Wednesday, April 1, 2009

Anda dalam golongan mana - bahagian 1


Saya pernah membicarakan tentang sistem rangsangan manusia yang terbahagi kepada tiga bahagian iaitu visual, auditori dan kinesthetic. Sekiranya anda masih ingat lagi, saya juga ada membicarakan bagaimana anda mampu memulihkan semangat yang hilang dengan menggunakan sistem rangsangan tersebut. Apabila anda mengetahui anda berada dalam sistem rangsangan yang betul adalah amat mudah untuk anda membetulkan semangat serta kekuatan dalaman serta input ilmu pengetahuan.


Kali ini saya masih lagi ingin membicarakan hal hal kemanusian yang berkait rapat dengan kehidupan kita. Sebelum saya mulakan kupasan kali ini, saya ingin sekali berkongsi pengalaman yang mana saya sendiri pernah mengalaminya satu waktu dahulu. Saya pernah tertanya-tanya mengapa kadang-kadang kita terlalu banyak masalah. Lebih mengecewakan lagi apabila kita melihat teman-teman yang seakan lupa Tuhan, kaki minum dan segalanya lebih dalam kehidupan mereka.

Mungkin jika ditanya kepada mereka yang berpengetahuan jawapannya mudah, golongan tersebut adalah golongan istidraj yang mana satu golongan yang diberi kemudahan atas kejauhan atau dengan kata mudahnya Allah swt memberikan mereka kehidupan duniawi kerana Allah swt tidak menghendaki mereka. Namun secara jujur sewaktu saya mengalami masalah yang kian banyak dan adakalanya sukar untuk dirungkai, saya tidak peduli lagi tentang hal itu.

Sewaktu kita susah, kadangkala akan timbul persoalan mengapa Allah swt member kita kesusahan sedemikan rupa. Kita sering juga mendengar bahawa Allah swt tidak akan memberi ujian yang tidak sepadan dengan kekuatan kita akan tetapi sewaktu itu kita sendiri sudah tidak kuat lagi untuk berdiri menghadapi masalah apatah lagi sokongan masyarakat terutamanya dari keluarga kian luntur. Saya hampir pasti bahawa ada di kalangan pembaca yang juga pernah mengalami hal yang sama.

Dulu saya sering diberi motivasi bahawa dunia ini bukan untuk kita, dunia ini juga nilainya tidak sampai menyamai nilai sebutir pasir. Yang sering saya persoalkan ialah mengapa pula nabi saw juga bersabda bahawa dunia ini akan diwarisi oleh orang-orang soleh. Yang saya pasti ialah golongan yang mengatakan nilai dunia ini di mata manusiawi tidak pernah mahu merungkai apakah yang tersirat di sebalik ayat-ayat Allah swt serta hadis nabi saw dalam menilai dunia, seperti apakah maksud sebenar dan tersirat dalam perbandingan nilai dunia dan pasir serta banyak lagi.

Setiap kalam Allah swt dan hadis baginda saw pasti ada jalan keluar untuk setiap maslah jjika kita tahu apa yang sebenarnya tersirat di dalamnya. Justeru itu saya mengharamkan para peserta saya untuk mengatakan kepada manusia yang sedang mengharungi masalah dengan kata-kata “bersabarlah setiap perkara itu ada hikmahnya”.

Amatlah mudah untuk berkata demikian tetapi pernahkah kita terfikir jika sekiranya kita sedang menghadapi masalah yang berat dan kemudian didatangi oleh teman-teman yang berkata sedemikian, apakah perasaan kita ketika itu? Adakah kita mampu menyelesaikan masalah atau kita akan lebih menjadi tertekan.

Saya sering meminta para peserta saya untuk membawa mereka ke jalan keluar dari masalah dengan kaedah supersedar daripada hanya pandai berkata tentang hikmah sesuatu perkara yang kita sendiri tidak tahu serta kita juga percaya bahawa kata-kata kita itu tidak mampu menyelesaikan masalah. Hasil kajian saya mendapati bahawa manusia secara kehidupannya terbahagi kepada tiga golongan utama yang akhirnya jika mereka mula mencapai kesedaran ruh akan menghala ke satu arah yang sama akhirnya membentuk satu golongan.

Justeru itu seandainya pada awal bicara kita tidak mengetahui kita dalam golongan mana maka tanpa kita sedar kita akan menghadapi pelbagai masalah dan rintangan dan akhirnya kehidupan kita jauh dari kesenangan.
bersambung...