Thursday, February 25, 2010




Read More......

Friday, February 19, 2010

3 Kebahagiaan Insan


Tiada siapa yang inginkan kesedihan, kemurungan dan keresahan. Jika ditanya kepada sesipa sahaja pun, saya yakin dan pasti yang mereka akan berkehendakan akan kebahagian. Hidup tanpa bahagia ibarat terbakar dalam neraka dunia. Namun apakah itu kebahagian sebenarnya, adakah wang ringgit, adakah makanan yang lazat, adakah anak-anak atau segala perkara material yang mampu kita lihat atau mungkin ianya merupakan satu perasaan yang mana kita merasa aman, sentiasa ceria walaupun bermasalah.

Saya berpandangan, langkah paling awal untuk mengecap kebahagian adalah memahami diri sendiri dalam erti kata lain menguasai segala sifat negatif yang selama ini terbentuk dalam benak minda hingga ada yang dizahirkan dengan perbuatan. Selagi kita duduk dalam lingakaran energi negatif maka kita tidak akan dapat lari dari tempiasnya. Lebih memburukkan keadaan, apabila ia terkumpul dan terpendam menjadi satu gunung berapi dalam diri yang boleh meletus pada bila-bila masa sahaja. Setelah itu kita akan melihat kedatangan kebahagian namun jangan dilupa bahawa kebahagian duniawi anak Adam terbit atas tiga perkara yang kadangkala kita lupa untuk mengupasnya dengan penuh hikmah.

Dalam sebuah hadis, daripada Saad bin Abi Waqqas dinyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Kebahagiaan anak Adam itu ada tiga, manakala kecelakaannya juga ada tiga. Sesetengah daripada kebahagiaan anak Adam itu ialah isteri yang soleh, tempat tinggal yang baik dan kenderaan yang elok. Dan sebahagian kecelakaan manusia itu ialah isteri yang jahat, rumah yang buruk dan kenderaan yang buruk.” (HR. Ahmad). Secara mudahnya kebahagian, akan datang dengan jelas apabila kita mempunyai tiga perkara, yakni, isteri (pasangan) tempat tinggal, dan kenderaan. Mungkin lebih bagus seandainya kita dapat mengupasnya sedikit secara satu persatu.

Isteri

Jika kita lihat hal ini cukup linear kerana seandainya kita dan isteri tidak sehaluan mana mungkin kita akan mengecap kebahagian. Saya sering mengatakannya dari sudut sekufu yang sama arah dan tahap pemikiran. Jika kita mempunyai masalah dalam rumahtangga, kita selalunya akan membawanya ke tempat kerja maka hasil produktiviti kerja akan jatuh merudum dan mungkin lama kelamaan kita boleh hilang pekerjaan dan kepercayaan yang diberi oleh majikan. Masalah dalam berpasangan ini sering mencetuskan emosi yang tidak terhenti dan emosi yang ada dalam minda akan memberi reflek fizikal yang negatif juga.

Dari emosi ini lahirlah kata-kata nista, timbullah prasangka dan akibatnya kita akan sentiasa diselubungi suasana yang negatif. Bagi saya, yang lebih buruk adalah apabila ianya melibatkan rezeki kerana apabila rezeki mula terjejas, hilanglah kewarasan minda. Kita akan mula membuat keputusan yang diakhirnya memberi beban yang berat dalam mengharungi kehidupan. Justeru itu, apabila diri kita sudah menjadi positif, kita juga perlu sehaluan dengan pasangan kita dan apabila isteri adalah isteri yang solehah maka ketaatannya akan membuat kita kurang berlaga fikiran. Ini akan membawa kepada keharmonian dan rezeki yang lebar lagi luas.

Tempat tinggal

Ada teman saya yang bertanya kepada saya beberapa tahun yang lalu, mengapa sewaktu dia tinggal di rumah lamanya rezekinya mencurah-curah namun apabila dia berpindah ke rumah barunya terasa keperitan dari pelbagai segi. Masalah demi masalah mendatang dan banyak perkara yang merundung malang menjelma. Jawapannya ada di dalam hadis tadi. Apabila tempat tinggal yang kita diami, tidak mempunyai energi yang baik maka secara automatik kita juga akan merasa kurang selesa. Keadaan kurang selesa akan menimbulkan keluhan.

Keluhan pula akan memberi impak negatif dalam suasana rumah maka sebab itu orang dahulu cukup pantang mengeluh di dalam rumah. Saya melihat penjelasan tentang rumah yang buruk itu bukan dari sudut fizikalnya tetapi dari sudut gelombangnya. Cuba kita lihat, sebuah rumah yang besar dan indah tetapi apabila kita masuk ke dalam ruangannya kita berasa kuarang aman, kurang selesa dan banyak keresahan. Hal ini mungkin terjadi apabila penghuninya tidak mengingati Allah swt dengan sewajarnya dan mungkin juga apabila pulang ke rumah, masalah serta tekanan tempat kerja yang ada dalam minda di bawa ke rumah.

Nah… gelombang tekanan (beta) kini mengambil rumah sebagai terminalnya dan akhirnya rumah tersebut penuh dengan ketidakselesaan. Apa yang terjadi? Saya mengambil perkara pokok yang banyak diperkatakan orang…rezeki. Apabila keadaan rumah penuh dengan negativiti maka rezeki dengan sendiri bermasalah. Maka kita menjadi orang yang bukan sahaja rugi akhirat bahkan rugi juga di dunia.

Kenderaan

Perihal kenderaan ini, saya rasa sudah ramai yang sedia maklum bahawa jika kita ingin menjual kereta kita dilarang untuk memperkatakannya dalam kereta tersebut kerana nanti ditakuti akan merajuk dan rosak. Ini yang dikatakan kebahagian kenderaan, jika sering rosak maka seringlah bocor poket kita. Justeru kenderaan yang baik juga datangnya dari kita. Yang dikatakan kenderaan buruk itu hanyalah metafora, tidak bermakna kita perlu membeli kenderaan baru untuk bahagia.

Maka kenderaan juga memperlihatkan perjalanan yang baik. Jagalah tiga perkara dan renungkanlah tiga perkara ini sebagai langkah awal untuk mengecap kebahagian. InsyaAllah, saya akan mengupasnya dengan lebih detail dari sudut pandangan spiritual bagaimana ketiga-tiga ini memberi impak dalam perjalanan kita menemui Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang.

Read More......

Thursday, February 11, 2010

Powernya Wudhu'

Setiap dari kita tahu akan wudhu’ cuma mungkin panggilannya sahaja yang berbeza, ada yang memanggilnya air sembahyang. Sejak kecil kita di dedahkan dengan teknik berwudhu’ dan ianya perlu jika kita ingin menunaikan solat. Bukan itu sahaja jika kita berada dalam keadaan marah, wudhu’ akan mengurangkan api kemarahan yang membakar jiwa kita. Seperti juga azan, tidak ramai diantara kita yang mengambil berat tentang wudhu’. Bagi kita wudhu’ adalah wudhu’ dan ianya hanyalah satu keperluan sebelum melakukan sesuatu ibadah. Tetapi jika itulah pandangan kita terhadap wudhu’ maka ternyata kita terlepas pandang akan kepentingannya dalam kehidupan kita.

Jika wudhu’ itu hanyalah untuk tujuan ibadah sahaja justeru mengapa ada diantara kita yang tidurnya dalam wudhu’, yang jaganya dalam wudhu’ bahkan ada yang menggunakan wudhu’ sebagai pendinding dari kejahatan anasir-anasir halus yang mengganggu. Ada juga yang menggunakan wudhu’ sebelum mempelajari sesuatu ilmu dan tak kurang juga yang mengamalkan adat membatal air sembahyang sebagai salah satu acara di dalam majlis pernikahan. Kita mungkin jarang sekali bertanyakan sebab yang dapat dibuktikan secara sains mengapa kita perlu berwudhu’ sebelum solat atau sebelum membaca al-Quran. Kita juga mungkin jarang mendengar pertanyaan mengapa kita perlu membaca a-Quran dengan bertajwid dan apakah yang dapat dibuktikan oleh sains dalam hal-hal ibadah yang kita lakukan.

Kita dapat melihat dengan jelas akan teknik berwudhu’ seperti yang dinyatakan daripada Humran maula Uthman (ertinya bekas hamba Uthman yang dimerdekakan olehnya) sesungguhnya Uthman ibnu Affan meminta air wudhu’ lalu dia berwudhu’: Dia membasuh dua tapak tangannya sebanyak 3 kali. Kemudian dia berkumur dan istinthar (ertinya menghembus air keluar dari hidung setelah memasukkannya). Kemudian dia membasuh mukanya 3 kali. Kemudian dia membasuh tangan kanannya sehingga ke siku 3 kali. Kemudian dia membasuh tangan kirinya seperti itu juga. Kemudian dia menyapu kepalanya. Kemudian dia membasuh kaki kanannya sehingga ke buku lali 3 kali. Kemudian dia membasuh kaki kirinya seperti itu juga.

Kemudian dia berkata : “Aku melihat Rasulullah berwudhu’ seperti wudhu’ku ini lalu baginda berkata : “Sesiapa yang berwudhu’ seperti wudhu’ku ini kemudian dia solat 2 rakaat dalam keadaan tidak bercakap dengan dirinya dalam solat tersebut, maka diampunkan buatnya dosanya yang telah lalu”. (muttafaqun ‘alaih). Lihatlah betapa besarnya kekuatan wudhu’ apabila digabungkan dengan solat. Namun jika ada yang bertanya kepada kita apakah sebenarnya kekauatan wudhu’ itu dan apakah buktinya maka bagaimanakah kita menghadapi kaum yang sedemikian. Bahkan sebenarnya yang lebih mengerikan jika kita sendiri masih tercari-cari mengapa perlunya wudhu’ dan apakah rahsia di sebaliknya.


Kita tertanya-tanya akan hal ini kerana kita sendiri masih menjadi golongan ikut-ikutan yang hanya mengikut tanpa ilmu. Ini tidak pula bermakna kita tidak perlu berwudhu’ kerana tidak faham akan hikmahnya tetapi alangkah baiknya jika kita mengkaji secara keseluruhan khasiat wudhu’ agar kita dapat mengamalkannya kerana kita kita jelas faham akan hikmahnya. Saya sering bertanya kepada para peserta saya soalan yang saya rasa perlu diketahui oleh kita semua, soalannya adalah: ”ramai yang menggunakan jin untuk meresap masuk ke tubuh orang lain demi mempengaruhi minda orang lain dan sebagainya, namun adakah cara lain untuk meresapi tubuh kita dan tubuh orang lain dengan cara mudah dan tidak menggunakan jin kerana jelas sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia?”

Sebelum saya menjawab persoalan itu, elok saya jelaskan pandangan saya tentang sebaik-baik jin jin sejahat-jahat manusia. Pada hemat saya ini amat jelas jika kita faham bahawa jin yang baik, jin yang warak atau sering kita panggil jin muslim sekalipun akan memberi impak negatif terhadap akidah kita. Cuba kita renung kisah yang sering kita dengar, jika seseorang inginkan ilmu-ilmu tertentu maka dia mungkin perlu berwirid atau beramal dengan amalan tertentu dan kemudian jika tidak melakukannya mereka akan ditimpa bencana atau diganggu oleh syeikh-syeikh amalan tersebut. Nah, bukankah kini amalan tersebut dilakukan bukan kerana Allah swt bahkan lebih hebat lagi seseorang yang mengamalkan ilmu tertentu harus melaksanakan solat dan jika tidak parahlah akibatnya.

Bukankah kita sekarang sudah rosak akidahnya, dari berTuhan kan Allah kini bertuhankan jin. Kembali kepada persoalan tadi, jawapannya amat mudah…air. Mengapa air? Air merupakan satu makhluk yang taat, molekulnya berubah bukan hanya dengan kata-kata yang kita lafazkan tetapi turut berubah hanya dengan gelombang fikiran yang kita keluarkan. Air memainkan peranan yang begitu besar dalam kehidupan harian kita. Jika air yang kita gunakan bertenaga positif maka kita akan berubah menjadi positif. Bayangkan apakah yang akan terjadi jika air yang kita minum adalah air yang mana molekulnya berubah bentuk kepada energi negatif dan kemudian bercampur dengan 70% air dalam tubuh kita?

Bukankah akhirnya kita akan menjadi negatif. Air membawa gelombang alpha yakni gelombang selepas beta. Alpha adalah gelombang yang minda bawah sedar yang mana kita akan mula duduk pintu yang yang agak tenang. Kita juga sering berada dalam gelombang alpha namun ketika itu kita tidak emngingati Allah swt, contohnya sewaktu kita menonton rancangan televisyen kegemaran kita. Sewaktu kita menonton rancangan tersebut kita asyik dan adakalanya kita terasa seperti kita berada dalam cerita tersebut. Sewaktu itu otak kita mengeluarkan gelombang otak bernama alpha. Maka jelas di sini dibuktikan secara mudah mengapa kita perlu berwudhu’ sebelum solat adalah kerana sebelum solat kita berada dalam gelombang beta.

Dalam gelombang beta kita menarik energi-energi negatif, fikiran-fikiran negatif serta masalah yang banyak untuk menjadi sebahagian dari hidup kita. Namun apabila kita mengambil wudhu’ kita akan membersihkan energi-energi negatif ini dan seterusnya membawa kepada gelombang otak alpha. Hal yang demikian juga membuktikan bahawa seandainya kita berada dalam api kemarahan yang duduknya dalam gelombang beta maka berwudhu’lah kerana air akan menurunkan gelombang otak kepada gelombang otak alpha yang lebih tenang, lebih rasional. Kita perlu berwudhu’ sebelum solat, kerana jika kita bersolat dtanpa wudhu’ maka kita bersolat dalam keadaan beta. Dalam gelombang beta kita mempunyai 80% negatif dan takkan mungkin kita mengadap Allah swt dalam keadaan negatif yang banyak.

Maka wudhu’ akan merendahkan gelombang otak kepada alpha yang mana fikiran kita akan berkurangan maka barulah fikiran kita sewaktu solat tidak lagi menerawang entah ke mana dan seterusnya sewaktu kita solat seharusnya gelombang otak berada dalam gelombang theta. Jika solat kita berada dalam gelombang theta maka banyak kebaikan yang dapat kita perolehi. Namum yang menjadi persoalannya adalah mengapa sesudah mengambil wudhu’, fikiran kita sewaktu solat masih menerawang entah ke mana. Jawapan bagi persoalan ini cukup mudah dan adalah lebih baik jika saya jawab secara analogi. Jika kita makan dengan gelojoh, adakah kita dapat menikmati keeenakan makan tersebut? Jika kita makan dengan gelojoh, kita mungkin cepat kenyang tetapi berapa lamakah kekenyangan itu bertahan lama?

Kedua-duanya membawa kepada jawapan yang negatif, kita tidak merasa keenakan makanan dan kita akan cepat lapar. Begitulah wudhu’, apabila kita berwudhu’ dengan gelojoh maka kita melakukannya dalam gelombang otak beta, jadi bagaimana khasiat wudhu’ itu akan dirasai. Kita hari ini lebih banyak meyiram dari membasuh anggota tubuh dalam wudhu’. Air merupakan satu terapi yang baik sebagaimana yang telah kita bincangkan tadi. Wudhu’ yang diambil dengan tenang dan berkualiti akan menjadi terapi untuk tubuh yang baik terutamanya bagi mereka yang mempunyai sakit saraf. Marilah kita sama-sama berwudhu’ dengan tenang, sambil menghayati setiap titisan air yang jatuh ke tubuh serta sambil menggosok-gosok anggota tubuh yang berkaitan.

Jika anda dapat melakukan dengan baik maka anda akan dapati perasaan yang lain ketika bersolat. Wudhu’ adalah pintu untuk khusyuk dalam solat. Jika kita masih berwudhu’ dalam gelombang beta maka jauhlah lagi perjalanan untuk khusyuk tetapi jika kita sudah dapat membetulkan wudhu’ maka pintu kekusyukan sudah mula terbuka. Kita perlu ingat wudhu’ yang betul akan menurunkan gelombang otak kepada alpha dan jika anak-anak kita dilatih untuk berwudhu’ sebelum membaca buku, cuba lihat perubahan positif dalam pembelajarannya, jika kita berada dalam keresahan, wudhu’ yang betul akan menyahkan cas-cas negatif yang pada kita.

Wudhu’ adalah terapi dan ianya patut dipelajari dengan betul bukan hanya sambil lewa. Bagi mereka yang ingin kelihatan muda, berwudhu’lah selalu, kerana pada gelombang beta, wajah akan cepat kelihatan tua tetapi apabila kita berwudhu’ maka kita akan berada dalam gelombang alpha dan proses penuaan akan lambat berlaku. Semoga kita mula memahami akan kehebatan wudhu’.

Read More......

Tuesday, February 2, 2010

Betul Tak?


Saya pernah menulis tentang penggunaan bahasa yang betul dalam kehidupan dan beberapa hari lepas saya disapa oleh seorang teman, katanya “boleh ke cerita balik tentang bahasa sebab cerita yang dulu pendek sangat”. Saya bukanlah pakar bahasa tetapi saya yakin bahawa bahasa itu bukan sekadar menunjukan bangsa bahkan lebih halus lagi dan tidak salah jika dikatakan bahasa itu melambangkan jiwa. Orang yang jiwanya kacau akan mudah berbahasa negatif begitu juga orang yang punya masalah akan mengeluarkan kata-kata sesuai dengan keresahannya. Jika kita lihat filem-filem zaman hitam putih, mereka berdialog di dalam filem dengan dialog yang digunapakai di dalam kehidupan itu sendiri


Saya pernah membaca buku tentang filem zaman itu yang mana ramai para pelakonnya tidak tahu membaca tetapi jika dilihat di dalam filem mereka ini lebih asli atau lebih semulajadi lakonannya. Sebagai orang di luar industri perfileman, saya mungkin melihatnya dari satu segi yang berlainan, saya melihat kecenderungan cerita dahulu dalam menggunakan bahasa pasar yang sememangnya mereka gunakan seharian. Hasilnya mereka merasakan lakonan itu sebenarnya juga adalah satu watak dalam kehidupan mereka. Jika kita lihat juga masyarakat di kala itu begitu positif dalam menjalani kehidupan mereka, mengapa agaknya mereka bersikap sebegitu sedangkan mereka tidak duduk dalam era kemodenan seperti hari ini.

Hari ini, kita semakin moden namun malangnya kita semakin sempit fikirannya bahkan lebih negatif dari sehari ke sehari. Jujurnya saya melihatnya mungkin dari satu sudut lain, bukan hal-hal fizikal kerana kecantikan dan kekuatan fizikal tidak melambangkan perwatakan sebenar seseorang itu. Pada pengamatan saya, ianya seperti yang pernah saya katakan dahulu, ianya adalah erana penggunaan bahasa yang salah. Cuba nanti kita tonton cerita zaman hitam putih, cerita tahun 1950-an, dan cuba kita amati penggunan bahasanya. Pada pemerhatian saya, mereka begitu kurang menggunakan frasa negatif diakhir bicara. Ini sungguh berbeza dengan keadaan kita pada hari ini yang mana hampir kebanyakan dari kita akan menggunakan frasa negatif diakhir bicara.

Tanpa sedar kita sebenarnya memberitahu pada diri kita untuk menjadi negatif dan kita juga secara tidak langsung telah menanam nilai-nilai negatif kepada pendengar. Kita sejak dilahirkan ke dunia ini dikenali sebagai manusia, saya yakin tidak seorang pun dari kita yang lahir sebagai binatang seperti monyet dan akhirnya pada umur tertentu bertukar menjadi manusia. Sebagai manusia, kita tetap mempunyai nilai yang sama seperti mana kita dilahirkan dan system kita juga sebenarnya sama. Sewaktu kita mula belajar bertutur, kita hanya mula mengenali dan memeahami sukukata terakhir yang diucapkan, jika emak maka kita akan mudah faham jika disebut mak., ini menunjukkan bahawa minda bawah sedar kita begitu mudah menerima serta menanam sukukata terakhir dalam bicara kata.

Trend bahasa pada hari ini amat berbeza apatah lagi jika dilihat bahasa yang digunapakai oleh remaja dalam konteks sistem pesanan ringkas (sms). Kebanyakan sukukata akhir dalam pengucapan adalah negatif dan inilah yang menyumbang banyaknya sikap negatif dalam kehidupan kita pada hari ini, semakin moden semakin negatif, semakin moden semakin hilang ciri bahasa standard. Jika kata-kata itu kita lontarkan kepada anak-anak kita maka sebenarnya kita sedang mencipta anak-anak yang akan melihat negatif yang banyak dalam kehidupannya dan pastinya akan mendapat banyak masalah yang tidak dijangkakan.

Justeru pada pandangan saya, lebih elok jika kita dapat mencuba dahulu menukar penggunaan bahasa kita selama dua minggu dan insya Allah setelah itu kita akan menjadi lali atau menjadi tabiat untuk bertutur dalam bahasa positif. Kita perlu ingat bahawa minda bawah sedar akan menerima apa sahaja arahan kata-kata untuk diperlakukan dan disimpan. Paling penting untk kita faham adalah minda bawah sedar tidak akan mengambil kira samada ianya kata kenyataan atau bentuk arahan, yang hanya diketahuinya adalah menerima ransangan dari kata-kata terakhir. Maka jika mengakhiri bicara dengan sukukata negatif, ia sebenarnya memberi satu bentuk afirmasi kepada minda bawah sedar untuk mengubah hidup kita kepada persepsi negatif.

Hasilnya berlakulah hukum penarikan yang negatif dan pastinya banayak masalah dirundung, banyak keletihan dilalui yang begitu melelahkan dan begitu mengecewakan hingga kita merasa hidup ini tiada ertinya. Bagi mereka yang ingin bertukar menjadi positif , mari kita tukar suku kata akhir menjadi positif. Mulai hari ini kita gantikan perkataan tak, tidak, yang sering kita ucapkan diakhir bicara dengan lah, kan. Misalnya jika dahulu kita menyebut betul tak kini ianya sudah menjadi betul kan... Jika dahulu kita berkata cantik tak?, kini kita memberi nafas positif dengan menyatakan cantik kan.

Jika perlakuan penukaran gaya bahasa ini dapat kita lakukan selama dua minggu berturut-turut insya Allah kita akan mula melihat suasana positif dalam hidup. maka benarkan untuk berubah menjadi positif itu tidaklah mahal harganya melainkan tahu apa yang perlu dilakukan.. Bahasa tahu sikapnya, dengar katanya terbuka rahsianya.


Read More......