Friday, March 27, 2009

Faktor 95:5


Seperti yang saya katakan dalam posting sebelum ini, saya melihat kejayaan adik Nik Nur Madihah dari dua sudut. Dan sudut yang kedua ialah beliau berada dalam golongan minoriti. Kita mungkin hairan bagaimana kita mengandaikan beliau dalam golongan minoriti sedangkan sepatutnya dia berada dalam kelompok majorti kerana dia berada di tanah tumpah kelahirannya. Benar tidak dinafikan tetapi maksud minoriti itu adalah kumpulan kecil.

Beliau berada dalam kumpulan kecil dan manusia kecil yang tidak punya apa-apa. Jika benar dia berada dalam kumpulan majoriti sudah pasti segala kepayahan hidup beliau sekeluarga sudah lama dihidu dan sudah lama dibantu. Ini jelas sekali dia berada dalam kumpulan minoriti. Berada dalam kumpulan minoriti juga adalah penyumbang kepada kejayaan beliau.

Ini dibuktikan dengan kajian yang sering didengar yang mana 95% dari manusia itu berada dalam kelompok zon selesa. Mereka begitu selesa dengan apa yang mereka ada dan mereka malas untuk kembali bersusah payah kerana bagi mereka cukuplah apa yang mereka ada. Kajian juga menunjukkan bahawa mereka yang berjaya adalah mereka yang berada dalam kelompok 5%.

Mereka ini sentiasa cuba untuk keluar dari batas keupayaan mereka dan sentiasa dahagakan kejayaan dan kepuasan dalam melakukan sesuatu. Apa yang pasti mereka begitu puas dengan hasil kerja mereka dan mereka melakukan setiap perkara itu dengan ghairah.

Saya berani berkata bahawa formula 95:5 ini bukan hanya untuk kejayaan duniawi bahkan ianya juga untuk kejayaan ukhrawi. Jika kita cukup selesa dengan keadaan hubungan kita dengan Allah swt ketika ini maka secara tidak langsung kita berada dalam zon selesa dan tergolong dalam kumpulan 95 yang sebenarnya kemajuannya dirinya terlalu perlahan dan adakalanya tidak maju sama sekali.

Faktor 95:5 ini telah mengubah banyak kehidupan rakyat Malaysia di luar Negara. Kita sering mendengar akan kejayaan pelajar kita di luar Negara dengan kejayaan yang menakjubkan. Kita juga banyak mendengar kisah-kisah perantau yang berjaya, bukan saudara perantau di negara kita tetapi rakyat kita yang menjadi perantau di negara orang.

Hal ini semua terjadi kerana hukum minoriti, apa bila kita berada dalam golongan minoriti kita berada dalam satu keadaan hidup dan mati atau boleh juga dikatakan terdesak. Kita hanya ada dua pilihan samada mahu meneruskan kehidupan atau mati kelaparan.

Justeru kita akan melakukan apa sahaja kerja yang mampu member wang dan yang begitu membezakan golongan majoriti dan minoriti ialah, golongan majoriti sentiasa berfikiran bahawa besok pasti ada wang maka berbelanjalah hari ini kerana wang pasti ada. Akan tetapi bagi golongan minoriti pula berjimatlah semampu mungkin kerana besok belum tentu dapat wang.

Maka sebab inilah kita mendengar jutawan senyap dan kita mendengar rakyat kita yang berbekalan sedikit wang untuk merantau dan akhirnya mencipta nama di Negara orang. Faktor 95: 5 ini juga menceritakan tentang mengapa 9/10 rezeki itu datang dengan berniaga. Ramai orang ingin berniaga kerana memikirkan bahawa 9/10 rezeki itu datang dari perniagaan.

Mereka hanya mengikut tetapi mereka tidak tahu konsep sebenar 9/10. Mengapa 9/10 yang dikatakan 9/10 berada dalam perniagaan, itu yang sepatutnya dikupas. Majoriti rezeki itu berada dalam perniagaan kerana ahli perniagaan itu yang faham konsep ini akan sentiasa duduk dalam kelompok minoriti.

Mereka akan berusaha untuk mendapatkan gaji mereka dan upah kerja mereka bergantungkan kepada perlaksanaan kerja mereka. Mereka benar-benar berserah kepada Allah swt agar dikurniakan rezeki yang melimpah ruah. Mungkin anda berkata, tapi ramai juga yang lupa Tuhan… nah itulah dugaan, kita akan sentiasa mengingat Allah swt sewaktu susah tetapi sewaktu senang kita seperti kacang lupakan kulit bahkan saya suka mengatakan ibarat anjing tersepit yang mana ketika susah merayu-rayu untuk dilepaskan tetapi kemudian bertindak kurang ajar.

Manakala mereka yang bekerja pula berada dalam golongan majoriti kerana kerisauan mereka tentang wang selalu berakhir pada hujung bulan hinggakan adakalanya kita menganggap bahawa tanpa kerja kita tidak mampu hidup dan kita tanpa sedar lebih banyak bergantung dengan majikan dari Tuhan. Maka besar rahmat ekonomi yang merudum ini kerana itu tandanya Allah swt masih mencintai kita.

Sewaktu keadaan ekonomi sebegini, ramai yang mula ingat bahawa Allah swt yang sebenar-benar maha pemberi rezeki dan bukan majikan. Kebergantungan dengan Allah swt menjadi lebih baik kerana kita sudah mula berada dalam golongan minoriti. Maka sentiasalah duduk dalam kelompok mereka yang yakin kekuasaan Allah swt dan juga ingatlah faktor 95:5 untuk kejayaan dunia dan akhirat. Sekali lagi saya mengingatkan diri saya dan para pembaca bahawa setiap masalah itu adalah setiap langkah dalam perjalanan menuju Allah swt.