kita perjuangakan untuk kepentingan diri sendiri, kita bukan pertahankan kedaulatan bangsa tetapi kepapaan diri. Diri yang sudah jatuh miskin akibat jiwa yang kosong. Kuasa hanya boleh dipertahankan apabila kita meletakkan Allah swt sebagai pemandu utama dalam perjuangan. Jika kita lihat di zaman sahabat juga begitu, apabila kita meletakkaan diri sebagai wadah untuk berkuasa maka sistem khalifah menjadi kucar kacir.

Berkuasalah dengan jiwa, bukan emosi agar kuasa tidak menguasai kita. Jika kita benar-benar ingin mendaulatkan bangsa nilaikanlah samada pertikaian yang ada ini boleh membuat kita bertambah kuat atau sebenarnya menjadi wayang gambar yang menghiburkan untuk orang lain. Akhirnya kerana marahnya anak cucu kita akibat merempat di bumi sendiri juga kita nanti dijadikan perumpamaan oleh mereka, mungkin mereka akan berkata jangan sampai mata jadi satu, nanti hilanglah timbang, gelaplah bulan.

Read More......

Wednesday, July 2, 2008

Mindset Minyak


Cerita tentang minyak bukan hanya milik manusia tetapi ia juga milik semua makhluk. Cerita minyak naik bukan kisah baru kerana dulu gajah juga biasa naik minyak. Apabila gajah naik minyak, semua orang akan jadi tertekan akibat ketakutan.

Hari ini, minyak naik juga tapi bukan gajah yang buat hal. Sebaliknya, angkara sekumpulan manusia yang mungkin mempunyai telinga gajah. Mereka mempunyai agenda untuk menjadi seperti gajah naik minyak. Apabila gajah sudah naik minyak, semua orang akan mengikut apa yang sang gajah arahkan.

Jika kita lihat, ia sama seperti kisah dajal. Malaysia hanya seperti seorang anak remaja. Apabila melihat sang gajah naik minyak, maka semuanya jadi kelam kabut. Biarlah anak remaja itu dengan tubuh pembangunan remaja, tetapi jangan biarkan anak remaja itu ditakluki oleh nafsunya yang mudah melenting.

Kematangan bukan pada tubuh pembangunan tetapi lebih penting lagi dari aspek pemikiran. Jika kita mendiami tubuh remaja yang tidak matang, pastinya tubuh tersebut akan mengalami gangguan perasaan.

Kita perlu tahu bahawa 80 peratus hingga 90 peratus penyakit itu datang dari gejala tekanan. Hari ini, ramai yang tertekan akibat harga minyak naik. Ramai pengguna mula mencari jalan untuk kembali seperti dahulu.

Rungutan yang biasa kita dengar adalah hidup sekarang semakin susah dan nilai wang kita semakin kecil. Nilai wang akan sentiasa mengecil. Buktinya, jika dahulu kita mampu membeli roti dengan harga 20sen tetapi sekarang ia berharga 60sen.

Keluhan, ratapan atau apa juga yang kita istilahkan tidak lebih dari menanam penyataan negatif dalam minda kita, seterusnya ia mencipta persepsi yang negatif terhadap perjalanan hidup. Apabila mereka berada dalam sesebuah negara itu mempunyai lebih banyak fikiran negatif dari positif, maka negara itu akan menjadi satu tempat yang kurang disenangi untuk didiami atau dilawati.

Setiap daripada kita mengeluarkan gelombang otak. Jika gelombang dikeluarkan itu mempunyai getaran tinggi, maka pergeseran tenaga akan terjadi. Mungkin ramai tidak tahu atau mungkin juga tidak faham tentang peranan gelombang otak dalam kehidupan.

Kita mengeluarkan empat jenis gelombang dari tahap tinggi iaitu beta (13hz hingga 30hz) , alpha ( 8hz hingga 12hz), theta (4hz hingga 7hz) dan akhirnya paling rendah dinamakan delta (0.5hz hingga 3.5hz).

Jika kita berada dalam gelombang yang tinggi (beta), kita akan mudah mendapat sakit, tekanan dan paling senang kita lihat ialah masalah hidup akibat keputusan yang kurang tepat. Apabila keputusan kita kurang tepat, pasti ia akan mengundang juga masalah kewangan.

Harga minyak akan tetap naik biar apa pun rintangan, tetapi kita yang melalui kehidupan harus terus positif. Kita sebenarnya tidak boleh terus menjadi negatif dan merungut kerana kepala yang memimpin tubuh remaja itu mungkin juga tidak mampu melihat ke bawah kerana selalu duduk di atas.

Jika kita percaya bahawa Allah SWT tempat bergantung, insya-Allah, kita akan sentiasa berkecukupan. Persoalan yang timbul sekarang adalah kita kurang yakin bahawa Allah SWT yang memberi rezeki.

Kita lupa bahawa Allah SWT telah menegaskan bahawa jika bertakwa, maka kita akan memperoleh rezeki yang tidak disangka-sangka. Apabila kita bertawakal, kita akan sentiasa dicukupkan keperluan kita.

Tidak dinafikan kita perlu berusaha dan tiada siapa pun yang bersetuju jika dikatakan bertawakal dengan hanya berdiam diri. Kata seorang sufi , seekor keldai yang membawa muatan buku tetaplah seekor keldai.

Jika memahami apa yang kita pelajari sedari kecil bahawa Allah SWT tempat bergantung, maka hilanglah kerisauan. Namun, jika apa yang kita pelajari itu hanya untuk mendapat keputusan cemerlang maka apakah bezanya kita dan keldai.

Mulai hari ini, kita tukarlah penetapan minda minyak kepada penetapan minda berteraskan Allah SWT. Bagi pihak yang membuat dasar seharusnya cerita Islam Hadhari yang kita laungkan perlu diamalkan bukan hanya untuk satu slogan lingkaran sejarah.

Modal insan itu memang benar. Ia bermula dengan diri setiap individu. Namun apakah makna modal insan jika pemimpin tidak memberi wadah kefahaman tentang perlunya hidup bertuhan? Kekuatan rohani setiap individu itu memang perlu sebagai asas modal insan dan perlu diterapkan lebih awal.

Saya berpendapat, masyarakat kita akan lekas matang dan tidak mengikut emosi dibawa oleh pengaruh gelombang otak yang tinggi.

Jika saya ditanya, adakah kita perlu melakukan perubahan dalam perbelanjaan ketika ini? Jawapannya, tidak perlu kerana Islam sudah memberikan jalan terbaik untuk perancangan kewangan hinggakan dikatakan orang yang membazir itu saudara syaitan.

Jika kita hanya mengambil Islam sebagai sebuah agama ritual dan bukan sebagai jalan hidup, maka satu perubahan perlu dilakukan. Nah, di sinilah peranan Islam Hadhari yang dilaungkan. Jangan sekadar laungan yang memalukan. Sebaliknya, jadikanlah ia sebagai satu pintu untuk dunia mengenal Islam.

Pemimpin sedia ada perlu memulakannya. Islam adalah agama cinta mencintai. Apabila cinta Ilahi dijadikan asas kehidupan segala permasalahan, maka ia mudah diungkai.

Marilah kita berhenti bertelagah terhadap harga minyak kerana kita hidup bukan bergantung dengannya. Kita hidup bergantung dengan rahmat Allah SWT. Jika kita bergantung dengan sepenuh jiwa kepada-Nya, pasti akan ditunjukkan jalan untuk keluar dari kemelut minyak. Sekadar membincangkan kegeraman harga minyak, ia tidak mampu menurunkan harganya bahan bakar itu, malah kita akan terus terbakar dengan emosi.

Read More......