Setiap hari dan setiap ketika kita mempunyai perkara yang perlu dilaksanakan. Melaksanakan setiap perkara itu merupakan satu misi pada ketika itu dan mungkin juga menyempurnakan misi yang ada merupakan satu keperluan yang amat sangat bagi sesetengah orang pada waktu-waktu yang tertentu. Jika kita ringkaskan satu kronologi kehidupan yang ada di Malaysia ini ianya hampir serupa buat semua orang namun misinya nyata berbeza. Bangun sahaja dari tidur kita perlu ke bilik air untuk membersihkan diri sebelum menunaikan fardhu subuh. Setelah siap semuanya mungkin ada yang dapat bersarapan di rumah atau mungkin terus berlari ke tempat kerja. Pergi ke tempat kerja merupakan satu misi tetapi perlaksanaannya cukup berbeza dan tempat menyempurnakan misi itu juga cukup berbeza. Ada yang terkejar-kejar menaiki pengangkutan awam ada juga yang terkejar-kejar tetapi dengan memandu laju. Ada yang tenang untuk sampai ke tempat kerja dan telahpun punya rancangan untuk bagaimana untuk mentadbir harinya.
Kita harus tahu bagaimana untuk mentadbir hari kita agar ianya memberi manfaat yang maksima dalam pulangan hasilnya. Tidak dinafikan juga kita telah mentadbir hari kita dengan penuh teratur tetapi pulangannya masih berada dalam kerugian. Hari-hari yang ditadbir akan memberi impak yang besar pada hari-hari yang mendatang kerana setiap keputusan hari ini adalah satu sumbangan terhadap hari yang akan datang. Jika sumbangannya negatif maka dengan sendirinya kita harus melakukan sesuatu untuk mengurangkan kesan kerugian dan menokok laba moga-moga terjamin masa hadapan. Setiap badan pentadbiran mempunyai visi dan misi. Visi merupakan objektif yang ingin dicapai manakala misi pula merupa penyataan tatacara perlaksanaannya dalam memanjat setiap anak tangga dalam menuju visi yang ditetapkan.
Sebagai manusia kita tahu bahawa kita hidup di dunia ini hanya sementara. Dunia ini boleh diibaratkan sebagai satu perhentian R&R di sebuah lebuhraya sebelum kita sampai ke destinasi yang dituju. Adakalanya kita berhenti untuk menghilangkan lelah, adakalanya kita berhenti kerana lapar dan dahaga dan ada juga yang berhenti untuk menunaikan kewajipan pada yang Maha Esa. Walau apapun ceritanya kita tetap berada dalam satu kawasan perhentian. Di situ ada segala-galanya yang dapat membuatkan kita lari dari tujuan berhenti tadi. Begitu juga sebuah kehidupan dunia ini. Dunia yang kita diami hari ini merupa satu transit dalam satu perjalanan yang jauh serta banyak pula rintangannya. Kekasih Allah swt, baginda rasulullah saw ketika ditawarkan oleh Ibnu Mas'ud untuk tempat tidur yang selesa menjawab dengan penuh makna yang perlu kita hayati “Saudaraku, apalah ertinya dunia buatku, kecuali aku hanyalah seperti seorang pejalan kaki yang singgah sejenak di bawah naungan pohon (dunia) ini, berehat sejenak, kemudian meninggalkannya.”
Jelas sekali dunia bukanlah visi tetapi hanya waktu rehat untuk menyempurnakan visi. Visi kita adalah untuk kembali ke alam kekal dengan selamat serta dengan harapan dapat tempat yang baik untuk tinggal selamanya. Bagaimana pula dengan misi dalam menuju visi yang telahpun ditentukan. Setiap dari kita tahu caranya kerana dari kecil lagi kita telah mendengar ayat yang berbunyi : ''Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Ku.''(Az Dzariyat : 55). Satu misi yang jelas untuk kita semua. Misi utama kita ialah ibadah. Di sini juga berlaku banyak kekhilafan fikiran. Bukanlah duduk di atas tikar sembahyang dan berwirid itu sahaja dinamakan ibadah. Bukan pula berpuasa dan bersedekah itu sahaja ibadah. Ibadah perlu dilihat dalam satu rangka kerja yang besar. Dalam apa jua pekerjaan yang kita lakukan itu perlulah menjadi ibadah. Perlu kita sedari bahawa ada juga ibadah yang akhirnya tidak mencetuskan hasil yang baik contohnya solat. Ada yang bersolat tetapi akhirnya terjerumus ke dalam neraka akibat kelalaian solatnya, ada yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga.
Menyelami misi ini adalah penting dalam arus perjalanan kehidupan yang kita lalui agar tiak menongkah arus. Perlu juga kita ingat bahawa matlamat tidak menghalalkan cara, jika kita merompak dengan tujuan bersedakah maka ianya tetap salah. Misi utama telah kita ketahui tetapi ada sesuatu yang sering terlepas pandang iaitu bagaimana untuk menongkat perlaksanaan misi utama dengan misi secondary. Inilah yang perlu kita kupas dalam diri kita agar kita mengetahui dengan sejelas-jelasnya apakah `tools’ kita dalam melaksanakan misi utama iaitu beribadah kepada Allah swt. Dengan ringkasnya kita perlu tahu apakah watak sebenar kita dalam pentas dunia ini dalam melaksanakan misi sebagai seorang yang sentiasa beribadah. Makannya beribadah, tidurnya beribadah, kerjanya beribadah dan segalanya menjadi ibadah. Semuanya untuk Allah swt. Setiap dari kita adalah khalifah dan setiap dari kita juga adalah pendakwah. Kita dilantik menjadi khalifah oleh Maharaja Agung namun sedikit sangat yang kita tahu skop kerja seorang khalifah. Kita perlu menjadi khalifah pada diri sendiri, kita juga perlu berdakwah pada diri sendiri. Adakalanya kelihatan ramai yang suka menjadi khalifah untuk orang lain serta berdakwah untuk orang lain tanpa untuk diri sendiri. Kita harus sedar bahwa ibadah mengatasi hal lain dalam setiap situasi dan keadaan.
Oleh yang demikian ada suatu perkara yang perlu hadir dalam jiwa setiap insan iaitu rasa berTuhan. Bunyinya ringkas tapi jika kita lihat dari segi perasaannya berat. Kita mudah melafazkan hidup bertuhan tetapi amat menjengkelkan kerana manusia sering lupa wujudnya Tuhan tanpa sedar mereka tidak merasa kewujudan Tuhan kerana tanpa sedar juga perasaan terhadap sesuatu selain Allah swt lebih tebal. Perasaan kerinduan terhadap segala sesuatu selain Tuhan itu telah mendahului Tuhan. Maka setiap perbuatan serta kelakuan yang dilakukan untuk Allah swt bukan lagi sebagai lambang kerinduan dan kecintaan seorang hamba terhadap Tuhannya tetapi ihklas dalam keterpaksaan.
Menunaikan solat atas nama kewajipan maka dengan sendirinya kita menunaikan solat tanpa ruh solat. Bukankah lebih baik menunaikan solat itu kerana rindu yang mendalam terhadap Kekasih yang Maha Menyintai maka setiap huruf dan kalimah akan menjadi bait-bait cinta yang tak ternilai harganya kerana keikhlasan cinta agung. Teman saya pernah memberitahu saya satu kenyataan yang saya rasa begitu menyentuh hati saya, katanya don’t please Him but love Him.
Saya berpendapat ianya satu kenyataan yang kita perlu semai dalam melaksanakan misi kita agar tidak tersasar. Jika kita ingin menyenangkan Allah swt atau ingin membahagiakan allah swt dengan banyaknya pahala yang kita lakukan maka kita tersilap kira kerana Allah swt adalah pemilik mutlak kesenangan dan kebahagian bahkan Dialah yang memberi sentuhan kebahagian dan kesenangan pada hamba-hambaNya. Cintailah Allah swt lebih dari segalanya insya Allah kita akan faham apa erti sebuah kehidupan dan apa pula `tools’ yang kita ada dalam rangka melaksanakan sebuah misi kehidupan. Menyintai Allah swt tidak bermakna kita lupa dunia kerana dunia itu juga milikNya. Tidak juga menjadikan kita miskin kerana Allah swt maha kaya bahkan kita akan lebih kaya terutamanya kaya jiwa.
Dr.A/mw/05/2006
Dr.A/mw/05/2006