Monday, December 28, 2009

Dendam Halus



“Sebelum kamu memulakan dendam, galilah dua kubur” ( kata bistari )

Jika kita menonton cerita melayu hitam putih, seringkali kita lihat cerita yang mengisahkan perbalahan dua kumpulan yang mungkin terhasil dari hasad dengki atau kekecewaan. Apabila timbul perbalahan, sudah menjadi lumrah cerita yang mana pasti ada pertumpahan darah yang mengakibatkan kehilangan nyawa. Akibatnya, pihak yang kalah akan mula mencari jalan untuk membalas dendam. Setiap perlakuannya selepas kejadian itu hanyalah untuk membalas dendam, mungkin dia perlu untuk berlakon watak-watak tertentu asalkan dapat membalas dendam. Sebenarnya kisah membalas dendam ini bukan sekadar berkisar dalam cerita melayu tetapi dalam kesemua masyarakat. Jika kita penggemar cerita bollywood, kita pasti juga menjumpai elemen ini hampir dalam setiap ceritanya.

Akhirnya secara tidak langsung ianya memasuki stor simpanan minda bawah sedar dan konsep dendam akan mudah terhasil apabila satu-satu kejadian itu menyalahi keinginan dan perasaan kita. Apabila hati kita disakiti atau perasaan kita diguris atau tubuh kita dilukai, sifat dendam tadi akan mula memainkan peranan untuk membalas apa yang telah dilakukan kepada kita dengan harapan si pelaku dapat merasa apa yang telah kita rasakan selama ini. Sebenarnya tanpa kita sedari kita telahpun merosakkan corak pemikiran yang murni yang dititipkan Allah swt. Kita mula hilang tumpuan dan hanya member focus kepada apa yang kita dendami. Sifat dendam yang sedemikian amatlah mudah untuk kita kesan dan ianya akan hapus apabila kita dapat membalas perbuatan seseorang.

Walaupun kita dapat membalas namun hakikat yang sebenar ialah kita menyamakan taraf kita dengannya, bukankah lebih baik seandainya kita lebih tinggi tahap pemikiran. Kita perlu ingat bahawa dendam datang dari nafsu amarah dan nabi saw pernah bersabda “Sebaik-baik anak Adam, ialah orang yang lambat marahnya dan segera pula reda bila sesudah marah, dan sejahat-jahat anak Adam yang cepat marahnya dan lambat pula reda kemarahannya.” Hari ini saya ingin membincangkan satu lagi jenis dendam yang sebenarnya lebih kuat merosakkan diri dan menghilangkan harga diri. Dendam yang saya maksudkan adalah dendam halus. Dendam halus ialah dendam yang berpunca dari ketidakpuasan hati dan kita pula tidak berupaya untuk membalasnya secara fizikal.

Akhirnya kita sering sahaja berfikir bagaimanakah caranya supaya si polan itu menerima pembalasan agar dapat memuaskan hati kita. Bagaimanakah kita boleh tahu samada kita mempunyai dendam halus atau pun tidak. Cara mengenalpastinya cukup mudah, seandainya kita pernah bertelingkah dengan seseorang dan merasa kurang puas hati dengan tingkah lakunya dan setelah beberapa ketika kita merasakan yang ketidakpuasan hati kita sudah hilang namun untuk memastikan adakah benar ianya hilang, cuba cari gambar atau apa sahaja yang dapat di asosiasikan dengan si polan. Jika anda mempunyai gambar, renungkan gambar tersebut, jika anda mempunyai kad namanya, renungkan kad namanya. Soalannya cukup mudah, apakah yang anda rasa ketika merenung barangan tersebut. Adakah anda merasa tidak puas hati, anda sudah tidak lagi merasakan ketidakpuasan hati.

Seandainya anda sudah hilang rasa tidak puas hati, maka itu sesuatu yang bagus tetapi adakah anda masih berharap supaya dia dapat merasakan sesuatu perkara agar dia sedar akan kesalahannya terhadap anda atau dengan kata orang zaman sekarang, adakah anda masih merasa “bengkek”. Jika itu yang anda rasa maka sebenarnya anda masih berdendam dengan si polan. Dendam itu mungkin tidak anda sedari kerana ianya adalah dendam tersirat atau dendam halus yang amat merbahaya. Bahayanya kerana apabila dendam halus menular ke dalam stor simpanan memori anda, apa yang anda fikirkan adalah hal-hal berkenaan dengan si polan. Bagaimana nak membalas, kemudian mungkin anda membayangkan teknik balasan, anda mungkin berimaginasi si polan datang meminta maaf, dan pelbagai perkara yang sebenarnya membuang masa untuk anda fikirkan.

Lebih dari itu fikiran-fikiran tersebut membawa kepada energi negatif yang banyak yang mana akan membentuk satu gugusan hukum penarikan negatif. Hasilnya anda akan sentiasa berada dalam lingkungan masalah dan sentiasa bertemu dengan orang bermasalah dan tanpa sedar anda menjadi begitu negatif terhadap hidup. Anda pasti tahu apakah yang akan anda alami sekiranya anda berada dalam suasana serba negatif. Justeru mulai hari ini, anda perlu melihat adakah anda seorang yang mempunyai dendam halus atau sebaliknya. Seandainya ada hapuskannya dengan segera. Mungkin ada yang bertanya bagaimana?

Sedikit tips yang dapat saya kongsikan hari ini. Pertama anda tidak perlu berkata, saya maafkan perlakuannya terhadap saya. Saya berkata begitu kerana maaf yang anda ucapkan belum tentu ikhlas. Dalam memberi maaf anda juga mungkin merasakan yang dia sepatutnya menerima pembalasan. Kedua, apa yang harus anda lakukan hanyalah satu, renungkan kembali gambarnya dan senyum. Biarpun mula-mula senyuman itu palsu tetapi senyuman mempunyai kuasa yang hebat untuk melembutkan hati yang mana dalam masa yang singkat anda akan berubah dan tidak lagi peduli akan kisah lama. Tanda-tanda pemulihan adalah anda kini merasa kasihan dengan perlakuannya dan berharap dengan sepenuh hati agar dia menjadi teman baik anda agar anda dapat membawanya berubah.

Justeru itu mulai pada hari ini banyakkan senyum terutama kepada musuh anda kerana senyuman anda biarpun tidak dilihat tetapi dapat dirasa dan dapat melunakkan hati yang keras. Rasulullah S.A.W. bersabda “Orang Mukmin itu bukanlah seorang yang pendendam.” Maka hati-hati dengan dendam terutama dendam halus kerana ianya virus yang boleh membunuh.