Tuesday, April 14, 2009

Anda di golongan yang mana - bahagian akhir


Dalam dua posting saya sebelum ini, saya telah membincangkan tentang manusia di golongan pertama dan dan kedua. Saya teruskan lagi dengan kupasan mereka di golongan kedua dan yang terakhir manusia di golongan ketiga..

Untuk mengenali golongan ini, selain dengan beberapa pendekatan, cara paling mudah ialah golongan ini sering inginkan amalan untuk hal-hal tertentu samada amalan tersebut mungkin dari gugusan amalan murni atau mungkin juga dari golongan hitam. Setiap perkara yang ingin mereka lakukan pastinya ada unsur-unsur batiniah yang menyusul. Contohnya jika mereka ada masalah, mereka yang berada di landasan putih akan mula mencari wirid-wirid tertentu dan bagi golongan yang tersasar pula mereka akan mula menggunakan jampi serapah atau tangkal-tangkal.

Justeru sekiranya ada dari golongan ini datang untuk bertanyakan pandangan terhadap masalah mereka atau anda sendiri tergolong dalam golongan ini maka setiap pandangan itu perlu disusuli dengan amalan-amalan kerana tanpanya mereka agak kurang untuk mendengar serta akhirnya mungkin mereka akan mencari jalan mudah dengan berurusan dengan golongan hitam yang jauh tersasar dari kehidupan islamiah.

Golongan ini juga sebenarnya agak kurang berjaya di dunia kerana mereka terlalu sibuk terkongkong dengan hal-hal batiniah namun mereka akan berjaya jika amal mereka sama beratnya dengan usaha dunia. Yang sering menjadi masalah ialah mereka terlalu fokus terhadap hal-hal batiniah hingga lupa urusan dunia dan adalah salah jika menganggap batiniah dapat memandu dunia. Antara mereka yang tersasar ialah mereka yang percaya tentang duit tarik, bank ghaib dan sebagainya.

Bagi golongan ketiga ialah golongan spiritual. Golongan ini perlu mendahulukan Allah swt dalam setiap hal dan seandainya dia tidak tahu bahawa dia tergolongan dalam golongan ini maka hidupnya sering sahaja di timpa kesusahan. Saya tergolong dalam golongan ini. Sebelum saya tahu yang saya berada dalam lingkungan ini, bagi mereka yang mengenali diri saya sudah pasti tahu bagaimana susahnya saya dahulu, banyak masalah yang terpaksa saya hadapi. Untuk menyelesaikan masalah saya sering bersolat hajat namun banyak juga masalah yang datang.

Saya juga sering melakukan solat sunat dhuha namun tidak juga kelihatan rezeki yang datang. Pelbagai usaha fizikal dan wirid serta amalan yang saya lakukan namun ada sahaja masalah yang datang menimpa hingga ada yang mengatakan mungkin ada sial di tubuh. Tetapi janji Allah swt tidak pernah dimungkiri, barangsiapa yang berjalan ke arahnya maka Dia pasti berlari menuju mereka, barangsiapa yang ingin bertemunya, Dia pasti member ruang cintaNya, barangsiapa yang percaya wujudNya, Dia pasti menjagaNya. Akhirnya saya temui jalan keluar yang selama ini saya cari. Punca datangnya masalah saya ialah, saya tidak ikhlas dengan Allah swt.

Saya melakukan solat dan zikir bukanlah untukNya tetapi untuk menyelesaikan masalah saya biarpun dalam niat saya mengatakan bahawa ianya lillahi taala namun hakikatnya untuk kepentingan diri sendiri. Saya berbohong kepadaNya biarpun saya tahu Dia amat maha mengetahui. Justeru bagi golongan spiritual, janganlah cuba untuk membelakangkan Allah swt walau satu detik dan apa yang pasti biar dari golongan mana anda pada awalnya, jika anda mendidik jiwa nurani pastinya anda akan tergolong dalam golongan spiritual.

Insya Allah saya akan mengadakan program soul power selama dua hari bermula 9hb Mei hingga 10Mei 2009 yang akan mengupas secara terperinci hal-hal penyelesaian setiap masalah secara spiritual dan insya Allah dalam program dua hari itu juga akan saya laksanakan pembelajaran solat khusyuk asas yang insya Allah jika dicuba formulanya akan dirasakan kelainan rasa dalam solat dan menghilangkan fikiran sering mengganggu dalam solat.


Read More......

Tuesday, April 7, 2009

Anda dalam golongan mana - bahagian 2


Kita perlu sedar bahawa seandainya kita dikelilingi dengan masalah, maka kita secara tidak langsung juga jauh dari Allah swt. Kerana semakin banyak masalah semakin banyaklah keterikatan kita kepada masalah hingga tiada masa untuk mengingati Allah swt. Bahkan waima dalam solat sekalipun kita tidak mampu untuk mengingati Allah swt. Cuba kita renungkan sejenak kebenaran ini dalam hidup kita.

Sewaktu kita bermasalah, kita tetap juga solat seperti biasa. Tetapi yang membezakan solat dalam keadaan bermasalah dan solat ketika tiada masalah ialah ketika kita bermasalah dalam solat, kita sentiasa terfikir tentang masalah yang sedang kita hadapi dan akhirnya kita sering solat dalam minda bawah sedar. Maksudnya, kita tidak sedar yang kita sudahpun habis solat kerana sewaktu dalam solat kita sibuk memikirkan hal-hal duniawi kita.

Bukankah kita sebenarnya lalai dalam solat kita. Insya Allah di satu waktu nanti saya akan cuba mengupas solat khusyuk secara terperinci kerana membahaskan solat khusyuk tanpa mengajarnya secara praktikal tidak akan membawa apa-apa erti. Dalam program-program saya yang mendatang solat khusyuk akan diajar secara praktikal kerana ianya adalah asas kehidupan.

Berbalik kepada bicara kita kali ini, manusia terbahagi kepada tiga golongan yakni golongan zahir, golongan zahir batin dan golongan spiritual. Kita wajib tahu di golongan manakah kita tergolong agar mudah untuk kita mencari jalan keluar setiap masalah kehidupan. Golongan zahir adalah satu golongan yang hanya melihat kepada fizikal serta material sahaja.

Jika mereka sakit, mereka hanya perlu mencari jalan secara fizikal untuk menghilangkan kesakitan, contohnya mereka hanya percaya tentang ubata moden dan kewujudan sakit-sakit misteri ini adalah suatu yang tidak logik pada mereka. Justeru jika kita berjumpa dengan mereka yang tergolong dalam golongan ini maka paling mudah ialah member mereka jalan keluar secara fizikal dan material.

Seandainya mereka bermasalah dari segi rezeki, mengajar mereka untuk berdoa supaya keluar dari masalah kerezekian tidak akan mampu membantu mereka kerana mereka perlu juga disertai dengan bantuan fizikal, seperti memberi kerjaya, atau material yang pada pandangan mereka itulah jalan keluar bagi mereka. Mereka ini amat kagum dengan kehebatan diri dan mereka berpendapat kejayaan itu datangnya dari usaha mereka sendiri. Jika boleh saya katakan kerjaya mereka juga lebih melibatkan penzahiran fizikal dan material.

Kedua pula adalah golongan zahir batin, yang mana golongan ini adalah golongan yang percaya bahawa selain daripada unsur fizikal dan material, unsur-unsur batin atau tidak nyata ini juga penting dalam menjana kejayaan. Bagi mereka, siang mereka bekerja dan malam mereka akan berusaha untuk menguatkan usaha mereka secara batiniah. Mungkin mereka akan melakukan amal-amal untuk melorongkan mereka ke arah kerezekian yang pantas dan ada juga di kalangan mereka ini yang terjerumus ke lembah kenistaan dengan bersetongkol dengan jin dan syaitan, contohnya memakai susuk pelaris, ilmu-ilmu yang bersangkutan dengan jin dan sebagainya.

Read More......

Thursday, April 2, 2009

Bengkel Cinta Hakiki - Update!

Perhatian kepada para peserta Bengkel CINTA HAKIKI 4 & 5 April 2009.

Tempat: Masjid As-Salam, Puchong Perdana, Puchong

Tentatif Program:

8:30 - 9:00: Pendaftaran Peserta

9:00 - 5:00: Bengkel

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, sila hubungi en. zairos (016 - 257 7311)

Read More......

Wednesday, April 1, 2009

Anda dalam golongan mana - bahagian 1


Saya pernah membicarakan tentang sistem rangsangan manusia yang terbahagi kepada tiga bahagian iaitu visual, auditori dan kinesthetic. Sekiranya anda masih ingat lagi, saya juga ada membicarakan bagaimana anda mampu memulihkan semangat yang hilang dengan menggunakan sistem rangsangan tersebut. Apabila anda mengetahui anda berada dalam sistem rangsangan yang betul adalah amat mudah untuk anda membetulkan semangat serta kekuatan dalaman serta input ilmu pengetahuan.


Kali ini saya masih lagi ingin membicarakan hal hal kemanusian yang berkait rapat dengan kehidupan kita. Sebelum saya mulakan kupasan kali ini, saya ingin sekali berkongsi pengalaman yang mana saya sendiri pernah mengalaminya satu waktu dahulu. Saya pernah tertanya-tanya mengapa kadang-kadang kita terlalu banyak masalah. Lebih mengecewakan lagi apabila kita melihat teman-teman yang seakan lupa Tuhan, kaki minum dan segalanya lebih dalam kehidupan mereka.

Mungkin jika ditanya kepada mereka yang berpengetahuan jawapannya mudah, golongan tersebut adalah golongan istidraj yang mana satu golongan yang diberi kemudahan atas kejauhan atau dengan kata mudahnya Allah swt memberikan mereka kehidupan duniawi kerana Allah swt tidak menghendaki mereka. Namun secara jujur sewaktu saya mengalami masalah yang kian banyak dan adakalanya sukar untuk dirungkai, saya tidak peduli lagi tentang hal itu.

Sewaktu kita susah, kadangkala akan timbul persoalan mengapa Allah swt member kita kesusahan sedemikan rupa. Kita sering juga mendengar bahawa Allah swt tidak akan memberi ujian yang tidak sepadan dengan kekuatan kita akan tetapi sewaktu itu kita sendiri sudah tidak kuat lagi untuk berdiri menghadapi masalah apatah lagi sokongan masyarakat terutamanya dari keluarga kian luntur. Saya hampir pasti bahawa ada di kalangan pembaca yang juga pernah mengalami hal yang sama.

Dulu saya sering diberi motivasi bahawa dunia ini bukan untuk kita, dunia ini juga nilainya tidak sampai menyamai nilai sebutir pasir. Yang sering saya persoalkan ialah mengapa pula nabi saw juga bersabda bahawa dunia ini akan diwarisi oleh orang-orang soleh. Yang saya pasti ialah golongan yang mengatakan nilai dunia ini di mata manusiawi tidak pernah mahu merungkai apakah yang tersirat di sebalik ayat-ayat Allah swt serta hadis nabi saw dalam menilai dunia, seperti apakah maksud sebenar dan tersirat dalam perbandingan nilai dunia dan pasir serta banyak lagi.

Setiap kalam Allah swt dan hadis baginda saw pasti ada jalan keluar untuk setiap maslah jjika kita tahu apa yang sebenarnya tersirat di dalamnya. Justeru itu saya mengharamkan para peserta saya untuk mengatakan kepada manusia yang sedang mengharungi masalah dengan kata-kata “bersabarlah setiap perkara itu ada hikmahnya”.

Amatlah mudah untuk berkata demikian tetapi pernahkah kita terfikir jika sekiranya kita sedang menghadapi masalah yang berat dan kemudian didatangi oleh teman-teman yang berkata sedemikian, apakah perasaan kita ketika itu? Adakah kita mampu menyelesaikan masalah atau kita akan lebih menjadi tertekan.

Saya sering meminta para peserta saya untuk membawa mereka ke jalan keluar dari masalah dengan kaedah supersedar daripada hanya pandai berkata tentang hikmah sesuatu perkara yang kita sendiri tidak tahu serta kita juga percaya bahawa kata-kata kita itu tidak mampu menyelesaikan masalah. Hasil kajian saya mendapati bahawa manusia secara kehidupannya terbahagi kepada tiga golongan utama yang akhirnya jika mereka mula mencapai kesedaran ruh akan menghala ke satu arah yang sama akhirnya membentuk satu golongan.

Justeru itu seandainya pada awal bicara kita tidak mengetahui kita dalam golongan mana maka tanpa kita sedar kita akan menghadapi pelbagai masalah dan rintangan dan akhirnya kehidupan kita jauh dari kesenangan.
bersambung...

Read More......

Friday, March 27, 2009

Faktor 95:5


Seperti yang saya katakan dalam posting sebelum ini, saya melihat kejayaan adik Nik Nur Madihah dari dua sudut. Dan sudut yang kedua ialah beliau berada dalam golongan minoriti. Kita mungkin hairan bagaimana kita mengandaikan beliau dalam golongan minoriti sedangkan sepatutnya dia berada dalam kelompok majorti kerana dia berada di tanah tumpah kelahirannya. Benar tidak dinafikan tetapi maksud minoriti itu adalah kumpulan kecil.

Beliau berada dalam kumpulan kecil dan manusia kecil yang tidak punya apa-apa. Jika benar dia berada dalam kumpulan majoriti sudah pasti segala kepayahan hidup beliau sekeluarga sudah lama dihidu dan sudah lama dibantu. Ini jelas sekali dia berada dalam kumpulan minoriti. Berada dalam kumpulan minoriti juga adalah penyumbang kepada kejayaan beliau.

Ini dibuktikan dengan kajian yang sering didengar yang mana 95% dari manusia itu berada dalam kelompok zon selesa. Mereka begitu selesa dengan apa yang mereka ada dan mereka malas untuk kembali bersusah payah kerana bagi mereka cukuplah apa yang mereka ada. Kajian juga menunjukkan bahawa mereka yang berjaya adalah mereka yang berada dalam kelompok 5%.

Mereka ini sentiasa cuba untuk keluar dari batas keupayaan mereka dan sentiasa dahagakan kejayaan dan kepuasan dalam melakukan sesuatu. Apa yang pasti mereka begitu puas dengan hasil kerja mereka dan mereka melakukan setiap perkara itu dengan ghairah.

Saya berani berkata bahawa formula 95:5 ini bukan hanya untuk kejayaan duniawi bahkan ianya juga untuk kejayaan ukhrawi. Jika kita cukup selesa dengan keadaan hubungan kita dengan Allah swt ketika ini maka secara tidak langsung kita berada dalam zon selesa dan tergolong dalam kumpulan 95 yang sebenarnya kemajuannya dirinya terlalu perlahan dan adakalanya tidak maju sama sekali.

Faktor 95:5 ini telah mengubah banyak kehidupan rakyat Malaysia di luar Negara. Kita sering mendengar akan kejayaan pelajar kita di luar Negara dengan kejayaan yang menakjubkan. Kita juga banyak mendengar kisah-kisah perantau yang berjaya, bukan saudara perantau di negara kita tetapi rakyat kita yang menjadi perantau di negara orang.

Hal ini semua terjadi kerana hukum minoriti, apa bila kita berada dalam golongan minoriti kita berada dalam satu keadaan hidup dan mati atau boleh juga dikatakan terdesak. Kita hanya ada dua pilihan samada mahu meneruskan kehidupan atau mati kelaparan.

Justeru kita akan melakukan apa sahaja kerja yang mampu member wang dan yang begitu membezakan golongan majoriti dan minoriti ialah, golongan majoriti sentiasa berfikiran bahawa besok pasti ada wang maka berbelanjalah hari ini kerana wang pasti ada. Akan tetapi bagi golongan minoriti pula berjimatlah semampu mungkin kerana besok belum tentu dapat wang.

Maka sebab inilah kita mendengar jutawan senyap dan kita mendengar rakyat kita yang berbekalan sedikit wang untuk merantau dan akhirnya mencipta nama di Negara orang. Faktor 95: 5 ini juga menceritakan tentang mengapa 9/10 rezeki itu datang dengan berniaga. Ramai orang ingin berniaga kerana memikirkan bahawa 9/10 rezeki itu datang dari perniagaan.

Mereka hanya mengikut tetapi mereka tidak tahu konsep sebenar 9/10. Mengapa 9/10 yang dikatakan 9/10 berada dalam perniagaan, itu yang sepatutnya dikupas. Majoriti rezeki itu berada dalam perniagaan kerana ahli perniagaan itu yang faham konsep ini akan sentiasa duduk dalam kelompok minoriti.

Mereka akan berusaha untuk mendapatkan gaji mereka dan upah kerja mereka bergantungkan kepada perlaksanaan kerja mereka. Mereka benar-benar berserah kepada Allah swt agar dikurniakan rezeki yang melimpah ruah. Mungkin anda berkata, tapi ramai juga yang lupa Tuhan… nah itulah dugaan, kita akan sentiasa mengingat Allah swt sewaktu susah tetapi sewaktu senang kita seperti kacang lupakan kulit bahkan saya suka mengatakan ibarat anjing tersepit yang mana ketika susah merayu-rayu untuk dilepaskan tetapi kemudian bertindak kurang ajar.

Manakala mereka yang bekerja pula berada dalam golongan majoriti kerana kerisauan mereka tentang wang selalu berakhir pada hujung bulan hinggakan adakalanya kita menganggap bahawa tanpa kerja kita tidak mampu hidup dan kita tanpa sedar lebih banyak bergantung dengan majikan dari Tuhan. Maka besar rahmat ekonomi yang merudum ini kerana itu tandanya Allah swt masih mencintai kita.

Sewaktu keadaan ekonomi sebegini, ramai yang mula ingat bahawa Allah swt yang sebenar-benar maha pemberi rezeki dan bukan majikan. Kebergantungan dengan Allah swt menjadi lebih baik kerana kita sudah mula berada dalam golongan minoriti. Maka sentiasalah duduk dalam kelompok mereka yang yakin kekuasaan Allah swt dan juga ingatlah faktor 95:5 untuk kejayaan dunia dan akhirat. Sekali lagi saya mengingatkan diri saya dan para pembaca bahawa setiap masalah itu adalah setiap langkah dalam perjalanan menuju Allah swt.


Read More......

Thursday, March 19, 2009

Tahniah adik Nik Nur Madihah

Kata lawan bagi majoriti adalah minoriti dan itu pastinya diketahui oleh semua orang. Dalam setiap apa yang kita lakukan kita mahukan satu keputusan majoriti agar setiap keputusan itu memihak kepada kita. Jika tidak kita mungkin sahaja berasa kurang senang atau kita mungkin merasa terpinggir.

Sebelum kita pergi lebih jauh, saya ingin mengucapkan tahniah kepada adik Nik Nur Madihah atas kejayaannya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia baru-baru ini. Kehebatannya dalam pelajaran telah berjaya mengubah kehidupan keluarganya sekalipun beliau belum bekerja. Mungkin selepas ini ramai pula yang akan berpuasa sunat untuk menjadi sepertinya. Tetapi kita mungkin lupa beliau berpuasa kerana Allah swt dan atas limpah kurniaNya maka beliau memperolehi apa yang diinginkan.

Amat bagus mencontohi beliau dalam melakukan ibadah tersebut, sekurang-kurangnya belia hari ini mempunyai satu ikon baru untuk dicontohi namun begitu tujuan asal berpuasa itu biarlah kerana Allah swt dan bukan untuk yang lain. Saya berharap agar adik Nik Nur Madihah akan terus menjadi ikon kerana beliau berjaya dan kehebatannya keluar dari kepompong yang selama ini membelenggu dirinya perlu dijadikan satu semangat baru untuk mereka yang bakal menghadapi apa jua masalah kehidupan.

Saya melihat kejayaan adik Nik Nur Madihah dari satu sudut yang berlainan yang mungkin boleh kita bahaskan. Saya melihat kejayaannya atas dua perkara, pertama keyakinannya terhadap Allah swt dan yang kedua ialah beliau berada dalam golongan minoriti. Keyakinan kepada Allah swt adalah merupakan satu perkara penting dalam kehidupan setiap makhluknya dan kita perlu faham tiada satupun perkara yang dijadikan Allah swt untuk kita itu bertujuan untuk mendatangkan kesusahan kerana Allah swt itu maha pengasih dan maha penyayang.

Saya sering memberitahu kepada peserta saya bahawa janganlah kita risau akan masalah kerana ianya adalah sesuatu yang baik untuk kita. Namun kita sering sahaja bersangka buruk terhadap Allah swt… buktinya kita sering sahaja mengeluh dan bertanya mengapalah kita sahaja yang banyak diuji oleh Allah swt. Kita lupa bahawa itu juga adalah tanda-tanda seruan Allah swt kepada kita agar datang segera kepadaNya. Saya sentiasa mengupas konsep innalillahi wa inna ilaihi rojiun dalam apa jua program saya kerana bagi saya itu adalah konsep asas untuk mengubah hidup. Kita perlu mengucapkannya setiap kali ditimpa musibah akan tetapi perkataan musibah itu sendiri kita kurang pasti maksudnya.

Mungkin bagi kita musibah itu adalah kemalangan, kecelakaan atau sesuatu yang mencederakan tetapi jika kita mengupasnya dengan lebih dalam maka musibah itu memberi maksud setiap perkara yang kita tidak suka kepadanya layak dipanggil musibah. Mungkin saya salah namun saya percaya bahawa setiap musibah yang datang menimpa, baik berbentuk masalah mahupun lain, ianya adalah satu titik bermulanya perjalanan rohani setiap manusia. Secara ringkasnya kata-kata saya itu berbunyi begini, setiap perjalanan rohani itu bermula dengan satu masalah, tanpa masalah manusia pasti tidak mampu mengenal dirinya sedangkan kata pujangga barangsiapa yang mengenal dirinya akan mengenal Tuhannya.

Begitulah yang terjadi kepada adik Nik Nur Madihah dalam mengharungi hidupnya. Mungkin satu kelebihannya dia berada sentiasa berada dalam kelompok manusia yang mendalami Islam kerana beliau merupakan pelajar Sekolah Menengah Arab Maahad Muhammadi. Justeru dalam kehidupannya seharian beliau dididik tentang kekuasaan Allah swt. Justeru atas keyakinan yang kuat, beliau kembali kepadaNya dengan melakukan ibadah-ibadah. Itu yang dimaksudkan dengan titik perjalanan rohani. Namun begitu perjalanan rohani kita mungkin juga bertukar menjadi perjalanan nafsu dan ianya buka satu perkara yang mustahil.

Sekiranya kita menghadapi satu masalah ada dua perkara yang akan berlaku, kita menyelesaikan masalah kita dengan Allah swt sebagaimana yang dilakukan oleh adik Nik Nur Madihah atau kita mengikut kata nafsu yang sebenarnya tidak mungkin menyelesaikan masalah kita bahkan sebenarnya tanpa sedar memperbanyakan lagi jumlah masalah yang menimpa. Cukup mudah untuk melihat samada kita mengikut nafsu atau tidak.

Seandainya kita berhadapan dengan masalah, kita terus sahaja merasa runsing dan terus sahaja mencari jalan keluar tanpa mengira samada ianya jalan yang baik atau tidak. Kita secara tidak langsung mula menjauhkan diri dari kasih saying Allah swt. Seharusnya kita perlu berterima kasih dengan Allah swt kerana dengan adanya masalah kita akan lebih mengingati Allah swt.

Namun kita juga perlu menyelesaikan masalah dan bagi mereka yang menjadikan masalah itu satu perjalanan rohani, mereka akan melakukan ibadah yang banyak kerana mereka percaya hanya Allah swt yang mampu menyelesaikan masalah mereka. Mereka akan melakukan apa yang saya panggil total surrender atau menyerah diri bulat-bulat kepadaNya. Mungkin bagi anda yang belum mengikuti program saya akan bertanya bagaimana dengan melakukan total surrender dapat menghilangkan masalah, tetapi jika anda memahami secara praktikal yang dikatakan meyerah diri bulat-bulat itu maka insya Allah anda akan memahami maksud saya.

bersambung….





Read More......

Power Ayat


Manusia ini memang sifatnya alpa dan tergesa-gesa. Kita sering mencari tuhan selain Allah tanpa kita sedar. Hanya sewaktu kita susah barulah kita mengingati Allah swt tetapi setelah kita mula senang kita akan bersama tuhan lain yang bernama nafsu.
Mengapa begitu… masakan tidak, seorang hamba akan sentiasa mengadu kepada Tuhannya kerana dia tidak tahu apa yang bakal terjadi. Kita akan mengadu apabila sakit tetapi apabila senang kita mengadu kepada yang lain.


Terbaru saya ada membaca pandangan tentang ayat-ayat pelaris. Ada yang mengatakan ayat ini yang power dan ada pula yang mengatakan ayat itu lebih power. Tanpa sedar, bukankah kebergantungan seseorang itu telah diletakkan kepada ayat dan bukan kepada Empunya ayat. Siapa yang lebih power, Tuan punya ayat atau ayat itu sendiri… jika Tuan Punya ayat yang power, justeru mengapa tidak kebergantungan itu secara total diberi kepada Pemilik ayat. Bukankah Allah swt yang memiliki ayat-ayatNya lebih power dari power ayat.

Orang mungkin berkata… itu kan ayat Allah swt…

Siapa pula menafikannya namun soalnya kepada siapakah kita bergantung harap… kepada power ayat tersebut atau kepada Pemilik Mutlak ayat tersebut. Bergantung harap kepada Allah swt secara total adalah inti kejayaan dankekuatan yang tiada tandingnya untuk kehidupan.

Saya pernah didatangi orang yang meminta pelaris… saya memberitahunya yang saya tiada apa yang dia minta tetapi pastinya Allah swt ada yang dia hajati. Maka saya memintanya untuk belajar kaedah memperbaiki hubungan kita dengan Allah swt kerana setiap masalah puncanya adalah hubungan kita dengan Allah swt dan penyelesaiannya juga begitu. Alhamdulillah dia dapat mencapai apa yang dia inginkan setelah membetulkan hubungannya dengan Allah swt.

Teori tanpa praktikal itu sia-sia, oleh itu kita wajib mempraktikalkan setiap yang diajar untuk membawa kepada satu perubahan nyata dalam hubungan, percayalah apabila hubungan kita dengan Allah swt terjalin akrab pastinya kita tidak mencari tuhan lain selain Allah swt dan tiada lagi istilah ayat power kerana kita sudahpun mula jatuh cinta dengan Pemilik Mutlak ayat power yang pastinya maha power.

Read More......

Tuesday, March 10, 2009

Bengkel Cinta Hakiki

Read More......

Wednesday, February 18, 2009

Mencari Khusyuk



Membahaskan khusyuk dalam solat adalah satu topik yang sering kita dengar dan pelbagai pandangan serta teori mengenainya. Lucunya, dalam setiap perbincangan tentangnya, masing-masing mengatakan merekalah yang benar. Saya merasa sungguh aneh kerana sebelum kita khusyuk adalah perlu kita tahu apakah erti khusyuk itu yang sebenar. Adakah khusyuk bermaksud kita tenggelam dalam diri hingga tidak sedar apa yang berlaku di sekeliling atau adakah khusyuk bermaksud “menghafal maksud bacaan” seperti yang sering kita dengar. Jika pengertian khusyuk itu sendiri belum kita kupas secara benar masakan kita dapat mengungkap khusyuk itu dengan kata-kata. Jika rasa diungkap dengan kata-kata maka jelaslah ia satu pembohongan yang nyata.

Melihat situasi yang demikian, saya kembali kepada pendekatan meditasi yang penting dalam seluruh meditasi, yakni meditasi solat. Ramai yang tidak tahu bahawa solat itu adalah satu meditasi yang tertinggi. Saya pernah bersama sahabat saya ustaz Setiyo (Solat Centre Solo) merencana program khusus untuk solat khusyuk namun mungkin pandangan kita terhadap solat itu sendiri amat biasa maka program tersebut kurang mendapat sambutan.


Syeikh Aabdul Qodir al-Jailani pernah menukil bahawa apabila Allah menghendaki kebaikan hal itu, maka tentu ia akan datang dengan sendirinya pada suatu waktu. Sememangnya benar, kerana kebelakangan ini ramai yang datang ke pejabat saya untuk mempelajari meditasi solat. Mereka datang dan bertanya sendiri kepada saya akan hal ini. Maka apabila telah sampai ketentuan Allah, kita perlu menerimanya dengan kasih sayang.


Saya telahpun mula mengajar kembali meditasi solat kerana telah sampai waktunya untuk kita mengetahui bahawa solat itu satu meditasi dan apabila dikupas secara saintifik maka tanpa diwajibkan kita pasti juga akan melakukan solat, kerana solat adalah pembentukan cinta nan luhur yang datang dari jiwa seorang hamba kepada Khaliq.


Asas meditasi solat itu bermula dari kejujuran kita dengan Allah swt serta pengertian khusyuk. Adakah selama ini kita benar-benar jujur kepadaNya yang sememangnya Maha Mengetahui atau selama ini kita mempersendakan kebijaksanaan Allah swt. Cuba kita renungkan betapa kita selama ini kurang ajar kepada Allah swt yang Maha Mencintai. Kita sering mengucapkan dalam niat kita ‘lillahi ta’ala’ tetapi adakah benar kita melakukannya kerana Allah swt atau masih lagi kerana hal-hal selain Allah swt. Adakah kita seberani rabiatul adawiyah yang satu ketika menyatakan kebenaran cintanya ; Ya Allah andainya aku beribadah kerana inginkan syurga Mu maka saya pohon dijauhkan syurga itu dari ku, andainya aku beribadah kerana takutkan neraka Mu maka saya pohon dicampakkan ke dalamnya. Itulah ucapan seorang wanita yang terlalu mencintai Tuhannya dan dia hanya mahu segalanya berteraskan cintaNya kepada Allah swt hingga dia melontarkan rasa cintanya dengan kata puitis yang perlu kita hayati :


Aku mencintaiMu dengan dua cinta
Cinta kerana rinduku dan cinta kerana diri Mu
Cinta kerana rinduku adalah keadaan ku
yang sentiasa mengingati Mu
Cinta kerana diri Mu adalah keadaan Mu
mengungkap tabir hingga Dikau ku lihat
Baik untuk itu mahupun untuk itu
Pujian bukanlah untuk ku
Bagi Mu lah segala pujian


Kita sering melakukan solat rela dalam paksa dan solat kita juga tidak berada pada gelombang otak yang betul. Kita bukan solat kerana cinta tapi kita solat kerana terpaksa.


Solat yang khusyuk akan membawa kita ke gelombang theta dan di situlah kenikmatan solat mula dirasai. Kita perlu sedar bahawa seandainya kita dikelilingi dengan masalah maka kita secara tidak langsung juga jauh dari Allah swt kerana semakin banyak masalah semakin banyaklah keterikatan kita kepada masalah hingga tiada masa untuk mengingati Allah swt bahkan waima dalam solat sekalipun kita tidak mampu untuk mengingati Allah swt.


Cuba kita renungkan kebenaran ini dalam hidup kita. Sewaktu kita bermasalah, kita tetap juga solat seperti biasa tetapi yang membezakan solat dalam masalah dan solat ketika tiada masalah ialah ketika kita bermasalah dalam solat, kita sentiasa terfikir tentang masalah yang sedang kita hadapi dan akhirnya kita sering solat dalam minda bawah sedar. Maksudnya kita tidak sedar yang kita sudahpun habis solat kerana sewaktu dalam solat kita sibuk memikirkan hal-hal duniawi kita. Bukankah kita sebenarnya lalai dalam solat kita. Insya Allah di satu waktu nanti saya akan cuba mengupas meditasi solat secara terperinci kerana membahaskan solat khusyuk tanpa mengajarnya secara praktikal tidak akan membawa apa-apa erti. Dalam program-program saya yang mendatang meditasi solat akan diajar secara praktikal kerana ianya adalah asas kehidupan.


Kita perlu ingat bahawa janji Allah swt tidak pernah dimungkiri, barangsiapa yang berjalan ke arahnya maka Dia pasti berlari menuju mereka, barangsiapa yang ingin bertemunya, Dia pasti memberi ruang cintaNya, barangsiapa yang percaya wujudNya, Dia pasti menjagaNya


Ya Allah cintaku membuat aku kuat untuk hidup
Ya Allah rinduku menyuluh jalan menemui Mu
Ya Allah yang maha mencintai lagi maha dicintai
Derauan darah rindu ini sudah tidak tertanggung
Ucapan cinta sudah tidak terkata
Hanya menanti saat ketika

Read More......

Saturday, February 14, 2009

CINTA


Ke mana sahaja kita pergi kita pasti mendengar perkataan cinta, baik dalam akhbar, novel mahupun kata-kata. Ramai yang mengatakan bahawa cinta itu buta dan ramai juga yang menyatakan bahawa kita boleh buta kerana cinta. Mungkin benar mungkin tidak.

Pada pandangan saya memang benar jika cinta yang hanya melihat dengan nafsu. Nafsu bagi pengamal meditasi super sedar bukanlah seperti yang digambarkan oleh kebanyakan, tetapi nafsu adalah sesuatu yang mempunyai skop kerja yang begitu luas.

Mungkin cinta itu tidak buta jika cinta dijadikan panduan untuk menyuluh hidup sekiranya memahami hakikat cinta. Kerana cintakan anak-anak maka kita tidak akan rela jika anak–anak kita tidak mempunyai masa depan yang cerah. Percintaan sedemikian akan memandu kita ke arah yang lebih positif serta melakukan apa sahaja termasuk berkorban atau memarahai anak-anak kita supaya dapat membentuk sebuah kehidupan yang bermakna. Jika ditanya adakah cinta itu sesuatu yang negatif, jawapan saya tidak, kerana cinta yang tulus serta tidak dibayangi oleh tuntunan nafsu adalah satu energi yang begitu kuat. Dengan sebab itu saya mengatakan meditasi super sedar membuktikan tentang kuasa serta kehebatan cinta agung yang begitu tulus.

Saya seringkali dihujani dengan soalan bagaimana caranya untuk bercinta dengan Allah swt. Ramai sekali yang ingin bercinta dengan Allah swt hinggakan ramai yang tersilap langkah. Sebelum menjawab soalan sedemikian, saya sering bertanya“adakah kamu pernah bercinta?” Saya bertanya lagi “sewaktu kamu bercinta kira-kira berapa lama kamu bergayut di telefon?” ada yang menjawab dua jam bahkan ada yang mencapai lapan jam sama seperti orang bekerja lamanya, begitulah hebat penangan cinta. Jika kita bekerja lapan jam pasti kita akan berhenti makan, paling tidak kita mencuri sedikit waktu untuk melepaskan lelah. Namun mereka yang bercinta tidak dapat berbuat demikian kerana takut membazir waktu dalam berhubungan.

Ketika waktu generasi dahulu, bercinta menggunakan surat dan apabila membaca surat kiriman yang tersayang, hati berbunga-bunga hingga terasa si dia yang dicintai berada di sisi serta tak kurang juga terdengar suaranya membaca surat yang dikirim. Dengan arus kemodenan, kaedah bercinta pun mula berubah, surat yang dulu rajin ditulis kemudian bertukar menjadi telefon. Jika dahulu boleh kita lihat mereka yang bercinta akan membawa segenggam duit syiling untuk dijadikan bekalan telefon… seringgit mungkin tidak cukup kerana nanti nak bercakap di telefon mengambil masa yang lama. Dahulu telefon-telefon awam didirikan di tepi jalan, dan ketika menggunakan telefon sering terganggu dengan bunyi kenderaan yang lalu lalang. Apa yang menghairankan ialah mereka yang bercinta menggunakan telefon awam boleh bercakap dengan si dia dalam apa keadaan pun samada bising dengan kenderaan yang bertali-arus atau panas terik mahupun hujan. Keadaan sekeliling tidak langsung mempengaruhi mereka kerana ketika itu apa yang penting ialah mendengar suara orang yang dicintai dan mengucapkan ucapan yang sering disebut ketika dahulu jiwang-jiwang.

Cuba anda renungkan kembali betapa hebatnya penangan cinta. Cinta yang dahulunya ditunjangi oleh surat, kemudian bertukar ke telefon awam dan rumah kini ditunjangi pula oleh satu wadah yang lebih efisyen iaitu telefon bimbit dan internet. Hubungan terjalin dengan percakapan atau mungkin juga dengan sms dan sekarang mms dan mungkin pada masa hadapan ianya lebih hebat lagi.

Hebat.. hebat … kuasa cinta membuatkan siapa sahaja yang mengalaminya menjadi hebat walaupun adakalanya pada mata orang lain ianya satu kelemahan dan merimaskan, tapi mereka tidak peduli kerana ungkapan “aku cinta pada mu” lebih menguasai diri. Yang dikatakan cinta itu buta ialah kerana pasangan yang bercinta tidak langsung melihat negativiti yang ada pada pasangan masing-masing.

Izinkan saya mengambil contoh satu pasangan yang bercinta dan si lelaki tanpa pengetahuan si perempuan rupanya adalah seorang penagih dadah. Hal ini kemudiannya terhidu juga oleh si perempuan dan bukan dia sahaja yang dapat menghidunya tetapi kaum keluarganya juga dapat menghidu rahsia yang disimpan oleh si lelaki. Keluarga sebelah perempuan kemudian menasihatkan si perempuan tadi untuk memutuskan hubungan dengan si lelaki kerana pada pemerhatian mereka si lelaki adalah seorang penagih tegar.

Namun cinta menguasai segalanya, nasihat yang dicurahkah tidak langsung memberi kesan mahupun masuk ke telinga si perempuan kerana dia mempunyai keyakinan penuh terhadap pasangannya. Dia begitu yakin dengan teman lelakinya kerana dia mempercayai setiap apa yang yang dikatakan oleh teman lelakinya. Kata teman lelakinya ketagihan itu telah menjadi sejarah, dia tidak lagi menagih dadah walaupun pada hakikatnya dia masih lagi menagih. Pujuk rayu si lelaki itu termakan oleh si perempuan. Saya berpendapat pujuk rayu itu tidak termakan oleh si perempuan tetapi wanita tersebut telah dikuasai oleh cinta dan jiwanya hanya mendengar kata-kata teman lelakinya. Sekali lagi hebatnya cinta…walaupun akhirnya cinta sedemikian merosakkan diri tetapi dengan pantas mereka menjawab cinta perlukan pengorbanan.

Itu lah cinta… begitu berkuasa, begitu hebat dan mampu mengubah apa sahaja kerana kekuatannya bukan tandingan manusia… lebih hebat dari nuclear… lebih halus dari sihir hingga begitu susah untuk mengubatnya.

Persoalannya, mengapa kita mampu bercinta dengan manusia tanpa disuruh–suruh dan mengapa kita begitu payah untuk bercinta dengan Allah swt. Manusia hanya berada dengan kita sewaktu kita jaga sedangkan Allah swt sentiasa bersama dengan kita. Bertahun lamanya saya memohon kepadaNya agar dikurniakan kupasan yang mudah dalam memahami hakikat cinta. Kerana cinta ramai yang sesat, kerana cinta ramai yang ego dan kerana cinta ramai yang berpura-pura.

Rumusan saya mengatakan bahawa Allah swt mengurniakan benih cinta dalam diri manusia terhadap manusia lain dan juga terhadap makhluk lain kerana Allah swt ingin mengajarkan kita bagaimana caranya untuk mencapai cintaNya. Setelah kita memahami rasa cinta itu dan mengetahui hakikat cinta itu, kita pasti mampu bercinta dengan Allah swt dengan jiwa yang luhur. Kita sering mengambil Islam itu sebagai apa yang saya terjemahkan sebagai "ritual based religion”, dimana Islam itu hanya dikaitkan dengan ibadah khusus sahaja. Saya berpandangan Islam itu melangkaui ritual based kerana Islam itu adalah tatacara hidup ataupun way of life yang perlu dibawa ke mana sahaja dan di mana sahaja seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah saw.

Untuk menjadikan Islam itu sebagai way of life perlu ada cinta. Pasangan yang bercinta akan memahami kehendak pasangan masing-masing dan kemudiannya akan mengikut jalan ataupun sikap salah seorang yang dominant di antara mereka. Begitu juga jika kita bercinta dengan Allah swt sudah pasti kita akan hidup dengan tatacara yang Allah swt sinarkan kepada kita.

Dalam ruang yang terhad ini saya ingin berkongsi pemahaman cinta serta jalan bercinta namun sekiranya anda ingin mendalaminya sertailah program-program yang saya adakan kerana kadangkala tulisan kurang menyampaikan maksud serta praktikalnya. Ketika kita bercinta sesama insan kita akan mulakan dengan bercinta dan dari cinta lahirlah keyakinan kerana kita banyak melihat pembuktian cinta contohnya mengingati hari lahir, memberi hadiah, membantu ketika susah dan sebagainya.

Dari keyakinan itu timbullah kepercayaan yang tidak berbelah bahagi. Itulah rantai cinta ynag kita bina apabila berhubungan denngan manusia, dari cinta datang yakin, dari yakin timbul percaya. Akan tetapi hal sebaliknya berlaku apabila kita bercinta dengan Allah swt. Kita mulakan dengan percaya dan dari percaya barulah menambah ilmu mencari yakin walaupun kita lupa yakin hanya akan datang dengan bukti dan ilmu itu sekadar panduan.

Bukti Allah cintakan kita terlalu banyak dan oleh kerana terlalu banyak, kita rambang mata dan dari rambang mata kita tidak perasan dan akhirnya kita buta lalu memutuskan bahawa setiap kejayaan itu berlaku hanya kerana usaha keras kita. Akibatnya kita terus mencari-cari bagaimana jalannya bercinta dengan Allah swt. Cinta kemudian difikirkan boleh dibuat-buat, namun kita lupa bahawa cinta itu perasaan dan perasaan tidak menipu. Walau sebanyak mana kita keluarkan kata-kata cinta tetapi jiwa masih bertuhankan nafsu maka tiada istilah cinta di situ.

Masalahnya di sini, aturan untuk cinta dengan Allah swt telah kita mulakan dengan percaya; walhal jika boleh saya katakan, percaya itu tahapnya amat rendah. Saya boleh jadi percaya dengan seseorang tetapi belum tentu saya yakin dengannya apatah lagi cinta; tetapi jika saya menyintai seseorang, sudah pasti saya yakin dengannya bahkan setiap tuturkatanya menjadi azimat kerana saya mempercayainya.

Mulai sekarang perbetulkanlah susun atur rantai hubungan cinta agar kita dapat merasai nilai cinta agung dan setiap perkara itu pasti mempunyai kunci. Di ruang yang terhad saya tidak dapat berkongsi kuncinya apatah lagi pemahaman setiap individu itu berlainan diantara satu sama lain. Semoga dengan coretan ringkas ini anda dapat mengubah persepsi cinta Allah swt dan memulakan satu kehidupan yang dipenuhi dengan rasa cinta. InsyaAllah hidup kita akan lebih aman bahagia tanpa syak wasangka serta melihat setiap insan adalah makhluk Allah swt yang kita cintai dan rasa cinta akan melangkaui suku bangsa, agama, keturunan bahkan dengan makhluk lainnya seperti binatang dan tumbuhan.

Segala yang kita lihat dan sentuh akan terasa nilai kecintaan kita kepada Allah swt dan apabila disebut nama Allah swt yang dicintai lagi dirindui maka bergetarlah dada. Sama juga keadaannya jika seseorang menyebut nama pasangan anda pasti anda merasakan getaran cinta. Begitulah juga apabila nama Allah swt Tuhan yang Maha Menyintai disebut, bergetarlah dada meruntunlah sukma.


Kata bijak bistari cinta letaknya di hati, meskipun tersembunyi, namun getarannya jelas sekali. Ia mampu mempengaruhi fikiran sekaligus mengendalikan tindakan.

Read More......

Tuesday, January 20, 2009

Kepayahan Satu Latihan, Kesenangan Satu Ujian

Setiap hari merupakan satu pengalaman untuk kita. Mungkin kita tidak pernah meminum secawan kopi yang begitu pahit tetapi hari ini kita secara tidak sengaja teleh meminum secawan kopi pahit. Satu pengalaman yang mungkin akan dikenang sepanjang hayat.


Hari ini kita telah memandu ke satu daerah yang belum pernah kita sampai, sewaktu sampai sahaja di daerah itu kita begitu sukar untuk sampai ke destinasi yang dituju kerana sememangnya kita tidak tahu langsung selok belok jalan-jalan di situ. Banyak kali kita tersesat dalam perjalanan. Itu hari pertama tetapi pada hari kedua kita mulai faham jalan sekitar tempat kediaman dek kerana pengalaman sesat semalam. Mungkin juga semalam anda telah mengalami satu kejadian yang akan memberi kesan dalam hidup anda.
Pengalaman pada saya merupakan satu kejadian yang telah lepas samada baru tadi tadi ianya berlaku atau mungkin juga kejadian tersebut berlaku beberapa hari lepas. Keseimpulannya pengalaman hanya akan kita perolehi apabila kita telah melewati waktu-waktu yang kita alami setiap saat. Pengalaman adalah sesuatu yang praktikal dan tidak akan dapat diperolehi secara teori. Pengalaman melibatkan rasa dan perasaan.

Kita mungkin sebelum ini tidak pandai memasak dan hanya belajar dengan membaca buku-buku masakan tanpa mencubanya tetapi kita akan lebih pandai jika kita mempraktikkan apa yang dibaca dan kesilapan-kesilapan yang berlaku adalah satu pengalaman baru bagi kita. Pengalaman lebih mudah diingati daripada pembacaan.

Saya bertanya kepada seorang rakan tentang pengalamannya dalam kerjayanya. Katanya setelah menamatkan pelajarannya di salah sebuah IPTA dia telah membeli buku-buku yang memberi tunjuk ajar bagaimana untuk menghadapi temuduga kerjaya. Sehelai demi sehelai lembaran buku tersebut dibacanya dengan harapan apabila dia dipanggil untuk temuduga nanti dia akan lebih bersedia. Ternyata ada beberapa tips yang diberikan dalam buku tersebut berjaya digunakan sebagai senjata keyakinan diri tetapi menurutnya apa yang lebih penting ialah teknik kita menjawab soalan penemuduga denga baik dan pada mulanya dia agak gugup untuk menghadapi temuduga pertamanya tetapi pengalamannya berinteraksi dalam temuduga pertamannya telah mematangkannya dalam menghadapi temuduga-temuduga yang lain hingga akhirnya dia mendapatkan kerja di sebuah syarikat yang agak besar di ibukota.

Walaupun telah Berjaya mendapatkan kerja dan ianya amat mengembirakan hati sahabat saya tetapi ada sesuatu yang amat merunsingkan dirinya. Dia begitu runsing untuk menghadapi hari pertama bekerja kerana dia belum pernah bekerja. Dia tidak tahu bagaimana suasana sebenar alam pekerjaan serta tekanan yang bakal dihadapinya. Pada hari pertama dia bekerja, dengan hati yang berdebar-debar dia melangkah masuk ke ruang pejabat menunggu apa yang perlu dilakukan. Seorang yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai atasan sahabat saya telah membawa sahabat saya ke setiap bahagian yang terdapat di syarikat berkenaan untuk sesi suaikenal. Setelah berkenalan dia mula diberikan tugas-tugas yang perlu dilakukan olehnya sesuai dengan taraf jawatan yang diberikan.

Sahabat saya mula mempelajari setiap dari aspek tugasan yang diberikan kepadanya untuk disiapkan. Setelah sebulan berada di syarikat berkenaan , sahabat saya mempunyai ramai teman serta mula mempelajari banyak perkara yang tidak pernah diketahuinya sewaktu belajar di IPTA dahulu. Dia mula tahu bagaimana untuk mencuri masa dalam kerja dan dia juga mula tahu bagaimana untuk menangguhkan kerja yang sepatutnya disiapkannya. Akibat dari sering mencuri masa dan sering menangguhkan kerja, sahabat saya akhirnya kerap melakukan kesilapan kerana setiap tugasannya selalu dilakukan pada saat akhir dan dia tiada masa untuk menyemak tugasan yang diberi. Justeru pegawai atasan yang dahulunya menyukai teman saya tadi mula menyinga kerana terpaksa menyelia teman saya dengan lebih teliti dan ini menyebabkan tugasan beliau bertambah. Beliau memutuskan untuk memberi surat amaran kepada teman saya.

Teman saya yang sebelumnya sering mencuri masa agak terkejut dengan kehadiran surat tersebut di atas mejanya. Dia menyesal kerana mensia-siakan kepercayaan yang telah diberikan. Dia tahu walaupun tidak terlewat untuk dia berubah namun reputasinya sedikit sebanyak tercalar dan ini akan melambatkan proses pengesahan jawatan yang akan dibuat.

Kita sering merasa tertekan apabila berhadapan kepayahan. Kepayahan bagi kita satu pengalaman buruk yang sebolehnya kita hindari. Kepayahan bagi sesetengan orang adalah milik mereka yang tidak tahu mengatur hidup. Walau di mana pun kita berada kita sering terdengar akan rengusan atau keluhan manusia tentang kepayahan. Saya melihatnya dari satu sudut yang lain. Kita ambil contoh teman saya tadi kepayahannya dalam menghadapi temuduga telah membuatkannya berusaha bersungguh-sungguh agar berjaya mendapatkan satu pekerjaan untuk meneruskan kehidupan. Kepayahan yang dialaminya sewaktu mula-mula bekerja telah menyebabkan dia berusaha untuk menguasai setiap aspek pekerjaannya agar setiap langkah yang diambil menjadi satu kejayaaan dalam menyiapkan tugasan yang diamanahkan kepadanya. Dengan itu saya menyimpulkan kepayahan yang sering dilihat negatif itu adalah satu bentuk latihan yang dikurniakan oleh Allah swt kepada kita agar dengannya kita akan menjadi lebih bijaksana, lebih teliti serta tabah untuk menjalani episod seterusnya dalam hidup.

Cuba bayangkan anda tidak pernah langsung mengalami kepayahan apakah yang akan terjadi jika satu ketika anda melihat orang yang berada dalam kepayahan. Mungkin perasaan perikemanusiaan anda amat kurang dan ini menunjukkan nilai cinta anda sesama makhluk juga begitu kurang. Jika anda tidak pernah menghadapi kepayahan, anda juga tidak akan pandai menenilai erti kesenangan. Kita menghargai kemerdekaan yang kita ada kerana kita pernah menghadapi kepayahan hidup sewaktu dijajah. Saya lahir setelah Negara mencapai kemerdekaan namun saya begitu menghargai kemerdekaan serta keamanan kerana ketika saya kecil negara menghadapi ancaman pengganas komunis yang membataskan setiap pergerakan rakyat. Dahulu tidak sebebas sekarang, dahulu kita tidak sewenang-wenangnya pergi berkhemah di tengah hutan kerana ianya begitu merbahaya. Kini kita bebas untuk keluar masuk hutan.

Kepayahan pada pandangan saya adalah satu langkah kematangan hidup dan juga satu jalan mencari jawapan kepada setiap persoalan yang kita hadapi. Untuk mengatasinya kita perlu bergantung secara total kepada Allah swt, menguasai diri kita, menguasai emosi kita serta berusaha untuk memberi yang terbaik terhadap penyelesaiannya. Apabila berjaya kita akan mula melangkah lebih jauh dan kesilapan seringkali berlaku dalam fasa kedua iaitu untuk mengekalkan kesenangan.

Sewaktu kita berada dalam kepayahan kita sentiasa ingat Allah swt dan berdoa kepadanya agar memberikan jalan keluar yang terbaik untuk diri kita, tetapi apabila kesenangan menjenguk diri kita mula berkurangan menyebut nama Tuhan yang telah membantu kita. Mengambil contoh teman saya tadi, apabila dia mahir dalam pekerjaannya dia mula mencari jalan untuk mencuri masa ketika bekerja. Dia mula merasakan bahawa tugasan yang diberi itu mudah dan dia mampu melakukannya. Oleh yang demikian saya merasakan bahawa kesenangan itu satu ujian.

Kita akan diuji hanya setelah kita menjalani latihan. Ramai yang mungkin salah faham kerana mengganggap ujian itu datang ketika kepayahan. Bagi pengamal Meditasi Super Sedar, ujian adalah sewaktu kita menghadapi kesenangan. Dengan kesenangan itu kita mungkin menjadi seorang yang tamak, mungkin menjadi seorang yang sibuk dan yang paling menggerunkan ialah menjadi seorang yang lupa Tuhan. Jika kita tahu bahawa kesenangan itu satu ujian kita akan menghadapi kesenangan itu dengan lebih berhati-hati dan menguasainya lebih daipada apa yang kita lakukan sewaktu zaman kepayahan. Kita juga tahu kesenangan itu boleh menjatuhkan kita dengan lebih teruk daripada kepayahan.

Ketika payah kita hanya jatuh secara fizikal dan emosi tetapi ketika senang kita jatuh dari segi rohani dan jika dibiarkan, kita akan lebih mengingati kesenangan yang kita ada lebih dari mengingati Allah swt. Sewaktu senang juga kita lebih takut untuk menjadi susah daripada takut kehilangan cinta Allah swt. Kita mula merasakan apa yang kita kecapi hari ini adalah kerana usaha kita dan bukan pemberian Allah swt. Permainannya begitu halus.

Maka fahamilah secara bijaksana apa itu kepayahan dan apa itu kesenangan. Kepayahan itu mungkin boleh membunuh tetapi caranya kasar manakala kesenangan itu sebenarnya lebih bahaya. Ini tidak pula bermakna kita tidak perlu mencari kesenangan. Kita perlukan kesenangan tetapi kita perlu menguasai diri kita sewaktu kita berada dalam lingkungannya kerana kepayahan itu satu latihan hidup dan kesenangan itu ujiannya. Kita perlu lulus dalam uijan agar mendapat kesenangan di kedua-dua alam.

Read More......

Monday, January 12, 2009

Istimewanya Wanita


Beberapa hari lepas saya mengambil peluang untuk berehat di rumah. Kesempatan itu juga saya gunakan untuk mengemaskan barang-barang dalam bilik bacaan. Ketika asyik berkemas saya terpandang album gambar yang sudah lama tidak saya lihat. Merenung satu persatu gambar-gambar yang termuat dalam album tersebut membawa saya kepada kenangan lama yang banyak memberi pengajaran kepada saya.

Antaranya gambar sepasang suami isteri yang juga bekas pelajar kelas meditasi saya. Suaminya seorang pegawai di siang hari dan jurulatih sebuah persilatan di malam hari manakala si isteri adalah suri rumah sepenuh masa. Kedua-dua mereka kelihatan begitu saling sayang menyayangi dan begitu bersopan. Saya kagum dengan sikap mereka yang begitu menghormati sesiapa saja yang mereka kenal. Mereka mengikuti kursus meditasi yang saya anjurkan selepas melihat perubahan corak hidup yang dialami oleh teman mereka. Mereka memutuskan untuk mengambil kursus secara kelas khusus. Pada hari yang ditetapkan saya mula mengajar mereka dari segi konsep hingga ke praktikal.

Sewaktu latihan praktikal si isteri ternyata lebih mudah mencapai setiap objektif modul manakala si suami begitu payah untuk menghilangkan kebisingan minda. Akhirnya si isteri lebih dahulu mencapai gelombang theta tetapi si suami baru terkial-kial mencapai alpha. Ketika mengadakan sessi meditasi bersama saya mengamati sebab musabab yang mengganggu pegawai tersebut dari merendahkan gelombang otak. Hasil pengamatan saya, ego si suami amat tinggi, walaupun secara zahirnya nampak lembut dan bersopan tetapi di dalam dirinya terdapat sikap ego yang amat tinggi. Beliau tidak suka melihat orang lain melebihi beliau dari apa segi pun. Jadi, ketika bermeditasi juga beliau sebenarnya tidak mahu isterinya melebihi beliau dari segi pencapaian spiritual. Walaupun saya dapat mengamati masalah si suami namun saya tidak pula mengkritik beliau kerana apa jua kritikan walaupun membina amat sukar diterima oleh orang yang sedemikian apatah lagi di hadapan isterinya.

Saya memberi mereka kira-kira sepuluh minit untuk berehat. Ketika ini si suami datang berjumpa saya dan katanya ingin bertanya sesuatu yang agak peribadi. Soalannya “mengapa saya tidak dapat masuk dalam meditasi (mencapai gelombang theta) padahal saya lebih berpengalaman dan jurulatih silat, isteri saya tak tahu apapun. Sepatutnya dia yang susah dapat”. Soalan beliau membenarkan pengamatan saya tadi. Ego si suami begitu tinggi hinggakan baginya mustahil si isteri mampu mengatasi beliau dari apa segi sekalipun. Inilah istimewanya wanita, kalau saya rumuskan hasil pencapaian spiritual (SQ), kaum wanita lebih mudah untuk mencapai tahap yang tinggi berbanding kaum lelaki.

"Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan paling indah ialah wanita yang solehah" – hadith riwayat muslim.

Hadith ini jelas membuktikan ketinggian kedudukan wanita di dunia ini, bahkan di dalam Al-Quran juga terdapat satu surah mengenai kaum wanita iaitu An-Nisa. Ini adalah pembuktian bahawa status seseorang itu di hadapan Allah tidak ditentukan oleh jenis kelamin, melainkan nilai keikhlasan dalam mengabdikan diri serta ketakwaannya. Walaupun secara fizikalnya wanita lebih lemah dari lelaki, kedudukan emosinya lebih tinggi. Wanita mudah menghayati dan menjiwai setiap pergerakan dan tutur kata mereka. Dalam jiwa mereka telah tertanam sifat kasih sayang yang ikhlas secara semual jadi. Justeru itu jika mereka mencintai seseorang itu mereka mencintai sepenuh hati.

Secara hakikatnya kekuatan dan kelemahan kaum wanita itu terletak pada emosi yang tersemat di dada mereka. Oleh kerana itu doa kaum wanita sebenarnya lebih mustajab kerana nilai kasih sayang dan penghayatan mereka amat tinggi. Meskipun begitu kedudukan emosi yang tinggi itu tadi juga merupakan kelemahan utama wanita. Mereka juga mudah kalah kerana emosi. Kebanyakan peserta wanita yang hadir dalam kursus saya mudah mencapai matlamat meditasi tetapi mereka juga akan datang kembali berjumpa saya kerana mereka juga amat mudah jatuh. Jika kekuatan emosi yang ada pada kaum wanita itu dijaga dengan baik serta diolah denagn sempurna untuk mencapai sesuatu matlamat, insya Allah mereka akan berjaya mencapai pelbagai kehendak yang mereka inginkan selama ini.

Demi memastikan emosi tersebut agar sentiasa positif beberapa langkah harus diambil, jika tidak mereka akan mudah jatuh dan akhirnya gagal dalam hidup. Emosi yang positif ini adalah salah satu dari dari elemen jiwa, jika elemen ini tidak terganggu maka kita dapat dengan mudah bergerak ke arah ketenangan jiwa yang dalam dan mampu menjana minda positif yang sebenar serta satu anjakan paradigma dapat dilakukan.

Bagi kaum lelaki pula masalah utamanya ialah ego. Ia merupakan satu sifat semulajadi bagi seseorang lelaki. Tidak salah mempunyai ego tetapi apabila ego itu berlebihan dan tidak kena pada tempatnya akan merosakkan diri.

Berbalik kepada kisah pasangan suami isteri itu tadi, saya memberitahu kepada si suami bahawa egonya merupakan hambatannya atau halangan utama untuk beliau mencapai matlamat meditasi. Jika kita ingin mencapai keadaan super sedar, perkara pokok yang wajib kita lakukan ialah membuang ego. Selagi kita ego selagi itu kita tidak akan mencapai apa-apa dalam meditasi. Sepatutnya sebagai seorang suami beliau harus berbangga dengan pencapaian isterinya yang secara tidak langsung akan memberi kesan positif terhadap keluarganya. Saya mengingatkan beliau bahawa yang terbaik diantara manusia adalah yang terbaik sikap dan perilakunya terhadap kaum wanita. Emosi positif hasil dari sikap kasih sayang semula jadi dalam diri wanita memberikan satu lonjakan tenaga yang kuat. Tenaga yang sedemikian akan membawa kepada kekentalan jiwa serta keberanian mengharungi kehidupan dunia. Justeru hadith mengatakan

"barangsiapa yang membesarkan dan mendidik dua puterinya dengan kasih sayang, ia akan masuk syurga".

Jika dikaji sebenarnya hadith ini menghendaki kita berlatih agar dapat mencapai emosi positif serta lonjakan energi yang kuat. Apabila kita memdidik anak perempuan kita dengan kasih saying secara tidak langsung kita juga memupuk nilai kasih sayang dalam diri secara ikhlas. Perasaan kasih sayang ini mampu membawa kita ke gelombang otak theta yang mana kita akan merasa keadaan syahdu yang penuh nikmat. Bagi mereka yang mencapai gelombang delta dalam meditasi, hidup mereka akan penuh dengan kasih sayang. Adakalanya mereka merasa begitu sedih jika hendak memetik bunga tanpa tujuan. Jika gelombang ini ditebarkan dalam keluarga, maka seluruh keluarga akan berada dalam keadaan kasih sayang dan hidup penuh bahagia.

Read More......

Friday, January 2, 2009

Manusia Luar Biasa

"If the only prayer you ever say in your entire life is thank you, it will be enough"
Meister Eckhardt
“Mak… nak beli baju spiderman” rengek seorang anak kecil kepada ibunya di sebuah gedung membeli belah. Saya tersenyum mendengar rengekannya kerana dalam rengekannya, dia sempat memberi pelbagai alasan untuk memujuk ibunya supaya membelikannya sepasang baju spiderman. Spiderman satu watak yang wujud sejak saya kecil lagi. Saya juga sewaktu kecil berminat untuk menjadi spiderman, seorang manusia luar biasa namun setelah dewasa barulah saya tahu bahawa kewujudannya hanyalah satu fiksyen.
Namun saya masih lagi ingin menjadi manusia luarbiasa kerana dengan menjadi manusia luarbiasa saya mampu membantu orang yang yang sedang mengalami masalah. Hari ini mungkin juga saya sudah menjadi luarbiasa tanpa sedar kerana dalam diam saya telah banyak juga mengubah orang serta membantu membuka jalan keluar kepada pelbagai masalah. Akhirnya saya fikir, tidak dapat menjadi spiderman pun tidak mengapa asalkan sudah dapat menjadi sebahagian manusia luar biasa.
Beberapa minggu lepas, saya ke berada di satu kawasan peranginan tempatan. Saya dan teman saya mencuri sedikit masa terluang untuk minum malam di kawasan peranginan. Ketika kami sedang menghirup angin malam sambil menikmati makanan yang terhidang, beberapa peserta program kami datang untuk menyertai minum malam kami. Perkenalan singkat itu mengungkai pelbagai soalan dan minum malam tersebut sudah mula menjadi satu program informal. Ada beberapa kenyataan yang ingin saya kongsikan bersama dan ianya bagi saya amat penting untuk kita renungi.
Seorang dari mereka bertanyakan satu soalan kepada kawan saya, “Dato’ Roslizam… saya ada satu soalan, Dato’ Roslizam seorang yang hebat dan saya teringin sekali untuk menjadi seorang yang hebat seperti Dato’, cuma saya ingin nak tau bagaimana Dato’ boleh membantu untuk mencipta seorang lagi orang seperti Dato’ dan orang tersebut mampu pula untuk mencipta salinan dirinya?”
Terus terang, saya sebenarnya amat menyukai soalan yang diajukan kepada teman saya itu. Bagi saya soalan itu hanya akan datang dari seseorang yang dahagakan perubahan diri dan bagi seseorang yang mempunyai visi dalam hidupnya. Menurutnya orang yang sudah berjaya mudah bercerita yang dia kini sudah berjaya dalam hidupnya dan amat gemar sekali menceritakan bagaimana dia berjaya dan dia menghadapi saat sukarnya. Peserta itu juga memberi komen bahawa memberi motivasi itu mudah tetapi formula untuk mencetak seorang lagi sehebat orang yang bercerita itu seringkali tidak dimaklumkan.
Saya bersetuju dengan pandangan peserta tadi, apalah guna kita hanya bercerita tanpa memberitahu apakah formula sebenarnya tanpa menyembunyikan sebarang fakta.
Saya suka mengambil beberapa contoh program jutawan yang ada di Malaysia. Mereka berkata mereka menjadi kaya hasil dari program yang mereka cipta namun hakikatnya apakah benar mereka menjadi kaya dengan program yang mereka cipta atau mereka menjual program mereka untuk menjadi kaya. Ini adalah fakta kerana ramai yang hanya menjual program dan mereka berubah menjadi kaya bukan kerana hasil program mereka tetapi sebenarnya hanya menjual idea tentang program mereka.
Amat mudah untuk bercerita bagaimana untuk menjadi seorang yang hebat tetapi sebenarnya jalannya bukan semudah yang diceritakan. Justeru itu saya sering mengingatkan trainer-trainer saya bahawa tujuan utama kita berada dalam industri ini sebenarnya adalah untuk mengubah orang secara praktikal dan bukan sekadar melepaskan batuk di tepi tangga. Seorang yang hebat perlu tahu bagaimana dia menjadi hebat dan dia akan menjadi lebih hebat apabila dia dapat mencipta seorang lagi seperti dia dan dia amat hebat apabila orang yang dibentuknya itu dapat pula mencipta seorang lagi duplikasi kehebatannya.
Kata seorang bijak pandai “We need to learn to set our course by the stars, not by the lights of every passing ship”. Setelah dijelaskan oleh teman saya, peserta tersebut berpuas hati dengan jawapan yang diberikan. Dia berharap agar teman saya dapat membantunya untuk menjadi seperti teman saya itu dan berjanji tidak akan melupakan jasanya.
Dalam suasana gelak ketawa teman saya berkata “ooo begitu… saya kalau tolong orang dan orang tersebut lupa kepada saya itu normal, tak de masalah, tetapi kalau saya tolong dia dan kemudian dia ingat kepada saya maka orang itu luar biasa”.
Satu lagi kenyataan yang begitu menarik. Sesungguhnya teman saya itu benar kerana jika sekiranya kita membantu orang yang datang dengan nada sedih untuk meminta bantuan kita dan kita dengan rasa penuh bertanggungjawab membantunya dan setelah dia berjaya dalam mencapai apa jua matlamatnya dan dia kemudiannya melupakan kita maka itu perkara biasa dan tiada apa yang perlu kita sedihkan kerana sememangnya sifat manusia itu mudah lupa.
Kalau anda berfikir bahawa pertolongan itu seharusnya ikhlas maka itu juga satu kesilapan kerana saya berpendapat tiada seorang pun yang membantu dan tiada mahu imbalan hasil dari bantuannya. Buktinya seorang ibu yang melahirkan serta mendidik anaknya hingga dewasa masih mahukan imbalan, sekurang-kurangnya doa dari seorang anak untuknya. Nah… itu seorang ibu yang nilai kasih sayangnya tidak boleh dipertikaikan, apatah lagi mereka yang tidak langsung mempunyai ikatan darah pastinya imbalannya ada walaupun hari ini dia tidak memintanya.
Hari ini saya ingin mengajak anda semua yang saya hormati lagi hargai untuk menjadi manusia luarbiasa dan mungkin kita akan lebih hebat dari spiderman kerana spiderman hanya membantu orang tetapi kita hebat kerana sentiasa ingat bantuan orang dan tidak menjadi seperti kacang lupakan kulit.
The truth of the matter is that you always know the right thing to do. The hard part is doing it. Kita mungkin tahu yang kita perlu berterima kasih namun tahu sahaja tidak memadai jika kita tidak pandai mengucapkannya dan mengucapkannya tidak sempurna jika kita tidak pula melakukannya. Untuk belajar menjadi orang luarbiasa maka beberapa langkah perlu kita ambil dan semoga langkah-langkah ini jika anda lakukan saya yakin insya Allah anda akan menjadi manusia luarbiasa dan pastinya manusia luarbiasa itu menjadi sebutan orang dan seandainya kita mati, kita bukan sekadar meninggalkan nama tetapi lebih hebatnya mati kita diiringi doa-doa yang datang dari mereka juga yang sudah manusia luarbiasa.
Langkah awal ialah dengan belajar berterima kasih dengan Allah swt. Caranya ialah sentiasa berterima kasih denganNya. Cuba anda fikirkan berapa kali anda buang air dan setelah buang air anda berterima kasih kepada Allah swt kerana memberi kemudahan untuk anda membuang air besar misalnya. Maka kita tanpa sedar kufur nikmat kerana cuba bayangkan apakah yang yang akan terjadi jika sekiranya anda tidak dapat membuang air besar selama seminggu. Mulai hari ini cuba anda ucapkan “terima kasih Ya Allah kerana….”. Ungkapkan ucapan itu dari lubuk hati dan ucapkannya untuk setiap akitivi yang bakal anda lakukan dan setelah anda lakukan.
Pengalaman saya dalam melatih peserta saya, setelah hal ini dilakukan dalam masa seminggu anda akan mempunyai hati yang lunak serta anda akan mula tahu bagaimana berterima kasih dengan manusia secara jujur dan mengingati jasa mereka yang membantu anda. Apabila ini berlaku maka anda sudah layak untuk menerima anugerah manusia luar biasa dan manusia luar biasa pasti akan mudah mendapat pertolongan Allah swt dan manusia sejagat.
Memetik kata-kata pujangga "to put the world right in order, we must first put the nation in order; to put the nation in order, we must first put the family in order; to put the family in order, we must first cultivate our personal life; we must first set our hearts right".
Langkah kedua ialah dengan sering membantu manusia lain kerana sikap orang yang anda bantu itu juga bakal mengingatkan untuk berterima kasih kepada mereka yang berjasa dan sikap mereka juga adalah reflek sikap diri anda sebenarnya. Semoga seminggu selepas ini anda akan menjadi manusia luarbiasa.

Read More......

Monday, December 29, 2008

Salam Maal Hijrah

Selamat menyambut Maal Hijrah 1430 kepada seluruh umat Islam terutamanya para peserta dan pengunjung setia blog soul power. Semoga tahun baru ini dipenuhi keberkatan dan di dekatkan hati kita kepadaNya

Read More......

Sunday, December 28, 2008

Terapi Alam


Dek banyaknya kita memikirkan hal dunia sering menyebabkan kita buntu dan sakit. Biar sebanyak mana kita memikirkan dunia namun dunia tidak pula bersimpati kepada kita. Beberapa hari lepas kebanyakan akhbar aliran perdana menulis tentang depresi atau kemurungan. Saya juga banyak menerima email yang sebegitu.

Masalah yang menimpa dan pendaman perasaan adalah satu dari unsur yang banyak menyumbang kepada kebuntuan otak dan perasaan. Semakin kita mencari jalan keluar semakin sempit lorong yang kita lihat. Semakin banyak orang yang kita temui semakin resah kita dibuatnya. Semakin banyak nasihat yang diterima,semakin berat masalah yang kita pikul. Akhirnya hidup jadi tidak keruan. Apabila ini terjadi kita akan mula mencari siapakah yang dapat membantu dan terapi apakah yang sesuai.

Hal ini berlaku pada seorang teman dan saya berterima kasih kepada beliau kerana membenarkan saya berkongsi ceritanya dalam artikel kali ini. Beliau seorang yang begitu rajin bekerja dan mempunyai cita-cita besar. Beliau seorang yang amat baik namun saya berpendapat dia juga seorang yang amat murah hati. Meminjam kata-kata filem P.Ramlee `biar baik hati tapi jangan murah hati’. Murah hati ini sebenarnya banyak bahaya dari baiknya kerana apabila seseorang itu murah hati maka selalunya dia tidak mampu menolak permintaan orang lain walaupun berlawanan dengan kehendaknya.

Begitulah dengan teman saya tadi, dia amat sukar menolak kemahuan orang lain. Jika sekiranya ada orang datang bertemu dengannya dan meminta pertolongan, dia akan menolongnya walaupun dia tidak mampu melakukannya. Contohnya sewaktu dia kekurangan wang dan pada waktu yang sama ada temannya datang meminta bantuan kewangan darinya. Biarpun dia kekurangan wang namun dia cuba sedaya upaya membantu hingga dia pula terpaksa meminjam dari orang lain. Setelah beberapa ketika,teman yang ditolong dahulu hilang entah ke mana dan dia pula terpaksa menanggung beban yang dilakukannya dahulu.

Teman saya ini pula kini menghadapi pelbagai masalah dan ditambah dengan beban yang sedia ada menjadikan dia tertekan. Akibatnya dia kini lebih suka menyendiri dan memendam rasa. Kualiti kerjanya merudum dan secara tidak langsung kualiti hidupnya juga merosot. Tidak salah jika baik hati kerana apabila baik hati kita akan memikirkan diri kita dahulu walaupun ianya kelihatan seperti pentingkan diri sendiri. Seharusnya kita pentingkan diri sendiri dalam beberapa hal.

Jika kita berkorban untuk orang lain dan pengorbanan itu atas dasar kasihan dan bukan atas dasar Tuhan, kita tanpa sedar membawa diri kita ke lembah masalah. Satu ketika nanti hilang kasihan maka timbul pula kebencian dan akibat kebencian ini timbul pula penyakit. Apabila kita berkorban atas namaNya, Allah pasti memberi pertolongan tetapi apabila atas nama kasihan, maka seharusnya kita bersedia menanggung akibatnya. Penyakit yang sering mendatangi manusia tanpa kita sedari.

Akibat tekanan perasaan yang berlarutan, teman saya mula mencari jalan keluar. Dia mencari orang boleh mendoakan dia agar kuat dan mencapai kekuatan diri. Puas dia mencari, asal dia tahu ada orang yang alim,dia akan pergi berjumpa hingga satu ketika dia hampir berputus asa kerana tekanan perasaannya masih tebal.

Setahun yang lepas dia datang berjumpa saya dan bertanya tentang terapi yang patut dia lalui.
Saya bertanya kepadanya, “seandainya kamu berjumpa orang yang alim yang tidak pernah sesaat pun melupakan Allah, apakah kamu suka dan mahukah kamu minta didoakan olehnya?’”
tanpa banyak bicara dia terus menjawab “ya itu pasti”.
Saya bertanya lagi kepadanya "apakah yang mampu membuat hati tenteram".
Dia berkata dia hanya jadi tenteram bila dia keluar berjalan.
“Ooo… begitu, bukankah hati hanya jadi tenteram apabila mengingati Allah?” tanya saya.
Dia membenarkan kata-kata tersebut tetapi dia berkata dia telah cuba berzikir namun masih juga tidak mencapai ketenteraman jiwa.
Ya, itulah yang selalu kita dengar. Ini kerana kita sering berzikir dibibir tetapi fikirannya melayang entah ke mana.

Dalam program Soul Power, kita perlu menjadikan fakulti jiwa, fakulti minda dan fakulti mulut berjalan ke satu destinasi yang sama. Tanpa destinasi yang sama, pastinya kekuatan diri tidak akan dapat dicapai.

Berbalik kepada teman saya tadi saya menjelaskan kepada teman saya bahawa jika kita lihat dari satu sudut gelombang otak, hanya dengan mengingati Allah dengan ketiga-tiga fakulti itu tadi akan membawa seseorang itu ke satu tahap gelombang yang rendah. Justeru itu gelombang di kaabah begitu rendah kerana di sana manusia mengingati Allah dengan seluruh jiwa dan raganya.

Saya terangkan lagi, selain manusia, jin dan syaitan, alam ini kesemuanya bertasbih kepada Allah selama 24 jam sehari dan mereka tidak pernah melanggar amanah Allah.

Dalam suarah Al Isra :44, Allah berfirman:
"Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tiada suatu pun melainkan bertasbih dengan memujiNya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun".

Pastinya jika kita kenal orang yang mengingati Allah swt dengan seluruh jiwa dan raganya, kita akan mahu bersamanya selama kita hidup. Mengapa tidak kita duduk bersama dengan pokok dan binatang. Kita memandang remeh akan kedudukan tumbuhan dan binatang kerana meraka tidak setaraf dengan kita. Jika anda mempunyai masalah sama dengan teman saya maka saya syorkan satu terapi yang murah bahkan adakalanya boleh didapati secara percuma. Namanya terapi alam. Terapi alam ini bermaksud kita menjadi sahabat kepada alam. Persoalan yang mungkin timbul adalah mengapa alam dan apakah manfaatnya.

Alam mengandungi pelbagai makhluk yang ada di dalamnya. Antaranya angin, tumbuhan dan binatang. Mereka ini tidak pernah lupa pada Tuhan tidak sebagaimana manusia yang sentiasa sibuk dalam urusan dunianya. Mereka yakin pada aliran hidup yang ditentukan oleh Allah swt. Maka dengan itu gelombangnya rendah. Untuk menjadi sahabat kepada alam terlebih dahulu kita perlu untuk mengenal alam itu sendiri.

Salah satu terapi alam yang kian mendapat tempat di hati manusia di barat ialah bercakap dengan pokok. Apabila kita ingin menjadi sahabat kepada seseorang itu, perkara pertama yang kita akan lakukan ialah bercakap dengannya dan oleh sebab itu kita perlu bercakap dengan pokok atau tumbuhan yang ada. Kita tidak perlu meluahkannya secara lisan kerana ianya boleh dilakukan dalam hati. Pokok atau tumbuhan mempunya gelombang yang rendah dan ia mampu mempengaruhi gelombang fikiran kita apatah lagi sewaktu kita mempunyai gelombang otak yang tinggi.

Apabila kita sering melakukan hal yang demikian yakni meluahkan perasaan negatif yang ada dalam diri kepada alam, lama kelamaan ianya akan susut dan energi positif akan mula mengambil alih ruang kosong yang ditinggalkan. Sekiranya anda merasa tertekan, atau merasa kesunyian atau mempunyai masalah yang begitu sukar untuk dirungkai, cubalah bersahabat dengan alam kerana alam mempunyai jiwa yang tenteram kerana mereka sentiasa mengingati Allah swt.

Insya Allah jiwa anda akan menjadi lembut kerana tanpa sedar anda juga akan mengingati Allah swt dengan seluruh jiwa dan raga. Anda tidak perlu beli bunga yang mahal atau pokok yang besar tetapi memadai mempunyai pokok hiasan yang anda gemari dan sejuk mata memandang. Dan mulakan dengan memberi salam dan teruslah berbicara seadanya dengan bunga tersebut. Semoga anda akan mencapai keadaan baik hati dan bukan murah hati. Ingatlah bahawa alam itu lebih taat kepada Penciptanya maka hilangkanlah kesombongan kita terhadap alam.

Read More......