Monday, December 14, 2009

MENJADIKAN ILMU GHAIB NYATA


Dua malam lepas kawan saya datang menziarahi saya di pejabat. Katanya terlanjur dia melalui kawasan berhampiran pejabat saya, dia mengambil keputusan untuk singgah sebentar tambahan lagi lampu pejabat masih terbuka. Saya memang suka berbual dengannya kerana dia seorang yang begitu kuat membaca dan mengadaptasikan setiap pembacaannya dengan kehidupan. Datang bersama temannya dia bercerita tentang buku yang baru dibacanya. Sedang dia asyik bercerita, temannya memberitahu yang dia teringat sewaktu dia kecil dahulu orang sanggup bercakaran tentang Yuri Gagarin dan Neil Armstrong. Saya agak terkejut juga kerana mengapa orang sanggup bergaduh tentang mereka sedangkan mereka bukan mempunyai apa-apa hubungan dan mereka juga mungkin tidak mengenali keduanya.

Ceritanya lagi mereka bergaduh hanya kerana keduanya mampu pergi ke angkasa lepas. Satu puak mengatakan ianya satu pembohongan dan ianya mungkin melibatkan sihir atau jin. Di satu pihak lagi pula mereka mengatakan ianya benar dan ianya melibatkan sains. Dek kerana saling tidak puas hati mereka bercakaran sesama mereka hingga terpaksa dileraikan. Saya berkata kepada teman sahabat saya yang saya panggil abang Mansor, “kenapa cetek sangat pemikiran pihak yang satu lagi, hanya kerana meraka tidak mengetahui sesuatu segalanya menjadi negatif dan melihat perkara baru itu satu keburukan”. Abang Mansor seorang yang suka berkongsi pengalaman. Pastinya dia mempunyai pengalaman yang banyak sesuai dengan usianya yang sudah melepasi garisan pencen.

Orang veteran kalau bercerita memang menarik kerana mereka tidak bercerita dengan emosi tetapi mereka bercerita dengan jiwa yang tenang dan mampu menarik perhatian setiap ang mendengarnya. Dia berkata cerita pertengakaran jiran sekampungnya hanya difaham disebabkan musabab dalam falsafah hidup selepas beberapa tahun dari kejadian itu. Dengan penuh hati-hati dia memulakan ceritanya tentang ilmu ghaib. Dulu orang kita hanya mampu mengetahui tentang bulan dan bintang melalui pembacaan tetapi kini kita mampu mengetahui hal angkasa apabila kita mendengar sendiri cerita anak bangsa yang sudahpun sampai ke angkasa. Dulu kita berfikir mustahil untuk membuat sebuah kereta tetapi kini kita mampu pula membuat beratus buah kereta.

Tambahnya kita melihat elektrik itu satu yang berbahaya kerana kita tidak mengetahui tentangnya tetapi jika ia bahaya mengapa ada yang mampu masuk ke kawasan aliran arus elektrik yang tinggi serta memperbaikinya. Tanpa disuruh abang Mansor dengan sendirinya mengupas jawapan-jawapan yang diperlukan bagi setiap persoalan yang dilontarkan olehnya tadi. Tertarik dengan apa yang bakal dikupas oleh abang Mansor saya bertanya adakah beliau mengizinkan saya untuk berkongsi ceritanya di ruangan saya ini. Sememangnya jauh perbezaan sikap antara orang yang telah matang pemikiran dengan mereka yang baru mengenal hidup. Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau atas keizinannya dan meminta beliau meneruskan ceritanya tentang hal tadi.

Beliau bertanya kepada kami “kamu percaya, kalau saya katakan bahawa setiap ilmu itu ghaib?” memang sikapnya agaknya, belum sempat kami menjawab dia memberikan jawapan jadi tak perlulah kami membuka mulut jawapan. “sekarang sudah jam 10.30 malam, apa yang bakal berlaku pada jam 11 malam ini kepada kita?” Tanyanya, serentak kami menjawab, tak tahu. Abang Mansor mengulas itulah yang ghaib sebenarnya. Kenapa dikatakan ghaib kerana kita tidak tahu. Dulu ilmu angkasa itu ilmu ghaib kerana kita tidak mengetahui hal-hal angkasa apatah lagi memahaminya. Maka dengan itu kita mengganggapnya satu ilmu ghaib, sebab itulah orang di kampungnya bergaduh. Satu pihak sudah tidak melihatnya sebagai ilmu ghaib kerana sudah mengetahuinya dan satu pihak masih belum mengetahuinya makan dengan pantas melihatnya satu ilmu ghaib yang melibatkan jin dan sihir.

Dia berkata, ilmu ghaib sebenarnya jika kita fahami maksudnya bermakna ilmu yang kita tidak nampak. Tidak nampak bermakna tidak menyaksikan. Tidak menyaksikan bermakna kita tidak tahu dan apabila ianya kita tidak tahu itu bermaksud ghaib. Kita kembali kepada pertanyaan apakah yang akan berlaku pada jam 11 malam. Jawapan yang pasti ialah kita tidak tahu apa yang akan terjadi sebenarnya walaupun kita mempunyai rancangan tertentu pada waktu itu. Namun begitu apabila sampai waktu dan ketika jam 11 malam maka ianya tidak lagi ghaib bagi kita ianya sudah menjadi nyata. Nayata kerana kita memahami apa yang berlaku pada jam 11 malam dan kita menyaksikannya. Dengan kata lain tidak mengetahui itu ghaib dan pengetahuan itu nyata. Jika kita mengetahui tentang membuat kuih tart maka itu bermaksud ianya ilmu yang nyata bagi kita kerana kita mengetahui serta memahaminya tetapi bagi mereka yang tidak mengetahui ianya menjadi ilmu ghaib.

Justeru kita memerlukan ilmu untuk menyatakan yang ghaib. Caranya ialah belajar dengan mereka yang sudahpun nyata ilmunya. Kata abang Mansor lagi, ghaibnya sesuatu perkara adalah tertakluk kepada penglihatan pemikiran kita. Buktinya jika kita melihat sebuah kapal berlalu di lautan, kapal tersebut pada mulanya nyata bagi kita kerana kita dapat melihat ianya berlalu namun lama kelamaan kapal tersebut hilang sedikit demi sedikit dan setelah itu ghaib dengan sendirinya. Kapal itu ghaib kerana penglihatan kita stagnan, kita berdiri di satu tempat dan melihatnya dari satu arah sahaja. Berbeza pula jika kita melihat kapal tersebut melalui pemandangan udara. Seandainya kita menaiki helikopter untuk melihat kapal tersebut kita mampu melihat pergerakan kapal itu dari titi permulaan hingga titik keghaibannya.

Perbezaan di sini bukanlah titik permulaan kita melihat tetapi titik keghaiban kapal tersebut. Semakin jauh titik keghaiban semakin banyak pemahaman dan semakin nyata ilmu perjalanan kapal tersebut kepada kita. Jika kita melihat kapal tersebut dari darat kita hanya mampu melihat perjalanannya untuk masa yang singkat dan kita tidak mengetahui apa yang berlaku selepas itu kerana bagi kita ianya ghaib. Tetapi jika melihatnya dari udara kita mampu bercerita lebih dari itu kerana kita menyaksikan perjalanannnya. Jadi kata abang Mansor, apa yang diperlukan dalam hidup ialah memanjangkan titik keghaiban supaya horizon pemikiran itu jauh. Dengan itu kita bakal memahami setiap kejadian yang berlaku dengan penuh hikmah. Sekiranya kita hanya mempunya titik keghaiban yang pendek maka kita tidak akan belajar tentang hidup dan kita hanya melihat hal-hal negatif dalam hidup.

Saya sempat bertanya kepada abang Mansor, adakah terdapat amalan-amalan tertentu untuk kita memanjangkan titik keghaiban supaya kita mudah faham intisari kejadian dan melihat sesuatu kejadian itu sebagai hikmah kerana ramai yang sering melihat sesuatu kejadian itu sebagai satu bala dari melihatnya sebagai satu proses pembelajaran yang dikurnikan Allah SWT bagi orang memahami. Kita lihat jika tidak adanya tsunami, Acheh tidak akan jadi seperti sekarang. Mungkin juga banyak ketinggalan dari banyak aspek namun setelah terjadinya tsunami maka Acheh kini lebih tersusun dan konfliknya juga selesai. Bagi saya jika dilihat tsunami dari sudut yang buruk pasti setiap hari selepas tsunami juga buruk tetapi jika kita melihatnya denga positif maka setiap hari selepasnya adalah positif.

Yang sering menjadi persoalan ialah bagaimana untuk melihatnya menjadi positif. Abang Mansor telah bermurah hati berkongsi ilmu yang mungkin para pembaca boleh amalkan. Menurut beliau jika kita ingin mudah faham dan ingin sentiasa melihat setiap perkara itu positif atau dengan kata lain mempunyai minda yang positif amalkan untuk membaca ayat 79 dari surah Al-Anbiya’. Bacalah sebanyak 10 kali sebelum menunaikan solat subuh selama tujuh hari, insyaAllah anda akan menjadi seorang yang positif. Kepada mereka yang berminat untuk menjadi positif bolehlah mengamalkannya dan kepada abang Mansor, terima kasih, hanya Allah yang dapat membalas setiap ilmu yang dicurahkan.