Thursday, May 28, 2009

don’t please Him but love Him...

Setiap hari dan setiap ketika kita mempunyai perkara yang perlu dilaksanakan. Melaksanakan setiap perkara itu merupakan satu misi pada ketika itu dan mungkin juga menyempurnakan misi yang ada merupakan satu keperluan yang amat sangat bagi sesetengah orang pada waktu-waktu yang tertentu. Jika kita ringkaskan satu kronologi kehidupan yang ada di Malaysia ini ianya hampir serupa buat semua orang namun misinya nyata berbeza. Bangun sahaja dari tidur kita perlu ke bilik air untuk membersihkan diri sebelum menunaikan fardhu subuh. Setelah siap semuanya mungkin ada yang dapat bersarapan di rumah atau mungkin terus berlari ke tempat kerja. Pergi ke tempat kerja merupakan satu misi tetapi perlaksanaannya cukup berbeza dan tempat menyempurnakan misi itu juga cukup berbeza. Ada yang terkejar-kejar menaiki pengangkutan awam ada juga yang terkejar-kejar tetapi dengan memandu laju. Ada yang tenang untuk sampai ke tempat kerja dan telahpun punya rancangan untuk bagaimana untuk mentadbir harinya.


Kita harus tahu bagaimana untuk mentadbir hari kita agar ianya memberi manfaat yang maksima dalam pulangan hasilnya. Tidak dinafikan juga kita telah mentadbir hari kita dengan penuh teratur tetapi pulangannya masih berada dalam kerugian. Hari-hari yang ditadbir akan memberi impak yang besar pada hari-hari yang mendatang kerana setiap keputusan hari ini adalah satu sumbangan terhadap hari yang akan datang. Jika sumbangannya negatif maka dengan sendirinya kita harus melakukan sesuatu untuk mengurangkan kesan kerugian dan menokok laba moga-moga terjamin masa hadapan. Setiap badan pentadbiran mempunyai visi dan misi. Visi merupakan objektif yang ingin dicapai manakala misi pula merupa penyataan tatacara perlaksanaannya dalam memanjat setiap anak tangga dalam menuju visi yang ditetapkan.


Sebagai manusia kita tahu bahawa kita hidup di dunia ini hanya sementara. Dunia ini boleh diibaratkan sebagai satu perhentian R&R di sebuah lebuhraya sebelum kita sampai ke destinasi yang dituju. Adakalanya kita berhenti untuk menghilangkan lelah, adakalanya kita berhenti kerana lapar dan dahaga dan ada juga yang berhenti untuk menunaikan kewajipan pada yang Maha Esa. Walau apapun ceritanya kita tetap berada dalam satu kawasan perhentian. Di situ ada segala-galanya yang dapat membuatkan kita lari dari tujuan berhenti tadi. Begitu juga sebuah kehidupan dunia ini. Dunia yang kita diami hari ini merupa satu transit dalam satu perjalanan yang jauh serta banyak pula rintangannya. Kekasih Allah swt, baginda rasulullah saw ketika ditawarkan oleh Ibnu Mas'ud untuk tempat tidur yang selesa menjawab dengan penuh makna yang perlu kita hayati “Saudaraku, apalah ertinya dunia buatku, kecuali aku hanyalah seperti seorang pejalan kaki yang singgah sejenak di bawah naungan pohon (dunia) ini, berehat sejenak, kemudian meninggalkannya.”


Jelas sekali dunia bukanlah visi tetapi hanya waktu rehat untuk menyempurnakan visi. Visi kita adalah untuk kembali ke alam kekal dengan selamat serta dengan harapan dapat tempat yang baik untuk tinggal selamanya. Bagaimana pula dengan misi dalam menuju visi yang telahpun ditentukan. Setiap dari kita tahu caranya kerana dari kecil lagi kita telah mendengar ayat yang berbunyi : ''Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Ku.''(Az Dzariyat : 55). Satu misi yang jelas untuk kita semua. Misi utama kita ialah ibadah. Di sini juga berlaku banyak kekhilafan fikiran. Bukanlah duduk di atas tikar sembahyang dan berwirid itu sahaja dinamakan ibadah. Bukan pula berpuasa dan bersedekah itu sahaja ibadah. Ibadah perlu dilihat dalam satu rangka kerja yang besar. Dalam apa jua pekerjaan yang kita lakukan itu perlulah menjadi ibadah. Perlu kita sedari bahawa ada juga ibadah yang akhirnya tidak mencetuskan hasil yang baik contohnya solat. Ada yang bersolat tetapi akhirnya terjerumus ke dalam neraka akibat kelalaian solatnya, ada yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga.


Menyelami misi ini adalah penting dalam arus perjalanan kehidupan yang kita lalui agar tiak menongkah arus. Perlu juga kita ingat bahawa matlamat tidak menghalalkan cara, jika kita merompak dengan tujuan bersedakah maka ianya tetap salah. Misi utama telah kita ketahui tetapi ada sesuatu yang sering terlepas pandang iaitu bagaimana untuk menongkat perlaksanaan misi utama dengan misi secondary. Inilah yang perlu kita kupas dalam diri kita agar kita mengetahui dengan sejelas-jelasnya apakah `tools’ kita dalam melaksanakan misi utama iaitu beribadah kepada Allah swt. Dengan ringkasnya kita perlu tahu apakah watak sebenar kita dalam pentas dunia ini dalam melaksanakan misi sebagai seorang yang sentiasa beribadah. Makannya beribadah, tidurnya beribadah, kerjanya beribadah dan segalanya menjadi ibadah. Semuanya untuk Allah swt. Setiap dari kita adalah khalifah dan setiap dari kita juga adalah pendakwah. Kita dilantik menjadi khalifah oleh Maharaja Agung namun sedikit sangat yang kita tahu skop kerja seorang khalifah. Kita perlu menjadi khalifah pada diri sendiri, kita juga perlu berdakwah pada diri sendiri. Adakalanya kelihatan ramai yang suka menjadi khalifah untuk orang lain serta berdakwah untuk orang lain tanpa untuk diri sendiri. Kita harus sedar bahwa ibadah mengatasi hal lain dalam setiap situasi dan keadaan.


Oleh yang demikian ada suatu perkara yang perlu hadir dalam jiwa setiap insan iaitu rasa berTuhan. Bunyinya ringkas tapi jika kita lihat dari segi perasaannya berat. Kita mudah melafazkan hidup bertuhan tetapi amat menjengkelkan kerana manusia sering lupa wujudnya Tuhan tanpa sedar mereka tidak merasa kewujudan Tuhan kerana tanpa sedar juga perasaan terhadap sesuatu selain Allah swt lebih tebal. Perasaan kerinduan terhadap segala sesuatu selain Tuhan itu telah mendahului Tuhan. Maka setiap perbuatan serta kelakuan yang dilakukan untuk Allah swt bukan lagi sebagai lambang kerinduan dan kecintaan seorang hamba terhadap Tuhannya tetapi ihklas dalam keterpaksaan.


Menunaikan solat atas nama kewajipan maka dengan sendirinya kita menunaikan solat tanpa ruh solat. Bukankah lebih baik menunaikan solat itu kerana rindu yang mendalam terhadap Kekasih yang Maha Menyintai maka setiap huruf dan kalimah akan menjadi bait-bait cinta yang tak ternilai harganya kerana keikhlasan cinta agung. Teman saya pernah memberitahu saya satu kenyataan yang saya rasa begitu menyentuh hati saya, katanya don’t please Him but love Him.


Saya berpendapat ianya satu kenyataan yang kita perlu semai dalam melaksanakan misi kita agar tidak tersasar. Jika kita ingin menyenangkan Allah swt atau ingin membahagiakan allah swt dengan banyaknya pahala yang kita lakukan maka kita tersilap kira kerana Allah swt adalah pemilik mutlak kesenangan dan kebahagian bahkan Dialah yang memberi sentuhan kebahagian dan kesenangan pada hamba-hambaNya. Cintailah Allah swt lebih dari segalanya insya Allah kita akan faham apa erti sebuah kehidupan dan apa pula `tools’ yang kita ada dalam rangka melaksanakan sebuah misi kehidupan. Menyintai Allah swt tidak bermakna kita lupa dunia kerana dunia itu juga milikNya. Tidak juga menjadikan kita miskin kerana Allah swt maha kaya bahkan kita akan lebih kaya terutamanya kaya jiwa.

Dr.A/mw/05/2006

Read More......

Monday, May 25, 2009

Dari Sudut Mana Anda Melihat?

Setiap hari setiap ketika kita dihidangkan dengan pelbagai kejadian untuk dialami samada ianya memberi kesan terhadap hidup kita ataupun tidak. Setiap kejadian itu juga merupakan satu pengalaman untuk kita dan ianya bergantung kepada kita samada untuk mengambil pengajaran dari setiap pengalaman yang kita alami atau membiarkan sahaja ianya menjadi satu episod hidup. Seorang yang sedang berhadapan dengan masalah akan mengalami satu tekanan yang mungkin akan membuatkannya hilang pertimbangan namun dia sebenarnya punya pilihan samada untuk menjadikan masalah yang dihadapinya itu satu panduan masa hadapan atau menjadikannya satu beban perasaan yang lama kelamaan akan memakan diri sendiri jika tidak selesaikan. Ianya amat bergantung bagaimana kita mentafsir serta menerima tekanan tersebut. Manusia mempunyai beberapa jenis pandangan yang berbeza dan impak setiap pandangan itu amat bergantung kepada bagaimana si pemilik tubuh itu menyusun aturan tubuh-tubuhnya. Pada permulaan ini saya mengupas secara am agar ianya tidak terlalu berat untuk difahami serta tidak membebankan anda dalam menyusun aturan tubuh-tubuh yang anda miliki.

Secara mudahnya manusia ini dapat dikatakan mempunyai tiga jenis tubuh yakni tubuh zahir (fizikal), tubuh batin ( emosi dan minda) serta tubuh rohani (spiritual). Maka setiap tubuh ini mempunyai pandangan yang berbeza terhadap setiap kejadian bergantung dengan siapa ketua mereka. Jika tubuh zahir yang menjadi ketua maka selalunya ia akan disertai dengan hawa panas yang merimaskan tetapi jika sebaliknya tubuh spiritual yang dijadikan ketua yang membentuk pandangan kolektif manusia terhadap kehidupan maka setiap kejadian itu akan dilihat sebagai satu rahmat.
Untuk memahaminya dengan lebih jelas lagi, kita ambil satu scenario yang mana kita sedang menunggu seorang teman yang berjanji untuk bertemu dengan kita pada jam 3 petang. Untuk mengelakkan kesesakan jalan raya, anda mengambil keputusan untuk keluar dari rumah lebih awal agar dapat sampai ke tempat yang dituju sebelum jam 3 petang. Rancangan anda membuahkan hasil apabila anda dapat sampat ke tempat yang dijanjikan lebih awal iaitu kira-kira jam 2.40 petang. Anda kemudiannya mengandaikan yang teman anda akan datang selewat-lewatnya jam 3 petang sesuai dengan perjanjian sebelumnya. Anda mengambil satu keputusan untuk duduk menunggu teman anda di ruang menunggu sambil anda dapat dapat melihat keadaan sekeliling. Namun setelah lebih setengah jam menanti anda tidak melihat lagi kelibat teman anda di kawasan tersebut. Usaha anda seterusnya ialah menghubungi beliau namun dia tidak dapat dihubungi. Anda makin resah dan mula merasa kecewa bercampur geram. Sepuluh minit kemudia teman anda datang sambil memohon maaf atas kelewatannya. Dia kemudiannya menerangkan yang dia tersangkut dalam kesesakan jalanraya apabila kereta di hadapannya mendapat kemalangan. Sekali lagi dia memohon maaf kepada anda.

Jika kita lihat lebih dalam terhadap kejadian ini dan melihat dari perspektif mana anda menilai sesuatu kejadian maka kita akan melihat perbezaan impak kejadian terhadap hidup anda. Jika anda melihatnya dengan zahir kemudian batin dan barulah spiritual, maka impaknya adalah negatif kerana anda resah, marah, kecewa dan akhirnya mungkin bermasam muka. Apabila anda melihat dengan (1) ZAHIR – mata anda akan memerhatikan sekeliling, anda akan mula merasa dilihat dan anda juga mula malu. Maka anda akan cenderung melihat jam yang pada perkiraan anda mungkin lambat dan membosankan. Kemudian (2) BATIN anda yang terdiri dari EMOSI dan MINDA mula memberi reaksi terhadap apa yang anda lihat dan dengar. Elemen emosi yang berada dalam lingkungan batin akan mula mula memberi reaksi negatif terhadap kejadian menunggu teman anda tadi. Anda mula beremosi, anda mula kecewa, anda juga mula untuk marah kepada teman anda kerana kelewatannya. Minda anda mula mencari jalan keluar dan harus anda ingat dalam keadaan beremosi jalan keluar yang selalu diambil adalah kurang rasional. Minda anda akan berkata-kata dan ianya secara tidak langsung ia kini mengusik ketenteraman tubuh spiritual anda. (3) tubuh SPIRITUAL anda anda mengalami ketidaktentuan kerana konflik yang dicetuskan oleh emosi dan minda. Emosi sering mengganggu minda dalam memberi pandangan yang bernas terhadap satu-satu kejadian. Justeru itu jika anda mengamalkan pengamatan terhadap hidup dengan aturan pandangan zahir, batin dan spiritual, anda akan mudah berada dalam lingkungan emosi yang saya gelar emosi murahan. Ini kerana anda amat mudah terkesan dengan setiap kejadian bahkan jika satu-satu kejadian itu baik tetap juga dipandang serong kerana anda sering dikuasai oleh impak pandangan batin yang beremosi dan minda yang sering mencari jalan keluar. Maka kebaikan itu juga akan dilihat buruk kerana jalan keluar dari kebaikan itu mengikut pandangan minda anda ialah mencari salahnya.

Tetapi jika anda seorang yang mengamalkan aturan pandangan mengikut susunan yang diketuai oleh tubuh spiritual maka impaknya adalah kebahagian dan ketenangan. Tiada lagi emosi murahan yang mampu menggugat ketenteraman jiwa anda bahkan anda akan menjadi seorang yang sering berfikiran rasional biar apapun keadaan yang menimpa. Jika kita ambil kembali senario kejadian tadi yang dilihat pada pandangan awalnya ialah (1) SPIRITUAL, maka jiwanya tenteram kerana dia redha dengan keadaan yang kini perlu dihadapi iaitu menanti kedatangan temannya. Dia redha kerana dia tahu bahawa Allah swt mengaturkan segalanya. Dia tahu bahawa kelewatan temannya itu pasti bersebab kerana disebalik setiap kejadian itu ada sebabnya. Daripada ibni abbas katanya : pada satu hari saya berada dibelakang nabi saw. Maka sabdabya “hai budak! Aku mahu ajar kamu beberapa kalimah : awasilah Allah, Dia pasti akan memeliharamu. Peliharalah Allah pasti Dia berada di sampingmu. Bila engkau minta, maka mintalah Allah, bila mahu pertolongan, minta tolonglah daripada Allah. Ketahuilah sekiranya umat manusia bekerjasama menolongmu mereka tidak dapat menolong melainkan apa yang ditulis Allah dan sekiranya mereka bekerjasama untuk menyakitimu, mereka tidak dapat berbuat apa-apa selain dari apa yang telah disuratkan Allah. Pena sudah diangkat dan buku sudah ditutup (HR Tarmizi). Jika mereka mengabil pandangan spiritual sebagai pandangan awal maka mereka akan dapat menghayati hadis ini yang mana setiap kejadian itu telah disuratkan dan kita perlu redha. Bertolak dari titik itu dia akan memberi laluan pandangan kepada batin. (2) BATINnya akan tersusun kerana MINDA akan mula memahami hikmah di sebalik kejadian. Minda akan menilai setiap perjalanannya yang mungkin dapat memberi satu ilmu pengetahuan. Dia dapat mempelajari sesuatu dari kejadian itu hasil pengamatan terhadap keadaan sekelilingnya. Pemahanan itu meredam emosi negatif yang melonjakkan emosi positif ke hadapan. Dia akan berterima kasih ke hadarat ilahi atas kurniaan ilmu yang diperolehinya dari penantian seorang teman. (3) tubuh ZAHIR akan bereaksi sesuai dengan emosi positif yang mendominasinya. Dia tersenyum bahagia ketika menyambut kadatangan temannya biarpun lewat dan mendengar butiran keterangan dari si teman dengan sepenuh jiwa.

Jika anda dapat melazimkan amalan dengan melihat setiap kejadian dari sudut (1) spiritual (2) batin dan akhirnya (3) zahir, anda insya allah akan sering berhadapan dengan pengalaman yang menyenangkan dan anda juga menjadi seorang yang bijak dalam membuat sebarang keputusan. Jika anda memlih untuk terus menjadikan pandangan zahir sebagai pandangan awal anda, anda telah membawa masuk ketidaktentetraman kepada batin yang akan membuatkan jiwa anda tertekan. Anda mempunyai pilihan dan jika anda rasakan yang mengambil pandangan awal dari sudut spiritual itu susah maka anda melakukan satu pernilaian yang salah. Setiap yang anda lakukan hari ini adalah terhasil dari kebiasaan anda. Anda sudah terbiasa dari kecil memakan nasi sebagai makan ruji maka jika anda disuruh menjadikan roti sebagai makanan asas ia akan memeritkan. Tetapi jika anda mampu menjadikannya satu kebiasaan ianya bukan lagi satu perkara yang memeritkan. Begitulah juga dengan pandangan anda, hanya pada awalnya ia dilihat seperti sesuatu yang sulit tetapi setelah ianya menjadi satu kebiasaan ianya akan secara otomatik berfungsi mengikut aturan yang anda inginkan. Selamat mencuba.


Dr.A/mw/may/2007

Read More......

Thursday, May 14, 2009

Menanti saat Kematian


Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kami lah kamu dikembalikan. (AL ANBIYAA' 35)


Mungkin judul di atas agak menggerunkan bagi kita tetapi ianya adalah satu saat yang tiada seorang pun dapat menghindarinya apatah lagi untuk tidak merasainya. Mati merupakan satu topik yang saya gemari kerana mati itu sesuatu yang pasti maka seharusnya kita sedikit sebanyak tahu dan mula belajar mengenainya. Jika sekiranya kita hanya tahu bahawa mati itu adalah satu perkara wajib yang perlu dilalui dan mungkin kita pernah belajar untuk menghadapi mati tetapi tidak pernah langsung belajar untuk mati maka sesungguhnya kita sebenarnya tidak bersedia untuk mati bahkan mungkin dek kerana cinta dunia yang mengikat kehidupan kita merasakan bahawa mati itu hanyalah satu perkara yang mudah dan tiada persiapan yang perlu bagi kita untuk menghadapinya.


Bagi seorang pengamal meditasi Islam yang tulen maka yang ditakuti adalah saat nafas terakhir dalam hidup samada pada saat itu adakah kita masih mengingati Allah swt dengan penuh rasa cinta atau terkesima dengan mainan iblis. Ada orang yang ketika maut menghampirinya dia kelihatan begitu siksa dan tak kurang juga yang menanti saat kedatangannya malaikat maut kerana iya merupakan saat yang ditunggu selama ini. Saya pernah melihat kedua-dua situasi ini. Pernah satu ketika dahulu, saya pernah menghadiri satu tahlil sempena kematian seseorang. Dalam majlis tersebut, ramai yang mengungkap sejarah arwah yang telah pergi mengadap ilahi pada siangnya. Ramai yang memuji kebaikan yang dilakukan oleh arwah ketika hayatnya. Menurut mereka si arwah orang yang lembut dan suka membantu orang lain. Namun di celah pujian itu tiba terdengar satu suara yang mengatakan sesuatu yang bunyinya janggal kerana dia mempunyai pendapat yang berlainan dengan yang lain. Katanya si arwah itu mungkin sudah merasakan kedekatan api neraka kerana dia berpeluh saat menjelang kematiannya. Saya menjadi hairan kerana masih ada juga orang yang hanya member pendapat tanpa mengetahui hakikat perjalanan kematian di tengah khalayak yang membicarakan tentang kebaikan arwah.


Memetik satu hadis rasulullah saw dari Salman Al Farisi : perhatikan tiga perkara kepada orang yang sudah hampir mati itu, pertama berpeluh pada pelipis pipinya, kedua berlinang airmatanya dan ketiga hidungnya kembang kempis. Itulah tanda bahawa rahmat Allah sedang turun dan dirasai oleh orang yang hampir mati itu. Namun jika dia mengeruh seperti tercekik, air mukanya nampak gelap dan keruh dan mulutnya berbuih, ini menandakan azab Allah sedang menimpanya. Hadis ini diriwayatkan oleh Abdullah, Al hakim dan At Tarmizi.


Justeru apa yang perlu ialah kita hendak faham apa yang kita katakan sebelum memberi komen kepada orang yang telahpun meninggal dunia. Seharusnya kita berpegang kepada ungkapan yang dititipkan dari satu generasi ke satu generasi, yang baik dijadikan tauladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Apa yang berlaku sehingga kini ialah kita begitu sedih atas kehilangan orang yang dicintai atau kehilangan mereka yang kita kenal. Kita pasti akan membicarakan kenangan yang ada semasa arwahnya hidup dan kita mungkin sedih atau mungkin merasa lega atas setiap kebaikan yang pernah dilakukan. Akan tetapi cukup sedikit diantara kita yang melihat kematian itu sebagai satu pelajaran dan sebagai pengalaman untuk kita lalui nanti. Jika kita menganggap kematian orang yang kita kenal itu sebagai satu tauladan atau sempadan, maka kita akan lebih berusaha untuk mempercayai bahawa saat paling sukar ketika kita bernafas adalah saat di mana ruh dan jasad itu berpisah. Oleh yang demikian kita seharusnya mencari jalan untuk bersedia ke arah itu. Adakah hanya dengan kebaikan yang ada kita sudah pasti bahawa kita akan menghadapi kematian dengan mudah. Jika pasti menjadi jawapan maka ternyata kita telah pun melakukan satu kesilapan dan mungkin perhitungan seumpama itu akan memberi impak terhadap kematian kita.


Bercerita tentang mati amatlah mudah tetapi bersiap untuk mati itu amatlah sukar kerana kita sering lupa umur sebenarnya bukan sekadar angka tetapi ianya adalah sedetik nafas yang kita sedut. Pengalaman melihat beberapa kematian telah banyak member impak yang besar dalam hidup saya. Ada diantaranya saya juga menitiskan airmata namun bukan hanya kerana kesedihan tetapi juga kerana ketakutan dalam menghadapi saat yang saya juga bakal hadapi entah bila. Bagi saya saat kematian adalah saat penentu dan bagi pengamal meditasi tulen, saat kematian itu adalah saat bermulanya satu kehidupan baru yang lagi kekal. Jika sekiranya kita menghadapi saat kematian itu dalam kesukaran maka kita bakal menghadapi satu kehidupan akan datang yang lebih sukar, oleh itu persediaan menjelang jemputan malaikat maut itu amatlah perlu.


Dalam pemahaman supersedar, persediaan itu perlu dilakukan dengan cinta. Hanya apabila wujud rasa cinta kepada Allah swt maka kita akan lebih besedia menghadapi mati. Jika yang wujud hanya rasa cinta dunia kita akan takut untuk meninggalkan dunia kerana mungkin urusan duniawi kita belum selesai dan mungkin kita tidak sedar bahawa urusan duniawi ini tidak akan pernah selesai. Apabila tercetusnya rasa cinta Allah swt yang mendalam kita pasti juga akan mengingati mati. Ini terjadi kerana apabila ruh meninggalkan jasad dengan cinta ilahi maka tujuannya sudah pasti ingin bertemu Tuhannya yang maha dikasihi. Hasilnya segala hal duniawi tidak lagi difikirkan kerana ianya sudah jelas harus diteruskan oleh mereka yang masih hidup. Maka benarlah bahawa mengingati mati itu akan membuatkan kita mengingati Allah swt. Persoalannya berapa kalikah kita melihat kematian dan kita mengingati Allah swt. Kematian ini buan hanya tertakluk kepada kematian manusia tetapi ianya juga adalah kematian semua makhluk termasuk binatang. Kematian binatang juga seharusnya menjadi satu iktibar untuk kita yang masih hidup untuk bersedia dengan jemputan malaikat maut.


Hari ini saya ingin memberi satu latihan yang agak mudah untuk kita lakukan agar kita dapat mengingati mati dan setelah itu kita melakukan apa yang seharusnya dilakukan untuk menghadapinya. Mulai hari ini cubalah para pembaca sekelian menziarahi kubur setiap minggu. Kita mungkin bertanya kubur siapa yang hendak dilawati. Itu bukanlah tujuannya, dalam kaedah ini kita hanya perlu ke kubur yang berdekatan dan cukup untuk kita hanya berada dalam kereta dan apa yang perlu kita lakukan ialah cubalah bertanya kepada diri sendiri adakah kita sudah bersedia menghadapi maut sekira kita dijemput dalam masa lima minit lagi. Kita tidak boleh mengatakan bahawa maut hanya dating untuk mereka yang sudah berumur kerana maut adalah sedetik nafas. Maka ianya pasti datang pada waktu yang telah ditetapkan. Jika anda tidak mampu untuk bertanya kepada diri sendiri maka cubalah lakukan yang ini pula. Cuba renungkan ke kubur yang berhampiran dan cuba rasakan yang anda kini sebenarnya telah mula masuk ke dalam kubur tersebut. Anda akan merasakan satu perasaan ngeri dan mungkin takut. Seandainya anda mula merasa perasaan demikian maka berhentilah dan terus sahaja berdoa kepada Allah swt untuk diberi keampunan. Saya sendiri pernah melakukannya untuk seminggu yang mana pada awalnya tiada apa-apa perasaan kerana pada peringkat awal kita masih lagi teguh dengan ego dunia. Selang beberapa hari apa yang saya rasakan ialah seperti hampirnya saat kematian untuk saya maka ketika itu saya benar-benar merasakan saya perlu memohon keampunan dari Allah swt atas segala kesilapan saya.


Kali ini doa saya amat berlainan kerana saya mengungkapnya seolah-olah saya merasakan ada pedang di leher saya. Ketika itu saya merasakan seandainya saya mati ketika ini tanpa mendapat keampunan dari Allah swt maka saya sudah pasti dicampakkan ke neraka. Saya terus bermohon kepada Allah swt supaya diampuni hingga satu saat saya merasa begitu lega atas ungkapa saya. Sejak dari itu ingatan saya tentang saat kematian itu begitu jitu dan biar apa yang terjadi saya akan memikirkan dahulu saat ajal menjelang tiba. Hasilnya jiwa yang keras kini sudah mula lembut, jiwa yang dahulunya mengingati Allah swt seperti biskut choc fudge kini berubah dengan mengintainya dengan cinta. Jika dahulunya setiap ibadah itu dikira pahalanya kini setiap ibadah itu telah menjadi lambang cinta yang dalam dan setiap ketika ternanti-nanti bilakah dapat bertemu yang maha dicintai lagi dirindui. Tanpa cinta kita lemah dan tanpa rindu kita sesat. Cinta membuat kita berdiri dan berlari manakala rindu menyuluh arah tuju dengan jelas. Semoga para pembaca yang saya hormati dapat mencuba sebaik mungkin dan semoga Allah swt memberi jalan yang dapat memberi kekuatan untuk kita bersedia dalam menghadapi nafas terakhir di dunia ini.

Read More......

Tuesday, May 12, 2009

motivation vs training



“Ilmu tanpa amalan, ibarat pokok yang tidak berbuah.”


Sejak dua minggu kebelakangan ini saya diajukan soalan yang begitu senada yang bertanyakan apakah perbezaan saya dengan yang lain. Saya lebih senang untuk tidak menjawab soalan tersebut dengan membandingkan kandungan program tetapi saya lebih berasa aman jika saya mengupas tentang dua bidang yang berlainan untuk difikirkan. Suatu waktu dulu saya terlibat dalam bidang jualan. Keghairahan saya untuk maju dalam bidang itu menyebabkan saya sering menyertai program-program seminar berkaitan dengan bidang kejurujualan. Setiap kali selepas selesai seminar saya menjadi begitu ghairah dan bersemangat sekali untuk bekerja dan mencari wang.

Saya begitu bersemangat untuk berjumpa pelanggan dan berusaha untuk memenangi hati pelanggan. Namun seringkali pula semangat saya luntur di tengah jalan. Semangat yang pada awalnya begitu membara, padam akibat kekecewaan yang mungkin datang dari pelbagai sudut. Justeru untuk meningkatkan kembali semangat, saya kembali lagi untuk mencari program-program seminar yang dapat mengubah saya. Setelah mengikuti program yang seterusnya, hal yang sama berlaku lagi. Akhirnya saya menjadi malas untuk mengikuti program sedemikian kerana hangatnya sementara dan wang yang dibelanjakan bukan sedikit. Namun semangat untuk berubah masih kental dan akhirnya saya ditemukan dengan seorang yang bernama Andrew Cheng.

Dia telah melatih saya hingga saya tahu apa yang patut saya lakukan dan bagaimana harus saya lakukan. Mengapakah beliau dapat mengubah saya dan mengekalkan semangat saya hingga ke hari ini. Sebenarnya beliau tidak mengubah saya tetapi beliau melatih saya untuk berubah. Hari ini kita sering keliru dengan motivasi dan latihan(training). Ramai yang terperangkap dengan situasi ini sama seperti saya terperangkap satu ketika dahulu. Ramai yang menganggap latihan itu satu motivasi dan motivasi itu satu latihan. Sebenarnya ianya dua perkara yang berbeza. Motivasi dalam bahasa mudahnya memberi alasan. Ianya bertitik tolak dari soalan MENGAPA, contohnya mengapa kita dijadikan, mengapa kita perlu melakukan ibadah dan sebagainya.

Motivator pula adalah orang yang membuka minda untuk kita melihat alasan tersebut dan bagaimana alasan tersebut dapat menyebabkan kita melakukan sesuatu. Seseorang motivator perlu tahu cara paling efektif untuk menyampaikan bentuk alasan supaya diterima pakai oleh hadirin. Contohnya jika motivasi itu diberi kepada anak-anak sekolah, alasan yang sering kita dengar ialah jika kita belajar dan berjaya dalam peperiksaan maka kita akan dapat memasuki universiti. Alasan atau motivasi yang sering diberi oleh ibubapa untuk menyuruh anak-anak berpuasa mungkin dengan memberi upah pada setiap hari berpuasa.

Barat sudah lama menolak motivasi dalam sistem perkembangan insaniah kerana mengikut kajian University of California, Los Angeles, MOTIVASI GAGAL kerana ianya membawa sindrom yoyo atau bagi orang melayu hangat-hangat tahi ayam kerana kajian menunjukkan bahawa daya ketahanan motivasi hanya 4 hingga ke 5 hari sahaja yang mana cantuman neuro (neuro connection) belum berlaku sepenuhnya. Motivasi hanya menceritakan sebab mengapa dan ini berbeza dengan latihan atau training. Latihan bermaksud kaedah atau tatacara untuk mendapatkan sesuatu atau dengan kata lain latihan bertitik tolak dengan soalan BAGAIMANA.

Contohnya kita mungkin sering diajar mengapa kita dilahirkan di dunia. Kita perlu menjadi hamba yang taat, kita perlu beribadah dengan khusyuk. Jika soalan mengapa dan mengapa dikupas, kita semakin faham namun kita tak mungkin berubah kerana kita tidak dilatih untuk mendapatkannya. Kita hanya diajar untuk melakukan ibadah kerana motivasi atau alasannya syurga dan neraka. Tetapi kita jarang sekali dilatih untuk beribadah. Hanya dengan kata-kata tidak akan mengubah apa-apa kerana sudah terbukti kata-kata hanya bertahan untuk beberapa ketika. Dalam latihan ada motivasi tetapi dalam motivasi tiada latihan.

Cuba kita renungkan sama-sama secara jujur, berapa kali kita mengikuti kursus motivasi dan kemudian berubah. Saya yakin ramai yang berubah namun cuba ditanya lagi dalam diri berapa lama perubahan itu kekal dalam diri dan adakah ianya perubahan atau semangat. Tanyakan lagi dalam diri, berapa kali kita menghadiri ceramah-ceramah agama sejak kita kecil hingga dewasa, sekali, dua kali, tiga kali atau banyak kali. Tanyakan lagi ke dalam diri berapa kali kita berubah atau ketakutan kita pada azab Allah swt hanya ketika itu dan mungkin kita berasa seperti baru lahir di dunia pada keesokan harinya akibat ceramah yang hebat tetapi lusanya back to square one, atau kembali seperti asal.

Mengapakan seorang pelajar undang-undang tak kira bagaimana hebat keputusan peperiksaannya tetap sahaja perlu melakukan chambering sebelum layak digelar peguam, pasti ada alasannya. Alasan yang penting ialah setelah dia faham MENGAPA, dia perlu pula tahu BAGAIMANA. Justeru apabila orang bertanya kepada soalan yang saya nyatakan, saya sering menjelaskan bahawa saya seorang trainer yang melatih BAGAIMANA dan semestinya sebelum latihan dimulakan saya juga menceritakan MENGAPA. Saya sering diperkenalkan sebagai perunding motivasi ketika dijemput berceramah.

Saya sering meminta ruang untuk membetulkan kekhilafan itu yang mana saya kurang selesa dipanggil perunding motivasi kerana saya bukan motivator tetapi saya seorang trainer atau coach. Namun seorang pemotivasi boleh menaikkan semangat pemain bolasepak untuk menang perlawanan akan tetapi semangat tanpa strategi dan KAEDAH tidak dapat memberi kemenangan maka seorang jurulatih diperlukan untuk MELATIH supaya mereka pandai bermain bukan hanya bersemangat kerana semangat boleh datang dari pelbagai sudut sama ada dalaman, yang mana pemain ingin membuktikan kejaguhannya atau luaran yang mana pemain diberi ganjaran atas kemenangan.

Seorang jurulatih pula mestilah seorang bolasepak mestilah seorang yang pandai bermain bolasepak, mana mungkin orang yang tidak tahu menendang bola melatih pemain bola. Semoga kita kini dapat membezakan perbezaan yang jelas diantara motivasi dan latihan dan menjawab soalan mengapa motivasi gagal dalam mengubah secara efektif peribadi insan. Kata nabi saw, janganlah kamu ajar sesuatu yang kamu sendiri belum merasai manfaatnya.

Read More......

Wednesday, May 6, 2009

Bisnes tanpa modal


Seperti yang saya janjikan pada keluaran lalu, saya kali ini akan cuba untuk mengupas pengalaman serta pengetahuan tentang apayang disebut bisnes tanpa modal. Saya pernah membicangkan tentang modal asas setiap perniagaan dan mungkin tidar sedar setiap dari kita adalah juga satu entiti perniagaan. Satu perkara yang sama dalam setiap perniagaan iaitu matlamat untuk mencapai keuntungan. Tiada siapa yang mahukan kerugian, aneh kalau ada yang mahu perniagaan mereka rugi. Jika kita mengganggap diri kita satu entiti perniagaan pastinya kita tidak mahu membuatkan diri kita mengalami kerugian.

Saya masih berpegang teguh dalam menyatakan modal asas yang amat perlu untuk kita mulakan perniagaan ialah diri kita sendiri. Kita harus tahu bagaimana untuk menjual diri kita sendiri. Jika kita mempunyai produk yang baik sekalipun tetapi tidak tahu bagaimana untuk menjual diri kita dengan betul maka produk tersebut sukar juga untuk dijual. Begitu juga dengan soal pengurusan, seandainya kita gagal dalam mengurus diri kita sendiri maka kita pastinya juga bakal melihat kegagalan dalam urusan dunia kita. Justeru modal asas setiap perniagaan adalah keupayaan diri sendiri dan perkara paling pokok ialah keberanian.

Keberanian
Keberanian adalah perlu untuk setiap perniagaan. Kita mungkin pandai berhujah tentang perniagaan tetapi adakah kita cukup berani untuk berenang di lautan perniagaan yang penuh gelora. Jika sekadar menyandarkan teknik semata-mata maka ianya masih berlu mencukupi. Berani yang saya maksudkan bukanlah bermaksud berani membuta tuli. Jika membuta tuli itu dianggap berani, saya menganggapnya sebagai satu kebodohan. Kita perlu mengira jumlah risiko yang terdapat dalam setiap tindakan kita.

Justeru itu saya pernah menulis bahawa solat istikharah itu patut diutamakan dari solat hajat. Ini kerana kita mungkin menyukai sesuatu bidang perniagaan tetapi mungkin tidak serasi atau sesuai dengan kita. Kita perlu faham bahawa adakalanya perkara yang kita suka boleh jadi suatu perkara yang bakal membawa keburukan kepada kita dan sering berlaku juga perkara yang kita benci rupa-rupanya adalah perkara yang member manfaat kepada kita. Maka yang mengetahui baik dan buruk sesuatu perkara untuk kita bukanlah diri kita tetapi Allah swt yang maha mengetahui lagi maha bijaksana.

Mengapa tidak kita melakukan istikharah sebelum memasuki bidang-bidang yang kita inginkan. Berbekalkan jawapan yang ada, barulah anda melangkah seterusnya ke bidang-bidang yang ditunjukkan yang mungkin adakalanya amat bertentangan dengan kehendak naluri kita. Jika ianya tidak sama dengan apa yang anda impikan mungkin ada suatu perkara yang anda terlepas pandang iaitu potensi diri.

Potensi diri
Kita mungkin sudah hidup berpuluh tahun dan kita mungkin merasakan yang kita cukup kenal dengan diri kita sendiri. Kita mungkin juga begitu yakin yang kita sudah membongkar kesemua potensi diri yang ada. Jika keyakinan sebegitu yang kita sandarkan untuk meneruskan bisnes maka ianya mungkin menjadi satu kesilapan yang perlu diperbetulkan segera. Mungkin ramai yang kurang sedar yang potensi diri itu akan menonjol sedikit demi sedikit mengikut peningkatan umur.

Untuk membuktikan hal ini tidaklah begitu sukar, contoh paling mudah ialah sewaktu kita bayi kita mungkin tidak akan tahu adakah kita boleh berlari atau pun tidak, kita juga tidak tahu samada kita boleh melukis ataupun tidak. Meskipun begitu ibubapa kita tetap sahaja yakin bahawa kita mampu melakukan itu apabila tiba masanya. Apabila tiba waktu dan ketika maka sedikit demi sedikit pembongkaran potensi diri itu mula terserlah. Mungkin sahaja ianya berlaku dalam masa yang berlainan dengan yang lain akan tetapi waktu pembongkaran potensi ini boleh dipercepatkan atau dilambatkan.

Jika kita inginkan anak kita berjalan dengan cepat, kita pastinya akan mengambil jalan-jalan atau cara-cara untuk melatih agar anak kita akan lebih cepat berjalan. Ini juga jelas membuktikan apabila anda ingin memulakan perniagaan, apa yang perlu ialah untuk melihat potensi diri. Anda perlu tahu apakan potensi-potensi umum yang anda perlukan untuk menjadi seorang usahawan. Seandainya anda melihat potensi diri umum yang sepatutnya ada pada seorang usahawan itu tiada pada diri anda maka anda haruslah terlebih dahulu membongkarnya.

Misalnya antara potensi awal seorang usahawan ialah keberanian, dan jika anda melihat potensi ini tiada dalam diri anda, perlulah anda galinya terlebih dahulu mungkin melalui program-program yang menghidangkan sajian menu untuk keberanian diri ini. Sesudah semua potensi umum itu terserlah maka barulah anda perlu meneruskan langkah seterusnya iaitu melihat kelainan potensi keunikan anda. Anda perlu mencari dalam diri anda apakah yang membuatkan anda begitu berlainan dari yang lain dan apakah yang membuatkan anda begitu unik.

Keunikan adalah satu produk yang dapat memberi pulangan yang lumayan. Anda kini sudahpun mula mempunyai produk yang mungkin selama ini masih tercari-cari produk untuk dijual. Anda tidak perlukan modal kerana modal dan produk itu datang dalam diri anda. Sekiranya anda melihat keunikan anda ialah kebijaksanaan dalam memujuk atau mempengaruhi, mungkin anda boleh menjualkan keunikan anda kepada syarikat-syarikat mahupun orang perseorangan untuk meningkatkan keuntungan mereka. Jika anda mendapati anda boleh memasak dengan baik, anda mungkin boleh cuba untuk menjadikannya sebagai produk latihan.

Jika selama ini orang memikirkan dengan pandai memasak anda boleh menjual makanan tetapi jika anda bijak mungkin anda mampu mencipta seorang lagi yang mempunyai keupayaan seperti anda. Keunikan yang ada pada anda perlulah dilaksanakan dengan penuh kreatif. Jika anda tiada modal pusingan, anda mungkin boleh memulakan bisnes anda dengan bergabung atau atas dasar komisyen. Ini adalah asas kepada bermulanya perniagaan tanpa modal dan mungkin dalam ruangan yang terhad ini tidak semua yang dapat dikupas maka jika anda inginkan kupasan serta teknik yang lebih dalam insya Allah bengkel ini akan diadakan pada 24hb Mei 2009.

Bengkel : Soul Power - Zero Capital
Tarikh : 24hb mei 2009
Masa : 9.00am hingga 5.30pm
Tempat : wisma sejarah kuala lumpur
Speaker : Dr.Azhar Bin Sarip (master trainer soul power),
Datuk Salleh Abd Majid (felo utama UKM dan mantan presiden BSKL)

Read More......