Monday, March 22, 2010

Bahasa Khutbah


"Jika kamu berkata-kata kepada kawan kamu ketika imam berkhutbah pada hari Jumaat walaupun dengan perkataan 'Diam', maka laghalah (sia-sia) dia." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Begitulah ingatan yang sering kedengaran sebelum khatib memulakan khutbah. Malangnya biar berbuih ingatan diberikan tetap juga kita mendengar suara-suara ‘khatib’ di belakang berbicara pelbagai perkara hingga adakalanya mengganggu khutbah sebenar.

Saya terbaca di satu forum yang mana ada menyebutkan bahawa Nabi pernah bersabda :Barang siapa yang bercakap-cakap ketika Imam sedang membaca khutbah (Jumaat), maka dia bagaikan seekor keldai yang membawa kitab-kitab dan sesiapa yang berkata diam (kepada rakannya yang bercakap) tiadalah Jumaat baginya, Jumaatnya tidak sempurna.
(Imam Ahmad).
Saya melihat dengan jelas akan duduk perkara khutbah di sini yang sebenarnya perlu kita ikuti dan fahami untuk mengubah sikap kita seminggu mendatang.

Khutbah bagi saya adalah satu ceramah motivasi yang baik, juga merupakan ruang untuk saling ingat mengingat hal-hal kebaikan serta waktu terbaik untuk mendapatkan ilmu baru. Saya sendiri adakalanya akan membawa buku nota ketika khutbah dan mencatat isi kandungan yang dapat saya amalkan dan hayati. Kadangkala hal itu menjadi satu kepelikan teman-teman di sebelah apabila melihat nota khutbah dicatat. Saya berpendapat bahawa di waktu khutbah jumaat, banyak perkara yang sebenarnya dapat kita pelajari dan kalaupun perkara tersebut sudah kita ketahui namun tidak menjadi kesalahan jika catatan itu bakal memberi peringatan untuk kita seminggu mendatang.

Jika kita perhatikan suasana jemaah sewaktu khutbah, pelbagai ragam yang dapat kita lihat. Tetapi lebih ramai yang kita lihat menundukkan kepala mereka, mungkin mereka khusyuk mendengar atau khusyuk nak tidur. Saya sering berkata yang waktu khutbah adalah waktu awal tidur kerana waktu itu kita lihat ramai sekali yang menguap dan mengantuk bahkan ada yang tidak sedar ketika khutbah dibacakan. Salah siapakah hingga berlakukan situasi sedemikian, adakah salah jemaah yang datang berjumaat atau salah khatib yang membaca tanpa minat.

Saya cuba membicarakan hal ini pada kali ini semoga kita beroleh satu dimensi baru dalam khutbah jumaat baik untuk para jemaah mahupun untuk para khatib yang saya hormati. Saya berpandangan waktu khutbah jumaat adalah waktu yang paling sesuai untuk mengumpulkan para muslimin untuk mendengar keilmuan baru, ingatan yang baru, serta motivasi diri yang baru yang insyaAllah dapat diisikan dalam minda pendengar dan seterusnya mungkin dapat pula disampaikan pada seisi rumah agar ilmu tersebut berpanjangan.

Dalam erti kata yang lebih mudah, saya berpandangan bahawa khutbah merupakan majlis ilmu yang baik namun persoalannya mengapa ketika itu ramai yang mengantuk bahkan tertidur. Jika soalan ini ditanya, maka jawapan yang saya rasa hampir didengar adalah waktu itu syaitan datang mengganggu. Jika kita tahu waktu itu syaitan mahu datang mengganggu mengapa tidak kita persiapkan diri untuk menepis segala gangguan. Kita begitu mudah memberikan jawapan tetapi begitu sukar merungkaikan persoalan.
Kita mudah diganggu kerana kita lemah, lemah dalaman hingga membawa kelesuan fikiran serta keletihan badan. Jika saya ditanya akan soalan sedemikian, maka saya menjawabnya dalam dua pandangan. Pertama, jemaah dan kedua ialah khatib yang bertugas.

1) Jemaah
Pernahkah kita duduk di sebelah seorang yang menguap dan tidak lama kemudian kita pun terikut menguap?.. dalam keadaan ini anda dikatakan sedang melakukan kalibrasi dengan jiran anda itu. Walaupun pada keadaan tersebut anda sebenarnya tidak mengatuk namun akibat kalibrasi yang terjadi tanpa anda sedari telah membuatkan anda menjadi mengantuk sama. Jika anda berada dalam keadaan bosan, tidak keterlaluan jika saya katakan yang jiran anda juga akan turut merasa tempiasnya. Hal ini saya gelarkan kalibrasi gelombang otak.

Biar apapun yang anda panggil tetapi yang jelasnya keadaan anda serta gelombang otak anda ternyata dapat mempengaruhi jiran anda. Jika seorang dari ahli jemaah masuk ke lapangan solat dalam keadaan malas, bosan dan mengantuk, maka secara hukum alamnya mereka yang berada di sekelilingnya akan turut merasa begitu jika kita tidak dapat mempertahankan kedudukan gelombang otak yang betul. Apa yang pasti tidak ramai dari masyarakat kita memahami keadaan ini lantas mereka tanpa sedar menyumbang kepada keadaan jemaah sekeliling dalam lapangan solat terutamanya ketika khutbah mula dibacakan.

Saya mempunyai pendapat yang agak berlainan dan jika ada yang ingin membetulkan pandangan saya, saya begitu berbesar hati demi kebaikan ummah, saya berpendapat bahawa jika kita memasuki ruangan solat dalam keadaan terpaksa, mengatuk, malas atau dengan membawa sekali tekanan duniawi maka kita turut merosakkan keheningan yang ada dan secara tidak langsung menyumbang kepada kelalaian orang lain. Buruk benar jika kita terlibat dalam melalaikan mereka ketika khutbah dibaca dan lebih ngeri ketika solat dilaksanakan.

Bagi kami yang memahami akan hal kaitan gelombang otak dengan ibadah serta peradaban manusia, hal-hal menyumbang kepada kerosakan insan perlu kami jauhi walaupun ianya kelihatan remeh bagi sesetengah pihak. Maka dengan itu, kami akan berusaha untuk masuk ke ruangan solat dalam keadaan yang dapat menyumbang kekhusyukan para jemaah yang ada dalam ibadah yang bakal dilaksanakan. Justeru, marilah kita mengubah sikap kita ketika masuk ke masjid terutamanya ketika khutbah sedang dibaca kerana tanpa sedar keadaan kita akan membuat jiran kita juga merasa apa yang kita rasa.

Jika kita menghayati khutbah serta mengingati Allah swt dengan cintaNya maka kita akan membuat satu jariah yang tak pernah kita sangka kerana kita turut membawa jemaah sekeliling untuk merasa khusyuk. Mungkin tak ramai yang mengetahui bahawa gelombang otak kita yang rendah ketika solat begitu kuat dan boleh disebarkan hingga 27 lapis dan dek kerana itu solat jemaah itu 27 kali ganda pahalanya kerana kita membawa 27 orang untuk merasa kelazatan solat.

2) khatib
Sudut yang kedua yang perlu kita lihat adalah penyampaian khatib dalam menyempurnakan khutbah. Mungkin ada diantara kita pernah mengalami kebosanan ketika mendengar khutbah kerana khatib tidak menyampaikannya dengan ruh tetapi membacanya dengan akal. Lebih buruk jika bacaannya merangkak-rangkak hingga ada yang berdoa di dalam hati agar khutbah cepat sampai ke penghujungnya. Bagi saya khatib perlu terlebih dahulu menghayati setiap apa yang ingin disampaikan lalu sampaikanlah dengan ruh bukan dengan minda. Kata-kata yang dilontar dengan akal hanya akan sampai ke cuping telinga tetapi kata-kata yang disampaikan dengan jiwa akan terus menusuk jiwa.

Apabila jiwa dapat disentuh berubahlah si pendengar dan sayulah tubuh akibat getaran kata-kata ingatan. Khatib pada pandangan saya harus tahu bagaimana melontarkan kata-kata untuk terus menusuk sukma jemaah dan bukan hanya sekadar menghabiskan tugas. Terlebih dahulu saya memohon maaf andai setiap tutur kata saya menyinggung namun demi kebaikan ummah saya beranikan diri untuk memberi pandangan supaya ianya dapat diperbaiki dan khutbah dapat dijadikan medan mengubah orang kepada manusia. Teks khutbah juga amat penting kerana ianya perlu diwacanakan mengikut sains minda dan bukan karangan biasa.

Jika ada kefahaman bagaimana untuk menafsir minda jemaah dan bagaimana untuk menerapkan terus ke dalam memori minda bawah sedar jemaah, saya yakin insya Allah lebih ramai akan terpengaruh dengan khutbah yang disampaikan bahkan ianya menjadi senjata yang ampuh dalam membentuk satu generasi Islam yang cemerlang, yang mampu menakluk dunia dengan kebijaksanaan dan bukan dengan demonstrasi jalanan. InsyaAllah saya akan mengadakan bengkel sehari khusus untuk mereka yang terlibat secara langsung dalam khutbah untuk mengupas bahasa khutbah yang difahami minda untuk penyampaian lebih efektif.

Read More......

Friday, March 19, 2010

Rahsia Sebenar Donald Trump


Jika ditanya siapa Donald Trump, saya yakin semua mengenalinya, begitu juga jika disebut Oprah, terbayang seorang wanita yang begitu berjaya. Ramai yang bercita-cita untuk menjadi sepertinya, berjaya sepertinya. Ramai juga yang memikirkan bahawa mereka mempunyai IQ yang tinggi dan keberanian yang jitu. Namun ramai yang tidak tahu kejayaan mereka dan ramai lagi billionaire samada di Malaysia mahupun di dunia sebenarnya banyak bersandarkan kehebatan jati diri… intuisi yang tajam.

Donald Trump and Oprah pada mulanya tidak menggunakan intuisi dalam perniagaan sehinggalah mereka belajar mengenainya dan memahami konsep sebenar intuisi. Mereka kemudiannya menterjemahkan pengalaman intuisi mereka kepada pembentukan nilai kekayaan yang begitu hebat. Inilah kekuatan intuisi bisnes jika kita tahu menggunakannya.

Kedua-dua billionaire hebat ini telah menyarankan akan penggunaan intuisi bisnes ini secara terbuka kerana keyakinan mereka yang dalam serta pengalaman hebat mengenainya. Intuisi bisnes sememangnya amat penting dan begitu berguna kerana dunia perniagaan hari ini begitu hebat bersaing dan kejayaan sesuatu bisnes hari seringkali berlawanan dengan model yang dipelajari di pusat pendidikan formal.

Donald Trump, dalam ‘The America We Deserve’ membuat pengakuan yang begitu jelas memberitahu dunia "saya telah membina empayar multi-billion dengan menggunakan intuisi saya". Di satu sidang usahanita kebangsaan di Chicago, Oprah memberitahu kemahiran perniagaannya dibantu oleh diri sejatinya iaitu intuisi. Bukan itu sahaja, ikon IT dunia, Gates percaya yang kita perlu bersandarkan kepada intuisi.

Intuisi bisnes bukanlah wadah yang bakal menggantikan penyelidikan pasaran atau pengetahuan teknikal anda tetapi ianya membawa anda ke satu tahap keberhasilan (leverage) yang cukup tinggi.

Ini kerana teknikal hanya melihat fakta dan angka yang dikupas melalui pengalaman akan tetapi intuisi bisnes melangkaui angka dan fakta yang mana hasilnya nanti akan menjadi fakta dan angka terbaru utnuk pengalaman anda. Apabila anda mengaplikasikan intuisi bisnes dalam mencari keputusan yang tepat untuk perniagaan anda maka kini anda perlu menterjemahkannya melalui kepakaran teknikal anda dalam bidang yang anda ceburi. Kejayaan

Donald Trump and Oprah bukanlah kerana tuah semata-mata mahupun kerana kebijaksanaan (IQ) yang tinggi tetapi mereka berjaya mengekalkan perubahan signifikan yang dilakukan melalui keputusan yang tepat. Keupayaan mengekalkan keberhasilan ini dipanggil kejayaan dan mereka menyandarkan keupayaan ini kepada intuisi.

Mulakan langkah anda hari ini dengan intuisi bisnes agar anda pasti dengan apa yang anda lakukan, anda tahu kadar keberhasilannya biar fakta dan angka menolaknya dan lebih penting lagi anda tahu pemikiran pelanggan anda atau keserasian rakan kongsi.
Setelah itu setiap keputusan ibarat satu sentuhan emas.!


Sertai Bengkel Intuisi Bisnes HARI INI!...

Bengkel ini dirangka hebat kerana:
Mengikut Kesesuaian: Ini adalah program melatih intuisi. Jadi latihan akan terus dijalankan. Setiap Latihan Intuitif adalah akan disesuaikan dengan tahap kemahiran semasa intuisi anda.
Ringkas dan menarik: Latihan Intuitif ini adalah konkrit dan praktikal.
Khusus: Setiap konsep adalah ringkas dan dituju ke perkara khusus Intuisi Bisnes
Menepati Sasaran: Bagi melihat sejauh mana kemajuan anda, anda akan dinilai setiap dalam
setiap latihan

Program ini sesuai untuk anda jika …
• Sering terhalang dalam bisnes dan ingin berjaya
• Mempunyai perniagaan dan ingin menggunakan kebijaksanaan intuitif
• Tidak percaya dengan Gerak hati sendiri
• Berminat dengan Intuisi asas Neurologikal dan Psikologi
• Anda mencari Bisnes Intuisi dengan pendekatan kukuh
• Letih dengan teknik bisnes yang berbagai dan tidak sesuai untuk anda
• Perlu sokongan dalam pembelajaran dan latihan
• Bersedia untuk strategi kejayaan berterusan



Read More......

Tuesday, March 16, 2010

Alam Kecil vs. Alam Besar


Semenjak dari zaman belajar lagi saya begitu meminati lagu-lagu puitis yang didendangkan oleh penyanyi Ebiet G. Ade yang banyak mempunyai unsur-unsur renungan untuk diri kita dan untuk lihat ke arah mana kehidupan ini hendak dibawa. Salah satu lagu yang saya rasakan cukup terkesan bagi kita yang sedang menghadapi cuaca yang begitu panas ada lagu yang berjudul berita kepada kawan yang mana ada diantara liriknya menyebut “atau alam mulai enggan bersahabat dengan kita”.

Jika kita renungkan dengan pelbagai kejadian bencana alam yang sering sahaja melanda dunia ketika ini, mungkin ada benarnya yang alam sudah mula tidak mahu bersahabat dengan kita kerana kesombongan kita yang berada di atas muka bumi ini hingga kita alpa yang kita bakal menghuni perut bumi keseorangan dalam kegelapan satu hari nanti. Jika kita duduk di kedai-kedai ramai yang bercerita tentang kenal diri dan seringkalilah diungkapkan kata-kata “barangsiapa kenal dirinya akan kenal Tuhannya” dan ramai yang menganggap ianya hadis walaupun hakikatnya bukan.

Walaubagaimanapun saya berpendapat ada perkara yang baik yang boleh kita ambil dari kata ungkapan tersebut. “Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?” Surah : FUSSILAT Ayat : 53. Maka nyata sekali tanda kebesaran Allah swt boleh dilihat pada diri kita sendiri.

Kita seringkali merenung alam untuk mengenal penciptanya, kita melihat keajaiban alam dan kita memuji penciptanya, kita terlupa pula untuk merenung diri sendiri untuk mengenal penciptanya, kita alpa untuk melihat keajaiban diri untuk mengenal penciptanya kerana bagi kita hanya alam tanda kebesaran Allah swt maka dek kerana sering merenung ke luar kita lupa merenung ke dalam. Kita lupa bahawa diri kita sebenarnya adalah alam kecil yang di dalamnya terkandung alam besar. Memahami alam kecil akan membuka rahsia alam besar.

Jika di luar ada sungai, di tubuh kita juga ada sungai, jika di luar ada batu di tubuh kita juga ada batu, jika di luar itu panas, di dalam ini juga ada cuaca. Jika panas menjadikan kita demam maka panas juga menjadikan dunia semakin sakit. Jika kita semakin lemah apabila usia meningkat maka dunia juga semakin longlai dalam mengharungi hidupnya. Terlalu kurang diantara kita yang begitu merenungi dirinya sendiri dalam menafsir hakikat alam. Kita begitu sibuk untuk melihat apa yang di luar dan kita ambil ringan apa yang di dalam.

Bagi kita yang di luar itu lebih penting maka apabila ini terjadi huru-haralah hidup kita. Saya sering memberitahu para peserta program saya bahawa jika di luar itu ada binatang maka di dalam ada juga binatang bahkan lebih buruk lagi kerana ianya membawa kepada sifat kebinatangan yang buas. Binatang hidup liar kerana habitatnya tetapi nafsu kebinatangan yang buas dalam diri manusia boleh membunuh apabila dibiarkan.

Saya teringat satu kisah sufi yang mana seorang Syeikh besar sufi dijemput untuk memberikan ceramahnya di satu tempat. Ketika itu ramailah yang menunggu akan kedatangan Syeikh yang mereka kagumi ilmunya. Ketika sampai di tempat berkenaan, Syeikh tersebut disambut oleh guru yang mengundang syeikh tersebut. Mereka yang pada mulanya begitu teruja untuk mendengar ceramah Syeikh pada awalnya, menjadi diam dan lesu kerana melihatkan Syeikh tersebut membawa anjing. Dan setelah program habis, berpusu-pusulah mereka mendatangi guru yang mengundang Syeikh tersebut untuk meluahkan rasa kecewa mereka terhadap Syeikh tersebut.

“Mengapakah seorang Syeikh besar datang memberi ceramah membawa anjing?” soalan yang kelihatan keras, dijawab secara lembut oleh guru tersebut “ hanya itu yang kamu semua ragui?” lalu dia menyoal kembali mereka yang hadir “kamu melihat anjing yang dibawa Syeikh tersebut?” “ya!” jawab sekelian yang ada.
“kamu lihat anjing itu di luar atau di dalam?” tanya guru itu lagi. “Di luar” jawab mereka.
“kamu lihat anjing itu yang mengikut Syeikh besar atau Syeikh besar yang mengikut anjing?” tanya guru kepada muridnya yang tadi memikirkan kesalahan Syeikh besar.

Jawab muridnya “wahai guru, kami melihat anjing itu di luar dan Syeikh besar berjalan mendahului anjing”, lalu si guru mengupas dengan tertib tanpa sedikitpun emosi “itulah pelajaran yang paling penting yang ingin disampaikan oleh syeikh besar… kita lihat anjingnya sudah di luar sedangkan anjing kita masih di dalam. Kita lihat anjingnya mengikuti beliau dari belakang sedangkan kita dipimpin anjing di dalam diri. Bukankah Syeikh ingin menunjukkan yang perlu bagi kita adalah mengeluarkan anjing dalam diri dan memimpinnya dan bukan sebaliknya."

Jika berlaku sebaliknya maka kita belum lagi layak digelar pemimpin.” Terpegunlan murid-murid yang hadir mendengar kupasan tersebut lalu mereka berusaha untuk mengeluarkan sifat kebinatangan yang ada dalam diri masing-masing dalam usaha membentuk diri. Jika kita lihat dunia ini mengandungi 70% air, begitu juga dengan diri kita. Justeru jika hari ini dunia semakin panas pastinya ada kaitan dengan diri kita. Satu kajian mendapati bahawa dunia mempunyai gelombang alpha yang dikeluarkan oleh tumbuh tumbuhan. Perlu juga kita tahu mengapa?

Ianya kerana pokok-pokok serta binatang bertasbih 24 jam kepada Allah swt dan mengingati Allah swt itu membawa kepada gelombang yang rendah. Kini bumi semakin telanjang akibat kerakusan manusia, pokok-pokok yang dulunya menghijau kini menjadi batu serta tar yang panas. Kita boleh lihat di sekeliling kita, kita boleh lihat di kampung halaman kita, semakin kurang untuk melihat kehijauan yang dulunya cukup indah, cukup menyegarkan. Apabila pokok-pokok kian terhapus, binatang-binatang kian pupus maka jumlah yang bertasbih tanpa henti kepada Allah swt semakin berkurangan.

Manusia hanya mengingati Allah swt sewaktu susahnya selebihnya mereka membantu mengeluarkan gelombang beta dari fikiran mereka tanpa hentinya dek kerana mengejar hal-hal duniawi hingga mereka lupa yang paling penting dalam hidup adalah hubungan dengan Allah swt kemudian barulah diikuti hungan dengan manusia. Maka hari ini kita sudah terjerat dalam diri sendiri akibat tidak memahami diri sendiri kerana jika kita memahami diri sendir pastinya kita juga akan menjaga diri yang besar yakni alam.

Jika tubuh yang panas menjadi kurang selesa untuk kita maka samalah dengan cuaca yang panas untuk dunia ini. Justeru yang paling utama kini adalah dengan mengurangkan gelombang otak beta yang kita sumbangkan untuk kepanasan dunia. Apabila gelombang ini berjaya kita kurangkan dunia akan lebih selesa untuk didiami dan panjanglah umur dunia. Belajarlah untuk mengeluarkan gelombang rendah yang banyak. Bagi mereka ingin mempelajari terapi azan untuk menurunkan gelombang, sila layari www.aku-ok.com, semoga kita sentiasa dipayungi rahmat Allah swt dalam merencanakan setiap gerak langkah kehidupan.


Read More......

Tuesday, March 9, 2010

Mati Sebelum Ajal


Mungkin kita tertanya-tanya mengapa dikatakan mati sebelum ajal, bukankah mati berlaku apabila ajal menjelma. Setiap hari, setiap saat pasti aka ada kematian di atas muka bumi ini, pasti ada yang bertukar tilam, dari empuk dan berhawa dingin kepada tanah yang keras dan sempit lagi gelap. Ada orang bertanya kepada saya, mengapa saya gemar membicarakan topik kematian. Saya mempunyai alasan saya yang tersendiri kerana mati itu juga adalah titik permulaan kehidupan seorang spiritualis.

Jika matinya membawa bahagia maka beruntunglah dia namun jika mati itu pembuka pintu neraka jelas kerugian sudah melanda. Apalah gunanya kita hidup bermewahan tetapi apabila mati kemiskinan menjadi teman. Apalah gunanya kita dikelilingi sanak saudara serta teman taulan tetapi sewaktu di alam barzah kita keseorangan tanpa bekal, tanpa pertolongan. Pada saya, setelah mengamati kehidupan yang berlalu setiap hari, saya melihat tidak kira siapa pun kita, sedalam mana kasih sayang anak-anak kita kepada kita, sekuat mana ikatan cinta pasangan kita, yang pastinya apabila kematian datang kepada kita, kesedihan, kesugulan hanya datang buat sementara waktu, hanya ketika tanah kubur merah.

Setelah itu mereka juga seperti kita sekarang, sibuk menyempurnakan tanggungjawab dunia dan ingatan kita pada si mati hanya tinggal ingatan, sedikit demi sedikit berlalulah doa yang pada awalnya kita panjatkan. Justeru hal inilah yang mengingatkan saya agar menyiapkan bekal untuk diri sendiri, supaya nanti tidak keseorangan dan kegelapan. Bekal paling perlu bagi saya adalah perasaan saya dengan Allah swt kerana dari rasa itu datang perbuatan dan mencetuskan keikhlasan. Kita harus terus hidup sehingga tibanya ajal yang ditetapkan.

Janganlah kita mati sebelum ajal kerana kerugian yang besar sudah pasti menyusahkan. Mati sebelum ajal seperti kita hidup tapi tidak bernyawa, kita makan tetapi tiada rasa, kita minum tak hilang dahaga. Mati sebelum ajal adalah keadaan di mana hati kita sudah mati walau jasad tegap berdiri. Hati sudah terkunci walau bicara petah tiada henti. Jiwanya sudah kering, biar jasadnya bermandi berendam di dalam air tidak pernah kering. Maka apabila jiwa kita sudah kering, hati kita sudah mati, kita sepertinya sudah tidak disukai Allah swt.

Jika ini berlaku maka siapakah yang mahu kita ambil menjadi tuhan, bukankah kita kini dalam kerugian. Dek kerana itu kita perlu memastikan yang kita tidak mati sebelum ajal. Orang yang sudah mati sebelum ajal, sukar menerima ilmu, sukar menerima hal-hal berkaitan agama dan jiwa mereka kosong. Kehidupan mereka juga tidak keruan, mereka resah, mereka gelisah, mereka merasakan ada kekosongan dalam hidup tetapi keegoan mereka menutup kekosongan hati mereka. Hati menjadi hidup apabila kita mengingati Allah swt dan mengingati Allah swt cukup indah jika kita melakukannya dengan rasa.

Merenung kematian merupakan jalan mudah untuk melembutkan hati kerana apabila kita merenung kematian maka bermainlah di benak kita, adakah kita diterima Allah swt atau kita sebenarnya dibenci Allah swt. Orang yang mengingati mati, akan sentiasa melihat kematian di hadapannya, dia tidak takut mati kerana mati adalah jalan bertemu Tuhannya tetapi yang ditakutinya adakah dia diterima Alah swt. Kematian itu pasti, kehidupan itu realiti. Kematian itu abadi, kehidupan itu titi maka berhati-hatilah dalam meniti jangan sampai terjatuh mati kerana ‘kematian’ hati itu punca sepi.

Justeru marilah kita berlatih untuk mati agar kita dapat bersedia menghadapi hari yang mana hanya kita yang mengetahui sakit tak terperi. Jika kita berlatih setiap hari dalam menyediakan diri, insya Allah kita siap untuk berdikari. Tetapi harus kita ingat persedian itu berbentuk fizikal yang paling penting adalah ikatan rasa justeru itu awal sifat dua puluh itu wujud… merasa kewujudan Allah swt. Latihan fizikal yang perlu untuk kita menghadapi mati adalah solat. Mengapa? Cuba kita renung kembali, selain orang solat siapakah yang melakukan qiam… jawapannya orang yang meninggal.

Maka falfasah paling mudah untuk kita lihat dalam solat itu adalah melatih kita untuk mati. Maka solat itu penuh ketenangan dan jika kita mampu melaksanakan solat dengan penuh kualiti maka kita akan dapat melihat erti kematian dan kita akan mula merasa perlunya mengingati kematian. Orang yang bijak akan sentiasa mengingati hari matinya, kerana ianya akan membawa mereka untuk lebih mencintai Allah swt. Solat itu jalan mudah untuk merasa kematian justeru seharusnya sebelum solat kita sudah mematikan dunia, kita sudah meninggalkan dunia.

Namun apa yang sering berlaku, kita masih membawa dunia yang penuh masalah ke dalam solat hingga terabai rasa cinta kita dengan Allah swt. Saya sering mengingat diri saya serta mereka yang bersama saya, marilah kita berhati kering dengan dunia tetapi basah dengan cintaNya. Janganlah sampai dunia menjadi tuhan dalam solat kita dan seandainya itu berlaku maka kita sudah pun hampir mati bahkan mungkin sudah mati sebelum ajal. Belajarlah untuk mati lima kali sehari, bertatihlah untuk diri, jangan berlari nanti jatuh lupa diri.

Cinta Ilahi tidak terperi, wajah berseri hidup bererti. Jika cinta sudah terpatri, biar aku mati dari sendiri. Cinta itu sungguh bererti, hidup dan mati ku untuk Ilahi. Semoga kita dapat memulakan langkah mendalami erti kematian dalam solat. Amiin.


Read More......