Monday, August 11, 2008

Perbezaan Minda Bawah Sedar dan Super Sedar

Sepanjang saya mengadakan kursus Soul Power, hampir 80% dari kalangan peserta mempunyai pengalaman serta pengetahuan yang luas tentang kekuatan minda. Tetapi apa yang menarik ialah mereka tidak mengetahui tentang kewujudan Minda Super Sedar atau Super Conscious Mind. Mungkin jenis minda ini baru untuk masyarakat Malaysia, namun di Barat minda super sedar telah menjadi trend untuk megubah corak serta taraf hidup baik dari segi kewangan atau lain-lain. Pada pandangan saya ianya adalah modal terpenting manusia. Jika kita menggunakan minda super sedar maka jiwa kita akan mantap dan kental dalam mengharungi apa jua masalah dan ini akan membawa kepada emosi positif yang menjana kepada ketenangan minda.

Segalanya hendaklah bermula dengan ketenangan jiwa setelah itu barulah minda dan fizikal. Inilah yang dikatakan modal utama manusia untuk berjaya dalam apa jua bidang. Bermodalkan inilah kita lihat Ibnu Sina serta, Imam al Ghazali dan lain-lain cendiakawan berjaya memberi perubahan kepada dunia, mereka kesemuanya mempunyai jiwa yang tenang. Justeru itulah mereka dapat melihat sesuatu perkara itu dengan mendalam hingga melepasi batas akal manusia biasa.


Jenis-jenis Minda

Minda ini sebenarnya boleh diistilahkan sebagai kesedaran. Jika seseorang manusia itu tidak sedar maka mindanya tidak bekerja dengan sempurna. Contoh seseorang yang koma, mindanya masih ada tetapi tidak bekerja. Kerana itu dalam Islam kesempuranaan akal dan fikiran itu menjadi keutamaan dalam ibadah. Tahap Minda atau kesedaran boleh dikupas kepada tiga kategori iaitu:

1. Sedar (conscious)


2. Bawah sedar (sub conscious)


3. Super sedar (super conscious)


Kesedaran super sedar merupakan kesedaran tahap tertinggi manuasia. Pada saat kita mengalami kesedaran ini kita akan memperolehi penglihatan dan inspirasi yang begitu mendalam serta penglihatan yang menembusi kewaspadaan diri ibarat sebutir bintang yang bersinar di siang hari.


Salah seorang peserta kursus meditasi yang saya anjurkan bertanya mengapa dia selalu gagal dalam menggunakan minda bawah sedar. Pada pendapat saya jika seseorang itu gagal menggunakan kekuatan minda bawah sedar adalah kerana mindanya tidak kuat. Jika minda masih bercelaru dengan berbagai masalah yang membebankan bagaimana beliau mampu untuk menggali kekuatan minda bawah sedarnya.

Bagi saya minda bawah sedar ibarat alat-alat elektrik seperti tv yang canggih, namun jika tiada bekalan elektrik ianya hanya menjadi hiasan. Sumber untuk melihat kecanggihan tv tersebut ialah kuasa elektrik dan kuasa elektrik ini adalah minda super sedar. Jika minda kita tenang belum tentu jiwa kita tenang tetapi jika jiwa kita tenang sudah pasti minda kita tenang. Jika anda mengatakan minda anda pada tahap positif adakah kita masih merasa was-was dalam melakukan sesuatu, jika jawapannya ya maka sebenarnya jiwa anda masih bercelaru serta mempunyai emosi negatif.

Perjalanan minda bawah sedar ialah membawa minda keluar manakala minda super sedar berjalan menuju ke dalam diri membetulkan jiwa yang bercelaru. Minda super sedar sebenarnya membawa kepada muhasabah diri yang mencorakkan hidup anda hasil ketenangan jiwa. Apabila jiwa anda tenang, emosi anda pasti positif barulah minda anda tenang dan turut menjadi positif. Emosi yang positif memberi anda banyak tenaga serta semangat untuk melakukan apa jua pekerjaan yang anda laksanakan.

Setelah mencapai satu tahap super sedar seseorang itu akan mengalami keheningan diri yang memberikannya suatu pengalaman yang membawa kepada kekuatan jiwa serta motivasi diri. Meditasi yang sebenar akan membawa seseorang itu kepada empangan kreativiti serta tenaga jiwa tanpa batas yang akan menjadi asas kepada keharmonian fikiran serta menjadi kunci kepada banyak penyelesaian masalah. Ini kerana minda akan mempunyai cukup tenaga dan berada pada tahap kesedaran tertinggi manusia yang membuatakan seseorang itu mempunyai kewaspadaan yang tinggi, kreativiti yang berkualiti.

Sementara itu tubuh fizikal akan mendapat rehat yang cukup kerana segala tekanan serta beban emosi yang ditanggung telah keluar melalui minda super sedar. Dengan jiwa yang tenang maka terpancarlah emosi positif yang mampu mengubah corak kehidupan seseorang itu. Apakah yang terjadi jika emosi seseorang itu berada dalam keadaan negatif ? Mengikut kajian oleh eqcoach antaranya ialah:
  • 75% kerjaya hilang arah tuju kerana permasalahan emosi

  • 70% dari kes kehilangan pelanggan adalah berkaitan dengan emosi.

  • 50% dari masa dalam perniagaan terbuang kerana tiada kepercayaan

  • 50% perkahwinan menemui gagal kerana emosi.

  • 75-90% daripada lawatan ke klinik atau hospital adalah kerana penyakit atau masalah yang berpunca dengan stress