Thursday, January 28, 2010

BACA BUKU OTAK KANAN


Alhamdulillah akhirnya dapat juga program baca buku otak kanan ini dilancarkan pada tahun ini setelah lama dikupas. Saya pernah menulis perihal otak kanan dua tahun yang lepas dan ketika itu respon yang saya terima amat memberansangkan. Namun keterbatasan waktu dalam melaksanakan program telah membuatkan program ini disimpan buat seketika. Kita perhatikan dalam kehidupan kita seharian, majoriti dari kita akan menggunakan bahagian kanan dalam memulakan sesuatu kerja. Kita makan menggunakan tangan kanan, kita minum menggunakan tangan kanan, ramai diantara kita yang menulis menggunakan tangan kanan namun anehnya hal ini tidak pula terjadi dalam bentuk pemikiran serta pembacaan

Dalam membaca kita sering memulakan pembacaan dengan otak kiri. Hasilnya… kita lupa apa yang kita baca, kita juga penat membaca, kita memaksa untuk memahami apa yang kita baca. Maka kesimpulan paling mudah adalah kita mungkin tidaktahu apa yang kita baca dan membaca dengan kadar yang cukup perlahan. Ini sebeanrnya bukan masalah anak-anak kita sahaja tetapi juga masalah orang dewasa. Jika kita melakukan hal ini secara berterusan maka kita akan mengalami keletihan minda yang amat sangat dan ianya akan memacu kepada tekanan tersirat. Tekanan sudah dibuktikan secara medikal membawa kepada 80% penyakit yang ada di dunia ini.

Penyakit paling mudah untuk kita lihat dalam diri kita adalah emosi yang kerap kali saya panggil emosi murahan. Apabila emosi menguasai diri maka apa juga yang kita lakukan akan berkurangan kualitinya bahkan yang lebih teruk lagi kita tidak mampu mengimbangi rasionaliti kita. Jika anak-anak kita sudah mula bosan dengan buku, kita perlulah menyelidikinya alasan yang membentuk sikap sebegitu. Justeru itu dalam program baca buku otak kanan (BBOK) perkara asas yang perlu dilakukan ialah membentuk sikap baru yang mencintai buku. Jika seseorang itu benci melihat buku, benci mendengar ilmu pengetahuan, kemahiran apa pun akan luntur kerana kuasa benci itu tadi. Maka langkah paling awal adalah menukar sikap benci buku ini kepada mencintai buku dan sikap benci ilmu kepada dahagakan ilmu.

Hari ini pelbagai motivasi dilakukan kepada anak-anak kita namun anak-anak kita masih lagi melihat buku dan hal keilmuan sebagai satu yang membebankan. Mengapa ini terjadi? Saya melihatnya dari sudut pandangan minda supersedar yag mana sesuatu yang buruk itu harus dicantas habis habisan barulah sesuatu yang baru itu ditanam. Jika anak-anak ini masih mempunyai sikap kebencian, mana mungkin mereka menerimanya dengan mudah tanpa ada penentangan. Oleh itu, sebelum menyemai sikap baru, kikis sehabisnya sikap lama. Dalam BBOK, akar sikap lama akan dibuang dan sesudah itu barulah seni membaca itu diberikan. Setiap perkara itu ada seninya, seorang tukang masak tahu seni memasak dan mungkin ramai yang ingin menjadi tukang masak tetapi tidak dapat sepertimana yang diidamkan.

Hal ini terjadi kerana setiap manusia memmpunyai seni masing-masing namun setiap dari kita mempunyai satu seni yang sama iaitu seni membaca dan seni mengutip ilmu pengetahuan. Meskipun begitu, ramai diantara kita yang memandang enteng akan perkara ini kerana bagi kita membaca hanya sekadar membaca. Jika seorang tukang masak hanya tahu memasak tetapi tidak tahu seninya maka jadilah dia tukang masak yang hanya tahu memasak apa yang disuruh, apa yang diajar dan tidak tahu pula mengembangkannya. Keadaan ini sudah berlaku dalam masyarakat kita bilamana pelajar hanya tahu membaca untu peperiksaan, mereka menghafal jawapan dan apabila tiba masanya untuk digunapakai dalam kehidupan seharian mereka akan hilang arah. Keadaan ini jelas memperlihatkan kualiti kita dalam pembelajaran tetapi yang sering kita salahkan ialah sukatan pelajaran.

Oleh itu marilah kita mulakan langkah baru dalam menyemai ilmu pengetahuan dan dalam membentuk sikap cintakan buku dan dahagakan ilmu. Marilah kita menukar teknik pembacaan yang sudah sekian lama kita gunakan kepada seni membaca. Mengapa seni bukan teknik? Teknik lebih melibatkan struktur pembacaan dan ianya hanya untuk mendapatkan ilmu tetapi malangnya dari segi pengembangan ilmu, kadarnya begitu perlahan kerana mereka terikat hanya dengan apa yang dibaca, bahasa yang sering kita gunapakai… jadi orang skema. Seni pula melibatkan perasaan maka mereka akan membaca hasil dari rindunya pada buku mereka akan menganalisa hasil dari cintanya terhadap ilmu.

Setiap hari akan ada perkara baru yang dikembangkan hasil dari rangsangan pembacaan yang kita lakukan. Marilah kita mulakan kembali kehidupan dengan seni membaca yang betul, jika selama ini kita menggunakan otak kiri untuk membaca dan menyebabkan kita lambat untuk faham… bacalah dengan seni membaca otak kanan kerana pembacaan kita akan tersimpan lama dalam memori bawah sedar dan boleh digunapakai hingga ke akhir hayat dan bukan sekadar untuk peperiksaan. Saya tertarik dengan kata-kata bistari Albert Einstein : Any man who reads too much and uses his own brain too little falls into lazy habits of thinking.

Kita sudah pun melakukannya hari ini, banyak membaca tetapi kurang menggunakan otak akhirnya kita menjadi orang yang tidak kreatif melihat kehidupan. Ini adalah hasil pembacaan otak kiri, kita perlu membaca dengan banyak untuk menghafal ilmu. Menghafal hanya menggunakan sedikit dari otak kita kerana ianya hanya untuk disimpan. Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang BBOK untuk anak-anak dan solat otak kanan, boleh layari laman sesawang www.aku-ok.com. Semoga kita menjadi seniman kehidupan.

Read More......

Thursday, January 21, 2010

MEMBERI MAAF ITU UBAT


Bukan sesuatu yang mudah bagi seseorang itu untuk memohon maaf atas segala kesilapan yang telah dilakukan kerana setiap seorang dari kita mempunyai ego yang tersendiri. Pernah satu ketika ada seorang kawan memberitahu saya yang dia tidak kisah jika kata-katanya menyinggung perasaan orang lain kerana menurutnya setiap hari raya dia akan memohon maaf dari orang tersebut. Tetapi apakah yang akan terjadi jika ditakdirkan umurnya tidak panjang atau orang yang tersinggung itu hilang entah ke mana. Memohon maaf dan memberi maaf sebenarnya memberi impak yang besar dalam kehidupan bermasyarakat yang kita amalkan jika ianya dihayati sepenuhnya.

Bagi saya maaf itu amat mahal harganya dan ianya perlu dijaga dan dinikmati ibarat sebutir permata. Jika maaf itu kerap dilafazkan terhadap orang yang sama atas kesalahan yang sama maka ianya tidak melambangkan nilai maaf itu sendiri. Ada segolongan orang yang sering membuat kesalahan yang sama kemudian apabila ada kepentingan tertentu yang memberi pulangan kepadanya dengan segera dia memohon maaf atas kesalahannya tetapi tak lama kemudian dia akan mengulangi kesalahan yang sama. Dalam mengharungi kerjaya saya, saya dapat melihat serta mendengar pelbagai keluhan dan ragam dari mereka yang datang untuk mengikuti kelas latihan ataupun sesi rundingcara. Ada diantaranya berkaitan dengan maaf.





Seorang wanita datang mengikuti kelas latihan meditasi islam kerana begitu tertekan dengan sikap ibu mertuanya yang sering mencari kesalahan dan mempergunakannya tetapi jika ibu mertuanya inginkan sesuatu darinya beliau akan mengakui kesalahannya dan memohon maaf atas alasan beliau sendiri tidak memahami mengapa beliau bersikap demikian. Wanita ini seorang yang berhati lembut dan memaafkan dan kemudian mengikut keinginan ibu mertuanya. Setelah berhasil mendapat apa yang diinginkan ibu mertuanya akan balik kepada peranagai sebelumnya tanpa menghargai apa yang telah dilakukan oleh wanita berkenaan.





Kisah sebegini bukan hanya tertakluk kepada ibu mertua dan menantu sahaja tetapi ia juga kadang-kadang merangkumi kawan-kawan, suami isteri, saudara mara bahkan ibubapa sendiri. Tidak dinafikan keadaan ini akan membuatkan seseorang itu kecewa dan tertekan apatah lagi orang yang berperangai sebegitu adalah orang yang rapat dan orang yang kita sayangi. Keadaan ini juga sering membuatkan seseorang itu mencari jalan untuk cuba menyedarkan mereka tentang kesilapan dan perangai mereka. Namun apa yang terjadi semakin banyak jalan penyelesaian yang difikirkan semakin terbeban seseorang itu dengan sikap mereka. Ianya berkait rapat dengan teori fikiran yang menyatakan bahawa kita adalah apa yang kita fikir.





Seringkali ianya tidak mendatangkan hasil kerana jalan keluar yang difikirkan itu disaluti dengan emosi negatif samada ianya berupa dendam atau satu kepuasan melihat kejatuhan seseorang. Seperti yang telah dinyatakan dalam artikel-artikel yang lepas, emosi negatif akan melemahkan sumber kekuatan seseorang itu serta mengganggu sistem saraf dan akhirnya menjemput pelbagai penyakit ke tubuh. Semakin banyak jalan keluar difikirkan maka semakin banyak pula terkumpul emosi negatif yang bersarang di fikiran. Keadaan ini bertambah buruk apabila seseorang itu berhadapan dengan mereka yang sering berperangai memohon maaf dan kemudian melakukan kesalahan yang sama apatah lagi jika orang tersebut tidak mampu dielak umpama seorang isteri yang mempunyai seorang suami yang mempunyai perangai sedemikian.





Saya pernah memberitahu kepada seorang lelaki yang berhadapan dengan situasi ini satu cara yang yang bagi saya mampu untuk menhilangkan tekanan bahkan menjadi ubat kepada penyakit ini. Apa yang perlu beliau lakukan ialah memberi kemaafan kepada orang bersikap demikian sebelum mereka memohon maaf. Ini kerana kemaafan yang mereka pohon palsu dan harganya murah justeru itu selesai mendapat apa yang diinginkan mereka akan menyakitkan hati kembali. Unsur paling penting dalam memberi nilai yang tinggi terhadap harga satu kemaafan ialah ianya perlu dilakukan dengan hati tulus ikhlas semata-mata untuk mendapat rahmat Allah swt tanpa mempunyai rasa emosi atau dendam.





Perlu diingat setiap apa yang kita lakukan kerana Allah swt adalah satu ibadah dan setiap kebaikan yang dilakukan akan mendapat ganjaran sepuluh kebajikan. Kebajikan ini adalah getaran tenaga murni yang membantu kita dalam banyak hal untuk mengharungi kehidupan di dunia ini. Semakin banyak kebaikan yang kita lakukan kerana Allah swt maka makin banyak kebajikan yang kita perolehi. Kebajikan yang terkumpul ini akan menjadi ubat terhadap pelbagai masalah yang kita hadapi. Kata lelaki berkenaan, susah baginya untuk memaafkan orang yang selama ini kerap menyakitkan hatinya dan memohon maaf palsu.





Memang benar agak payah untuk memaafkan seseorang yang melakukan sesuatu yang menyakitkan kita. Tetapi ianya perlu dilatih dan dijadikan habit untuk memaafkan seseorang. Saya sendiri sebelum berada dalam keaadan sekang telah melalui pelbagai ranjau dan duri. Justeru itu saya amat memahami situasi sukar untuk memberi kemaafan. Perlu juga diingat tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Namun apabila kita melakukan sesuatu itu kerana Allah swt, insya Allah kita akan berjaya. Oleh itu berilah kemaafan kerana Allah swt. Lebih kurang dua bulan kemudian saya menerima sms dari lelaki berkenaan yang katanya orang tersebut kini telah insaf kerana satu insiden dan kini mereka telah menjadi begitu rapat.





Setiap apa yang kita lakukan tertakluk kepada hukum karma, janganlah difikir bagaimana untuk menyedarkan seseorang hanya untuk meluahkan kemarahan yang terpendam, ianya tidak akan berjaya. Sesungguhnya balasan dan pengajaran dari Allah swt amat setimpal kerana Allah itu Maha Adil. Belajarlah memberi kemaafan sebelum diminta serta berilah kemaafan yang mahal harganya yakni kemaafan dengan hati yang ikhlas dan mengharapakan rahmat Allah semata. Insya Allah kemaafan yang anda beri itu akan menjadi ubat kepada kekeruhan yang ada dan berterika kasihlah kepada Allah swt atas setiap apa yang anda perolehi kerana tanpa izinnya tiada satupun akan terjadi.


Read More......

Thursday, January 14, 2010

Bila loceng sudah berbunyi


Sedang saya melihat kanak-kanak ke sekolah, ingatan terus melayang sewaktu zaman sekolah dahulu terutamanya sewaktu bersekolah rendah. Pertama kali menjejakkan kaki ke kawasan sekolah gembiranya tidak terkata kerana selama ini saya hanya mendengar kisah kawan-kawan ke tadika. Setelah seminggu di sekolah, kami diberitahu bahawa loceng akan dibunyikan sebanyak dua kali. Kali yang pertama seseorang itu hendaklah berhenti dari segala aktiviti manakala loceng kedua berjalan ke kawasan perhimpunan. Apa yang mencuit hati saya ialah jika sekiranya seorang murid sedang berlari dan tiba-tiba loceng pertama dibunyikan maka dia harus berhenti dan gayanya sewaktu berhenti tak ubah seperti patung orang berlari.

Begitulah rutin hidup di sekolah rendah. Segalanya bermula dengan loceng, sebelum bermula kelas loceng dibunyikan begitu juga pada waktu rehat dan waktu balik. Setiap seorang dari mereka akan selalu menanti loceng dibunyikan untuk mengetahui samada masa sudah tiba untuk melakukan sesuatu atau belum. Jika kita samakan dengan kehidupan kita di dunia ini sebenarnya begitu banyak loceng yang berbunyi untuk memberi tanda agar kita lebih berhati-hati dalam tindakan. Namun loceng kehidupan tidak mengeluarkan bunyi dan oleh kerana itu juga ramai yang kurang menyedari wujudnya loceng kehidupan. Loceng kehidupan merupakan pelbagai tanda-tanda yang dikurniakan Allah swt sebagai tanda untuk kita membetulkan keadaan yang akan atau sedang kita alami.


Contohnya, kita banyak melihat kitab-kitab yang membicarakan hal-hal kematian serta mengupas tanda-tanda hampirnya kematian seseorang itu. Tanda-tanda ini adalah untuk menjadi satu peringatan bagi kita yang masih hidup agar dapat bertaubat dan menyerahkan diri kepada Allah swt dan bukan lagi menjadi hamba dunia. Tetapi agak sukar untuk manusia itu merasai peringatan tersebut kerana manusia terlalu sibuk dengan hal duniawi hinggakan tiada masa untuk melihat perubahan diri sendiri. Fakta kehidupan manusia ialah sering menunggu di saat akhir untuk melakukan sesuatu yang baik untuk dirinya. Ketika nyawa sudah sampai di betul-betul penghujung barulah merasakan keperluan taubat itu namun segalanya sudah terlewat kerana loceng telah berbunyi.

Sama juga kisah kehidupan dalam alam yang kita lalui. Saya sendiri sewaktu menjadi pelajar dahulu sering melakukan perkara yang sama. Ketika peperiksaan kian hampir, barulah kelam kabut membuat ulangkaji tetapi ianya berubah ketika mula bekerja. Ketika mula bekerja saya melihat hidup ini dengan satu persepsi yang begitu lain. Jika seorang pelajar gagal dalam peperiksaan maka dia akan mengambil kembali kertas yang gagal. Tetapi itu bukanlah satu kebenaran dalam kehidupan yang sebenar. Adakalanya kesilapan yang kita lakukan akan menyebabkan kita kehilangan sesuatu yang amat kita hargai dan kehidupan yang lepas tidak boleh diulang semula maka yang tinggal hanyalah kenangan. Makhluk yang bernama insan ini sering lupa, sering alpa dan lazimnya akan sedar apabila masa untuk berubah telah pun tamat.

Saya bertemu seorang teman ketika menganjurkan kursus latihan soul power-meditasi islam baru-baru ini. Saya melihat dia seperti mempunyai keluarga bahagia tetapi ketika dia meluahkan perasaannya kepada saya saya begitu terkejut dengan apa yang selama ini dia alami. Memang selama ini saya kerap mendengar tentang kehidupannya yang sering dilanda tetapi tidaklah saya sangka bahawa dia mempunyai masalah yang saya kira agak besar kerana tidak langsung kelihatan masalah itu pada wajahnya. Masalahnya ialah dia sudah begitu tawar dengan isterinya dan ia sudahpun berlarutan bertahun-tahun. Selama beberapa tahun bahkan seawal usia perkahwinan mereka pelbagai masalah mula timbul.

Sikap isterinya yang terlalu panas baran dan bermulut celupar itu sering menghiris hatinya. Setiap kali dinasihati pasti banyak kata-kata nista terhambur dari mulutnya. Katanya lagi isterinya juga sering meminta cerai dan selama bertahun-tahun juga dia memikirkan apakah perkara tersebut patut dilakukannya. Dia banyak bersabar kerana memikirkan anaknya yang masih kecil dan sering juga menjadi mangsa amukan sang isteri. Apa yang merisaukan ialah jika anak tersebut di bawah jagaan isteri maka penderitaan si kecil akan lebih hebat dan ia akan membentuk sahsiah yang tidak bagus. Tetapi jika difikirkan penderitaan batinnya yang terlalu kerap bergaduh dengan si isteri membuatkan dia berfikir untuk berpisah.

Saya bertanya kembali bagaimana sekiranya si isteri ingin berubah adakah dia sedia menerima perubahan itu. Menurutnya sejak dari mula lagi isterinya memberitahu akan berubah tetapi perubahan yang ada bukan ke arah positif bahkan bertambah teruk perangainya dan katanya lagi beliau tidak dapat mengampun dosa isterinya yang lepas-lepas kerana ianya terlalu berat untuk seorang manusia memaafkan. Oleh yang demikian teman saya ini sentiasa hidup dalam tekanan yang halus dan ini kerapkali mengganggu prestasi kerjayanya. Katanya dia tidak mampu untuk menunggu isterinya berubah dan jika dia berbuat demikian, lebih banyak masa dihabiskan dalam kenestapaan dan dan dalam diam ini mengganggu hubungan dia dengan Tuhan dan manusia lain.

Tanpa memberi sebarang komen saya biarkan teman saya untuk membuat keputusan sendiri tetapi sebelum beberapa keputusan diambil beberapa langkah perlu diambil untuk memastikan langkah yang diambil tidak salah. Saya menghuraikan serba sedikit langkah yang perlu diambil iaitu PASTIKAN yang dia telah merujuk perkara ini kepada Allah swt. Selalunya kita mengambil langkah yang kita rasa betul untuk diri kita tetapi sebenarnya ianya adalah satu keputusan yang akan membawa kita ke lembah yang tidak dijangka. Sebagai seorang hamba setiap masalah perlulah dirujuk kepada Allah swt yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya. Setelah itu barulah berjalan sunnatullah yakni perlulah kita mengambil tindakan yang sepatutnya.

Apa yang sering berlaku ialah jika seseorang itu menghadapi masalah sumber rujukannya ialah kepada manusia walaupun diketahui pandangan manusia ini berbeza-beza dan ketepatannya tetap tidak akan dapat menyamai takdir Allah swt. Semakin banyak pandangan diminta maka semakin keliru seseorang itu dalam membuat satu-satu keputusan. Hasil kekeliruan itu akan membawa kepada satu keputusan yang silap. Justeru itu apabila diminta memberi pandangan oleh teman saya, saya mengelak kerana selama ini beliau sendiri tidak mengadu sepenuhnya kepada Tuhan Yang Maha Kuasa. Apa yang dapat saya bantu ialah menyedarkan dia agar kembali merujuk kepada Allah swt dalam setiap keputusan agar kita tidak menghadapi tekanan dan saya berikan juga beberapa teknik berdoa secara kotemplatif.

Jika kita berurusan dengan manusia banyak tekanan dan kekecewaan tetapi jika kita berurusan dengan Allah swt maka banyak kecintaan dan ketenangan yang dapat diperolehi. Keadaan ini akan membawa seseorang itu kepada kebahagian hakiki dan kemudahan duniawi. Begitulah hakikat manusia, selagi loceng terakhir tidak berbunyi selagi itu kita alpa. Bagi saya, keadaan teman saya satu pelajaran yang cukup baik untuk dirinya dan untuk saya juga kerana ianya merupakan satu loceng kehidupan yang mengingatkan kita untuk kembali kepada Yang Maha Berkuasa. Tanpa menghadapi masalah sedemikian, mungkin saya tidak mengetahui masalah teman saya dan saya tidak dapat menyampaikan sesuatu kepadanya dan baginya pula mungkin dia kian alpa.

Dalam kehidupan kita hamper setiap hari loceng berbunyi samada kita sedari atau kita tidak peduli nak menunggu hingga ke saat akhir. Setaip yang berlaku janganlah kita kesalkan dan apa yang perlu kita lakukan ialah menghadapinya dengan Tuhan. Hanya Allah yang berkuasa atas segala sesuatu. Adakalanya prinsip kehidupan kita bercanggah dengan kehidupan yang mendatang. Maka laluinya dengan tabah kerana bagi kita ianya satu kebetulan tetapi bagi Allah swt ianya satu ketetapan. Menerima ketetapan Allah SWT tanpa keluh kesah sukar sekali bagi makhluk yang bernama manusia kerana mereka semahunya membuatkan setiap keadaan mengikut selera mereka.

Tetapi kita boleh meminimakan keadaan tersebut hasil dari sikap tawakal dan berserah seratus peratus kepada Allah SWT tentang setiap keputusan yang bakal kita ketahui hasil dari usaha yang kita tanami. Ingatlah tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah swt Yang Maha Agung.

Read More......