Friday, March 27, 2009

Faktor 95:5


Seperti yang saya katakan dalam posting sebelum ini, saya melihat kejayaan adik Nik Nur Madihah dari dua sudut. Dan sudut yang kedua ialah beliau berada dalam golongan minoriti. Kita mungkin hairan bagaimana kita mengandaikan beliau dalam golongan minoriti sedangkan sepatutnya dia berada dalam kelompok majorti kerana dia berada di tanah tumpah kelahirannya. Benar tidak dinafikan tetapi maksud minoriti itu adalah kumpulan kecil.

Beliau berada dalam kumpulan kecil dan manusia kecil yang tidak punya apa-apa. Jika benar dia berada dalam kumpulan majoriti sudah pasti segala kepayahan hidup beliau sekeluarga sudah lama dihidu dan sudah lama dibantu. Ini jelas sekali dia berada dalam kumpulan minoriti. Berada dalam kumpulan minoriti juga adalah penyumbang kepada kejayaan beliau.

Ini dibuktikan dengan kajian yang sering didengar yang mana 95% dari manusia itu berada dalam kelompok zon selesa. Mereka begitu selesa dengan apa yang mereka ada dan mereka malas untuk kembali bersusah payah kerana bagi mereka cukuplah apa yang mereka ada. Kajian juga menunjukkan bahawa mereka yang berjaya adalah mereka yang berada dalam kelompok 5%.

Mereka ini sentiasa cuba untuk keluar dari batas keupayaan mereka dan sentiasa dahagakan kejayaan dan kepuasan dalam melakukan sesuatu. Apa yang pasti mereka begitu puas dengan hasil kerja mereka dan mereka melakukan setiap perkara itu dengan ghairah.

Saya berani berkata bahawa formula 95:5 ini bukan hanya untuk kejayaan duniawi bahkan ianya juga untuk kejayaan ukhrawi. Jika kita cukup selesa dengan keadaan hubungan kita dengan Allah swt ketika ini maka secara tidak langsung kita berada dalam zon selesa dan tergolong dalam kumpulan 95 yang sebenarnya kemajuannya dirinya terlalu perlahan dan adakalanya tidak maju sama sekali.

Faktor 95:5 ini telah mengubah banyak kehidupan rakyat Malaysia di luar Negara. Kita sering mendengar akan kejayaan pelajar kita di luar Negara dengan kejayaan yang menakjubkan. Kita juga banyak mendengar kisah-kisah perantau yang berjaya, bukan saudara perantau di negara kita tetapi rakyat kita yang menjadi perantau di negara orang.

Hal ini semua terjadi kerana hukum minoriti, apa bila kita berada dalam golongan minoriti kita berada dalam satu keadaan hidup dan mati atau boleh juga dikatakan terdesak. Kita hanya ada dua pilihan samada mahu meneruskan kehidupan atau mati kelaparan.

Justeru kita akan melakukan apa sahaja kerja yang mampu member wang dan yang begitu membezakan golongan majoriti dan minoriti ialah, golongan majoriti sentiasa berfikiran bahawa besok pasti ada wang maka berbelanjalah hari ini kerana wang pasti ada. Akan tetapi bagi golongan minoriti pula berjimatlah semampu mungkin kerana besok belum tentu dapat wang.

Maka sebab inilah kita mendengar jutawan senyap dan kita mendengar rakyat kita yang berbekalan sedikit wang untuk merantau dan akhirnya mencipta nama di Negara orang. Faktor 95: 5 ini juga menceritakan tentang mengapa 9/10 rezeki itu datang dengan berniaga. Ramai orang ingin berniaga kerana memikirkan bahawa 9/10 rezeki itu datang dari perniagaan.

Mereka hanya mengikut tetapi mereka tidak tahu konsep sebenar 9/10. Mengapa 9/10 yang dikatakan 9/10 berada dalam perniagaan, itu yang sepatutnya dikupas. Majoriti rezeki itu berada dalam perniagaan kerana ahli perniagaan itu yang faham konsep ini akan sentiasa duduk dalam kelompok minoriti.

Mereka akan berusaha untuk mendapatkan gaji mereka dan upah kerja mereka bergantungkan kepada perlaksanaan kerja mereka. Mereka benar-benar berserah kepada Allah swt agar dikurniakan rezeki yang melimpah ruah. Mungkin anda berkata, tapi ramai juga yang lupa Tuhan… nah itulah dugaan, kita akan sentiasa mengingat Allah swt sewaktu susah tetapi sewaktu senang kita seperti kacang lupakan kulit bahkan saya suka mengatakan ibarat anjing tersepit yang mana ketika susah merayu-rayu untuk dilepaskan tetapi kemudian bertindak kurang ajar.

Manakala mereka yang bekerja pula berada dalam golongan majoriti kerana kerisauan mereka tentang wang selalu berakhir pada hujung bulan hinggakan adakalanya kita menganggap bahawa tanpa kerja kita tidak mampu hidup dan kita tanpa sedar lebih banyak bergantung dengan majikan dari Tuhan. Maka besar rahmat ekonomi yang merudum ini kerana itu tandanya Allah swt masih mencintai kita.

Sewaktu keadaan ekonomi sebegini, ramai yang mula ingat bahawa Allah swt yang sebenar-benar maha pemberi rezeki dan bukan majikan. Kebergantungan dengan Allah swt menjadi lebih baik kerana kita sudah mula berada dalam golongan minoriti. Maka sentiasalah duduk dalam kelompok mereka yang yakin kekuasaan Allah swt dan juga ingatlah faktor 95:5 untuk kejayaan dunia dan akhirat. Sekali lagi saya mengingatkan diri saya dan para pembaca bahawa setiap masalah itu adalah setiap langkah dalam perjalanan menuju Allah swt.


Read More......

Thursday, March 19, 2009

Tahniah adik Nik Nur Madihah

Kata lawan bagi majoriti adalah minoriti dan itu pastinya diketahui oleh semua orang. Dalam setiap apa yang kita lakukan kita mahukan satu keputusan majoriti agar setiap keputusan itu memihak kepada kita. Jika tidak kita mungkin sahaja berasa kurang senang atau kita mungkin merasa terpinggir.

Sebelum kita pergi lebih jauh, saya ingin mengucapkan tahniah kepada adik Nik Nur Madihah atas kejayaannya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia baru-baru ini. Kehebatannya dalam pelajaran telah berjaya mengubah kehidupan keluarganya sekalipun beliau belum bekerja. Mungkin selepas ini ramai pula yang akan berpuasa sunat untuk menjadi sepertinya. Tetapi kita mungkin lupa beliau berpuasa kerana Allah swt dan atas limpah kurniaNya maka beliau memperolehi apa yang diinginkan.

Amat bagus mencontohi beliau dalam melakukan ibadah tersebut, sekurang-kurangnya belia hari ini mempunyai satu ikon baru untuk dicontohi namun begitu tujuan asal berpuasa itu biarlah kerana Allah swt dan bukan untuk yang lain. Saya berharap agar adik Nik Nur Madihah akan terus menjadi ikon kerana beliau berjaya dan kehebatannya keluar dari kepompong yang selama ini membelenggu dirinya perlu dijadikan satu semangat baru untuk mereka yang bakal menghadapi apa jua masalah kehidupan.

Saya melihat kejayaan adik Nik Nur Madihah dari satu sudut yang berlainan yang mungkin boleh kita bahaskan. Saya melihat kejayaannya atas dua perkara, pertama keyakinannya terhadap Allah swt dan yang kedua ialah beliau berada dalam golongan minoriti. Keyakinan kepada Allah swt adalah merupakan satu perkara penting dalam kehidupan setiap makhluknya dan kita perlu faham tiada satupun perkara yang dijadikan Allah swt untuk kita itu bertujuan untuk mendatangkan kesusahan kerana Allah swt itu maha pengasih dan maha penyayang.

Saya sering memberitahu kepada peserta saya bahawa janganlah kita risau akan masalah kerana ianya adalah sesuatu yang baik untuk kita. Namun kita sering sahaja bersangka buruk terhadap Allah swt… buktinya kita sering sahaja mengeluh dan bertanya mengapalah kita sahaja yang banyak diuji oleh Allah swt. Kita lupa bahawa itu juga adalah tanda-tanda seruan Allah swt kepada kita agar datang segera kepadaNya. Saya sentiasa mengupas konsep innalillahi wa inna ilaihi rojiun dalam apa jua program saya kerana bagi saya itu adalah konsep asas untuk mengubah hidup. Kita perlu mengucapkannya setiap kali ditimpa musibah akan tetapi perkataan musibah itu sendiri kita kurang pasti maksudnya.

Mungkin bagi kita musibah itu adalah kemalangan, kecelakaan atau sesuatu yang mencederakan tetapi jika kita mengupasnya dengan lebih dalam maka musibah itu memberi maksud setiap perkara yang kita tidak suka kepadanya layak dipanggil musibah. Mungkin saya salah namun saya percaya bahawa setiap musibah yang datang menimpa, baik berbentuk masalah mahupun lain, ianya adalah satu titik bermulanya perjalanan rohani setiap manusia. Secara ringkasnya kata-kata saya itu berbunyi begini, setiap perjalanan rohani itu bermula dengan satu masalah, tanpa masalah manusia pasti tidak mampu mengenal dirinya sedangkan kata pujangga barangsiapa yang mengenal dirinya akan mengenal Tuhannya.

Begitulah yang terjadi kepada adik Nik Nur Madihah dalam mengharungi hidupnya. Mungkin satu kelebihannya dia berada sentiasa berada dalam kelompok manusia yang mendalami Islam kerana beliau merupakan pelajar Sekolah Menengah Arab Maahad Muhammadi. Justeru dalam kehidupannya seharian beliau dididik tentang kekuasaan Allah swt. Justeru atas keyakinan yang kuat, beliau kembali kepadaNya dengan melakukan ibadah-ibadah. Itu yang dimaksudkan dengan titik perjalanan rohani. Namun begitu perjalanan rohani kita mungkin juga bertukar menjadi perjalanan nafsu dan ianya buka satu perkara yang mustahil.

Sekiranya kita menghadapi satu masalah ada dua perkara yang akan berlaku, kita menyelesaikan masalah kita dengan Allah swt sebagaimana yang dilakukan oleh adik Nik Nur Madihah atau kita mengikut kata nafsu yang sebenarnya tidak mungkin menyelesaikan masalah kita bahkan sebenarnya tanpa sedar memperbanyakan lagi jumlah masalah yang menimpa. Cukup mudah untuk melihat samada kita mengikut nafsu atau tidak.

Seandainya kita berhadapan dengan masalah, kita terus sahaja merasa runsing dan terus sahaja mencari jalan keluar tanpa mengira samada ianya jalan yang baik atau tidak. Kita secara tidak langsung mula menjauhkan diri dari kasih saying Allah swt. Seharusnya kita perlu berterima kasih dengan Allah swt kerana dengan adanya masalah kita akan lebih mengingati Allah swt.

Namun kita juga perlu menyelesaikan masalah dan bagi mereka yang menjadikan masalah itu satu perjalanan rohani, mereka akan melakukan ibadah yang banyak kerana mereka percaya hanya Allah swt yang mampu menyelesaikan masalah mereka. Mereka akan melakukan apa yang saya panggil total surrender atau menyerah diri bulat-bulat kepadaNya. Mungkin bagi anda yang belum mengikuti program saya akan bertanya bagaimana dengan melakukan total surrender dapat menghilangkan masalah, tetapi jika anda memahami secara praktikal yang dikatakan meyerah diri bulat-bulat itu maka insya Allah anda akan memahami maksud saya.

bersambung….





Read More......

Power Ayat


Manusia ini memang sifatnya alpa dan tergesa-gesa. Kita sering mencari tuhan selain Allah tanpa kita sedar. Hanya sewaktu kita susah barulah kita mengingati Allah swt tetapi setelah kita mula senang kita akan bersama tuhan lain yang bernama nafsu.
Mengapa begitu… masakan tidak, seorang hamba akan sentiasa mengadu kepada Tuhannya kerana dia tidak tahu apa yang bakal terjadi. Kita akan mengadu apabila sakit tetapi apabila senang kita mengadu kepada yang lain.


Terbaru saya ada membaca pandangan tentang ayat-ayat pelaris. Ada yang mengatakan ayat ini yang power dan ada pula yang mengatakan ayat itu lebih power. Tanpa sedar, bukankah kebergantungan seseorang itu telah diletakkan kepada ayat dan bukan kepada Empunya ayat. Siapa yang lebih power, Tuan punya ayat atau ayat itu sendiri… jika Tuan Punya ayat yang power, justeru mengapa tidak kebergantungan itu secara total diberi kepada Pemilik ayat. Bukankah Allah swt yang memiliki ayat-ayatNya lebih power dari power ayat.

Orang mungkin berkata… itu kan ayat Allah swt…

Siapa pula menafikannya namun soalnya kepada siapakah kita bergantung harap… kepada power ayat tersebut atau kepada Pemilik Mutlak ayat tersebut. Bergantung harap kepada Allah swt secara total adalah inti kejayaan dankekuatan yang tiada tandingnya untuk kehidupan.

Saya pernah didatangi orang yang meminta pelaris… saya memberitahunya yang saya tiada apa yang dia minta tetapi pastinya Allah swt ada yang dia hajati. Maka saya memintanya untuk belajar kaedah memperbaiki hubungan kita dengan Allah swt kerana setiap masalah puncanya adalah hubungan kita dengan Allah swt dan penyelesaiannya juga begitu. Alhamdulillah dia dapat mencapai apa yang dia inginkan setelah membetulkan hubungannya dengan Allah swt.

Teori tanpa praktikal itu sia-sia, oleh itu kita wajib mempraktikalkan setiap yang diajar untuk membawa kepada satu perubahan nyata dalam hubungan, percayalah apabila hubungan kita dengan Allah swt terjalin akrab pastinya kita tidak mencari tuhan lain selain Allah swt dan tiada lagi istilah ayat power kerana kita sudahpun mula jatuh cinta dengan Pemilik Mutlak ayat power yang pastinya maha power.

Read More......

Tuesday, March 10, 2009

Bengkel Cinta Hakiki

Read More......