Wednesday, February 18, 2009

Mencari Khusyuk



Membahaskan khusyuk dalam solat adalah satu topik yang sering kita dengar dan pelbagai pandangan serta teori mengenainya. Lucunya, dalam setiap perbincangan tentangnya, masing-masing mengatakan merekalah yang benar. Saya merasa sungguh aneh kerana sebelum kita khusyuk adalah perlu kita tahu apakah erti khusyuk itu yang sebenar. Adakah khusyuk bermaksud kita tenggelam dalam diri hingga tidak sedar apa yang berlaku di sekeliling atau adakah khusyuk bermaksud “menghafal maksud bacaan” seperti yang sering kita dengar. Jika pengertian khusyuk itu sendiri belum kita kupas secara benar masakan kita dapat mengungkap khusyuk itu dengan kata-kata. Jika rasa diungkap dengan kata-kata maka jelaslah ia satu pembohongan yang nyata.

Melihat situasi yang demikian, saya kembali kepada pendekatan meditasi yang penting dalam seluruh meditasi, yakni meditasi solat. Ramai yang tidak tahu bahawa solat itu adalah satu meditasi yang tertinggi. Saya pernah bersama sahabat saya ustaz Setiyo (Solat Centre Solo) merencana program khusus untuk solat khusyuk namun mungkin pandangan kita terhadap solat itu sendiri amat biasa maka program tersebut kurang mendapat sambutan.


Syeikh Aabdul Qodir al-Jailani pernah menukil bahawa apabila Allah menghendaki kebaikan hal itu, maka tentu ia akan datang dengan sendirinya pada suatu waktu. Sememangnya benar, kerana kebelakangan ini ramai yang datang ke pejabat saya untuk mempelajari meditasi solat. Mereka datang dan bertanya sendiri kepada saya akan hal ini. Maka apabila telah sampai ketentuan Allah, kita perlu menerimanya dengan kasih sayang.


Saya telahpun mula mengajar kembali meditasi solat kerana telah sampai waktunya untuk kita mengetahui bahawa solat itu satu meditasi dan apabila dikupas secara saintifik maka tanpa diwajibkan kita pasti juga akan melakukan solat, kerana solat adalah pembentukan cinta nan luhur yang datang dari jiwa seorang hamba kepada Khaliq.


Asas meditasi solat itu bermula dari kejujuran kita dengan Allah swt serta pengertian khusyuk. Adakah selama ini kita benar-benar jujur kepadaNya yang sememangnya Maha Mengetahui atau selama ini kita mempersendakan kebijaksanaan Allah swt. Cuba kita renungkan betapa kita selama ini kurang ajar kepada Allah swt yang Maha Mencintai. Kita sering mengucapkan dalam niat kita ‘lillahi ta’ala’ tetapi adakah benar kita melakukannya kerana Allah swt atau masih lagi kerana hal-hal selain Allah swt. Adakah kita seberani rabiatul adawiyah yang satu ketika menyatakan kebenaran cintanya ; Ya Allah andainya aku beribadah kerana inginkan syurga Mu maka saya pohon dijauhkan syurga itu dari ku, andainya aku beribadah kerana takutkan neraka Mu maka saya pohon dicampakkan ke dalamnya. Itulah ucapan seorang wanita yang terlalu mencintai Tuhannya dan dia hanya mahu segalanya berteraskan cintaNya kepada Allah swt hingga dia melontarkan rasa cintanya dengan kata puitis yang perlu kita hayati :


Aku mencintaiMu dengan dua cinta
Cinta kerana rinduku dan cinta kerana diri Mu
Cinta kerana rinduku adalah keadaan ku
yang sentiasa mengingati Mu
Cinta kerana diri Mu adalah keadaan Mu
mengungkap tabir hingga Dikau ku lihat
Baik untuk itu mahupun untuk itu
Pujian bukanlah untuk ku
Bagi Mu lah segala pujian


Kita sering melakukan solat rela dalam paksa dan solat kita juga tidak berada pada gelombang otak yang betul. Kita bukan solat kerana cinta tapi kita solat kerana terpaksa.


Solat yang khusyuk akan membawa kita ke gelombang theta dan di situlah kenikmatan solat mula dirasai. Kita perlu sedar bahawa seandainya kita dikelilingi dengan masalah maka kita secara tidak langsung juga jauh dari Allah swt kerana semakin banyak masalah semakin banyaklah keterikatan kita kepada masalah hingga tiada masa untuk mengingati Allah swt bahkan waima dalam solat sekalipun kita tidak mampu untuk mengingati Allah swt.


Cuba kita renungkan kebenaran ini dalam hidup kita. Sewaktu kita bermasalah, kita tetap juga solat seperti biasa tetapi yang membezakan solat dalam masalah dan solat ketika tiada masalah ialah ketika kita bermasalah dalam solat, kita sentiasa terfikir tentang masalah yang sedang kita hadapi dan akhirnya kita sering solat dalam minda bawah sedar. Maksudnya kita tidak sedar yang kita sudahpun habis solat kerana sewaktu dalam solat kita sibuk memikirkan hal-hal duniawi kita. Bukankah kita sebenarnya lalai dalam solat kita. Insya Allah di satu waktu nanti saya akan cuba mengupas meditasi solat secara terperinci kerana membahaskan solat khusyuk tanpa mengajarnya secara praktikal tidak akan membawa apa-apa erti. Dalam program-program saya yang mendatang meditasi solat akan diajar secara praktikal kerana ianya adalah asas kehidupan.


Kita perlu ingat bahawa janji Allah swt tidak pernah dimungkiri, barangsiapa yang berjalan ke arahnya maka Dia pasti berlari menuju mereka, barangsiapa yang ingin bertemunya, Dia pasti memberi ruang cintaNya, barangsiapa yang percaya wujudNya, Dia pasti menjagaNya


Ya Allah cintaku membuat aku kuat untuk hidup
Ya Allah rinduku menyuluh jalan menemui Mu
Ya Allah yang maha mencintai lagi maha dicintai
Derauan darah rindu ini sudah tidak tertanggung
Ucapan cinta sudah tidak terkata
Hanya menanti saat ketika