Wednesday, July 2, 2008

Mindset Minyak


Cerita tentang minyak bukan hanya milik manusia tetapi ia juga milik semua makhluk. Cerita minyak naik bukan kisah baru kerana dulu gajah juga biasa naik minyak. Apabila gajah naik minyak, semua orang akan jadi tertekan akibat ketakutan.

Hari ini, minyak naik juga tapi bukan gajah yang buat hal. Sebaliknya, angkara sekumpulan manusia yang mungkin mempunyai telinga gajah. Mereka mempunyai agenda untuk menjadi seperti gajah naik minyak. Apabila gajah sudah naik minyak, semua orang akan mengikut apa yang sang gajah arahkan.

Jika kita lihat, ia sama seperti kisah dajal. Malaysia hanya seperti seorang anak remaja. Apabila melihat sang gajah naik minyak, maka semuanya jadi kelam kabut. Biarlah anak remaja itu dengan tubuh pembangunan remaja, tetapi jangan biarkan anak remaja itu ditakluki oleh nafsunya yang mudah melenting.

Kematangan bukan pada tubuh pembangunan tetapi lebih penting lagi dari aspek pemikiran. Jika kita mendiami tubuh remaja yang tidak matang, pastinya tubuh tersebut akan mengalami gangguan perasaan.

Kita perlu tahu bahawa 80 peratus hingga 90 peratus penyakit itu datang dari gejala tekanan. Hari ini, ramai yang tertekan akibat harga minyak naik. Ramai pengguna mula mencari jalan untuk kembali seperti dahulu.

Rungutan yang biasa kita dengar adalah hidup sekarang semakin susah dan nilai wang kita semakin kecil. Nilai wang akan sentiasa mengecil. Buktinya, jika dahulu kita mampu membeli roti dengan harga 20sen tetapi sekarang ia berharga 60sen.

Keluhan, ratapan atau apa juga yang kita istilahkan tidak lebih dari menanam penyataan negatif dalam minda kita, seterusnya ia mencipta persepsi yang negatif terhadap perjalanan hidup. Apabila mereka berada dalam sesebuah negara itu mempunyai lebih banyak fikiran negatif dari positif, maka negara itu akan menjadi satu tempat yang kurang disenangi untuk didiami atau dilawati.

Setiap daripada kita mengeluarkan gelombang otak. Jika gelombang dikeluarkan itu mempunyai getaran tinggi, maka pergeseran tenaga akan terjadi. Mungkin ramai tidak tahu atau mungkin juga tidak faham tentang peranan gelombang otak dalam kehidupan.

Kita mengeluarkan empat jenis gelombang dari tahap tinggi iaitu beta (13hz hingga 30hz) , alpha ( 8hz hingga 12hz), theta (4hz hingga 7hz) dan akhirnya paling rendah dinamakan delta (0.5hz hingga 3.5hz).

Jika kita berada dalam gelombang yang tinggi (beta), kita akan mudah mendapat sakit, tekanan dan paling senang kita lihat ialah masalah hidup akibat keputusan yang kurang tepat. Apabila keputusan kita kurang tepat, pasti ia akan mengundang juga masalah kewangan.

Harga minyak akan tetap naik biar apa pun rintangan, tetapi kita yang melalui kehidupan harus terus positif. Kita sebenarnya tidak boleh terus menjadi negatif dan merungut kerana kepala yang memimpin tubuh remaja itu mungkin juga tidak mampu melihat ke bawah kerana selalu duduk di atas.

Jika kita percaya bahawa Allah SWT tempat bergantung, insya-Allah, kita akan sentiasa berkecukupan. Persoalan yang timbul sekarang adalah kita kurang yakin bahawa Allah SWT yang memberi rezeki.

Kita lupa bahawa Allah SWT telah menegaskan bahawa jika bertakwa, maka kita akan memperoleh rezeki yang tidak disangka-sangka. Apabila kita bertawakal, kita akan sentiasa dicukupkan keperluan kita.

Tidak dinafikan kita perlu berusaha dan tiada siapa pun yang bersetuju jika dikatakan bertawakal dengan hanya berdiam diri. Kata seorang sufi , seekor keldai yang membawa muatan buku tetaplah seekor keldai.

Jika memahami apa yang kita pelajari sedari kecil bahawa Allah SWT tempat bergantung, maka hilanglah kerisauan. Namun, jika apa yang kita pelajari itu hanya untuk mendapat keputusan cemerlang maka apakah bezanya kita dan keldai.

Mulai hari ini, kita tukarlah penetapan minda minyak kepada penetapan minda berteraskan Allah SWT. Bagi pihak yang membuat dasar seharusnya cerita Islam Hadhari yang kita laungkan perlu diamalkan bukan hanya untuk satu slogan lingkaran sejarah.

Modal insan itu memang benar. Ia bermula dengan diri setiap individu. Namun apakah makna modal insan jika pemimpin tidak memberi wadah kefahaman tentang perlunya hidup bertuhan? Kekuatan rohani setiap individu itu memang perlu sebagai asas modal insan dan perlu diterapkan lebih awal.

Saya berpendapat, masyarakat kita akan lekas matang dan tidak mengikut emosi dibawa oleh pengaruh gelombang otak yang tinggi.

Jika saya ditanya, adakah kita perlu melakukan perubahan dalam perbelanjaan ketika ini? Jawapannya, tidak perlu kerana Islam sudah memberikan jalan terbaik untuk perancangan kewangan hinggakan dikatakan orang yang membazir itu saudara syaitan.

Jika kita hanya mengambil Islam sebagai sebuah agama ritual dan bukan sebagai jalan hidup, maka satu perubahan perlu dilakukan. Nah, di sinilah peranan Islam Hadhari yang dilaungkan. Jangan sekadar laungan yang memalukan. Sebaliknya, jadikanlah ia sebagai satu pintu untuk dunia mengenal Islam.

Pemimpin sedia ada perlu memulakannya. Islam adalah agama cinta mencintai. Apabila cinta Ilahi dijadikan asas kehidupan segala permasalahan, maka ia mudah diungkai.

Marilah kita berhenti bertelagah terhadap harga minyak kerana kita hidup bukan bergantung dengannya. Kita hidup bergantung dengan rahmat Allah SWT. Jika kita bergantung dengan sepenuh jiwa kepada-Nya, pasti akan ditunjukkan jalan untuk keluar dari kemelut minyak. Sekadar membincangkan kegeraman harga minyak, ia tidak mampu menurunkan harganya bahan bakar itu, malah kita akan terus terbakar dengan emosi.