Thursday, March 19, 2009

Tahniah adik Nik Nur Madihah

Kata lawan bagi majoriti adalah minoriti dan itu pastinya diketahui oleh semua orang. Dalam setiap apa yang kita lakukan kita mahukan satu keputusan majoriti agar setiap keputusan itu memihak kepada kita. Jika tidak kita mungkin sahaja berasa kurang senang atau kita mungkin merasa terpinggir.

Sebelum kita pergi lebih jauh, saya ingin mengucapkan tahniah kepada adik Nik Nur Madihah atas kejayaannya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia baru-baru ini. Kehebatannya dalam pelajaran telah berjaya mengubah kehidupan keluarganya sekalipun beliau belum bekerja. Mungkin selepas ini ramai pula yang akan berpuasa sunat untuk menjadi sepertinya. Tetapi kita mungkin lupa beliau berpuasa kerana Allah swt dan atas limpah kurniaNya maka beliau memperolehi apa yang diinginkan.

Amat bagus mencontohi beliau dalam melakukan ibadah tersebut, sekurang-kurangnya belia hari ini mempunyai satu ikon baru untuk dicontohi namun begitu tujuan asal berpuasa itu biarlah kerana Allah swt dan bukan untuk yang lain. Saya berharap agar adik Nik Nur Madihah akan terus menjadi ikon kerana beliau berjaya dan kehebatannya keluar dari kepompong yang selama ini membelenggu dirinya perlu dijadikan satu semangat baru untuk mereka yang bakal menghadapi apa jua masalah kehidupan.

Saya melihat kejayaan adik Nik Nur Madihah dari satu sudut yang berlainan yang mungkin boleh kita bahaskan. Saya melihat kejayaannya atas dua perkara, pertama keyakinannya terhadap Allah swt dan yang kedua ialah beliau berada dalam golongan minoriti. Keyakinan kepada Allah swt adalah merupakan satu perkara penting dalam kehidupan setiap makhluknya dan kita perlu faham tiada satupun perkara yang dijadikan Allah swt untuk kita itu bertujuan untuk mendatangkan kesusahan kerana Allah swt itu maha pengasih dan maha penyayang.

Saya sering memberitahu kepada peserta saya bahawa janganlah kita risau akan masalah kerana ianya adalah sesuatu yang baik untuk kita. Namun kita sering sahaja bersangka buruk terhadap Allah swt… buktinya kita sering sahaja mengeluh dan bertanya mengapalah kita sahaja yang banyak diuji oleh Allah swt. Kita lupa bahawa itu juga adalah tanda-tanda seruan Allah swt kepada kita agar datang segera kepadaNya. Saya sentiasa mengupas konsep innalillahi wa inna ilaihi rojiun dalam apa jua program saya kerana bagi saya itu adalah konsep asas untuk mengubah hidup. Kita perlu mengucapkannya setiap kali ditimpa musibah akan tetapi perkataan musibah itu sendiri kita kurang pasti maksudnya.

Mungkin bagi kita musibah itu adalah kemalangan, kecelakaan atau sesuatu yang mencederakan tetapi jika kita mengupasnya dengan lebih dalam maka musibah itu memberi maksud setiap perkara yang kita tidak suka kepadanya layak dipanggil musibah. Mungkin saya salah namun saya percaya bahawa setiap musibah yang datang menimpa, baik berbentuk masalah mahupun lain, ianya adalah satu titik bermulanya perjalanan rohani setiap manusia. Secara ringkasnya kata-kata saya itu berbunyi begini, setiap perjalanan rohani itu bermula dengan satu masalah, tanpa masalah manusia pasti tidak mampu mengenal dirinya sedangkan kata pujangga barangsiapa yang mengenal dirinya akan mengenal Tuhannya.

Begitulah yang terjadi kepada adik Nik Nur Madihah dalam mengharungi hidupnya. Mungkin satu kelebihannya dia berada sentiasa berada dalam kelompok manusia yang mendalami Islam kerana beliau merupakan pelajar Sekolah Menengah Arab Maahad Muhammadi. Justeru dalam kehidupannya seharian beliau dididik tentang kekuasaan Allah swt. Justeru atas keyakinan yang kuat, beliau kembali kepadaNya dengan melakukan ibadah-ibadah. Itu yang dimaksudkan dengan titik perjalanan rohani. Namun begitu perjalanan rohani kita mungkin juga bertukar menjadi perjalanan nafsu dan ianya buka satu perkara yang mustahil.

Sekiranya kita menghadapi satu masalah ada dua perkara yang akan berlaku, kita menyelesaikan masalah kita dengan Allah swt sebagaimana yang dilakukan oleh adik Nik Nur Madihah atau kita mengikut kata nafsu yang sebenarnya tidak mungkin menyelesaikan masalah kita bahkan sebenarnya tanpa sedar memperbanyakan lagi jumlah masalah yang menimpa. Cukup mudah untuk melihat samada kita mengikut nafsu atau tidak.

Seandainya kita berhadapan dengan masalah, kita terus sahaja merasa runsing dan terus sahaja mencari jalan keluar tanpa mengira samada ianya jalan yang baik atau tidak. Kita secara tidak langsung mula menjauhkan diri dari kasih saying Allah swt. Seharusnya kita perlu berterima kasih dengan Allah swt kerana dengan adanya masalah kita akan lebih mengingati Allah swt.

Namun kita juga perlu menyelesaikan masalah dan bagi mereka yang menjadikan masalah itu satu perjalanan rohani, mereka akan melakukan ibadah yang banyak kerana mereka percaya hanya Allah swt yang mampu menyelesaikan masalah mereka. Mereka akan melakukan apa yang saya panggil total surrender atau menyerah diri bulat-bulat kepadaNya. Mungkin bagi anda yang belum mengikuti program saya akan bertanya bagaimana dengan melakukan total surrender dapat menghilangkan masalah, tetapi jika anda memahami secara praktikal yang dikatakan meyerah diri bulat-bulat itu maka insya Allah anda akan memahami maksud saya.

bersambung….