Tuesday, October 27, 2009

Terapi Solat



Setelah memulakannya sejak beberapa waktu dahulu, kini kaedah terapi solat yang saya kembangkan sudah mula di terima oleh masyarakat Malaysia. Kira-kira dua tahun yang lepas, orang masih hijau tentang terapi solat bahkan mereka merasa takut apabila disebut solat sebagai terapi.


Namun hari ini setiap kali saya mengadakan program sebegini terutamanya dengan masjid-masjid, sambutan yang diberikan cukup luar biasa. Apa yang membanggakan saya adalah masyarakat kita sekarang sudah celik solat. Ianya bukan bermakna masyarakat kita dahulu tidak tahu melaksanakan solat tetapi mereka dahulu tidak tahu mengapa mereka perlu solat dari sudut sains minda. Dahulu mungkin, mereka merasakan untuk mengecapi apa yang dipanggil khusyuk itu sukar sekali bahkan ada yang mengatakan yang kita di akhiur zaman tidak mungkin akan khusyuk. Hal ini amat saya sangkal kerana jika kita benar-benar faham mengapa Allah swt memberi solat kepada kita maka kita akan pasti tahu bagaimana juga untuk merasakannya dengan benar.

Saya berpandangan solat tanpa rasa sama seperti lauk tiada rasa akhirnya makan tiada selera, badan merana. Justeru itu tagline yang dipakai untuk terapi solat adalah SOLAT ADALAH PUNCAK MEDITASI, KUNCI KEHIDUPAN… SENJATA ROHANI. Saya pernah menulis artikel tentang khusyuk itu mudah namun mungkin ketika itu persoalan tentang solat belum begitu kukuh dalam benak kita maka hari ini saya ingin menjawab soalan-soalan yang senada yang dilontarkan oleh pengirim-pengirim email berkenaan terapi solat. Soalan yang pertama, mengapa sudah lama tidak diadakan bengkel terapi solat? Hal ini kerana saya agak terikat dengan program terapi solat yang diadakan di masjid-masjid serta di jabatan-jabatan kerajaan. Namun hal ini sudah dapat di atasi kerana pihak kami telah menyusun kembali jadual program agar ianya dapat disertai oleh orang ramai. Kami juga sedang menambahbaik website sedia ada untuk kemudahan pengunjung mendapatkan informasi tentang terapi solat.

Soalan seterusnya yang sering diajukan adalah tentang pengisiannya. Dalam hal ini, hari pertama pastinya berkisar tentang pembersihan jiwa melalui kaedah meditasi Islam atau tafakur yang sudah saya kembangkan sejak tahun 2002. Ianya akan melatih kita untuk membuat apa yang saya panggil memory editing atau menyusun kembali memori. Bagi saya hari pertama cukup penting kerana pada hari tersebutlah kita akan mengetahui mengapa selama ini apabila kita solat kita sering teringatkan pelbagai hal dan bagaimana untuk memberhentikan serangan-serangan minda minda agar kita tenteram, penuh tumpuan secara praktikal dan efektif tanpa menyusahkan. Hari pertama juga mengupas teknik minda super sedar dalam membentuk hubungan akrab antara kita dan Allah swt. Manakala pada hari kedua akan dirungkai keseluruhan rahsia solat, bermula dari rahsia azan, terapi wuduk, sejarah solat dan perlaksanaannya. Semuanya dikupas dari sudut sains minda.

Sebenarnya solat jika difahami dengan benar adalah mudah untuk DIKUASAI akan tetapi dek kerana kita sering menggunakan bahasa pasar dalam perbualan harian dan para ilmuwan pula menggunakan bahasa ilmu maka penyampaian ilmu menjadi tidak sempurna, justeru itu saya lebih banyak menggunakan bahasa pasar yang sudah lama kita gunakan agar pemahaman yang jitu dapat ditanam. Contohnya istilah khusyuk, ramai yang ingin khusyuk namun apabila ditanya apakah erti sebenar khusyuk, kebanyakan jawapan tersasar jauh dari erti sebenar khusyuk. Dalam program atau bengkel terapi solat, saya menyatakan bahawa khusyuk itu sebenarnya asyik. Nah selama ini kita sibuk untuk mencari khusyuk dan apa yang pasti ianya cukup sukar kerana yang mencari itu sendiri tidak mengerti apa yang diistilahkan khusyuk. Bukankah lebih mudah untuk menceritakan khusyuk itu sama maknanya seperti asyik. Bukankah ramai yang lebih memahaminya. Jika sudah kita faham benar istilah khusyuk barulah kita akan mudah faham akan kesilapan kita selama ini.

Jika selama ini khusyuk yang kita cari maka dengan sendirinya solat akan menjadi satu bebanan minda dan oleh kerana itu kita sering melihat orang yang kelihatannya menjaga solatnya tetapi masih mempunyai ego yang tinggi, sikap pemarah, dan hal-hal yang tidak menepati khasiat solat yang menegah dari kemungkaran. Bukankah pemarah itu satu dari berjenis-jenis mungkar kerana seharusnya mereka yang bersolat akan mempunyai ketenterama jiwa yang tinggi. Dalam hari pertama juga, kita akan sedar bahawa yang perlu dicari adalah merasa keberadaan Allah swt kerana hari ini kita kata Allah swt itu wujud tetapi kita tidak pernah merasakannya. Apabila rasa itu sudah dibenih, maka asyik akan timbul dengan sendiri, otomatik bukan paksaan. Saya suka mengungkap kata-kata seorang trainer saya, saudara Sham, katanya kita sering keliru dengan ungkapan bekerjalah seperti kita akan hidup seribu tahun lagi dan beramallah seperti kita akan mati pada esok hari.

Katanya kesalahan yang sering kita bawa adalah kita bekerja bersungguh-sungguh walhal jika kita faham kita akan hidup seribu tahun lagi, kita tidak perlu bekerja hingga merosakkan tubuh hingga sanggup memohon tambahan waktu kepada 24 jam yang sudah dikurniakan. Jika kita dapat memahami ini dengan jelas maka barulah kita dapat beramal seperti kita akan mati keesokan hari. Pastinya kita tidak mahu meninggalkan amal walau sesaat dan pastinya kita akan melakukan dengan penuh kualiti. Saya bersetuju akan hal ini dan insya Allah akan kita sama-sama kupas erti tersirat yang sebenar dalam ungkapan di di artikel masa hadapan agar tiada kesalahafaman dalam melihatnya sebagai elemen motivasi. Semoga huraian ringkas ini dapat menjawab emel-emel yang diterima dan insya Allah jadual akan diwartakan di website kami.


Read More......

Friday, October 16, 2009

Sumpah Orang Minyak


Whatever you have in your mind - forget it, Whatever you have in your hand - give it, Whatever is to be your fate - face it . (abu sa'id)


Sewaktu menonton cerita lama berjudul sumpah orang minyak saya tersenyum sendiri bahkan saya jika orang minyak tersebut berada pada hari ini pastinya dia menyesal dengan ilmunya. Jika pada waktu itu dia mungkin boleh berbangga dengan ilmunya namun sekarang orang minyak juga sudah mula pening kepala. Semuanya gara-gara minyak di pasaran dunia meningkat dari masa ke semasa, justeru dia pastinya akan terasa bahangnya kerana dia perlukan minyak untuk ilmunya walaupun bukan petrol atau diesel tetapi bahang harga pasti terasa.

Bermula pada hari minyak dinaikkan hinggalah ke hari ini ianya masih menjadi topik hangat bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia. Pada setiap ketika kita akan mendengar orang mengeluh tentang minyak. Saya memberitahu peserta saya baru-baru ini yang gaji mereka pada bulan ini adalah wang sumpahan. “Mengapa pulak?” Tanya salah seorang dari mereka. Inilah halyang sering diambil ringan oleh manusia. Kita sering bercerita tentang duit dan apabila kita bercerita tentang duit pasti topik hangat ialah duit tidak cukup. Dalam program saya, sifat dan sikap duit ini harus kita ketahui sebelum kita asyik bercerita tentang duit kerana apabila bercerita tentang duit hasilnya selalu emosi murahan yang sering mendatangkan keluhan dan rungutan. Semakin hari kita merasakan kita sentiasa dihimpit oleh kesengsaraan yang diakibatkan oleh duit. Biarpun mereka berduit, mereka akan tetap memikirkan duit yang tidak pernah cukup dan tidak akan cukup. Apatah lagi bila hal berkait minyak kini berlaku.

Mengapa saya katakana gaji pada ketika harga minyak dinaikkan adalah merupakan wang sumpahan. Cuba kita lihat satu senario yang mudah, pada suatu hari seorang pemuda yang hidupnya serba sederhana. Setiap hari dia akan ke pejabat untuk mencari nafkah dan setiap bulan dia akan menerima imbuhan hasil kerjanya. Imbuhan tersebut digunakan untuk menyara kehidupannya sekeluarga. Dia merasakan apa yang diperolehinya cukup untuk mereka sekeluarga. Tetapi pada suatu hari dia dikejutkan dengan satu berita gempar. Harga minyak naik 41%, dia mula risau dengan keadaan itu. Sikapnya yang dahulu pendiam kini mula berubah, dia banyak membebel tentang gajinya yang tidak cukup, bukan itu sahaja,dia kini tidak lagi seperti dahulu,dia kini menjadi seorang yang bengis. Jika dahulu sewaktu mahu ke pejabat dia akan tersenyum ke tempat dia mencari nafkah tetapi sekarang setiap pagi dia akan merengus kerana menurutnya wangnya akan kurang dan hidupnya akan menjadi susah.

Dia menjalani satu kehidupan yang tidak tenang selama beberapa minggu hinggalah sewaktu dia mendapat gajinya. Sewaktu mendapat gajinya pada bulan tersebut dia mulanya gembira, hilang seketika apa yang selama ini dirunsingkan namun cerianya hanya seketika, dia telah mendapat sakit demam panas dan terpaksa ke pusat kesihatan berhampiran rumahnya. “dah lah duit makin kurang sakit pulak tu” dia melepaskan rasa geramnya. Setelah sihat dia kembali bekerja, selang beberapa hari isterinya pula jatuh sakit, sekali lagi dia menyumpah seranah keadaannya. Dia mula berkata, ”macamana nak menyimpan kalau hari hari asyik keluar,ini semua salah minyak”. Hatinya panas mengenangkan duitnya yang makin berkurangan. Dan dipendekkan cerita akhirnya pada bulan itu duitnya memang terus tidak mencukupi dan ianya berlarutan hingga dia terpaksa memikirkan jalan keluar. Apakah moral cerita yang ingin saya sampaikan. Mudah sahaja, jangan menyumpah duit kerana duit yang disumpah itu jugalah yang akan menjadi bahan tukaran untuk makanan dan kehidupan kita.

Jika kita menyumpah duit yang ada dengan kata-kata nista, maka duit yang disumpah itu sebenarnya bakal mempunyai energi negatif dan apabila energi tersebut masuk menyerap ke tubuh kita maka kita akan menjadi negatif. Contoh paling mudah dan paling sering kita dengar ialah apabila orang yang memenangi nombor ekor dan menggunakan wangnya untuk membeli kereta, sering kita dengar ialah kereta tersebut akan mengalami kemalangan. Mengapa terjadinya kecelakaan sebegitu, nanti kita pasti mendengar jawapannya wang itu wang judi jadi wang itu panas. Benar namun apakah penjelasana kepada `kepanasan’ wang tersebut. Wang sebenarnya adalah bahan sumpahanyang sekian lama disumpah, bukan makhluk lain yang menyumpah tetapi manusia. Jika seseorang itu mendapat wang judi yang dimenangi dengan nombor 1234 misalnya, maka mereka yang membeli nombor 1233 atau mana nombor yang menghampiri nombor tersebut akan berkata, “celaka sikit lagi aku kena”.

Kata-kata ini merupakan satu sumpahan kepada wang yang dimenangi oleh penjudi yang memiliki 1234. cuba kita bayangkan jika ada sepuluh ribu orang yang berkata demikian, bukankah si penjudi tersebut sekarang memliki wang yang bernama celaka, denagn wang yang bernama celaka dia membeli makanan atau apa yang dia hajati selama ini. Secara tidak langsung barangan yang dia beli juga juga lahir dari wang celaka, ibarat seorang anak lahir lalu dibinkan dengan celaka. Jika makan makan makanan itu juga pasti bernama celaka,apabila makanan celaka ini masuk ke dalam tubuh maka tubuhnya juga menjadi celaka. Justeru itu dia juga akan mendapat celaka. Hal wang itu bukan tertakluk pada skop yang kecil yang melibatkan perjudian bahkan segalanya. Minyak umpamanya, jika hari-hari merungut dan setiap kali pergi ke stesen minyak kita akan berkata, ”hai susahnya sekarang…” maka itu menandakan duit yang kita bayar kepada si empunya station itu namanya susah.

Duit susah ini pula dimasukkan ke dalam bank damn akhirnya kita gunakan kembali. Maka akhirnya kita akan mengalami kesusahan. Oleh yang demikian itu saya mengatakan ianya adalah wang sumpahan. Untuk bulan ini amat sukar bagi kita untuk mencari mereka yang tidak mengeluh, memaki atau berkata negatif tentang duit walaupun mereka kata mereka tidak melakukan demikian kepada duit tetapi secara tidak langsung apabila minyak diperkatakan ianya juga adalah sebahagian dari duit. Jadi saya menyeru kepada para pembaca mulai hari ini kita sama-sama untuk berhenti menyumpah apa yang kita guna untuk membeli barangan kerana wang sebenarnya telah lama menjadi bahan sumpahan maka tidak perlulah untuk kita menambah energi negatif yang ada. Kita bukan sahaja bakal merosakkan diri kita bahkan generasi akan datang kerana setiap makanan yang kita beli itu akan menjadi darah daging dan ia akan membentuk satuk generasi yang sudah terpateri energi negatif.

Mungkin ada yang bertanya bagaimana pula untuk meneutralkan energi negatif yang yang sudah terpatri dalam kertas yang digelar duit itu. Islam itu amat mudah bagi mereka yang memahami dan amat sukar bagi mereka yang suka untuk menyukarkan. Bagi saya cara paling mudah untuk mereka yang belum menghadiri program saya ialah dengan berselawat. Sebelum kita gunapakai wang tersebut kita perlulah berselawat. Mungkin masih ada lagi yang bertanya, berapa kali perlu kita lakukan selawat. Ini adalah hakikat jiwa, jika kita melakukankan dengan bibir maka ianya tidak menusuk dan mengubah banyak namun jika kita lakukan dengan jiwa maka ianya insya Allah akan berubah. Dalam super sedar bilangan tidak menjanjikan apa-apa tetapi keikhlasan memberi satu momentum yang sukar diterjemahkan dengan bahasa.

Seperkara lagi, mulai hari ini juga berhentilah dari menghipnotis diri kita dengan kata-kata negatif. Contohnya “susahlah sekarang, berniaga pun susah,kerja pun susah…” atau apa jua kata-kata berbentuk negatif. Seharusnya kita bersyukur harga minyak naik kerana itu pastinya juga datang dengan rezeki kerana bagi mereka yang percaya dengan penuh yakin serta bergantung terus kepada Allah swt pasti tiada rasa kebimbangan. Allah swt berfirman bahawa barangsiapa yang bertawakal kepadanya pasti akan cukup keperluannya. Allah swt tidak berfirman jika minyak naik maka kecukupan kita akan dikurangkan. Kita hanya perlu bimbang harga minya jika kita bergantung pada duit untuk hidup dan bukan pada Allah swt. Saya mohon maaf andainya ada kekasaran pada kata-kata saya namun percayalah Allah Swt itu Maha Adil dan tidak akan sekali-kali membebankan hambaNya. Amiin.

Read More......

Thursday, October 8, 2009

Awasi Sifat Ghurur



Semalam saya didatangi oleh seorang kenalan yang membawa temannya yamg ingin bermuzakarah tentang beberapa hal. Saya gemar bermuzakarah kerana di situ akan dapat berbagai pandangan, pengalaman bahkan penambahan ilmu pengetahuan. Namun ada juga yang menjadikan muzakarah sebagai satu medan untuk berdebat demi menunjukkan siapa pandai. Maka pada pandangan saya hal yang sebegitu tidak mendatangkan hasil yang positf malah akan menambahkan permusuhan serta perpecahan. Mereka yang terlibat dalam muzakarah haruslah berfikiran terbuka dalam membentangkan pendapat tanpa ada kebocoran emosi. Apabila emosi bocor maka tercetuslah kemarahan dan ego yang bakal mengeruhkan perbincangan.


Hasilnya kedua-dua pihak akan bertelegah demi memperjuangkan apa yang mereka dipanggil kebenaran. Saya berpegang kepada pesan guru saya, katanya “jangan kamu berdebat-debat walaupun kamu mengetahui kebenaran kerana ianya akan memercikkan api kemarahan yang menjadi magnet kepada syaitan. Berkatalah dengan tuturkata yang baik serta kasih sayang nescaya ia akan membuatkan orang mengakui kebenaran kamu”. Saya mengakui kebenaran kata-katanya kerana jika kita berbicara dalam keadaan marah atau beremosi negatif ia akan mengubah suasana perbualan serta ianya menjadikan kita kurang rasional. Sebaliknya jika kita bercakap dalam dengan emosi positif serta gelombang kasih sayang, orang marah pun akan menjadi tenang. Kenalan teman saya rupanya seorang yang gemar mencari serta mendalami ilmu-ilmu yang berkaitan dengan keagamaan. Orang yang nampak tenang dan tuturkatanya juga teratur. Dia bertanyakan saya satu soalan yang bagi saya amat pelik dan ia merupakan satu soalan di luar jangkaan.

Tanyanya “makam kamu di mana?“ saya agak terkejut dengan soalan tersebut, walaupun memahami apa yang ditanya. Bagi saya oleh kerana soalannya pelik jawapannya harus pelik juga. Saya menjawab “belum booking sebab tak tahu kat mana habis”. Dia kemudian menerangkan maksudnya ialah ingin mengetahui makam atau tempat saya di sisi Tuhan. Sebenarnya soalan ini tidak perlu dijawab kerana itu urusan Allah swt. Saya hanya mendiamkan diri kerana tiada gunanya menjawab soalan yang diutarakan, ianya akan mengundang lebih banyak soalan-soalan bodoh yang tidak perlu dijawab. Oleh kerana saya memberi reaksi yang tidak positif maka sesi perbincangan tidak berjalan dan yang ada hanyalah perbualan kosong. Hal ini mengingatkan saya peri halusnya permainan nafsu yang inginkan seseorang itu merasakan dirinya mulia, alim serta mempunyai darjat yang tinggi di sisi Tuhan. Sifat ini dikenali sebagai ghurur yakni apabila seseorang merasakan dia telah mencapai satu darjat yang tidak tercapai oleh orang lain tetapi sebenarnya mereka ini saya istilahkan sebagai syok sendiri.

Orang yang mudah terjerumus ke dalam sifat ini ialah orang yang dahagakan ilmu tetapi hanya mendalaminya dengan buku-buku serta orang-orang yang telah sediada sifat tersebut. Mereka ini agak sukar dinasihati kerana mereka begitu taksub dengan apa yang mereka baca serta apa yang disampaikan oleh guru mereka. Mereka ini sebenarnya sesat dalam terang. Orang yang sesat dalam gelap mungkin mudah diperbetulkan kerana dalam gelap tiada cahaya dan apabila diperlihatkan cahaya mereka akan pergi ke arah cahaya tersebut. Berlawanan pula bagi mereka yang sesat dalam terang. Mereka ini tidak dapat membezakan yang mana satu cahaya penyuluh ilmu kerana apa yang terlihat adalah cahaya. Justeru apabila mereka dikatakan berada pada landasan yang salah mereka akan cuba pelbagai teknik untuk menegakkan apa yang mereka anggap betul. Saya berpendapat ianya juga salah satu penyakit kejiwaan kerana orang yang bersikap demikian selalunya mahu dipandang tinggi oleh masyarakat. Sifat ini didorong oleh nafsu yang kadangkala kita rasa telahpun kita kalahkan. Perjuangan dalam jihad akbar (memerangi nafsu) akan berakhir ketika kita menghembuskan nafas terakhir.

Apabila kita mengganggap perjuangan menentang nafsu telah berakhir ianya merupakan tanda-tanda kekalahan kita. Sejajar dengan sabda Nabi Muhammad saw bahawa musuh yang paling memusuhimu adalah nafsu kita perlu perlu berhati-hati dengan strategi musuh yang sentiasa mengintai kelemahan kita. Andainya kita leka maka dengan mudah nafsu mempermainkan kita hingga merasakan sesuatu salah itu betul. Orang yang mempunyai sikap ghurur ini sering mengganggap mereka pintar serta berilmu tinggi tetapi hakikatnya mereka berada dalam kebodohan yang amat menakutkan. Ini kerana kebodohan yang tidak mereka sedari bakal membawa mereka ke arah yang lebih menyesatkan. Mereka sering membayangkan hubungan mereka dengan Allah swt bahkan sampai ada yang cuba membayangkan Tuhan tanpa disedari. Ini semua kerana strategi nafsu yang begitu halus. Tubuh badan kita adalah sebuah negara merdeka yang begitu makmur, aman serta hebat namun kehadiran nafsu ke dalam tubuh tanpa di pantau akan menyebabkan negara merdeka ini menjadi huru hara.

Justeru kita perlu mengawasi setiap pintu sempadan agar nafsu – nafsu yang masuk dapat dipantau. Meskipun begitu, harus kita ingat bahawa walaupun dipantau strategi nafsu dalam mengaburi hati kita amat halus hingakan adakalanya kita tidak perasan yang kita telahpun dikuasai nafsu. Cuba kita lihat sewaktu kita kurang tidur atau kepenatan, nafsu amarah sering terserlah pada ketika ini, justeru itu untuk memastikan agar kita dapat memantau nafsu dengan baik kita juga harus menjaga kesihatan tubuh fizikal. Kemantapan perkembangan spiritual yang tidak diimbangi dengan kemantapan tubuh fizikal seringkali akan membawa penurunan kadar kemantapan jiwa. Apabila ini berlaku manusia akan mula merasa tertekan dan sebagainya. Jarang sekali kita mengkaji pemakanan nabi saw yang sepatutnya menjadi panduan kita kerana baginda adalah sebaik-baik contoh. Apabila kita makan makanan yang baik dan halal ianya menyumbang kepada kesihatan tubuh yang baik serta menjana jiwa yang positif. Apabila segalanya positif maka kita akan lebih berfikiran terbuka dan keadaan ini dapat membawa kita ke satu dimensi baru dalam bermuzakarah tentang sesuatu perkara. Jangan jadikan muzakarah sebagai satu medan perang kerana tiada siapapun akan menang malah kedua-dua pihak akan kalah.

Read More......

Tuesday, October 6, 2009

Awas Warna

“Merah sangatlah mak ngah” satu iklan yang cukup popular satu ketika dahulu sampaikan di mana sahaja orang menggunakan iklan itu sebagai bahan perbualan atau bahan usik mengusik. Itulah pengaruh iklan. Namun kali ini saya ingin menyentuh peranan warna dan bukannya iklan. Saya yakin apabila berbicara tentang warna ramai yang faham akan peranan warna dalam kehidupan kita. Setiap hari kita menggunakan warna dari celik mata hingga menutup mata. Setiap dari kita juga mempunyai warna-warna kegemaran yang tersendiri.
Cerita tentang warna ini juga berlaku kepada saya. Beberapa hari lepas saya melihat powerpoint seorang teman untuk member komen. Kami berbincang mengenainya dan diam tak diam perbincangan tersebut membawa kami hingga ke tengahari. Selepas membetulkan apa yang patut, kami mengakhiri perjumpaan kami dengan keluar makan tengahari. Cuaca yang begitu panas menyebabkan kami mencari tempat makan yang mempunyai pendingin hawa. Cuaca yang panas juga mampu mengubah perwatakan kita.


Apabila kita berada dalam situasi yang panas maka biokimia tubuh mula bereaksi dan hasilnya kita mungkin mudah untuk menjadi seorang pemarah atau seorang yang kurang rasional. Justeru untuk mengimbangi keadaan yang sememangnya berada di luar kawalan kita, saya menambah jumlah air yang saya minum setiap hari. Jika anda merasakan keresahan yang tidak menentu, kemarahan yang tak tahu apa puncanya atau perubahan sikap, ianya mungkin juga disebabkan cuaca yang begitu memeritkan, cubalah banyakkan minum air supaya dapat mengimbang suhu luaran dari mempengaruhi watak anda. Selesai makan tengahari saya bergegas kembali ke pejabat kerana ada sahabat yang datang. Tak lama selepas saya sampai, sahabat saya pun sampai. Tujuan kedatangannya adalah untuk berbincang tentang satu program yang akan beliau laksanakan tak lama lagi.


Selalunya sahabat saya ini banyak mulutnya, kalau bercakap susahlah untuk berhenti tetapi pada hari tersebut dia lebih banyak diam dan hanya mendengar apa yang saya utarakan. Pertemuan kali ini berlangsung dengan begitu cepat dek kerana hanya saya yang mengutarakan pandangan manakala dia pula memberi respon yang minimal. Setelah semuanya selesai, dia meminta izin untuk pulang. Saya menjadi sedikit hairan kerana dia seorang yang cukup peramah dan selalunya ada sahaja topic untuk dibualkan atau respon yang dilontarkan ketika berbincang. Saya meneruskan kerja yang tertangguh untuk disiapkan dan tak sampai dua jam, sahabat saya tadi menelefon saya. Kesempatan yang ada saya gunakan untuk bertanya samada dia mempunyai masalah yang mungkin dapat saya bantu seupaya saya. “saya ok je… tak de masalah cuma waktu saya datang tadi saya melihat muka kamu cukup garang, adakah kamu sedang memarahi seseorang ketika itu?”


Saya terdiam seketika untuk mengenangkan kembali saat yang dikatakan samada benar atau tidak. Seingat saya saya tidak langsung berada dalam keadaan marah apatah lagi memarahi seseorang. “habis tu kenapa muka garang sangat?” semakin pelik saya mendengra jawapannya. Lalu saya berkata nanti saya lihat kenapa terjadinya begitu. Setelah meletakkan telefon saya membuat satu kronologi. Apa yang saya dapati ialah puncanya powerpoint yang saya perbincangkan dengan teman saya. Bukan kerana ianya satu perbincangan emosi tetapi warna latar belakang powerpoint tersebut adalah warna yang mencetuskan emosi apatah lagi saya merenung powerpoint tersebut untuk melihat beberapa point serta membetulkannya. Hasilnya warna tersebut sudah mula mempengaruhi minda bawah sedar saya dan memori yang ada dapat juga mengubah biokimia tubuh dan akhirnya dipancarkan melalui wajah atau sikap.


Mungkin selama ini kita kurang sedar bahawa warna mempunyai impak yang besar dalam kehidupan kita. Warna kegemaran kita juga melambangkan sikap yang kita ada. Warna itu juga membentuk dalaman diri kita, emosi kita dan kadangkala ianya hingga melibatkan pemakanan. Hari ini saya hanya inigin mengupas satu warna yang perlu diberi perhatian penuh kerana impaknya cukup kuat dan saya sudah melihat mereka yang mempunyai warna ini sebagai warna kegemaran juga mempunyai satu siikap standard iaitu cepat beremosi. Warna yang saya katakana adalah warna merah. Warna merah juga merupakan warna yang garang, warna yang tinggi frekuensinya. Apabila seseorang itu mengambil warna merah sebagai warna kegemaran maka secara tidak langsung dia meransang gelombang otak yang tinggi untuk memnadu hidupnya. Akibatnya mereka cukup beremosi dan seringkali ditemui mereka bersikap pemarah.


Cuba anda lihat teman-teman anda yang menyukai warna merah dan kemudian analisa sikapnya. Merah bukan sahaja mempengaruhi mereka yang gemar akan kehadirannya tetapi mereka yang menggunakannya untuk jangka masa yang panjang, contohnya memakai pakaian merah duduk dalam ruangan merah atau seperti saya merenung warna merah. Hal ini tidak pula bermakna anda perlu membuang warna merah dalam hidup tetapi anda perlu meminimakan pertausan warna tersebut dalam hidup. Contoh dalam pakaian warna merah itu ada tetapi terlalu sedikit makanya warna-warna lain lebih mepengaruhi watak kita ketika itu. Jika anda sering resah atau bermasalah, cuba elakkan warna merah, cuba elakkan baju warna merah penuh.


Untuk melihat kebenaran ini, anda perlu cuba untuk memakai bacu warna merah, atau merenung warna tersebut untk satu jangka masa yang lama. Kemudian perhatikan perubahan yang ada pada anda, anda mungkin menjadi resah, cepat marah, bernada tinggi atau sering melihat keburukan dari kebaikan. Cara mudah untuk mengatasinya adalah dengan membuang warna tersebut dan diganti dengan warna sejuk seperti putih dan lakukan seperti tadi, anda akan berubah menjadi seorang yang lebih relak dan bernada rendah dan tidak tergesa-gesa. Justeru itu awasilah warna pakaian anda hari ini, awasilah warna kegemaran anda kerana warna melambangkan sikap dan warna mempengaruhi sikap.


Read More......