Sunday, June 29, 2008

Semua Orang Punya Hak Untuk Bahagia


“semoga anda berbahagia selalu” salah satu ungkapan yang sering menjadi hiasan bibir manusia. Ramai yang mahukan kebahagiaan. Ramai yang bercita-cita untuk hidup bahagia hingga ke akhir hayat. Pendek kata, kebahagian adalah merupakan harapan setiap insane di dunia ini. Setiap orang cuba dengan caranya tersendiri agar harapan untuk bahagia dicapai kerana tiada siapa yang inginkan penderitaan. Tetapi apakah erti sebuah kebahagian kepada seseorang. Bagai orang yang tidak punya harta, menjadi hartawan itu satu kebahagian, bagi mereka yang sakit, sembuh itu bahagia dan bagi yang belum berkahwin, kebahagian itu bermakna dapat menjalinkan ikatan yang sah. Tidak kira apa pun jua takrifan anda, kesimpulan yang dapat dibuat ialah bahagia itu sebenarnya satu perkara yang subjektif.

Sejak terciptanya manusia kebahagian mula menjadi satu pencarian. Pencarian yang sering juga membawa ke lembah duka nestapa. Pencarian yang kadangkala tidak punya destinasi, terbiar sendiri tanpa tahu di mana duduknya kebahagian. Ada yang beranggapan kehidupan yang mewah itu bahagia dan ada yang mengatakan tidak. Justeru, di mana dudknya kebahgian itu sebenarnya.

Dalam bahagia itu ada duka dan dalam duka itu kadangkala timbul bahagia. Dalam bising ada diam dan dalam diam ada bising. Mengapa kebahagian itu sering datang dan pergi, ia boleh datang tanpa diundang dan sering juga ia hilang ketika diperlukan. Ada orang yang sering menyalahkan takdir apabila dirundung malang. Katanya takdir telah menyebabkan dia menjadi malang. Tanpa sedar sebenarnya dia telahpun menyalahkan yang maha mencipta. Sebenarnya kita sering disajikan dengan pelbagai pilihan hidup tetapi harapan kita seringkali menjadi penyebab berlakunya ketidakbahagiaan. Tanpa sedar manusia sebenarnya selalu dipermainkan oleh harapan. Oleh kerana kita mengharap maka apa jua pandangan dan langkah yang sepatutnya diambil terlepas pandang. Apa yang menakutkan ialah harapan telahpun menjadi jurutunjuk kehidupan.

Cuba kita sama-sama renungkan berapa kali harapan menjadi jurutunjuk dalam kehidupan kita dan berapa kali petunjuk itu adalah satu petunjuk yang tepat. Jangan salah faham harapan dan intuisi adalah dua perkara yang tidak kena mengena. Jika anda mempunyai intuisi yang tinggi maka kebanyakan tindak tanduk anda dipengaruhi oleh intuisi dan intuisi ini sememangnya wujud pada setiap anak Adam. Namun sebaliknya jika anda memilih harapan yang menggunung menjadi penentu tindak tanduk keputusan anda maka seringkali juga anda terjerumus ke jurang yang dalam. Maka bermulalah era kekecewaan menguasai diri. Kekecewaan yang mendalam akan membinasakan seseorang itu secara mental terutama sekali apabila kekecewaan itu dipendam tanpa diluahkan.

Seorang hamba Allah datang berjumpa saya untuk mendapatkan pandangan. Katanya pandangan pihak ketiga perlu sebagai bahan untuk menilai setiap keputusannya. Dia tidak perlu mengikut keseluruhan pandangan cuma katanya lagi ianya membantu beliau untuk melihat ruang-ruang yang adakalanya terlepas pandang. Dia dahulunya seorang periang dan amat terkenal dikalangan rakan-rakannya sebagai suka tersenyum. Namun siapa sangka tiba-tiba masalah yang menimpa dirinya datang dari satu arah yang tidak disangka-sangka. Dia dilontarkan pelbagai fitnah yang tidak mampu baginya untuk melawannya. Ketika itu melarikan diri itu fikirnya adalah jalan yang terbaik. Maka dengan hati yang nekad beliau lari meninggalkan daerah yang telah banyak memberikan kelukaan di hatinya dan pergi ke ibu kota. Di kota yang terkenal dengan sepak terajangnya, nasib beliau baik apabila dapat berkenalan dengan satu keluarga yang menganggapnya sebagai anak angkat. Layanan yang diberikan oleh keluarga ini amat baik sekali apatah lagi keluarga ini tidak mempunyai anak perempuan, kesemuanya lelaki. Maka berlimpahlah kasih sayang si ibu bapa angkat ini tadi. Dalam diam ada diantara anak lelaki keluarga angkatnya menaruh hati terhadapnya. Bagi si hamba Allah layanan yang baik itu diterima dan lamaran si lelaki untuk memperisterikannya juga mungkin satu jalan untuk menikmati kebahagian yang sudah agak lama menyepi dari hidupnya.

Atas persetujuan kedua pihak maka jadilah mereka sepasang suami isteri yang kelihatannya seperti bahagia. Seperti biasa setiap pasangan mendambakan kemanisan hidup berumahtangga namun adakalanya apa yang menjadi menjadi dambaan belum tentu kesampaian. Begitu juga dengan pasangan tersebut. Si isteri merasakan ada sesuatu yang hilang dalam hubunagn mereka. Setelah puas direnung maka beliau menafsirkan bahawa kasih sayang yang terjalin itu bukanlah kasih sayang murni tetapi ianya tanpa sedar atas dasar melarikan diri dari masalah. Sememangnya mereka kelihatan seperti bahagia namun, jika dikaji dari segi istilah kebahagian itu kepada hamba Allah yang menemui saya itu, dia masih belum menemui erti kebahagian yang sebenarnya. Apatah lagi suaminya seorang yang tidak suka memperlihatkan nilai kasih sayangnya.

Kisah ini juga dapat memberi satu gambaran bahawa kebahagian itu bukanlah sesuatu yang terlihat dari penampilan fizikal yang kadangkala berbentuk kosmetik. Tetapi kebahagian itu ialah sejenis perasaan yang datangnya dari jiwa seseorang. Kegembiraan itu juga belum lagi layak digelar bahagia kerana boleh jadi juga ketika gembira itu jiwa seseorang itu masih bergolak. Justeru jika ingin membicarakan tentang kebahagian maka ianya secara tidak langsung membicarakan tentang jiwa. Yang bahagia itu bukanlah fikiran, yang bahagia itu jiwa. Kebahagian juga pada saya berkait rapat dengan kepuasan dan ketenangan. Jika kita hanya kelihatan tenang tetapi tidak puas maka tidak pula timbul kebahagian kerana tiada unsur kegembiraan hakiki. Jika sesuatu perkara itu mampu menyebabkan anda merasa tenang yang hening maka itu adalah kebahagian.

Masing-masing mempunyai definisi tersendiri tentang apa yang dikatakan bahagia tetapi apa yang pastinya ianya ia bukanlah satu faktor luaran. Faktor luaran itu hanyalah pelambangan kehidupan tetapi bukan pelambangan kebahagian. Justeru kita perlu tahu san kenal benar dengan diri kita agar kita tidak mengecapi kebahagian kosmetik yang hanya cantik buat seketika tetapi akhirnya pudar dimakan masa. Membuat keputusan merupakan elemen terpenting dalam mencapai kebahagian jangka panjang. Lihat sahaja hamba Allah yang saya ceritakan tadi, keputusan beliau dalam mengejar kebahagaian yang pada awalnya begitu terserlah akhirnya menjerat dirinya ke satu dilemma. Hanya setelah sekian lama barulah beliau dapat menyedari hakikat kebahagian yang selama ini terlepas pandang dek kerana kekusutan emosi.

Belajarlah untuk tidak membuat keputusan sebelum meminta petunjuk dari Allah swt. Kadang kala apa yang kita lihat berlian pada awalnya mungkin bakal menjadi kaca akhirnya dan begitu juga sebaliknya. Hasil petunjuk dari Ilahi tidak sekali-kali salah kerana Dia Maha Sempurna cuma kita juga perlu ikhlas dalam menerima petunjuknya dan ikhlas terhadap diri sendiri. Selalulah mengukir senyuman walaupun kita dirundung duka secara emosi. Apabila keadaan sekeliling mula mengukir senyuman insyaAllah jalan keluar akan kelihatan. Memang sukar kerana kita ibarat lilin yang membakar diri tetapi hakikatnya kesalahan pertama dalam membuat keputusan itu merupakan karma untuk kita. Apa yang tinggal ialah melihat setiap kejadian itu dari sudut yang positif. Sebagaimana hamba Allah tersebut, dia perlu melihat keadaan itu dari satu sudut positif biarpun dia perlu untuk membuat satu keputusan yang bersifat negatif.

Keseluruhan pengalaman itu ialah satu proses untuk mengenali diri sendiri serta mengajar manusia bahawa setiap perancangan itu hak manusia tetapi keputusan itu hak milik mutlak Allah Taala yang akhirnya memberi satu laluan untuk mendekatkan diri kepada Yang Maha Penyayang. Mungkin selama ini laluan tersebut kabur kerana emosi duniawi yang merangkum hidup. Janganlah kita berasa sedih atas segala yang berlaku kerana kebahagian insyaAllah akan menyusul selepas kekecewaan.

Tanpa kecewa, tanpa duka nestapa manusia tidak faham erti kebahagian dan tidak pula pandai menghargainya. Kebahagian itu terjadi kerana adanya harapan tetapi ketahuilah bahawa mencipta harapan itu jauh lebih mudah dari memenuhi harapan. Janganlah sampai harapan itu menjadi punca kelemahan diri. Lepaskanlah diri anda dari ikatan harapan barulah perasaan anda bebas seperti burung yang terbang di awan biru. Sesungguhnya Allah swt Maha Mengetahui maka janganlah kita sibuk hingga lupa bertanya kepada Nya apakah yang perlu dilakukan kelak kita akan menjadi manusia yang sombong. Kesempurnaan itu bukan milik manusia.

Read More......

Thursday, June 26, 2008

Dari Sudut Mana Anda Memandang


Setiap hari setiap ketika kita dihidangkan dengan pelbagai kejadian untuk dialami samada ianya memberi kesan terhadap hidup kita ataupun tidak. Setiap kejadian itu juga merupakan satu pengalaman untuk kita dan ianya bergantung kepada kita samada untuk mengambil pengajaran dari setiap pengalaman yang kita alami atau membiarkan sahaja ianya menjadi satu episod hidup.

Seorang yang sedang berhadapan dengan masalah akan mengalami satu tekanan yang mungkin akan membuatkannya hilang pertimbangan, namun dia sebenarnya punya pilihan samada untuk menjadikan masalah yang dihadapinya itu satu panduan masa hadapan atau menjadikannya satu beban perasaan yang lama kelamaan akan memakan diri sendiri jika tidak selesaikan. Ianya amat bergantung bagaimana kita mentafsir serta menerima tekanan tersebut. Manusia mempunyai beberapa jenis pandangan yang berbeza dan impak setiap pandangan itu amat bergantung kepada bagaimana si pemilik tubuh itu menyusun aturan tubuh-tubuhnya. Pada permulaan ini saya mengupas secara am agar ianya tidak terlalu berat untuk difahami serta tidak membebankan anda dalam menyusun aturan tubuh-tubuh yang anda miliki.
Secara mudahnya manusia ini dapat dikatakan mempunyai tiga jenis tubuh yakni tubuh zahir (fizikal), tubuh batin (emosi dan minda) serta tubuh rohani (spiritual). Maka setiap tubuh ini mempunyai pandangan yang berbeza terhadap setiap kejadian bergantung dengan siapa ketua mereka. Jika tubuh zahir yang menjadi ketua maka selalunya ia akan disertai dengan hawa panas yang merimaskan tetapi jika sebaliknya tubuh spiritual yang dijadikan ketua yang membentuk pandangan kolektif manusia terhadap kehidupan, maka setiap kejadian itu akan dilihat sebagai satu rahmat. Untuk memahaminya dengan lebih jelas lagi, kita ambil satu scenario yang mana kita sedang menunggu seorang teman yang berjanji untuk bertemu dengan kita pada jam 3 petang. Untuk mengelakkan kesesakan jalan raya, anda mengambil keputusan untuk keluar dari rumah lebih awal agar dapat sampai ke tempat yang dituju sebelum jam 3 petang. Rancangan anda membuahkan hasil apabila anda dapat sampat ke tempat yang dijanjikan lebih awal iaitu kira-kira jam 2.40 petang. Anda kemudiannya mengandaikan yang teman anda akan datang selewat-lewatnya jam 3 petang sesuai dengan perjanjian sebelumnya. Anda mengambil satu keputusan untuk duduk menunggu teman anda di ruang menunggu sambil anda dapat dapat melihat keadaan sekeliling. Namun setelah lebih setengah jam menanti anda tidak melihat lagi kelibat teman anda di kawasan tersebut. Usaha anda seterusnya ialah menghubungi beliau namun dia tidak dapat dihubungi. Anda makin resah dan mula merasa kecewa bercampur geram. Sepuluh minit kemudia teman anda datang sambil memohon maaf atas kelewatannya. Dia kemudiannya menerangkan yang dia tersangkut dalam kesesakan jalanraya apabila kereta di hadapannya mendapat kemalangan. Sekali lagi dia memohon maaf kepada anda.
Jika kita lihat lebih dalam terhadap kejadian ini dan melihat dari perspektif mana anda menilai sesuatu kejadian maka kita akan melihat perbezaan impak kejadian terhadap hidup anda. Jika anda melihatnya dengan zahir kemudian batin dan barulah spiritual, maka impaknya adalah negatif kerana anda resah, marah, kecewa dan akhirnya mungkin bermasam muka. Apabila anda melihat dengan (1) ZAHIR – mata anda akan memerhatikan sekeliling, anda akan mula merasa dilihat dan anda juga mula malu. Maka anda akan cenderung melihat jam yang pada perkiraan anda mungkin lambat dan membosankan. Kemudian (2) BATIN anda yang terdiri dari EMOSI dan MINDA mula memberi reaksi terhadap apa yang anda lihat dan dengar. Elemen emosi yang berada dalam lingkungan batin akan mula memberi reaksi negatif terhadap kejadian menunggu teman anda tadi. Anda mula beremosi, anda mula kecewa, anda juga mula untuk marah kepada teman anda kerana kelewatannya. Minda anda mula mencari jalan keluar dan harus anda ingat dalam keadaan beremosi jalan keluar yang selalu diambil adalah kurang rasional. Minda anda akan berkata-kata dan ianya secara tidak langsung ia kini mengusik ketenteraman tubuh spiritual anda. (3) tubuh SPIRITUAL anda mengalami ketidaktentuan kerana konflik yang dicetuskan oleh emosi dan minda.
Emosi sering mengganggu minda dalam memberi pandangan yang bernas terhadap satu-satu kejadian. Justeru itu jika anda mengamalkan pengamatan terhadap hidup dengan aturan pandangan zahir, batin dan spiritual, anda akan mudah berada dalam lingkungan emosi yang saya gelar emosi murahan. Ini kerana anda amat mudah terkesan dengan setiap kejadian bahkan jika satu-satu kejadian itu baik tetap juga dipandang serong kerana anda sering dikuasai oleh impak pandangan batin yang beremosi dan minda yang sering mencari jalan keluar. Maka kebaikan itu juga akan dilihat buruk kerana jalan keluar dari kebaikan itu mengikut pandangan minda anda ialah mencari salahnya. Tetapi jika anda seorang yang mengamalkan aturan pandangan mengikut susunan yang diketuai oleh tubuh spiritual maka impaknya adalah kebahagian dan ketenangan. Tiada lagi emosi murahan yang mampu menggugat ketenteraman jiwa anda bahkan anda akan menjadi seorang yang sering berfikiran rasional biar apapun keadaan yang menimpa.
Jika kita ambil kembali senario kejadian tadi yang dilihat pada pandangan awalnya ialah (1) SPIRITUAL, maka jiwanya tenteram kerana dia redha dengan keadaan yang kini perlu dihadapi iaitu menanti kedatangan temannya. Dia redha kerana dia tahu bahawa Allah swt mengaturkan segalanya. Dia tahu bahawa kelewatan temannya itu pasti bersebab kerana disebalik setiap kejadian itu ada sebabnya. Daripada Ibni Abbas katanya : pada satu hari saya berada dibelakang Nabi saw. Maka sabdabya “hai budak! Akau mahu ajar kamu beberapa kalimah : awasilah Allah, Dia pasti akan memeliharamu. Peliharalah Allah pasti Dia berada disampingmu. Bila engkau minta, maka mintalah Allah, bila mahu pertolongan, minta tolonglah daripada Allah. Ketahuilah sekiranya umat manusia bekerjasama menolongmu mereka tidak dapat menolong melainkan apa yang ditulis Allah dan sekiranya mereka bekerjasama untuk menyakitimu, mereka tidak dapat berbuat apa-apa selain dari apa yang telah disuratkan Allah. Pena sudah diangkat dan buku sudah ditutup” (HR Tarmizi).
Jika mereka mengambil pandangan spiritual sebagai pandangan awal maka mereka akan dapat menghayati hadis ini yang mana setiap kejadian itu telah disuratkan dan kita perlu redha. Bertolak dari titik itu dia akan memberi laluan pandangan kepada batin. (2) BATINnya akan tersusun kerana MINDA akan mula memahami hikmah di sebalik kejadian. Minda akan menilai setiap perjalanannya yang mungkin dapat memberi satu ilmu pengetahuan. Dia dapat mempelajari sesuatu dari kejadian itu hasil pengamatan terhadap keadaan sekelilingnya. Pemahanan itu meredam emosi negatif yang melonjakkan emosi positif ke hadapan. Dia akan berterima kasih ke hadarat ilahi atas kurniaan ilmu yang diperolehinya dari penantian seorang teman. (3) tubuh ZAHIR akan bereaksi sesuai dengan emosi positif yang mendominasinya. Dia tersenyum bahagia ketika menyambut kadatangan temannya biarpun lewat dan mendengar butiran keterangan dari si teman dengan sepenuh jiwa. Jika anda dapat melazimkan amalan dengan melihat setiap kejadian dari sudut (1) spiritual (2) batin dan akhirnya (3) zahir, anda insyaAllah akan sering berhadapan dengan pengalaman yang menyenangkan dan anda juga menjadi seorang yang bijak dalam membuat sebarang keputusan.
Jika anda memilih untuk terus menjadikan pandangan zahir sebagai pandangan awal anda, anda telah membawa masuk ketidaktenteraman kepada batin yang akan membuatkan jiwa anda tertekan. Anda mempunyai pilihan dan jika anda rasakan yang mengambil pandangan awal dari sudut spiritual itu susah, maka anda melakukan satu pernilaian yang salah. Setiap yang anda lakukan hari ini adalah terhasil dari kebiasaan anda. Anda sudah terbiasa dari kecil memakan nasi sebagai makanan ruji maka jika anda disuruh menjadikan roti sebagai makanan asas ia akan memeritkan. Tetapi jika anda mampu menjadikannya satu kebiasaan ianya bukan lagi satu perkara yang memeritkan. Begitulah juga dengan pandangan anda, hanya pada awalnya ia dilihat seperti sesuatu yang sulit tetapi setelah ianya menjadi satu kebiasaan ianya akan secara otomatik berfungsi mengikut aturan yang anda inginkan. Selamat mencuba.

Read More......

Monday, June 23, 2008

Antara Hajat dan Waktu


Saya pernah menulis tentang kita dihidangkan dengan pelbagai pilihan tetapi sering memilih pilhan yang salah dalam hidup. Hari ini saya akan menulis dengan lebih mendalam tentang hal berkenaan dan apakah yang sebenarnya takdir kita. Setiap manusia mempunyai hajat dalam hidup yang ingin direalisasikan. Setiap dari kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi hajat kita.

Jika kita lihat kembali zaman persekolahan kita dahulu dan ianya masih lagi dilakukan hingga sekarang yang mana kita akan melakukan solat hajat apabila peperiksaan menjelang tiba. Bukan sahaja para pelajar bahkan ibubapa juga turut melakukannya dengan harapan kita akan mendapat kelulusan cemerlang dalam peperiksaan yang bakal diduuduki apatah lagi peperiksaan tersebut merupakan peperiksaan besar yang akan melibatkan masa depan. Kita juga sering meminta agar setiap hajat kita diperkenankan Allah swt. Namun apabila hajat yang kita inginkan belum lagi menampakkan diri maka kita akan merasakan yang Allah swt belum lagi mendengar permintaan kita. Kita mungkin lupa atau terlepas pandang ataupun lalai dalam menilai kebijaksanaan Allah swt. Allah swt pasti mendengar dan Allah swt mendengar dikala hambanya memohon. Namun begitu mengapakah kita masih belum mendapat apa sahaja yang kita inginkan.

Walauun persoalan ini nampak kecil tetapi ianya bagi saya satu kesalahan kerana mempertikaikan keputusan Allah swt. Justeru hari saya ingin mengupas peranan masa dan hubungkaitnya dengan hajat. Saya pernah ditanya oleh seorang peserta manakah yang lebih baik samada melakukan solat hajat atau solat istikharah. Tanpa banyak bicara saya menjawab lakukan solat istikharah. Cuba kita renungkan berapa ramai diantara kita yang membeli kereta dengan bertanyakan kepada Allah swt akan pilihanNya. Berapa ramai diantara kita yang membeli rumah dan rumah yang dibeli itu adalah atas pilihan Allah swt.

Kita sering membuat pilihan mengikut pilihan yang dicorakkan oleh nafsu, tanpa menyedari bahawa nafsu seringkali melakukan kesalahan dalam memilih. Saya mengambil satu contoh, kita mungkin memerlukan sebuah rumah dan kita merasakan sudah sampai masanya kita memiliki sebuah rumah. Dengan semangat yang berkobar-kobar kita mencari rumah-rumah yang kita rasakan sesuai untuk didiami. Setelah berhari-hari menilik surat khabar kita akhirnya melihat satu iklan yang menarik tentang pemilikan rumah. Tanpa membuang masa kita segera ke pejabat jualan rumah untuk melaksanankan dengan segera pembelian rumah tersebut. Setelah semuanya selesai, kita hanya menunggu rumah tersebut siap sepenuhnya pada jangka waktu yang dijanjikan agar dapat didiami. Tahun demi tahun silih berganti namun yang terpacak hanya tiang, lebih mengecewakan pejabat pemaju projek perumahan sudah menjadi sarang hantu kerana ditinggalkan begitu sahaja. Harapan yang dulunya berkobar-kobar kini menjadi racun yang sangat berbisa dan apabila soalan tentang bila akan berpindah ke rumah baru merupan satu soalan yang seakan-akan memberi tusukan yang mendalam ke jantung. Ini hanyalah salah satu contoh yang sering kita lihat dan sering kita dengar. Hal ini sering terjadi apabila kita terlalu ingin melaksanakan hajat kita. Kita mungkin terlupa bahawa hajat kita yang kita rasakan baik dan masa yang kita rasakan sesuai itu sebenarnya tidak baik dan tidak sesuai untuk kita. Dan selalunya apabila keadaan ini menimpa kita akan segera melakukan solat hajat kerana inginkan impian kita itu akan segera terlaksana. Silapnya kita hanya berpaling kepada Yang Maha Bijaksana hanya setelah nafsu kita tidak mampu memberi jalan keluar. Sedangkan sebelum itu kita masih bertuhankan nafsu.

Mengapakah kita tidak berlaku adil pada diri sendiri. Mengapakah kita tidak memulakan langkah awal dengan bertanyakan kepada Allah swt apakah boleh saya memiliki rumah pada masa sekarang dan adakah masa sekarang ini sesuai. Hanya setelah mendapat jawapan, barulah kita memulakan langkah kedua iaitu mencari rumah dan proses kedua ini juga perlukan bimbingan Allah swt, kerana hanya Allah swt yang maha mengetahui yang mana terbaik untuk kita, kerana Allah swt tidak pernah menyusahkan bahkan menyenangkan.

Antara jawapan yang sering saya terima apabila tatacara ini saya utarakan ialah peranan waktu. Jawapan yang acapkali dikeluarkan ialah kalau begitu lambat kerana kita perlu menunggu jawapan Allah swt. Sekali lagi di sini kita tanpa sedar mempertikaikan kekuasaan Allah swt. Allah swt pasti menjawab dan saya sering berkata Allah swt tidak akan menangguhkan jawapan agar jawapan tersebut dapat membimbing kita membuat satu keputusan yang betul. Namun hakikatnya kita tidak mahu memahami jawapan yang diberikan kerana kita tidak tahu di manakah letaknya jawapan tersebut dan mungkin juga kita merasakan ianya tidak perlu kerana Allah swt memberi kita fikiran untuk berfikir. Sememannya kita dikurniakan akal tetapi mengapa sering juga salah jawapannnya; maka peranan akal sepatutnya kita gunakan untuk melihat jawapan atas pertanyaan kita kepada Allah swt, dan seterusnya akal digunakan untuk melaksanakan impian tersebut. Seandainya kita meminta tetapi ianya belum kelihatan itu bermakna permintaan kita belum tiba pada waktunya.

Berbalik kepada contoh yang saya katakan tadi, seandainya kita memohon agar diberikan pilihan terbaik adakah kita sesuai sekarang untuk memiliki rumah dan kita pasti akan dapat melihat perjalanannya proses jawapan yang akan dikurniakan kepada kita. Sering juga menjadi masalah apabila kita memberi perintah kepada Allah swt apa yang perlu Allah swt lakukan untuk kita. Kita sering meminta Allah swt melaksanakan impian kita dengan segera. Kita mungkin sahaja lupa bahawa Allah swt lebih tahu bilakah masa yang sesuai untuk kita memperolehi impian tersebut. Bagi kita jika berjaya memiliki impian kita sekarang, itu adalah satu kebahagian tetapi kita juga terlepas pandang apakah yang akan terjadi setelah itu mungkin dalam jangka waktu panjang. Maka kenapa Allah swt tidak mengurniakan impian kita pada waktu tersebut, ianya kerana Allah swt lebih mengetahui bila waktu yang sesuai dan adakah permintaan hajat kita itu sesuai dengan perjalanan takdir kita.

Sebab iblis mampu merosakkan anak Adam sering kita lupakan. Iblis tahu tidak akan bergerak seuatu zarah melainkan dengan izin Allah swt maka dengan itu sebelum dia melakukan kesesatan dia terlebih dahulu memohon kepada Allah swt. Namun kita jarang sekali meminta izin allah swt sebelum melakukan apa jua perkara. Kita seharus menadi malu kerana kita lebih kurang ajar daripada iblis yang dilaknat. Oleh yang demikian janganlah kita mengeluh kerana impian atau hajat atau doa kita belum dimakbulkan. Allah swt memakbulkan namun kita tidak faham dan masih teruja dengan hajat kita. Apabila kita memohon Allah swt maha mendengar lagi maha memperkenankan dan pastinya Allah swt memperkenankan hanya yang terbaik untuk hambanya.

Janganlah kita bersangka buruk kepada Allah hanya kerana kita tidak mencapai hajat kita. kita tidak tahu seandainya hajat kita dicapai pada waktu yang belum sepatutnya ianya akan merosakkan kehidupan kita. dan kita juga sebenarnya tidak akan tau dengan pasti bilakah waktu yang sesuai untuk kita memliki hajat itu dan adakah sebenarnya hajat yang kita inginkan itu bukan dalam takdir kita. Maka kita seringlah bertanyakan pilihan terbaik kepada Allah swt daripada memerintah Allah swt tanpa sedar agar meenunaikan hajat kita. Sesungguhnya Allah swt itu lebih tahu apa yang terbaik untuk kita, dan kita semua tahu tentang itu cuma ikatan kehendak terlallu kuat untuk dirungkai.

Lazimkanlah berdoa “Ya Allah pilihkanlah untukku dengan kekuatan ilmu-MU, tentukanlah untukku dengan kehendakmu, aku pohon kemurahanMU yang sangat luas, kerana Engkaulah yang boleh menentukan sesuatu dan aku tidak boleh, Engkau maha mengetahui apa yang tidak ku ketahui, dan Engkaulah yang paling tahu hal-hal yang ghaib. Ya Allah, jika sesuatu ini menurutMU baik bagi diriku, kehidupanku dan kesudahan ku maka pilihlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku kemudian berkatilah, dan seandainya ini menjadi malapetaka bagiku, agamaku, kehidupanku dan kesudahan perkaraku maka jauhkanlah ia dariku sejauh-jauhnya, dan berilah aku kebaikan di mana saja berada dan redhailah aku kerananya.”

Lazim yang saya maksudkan bukanlah sekadar menadah tangan di atas sejadah. Lazim bagi mereka yang mengamalkan soul power adalah melakukannya di mana sahaja hingga ianya menjadi satu kebiasaan. Cubalah lakukannya selama dua minggu di mana sahaja dan perhatikan perubahan hidup anda.

Read More......

Sunday, June 22, 2008

Formula Magnet Kekayaan


Setiap makhluk yang ada di muka bumi ini pasti akan berkait dengan kerezekian. Oleh kerana itu kita perlu bekerja untuk mencari nafkah demi sesuap nasi, sebagaimana binatang yang berkeliaran mencari makan. Jika zaman dahulu kegiatan mencari nafkah ini kurang melibatkan wang kerana adanya sistem barter tetapi semenjak wang menguasai dunia, rezeki menjadi sinonim dengan wang ringgit. Mungkin ada benarnya kerana hari ini wang adalah segalanya walaupun ia tidak mampu membeli kebahagian namun tanpa wang itu malapetaka. Untuk keluar bekerja juga memerlukan wang, jika poket kosong bagaimana mungkin seseorang akan keluar bekerja apatah lagi jarak tempat bekerja yang jauh.

Hari ini hampir setiap orang akan memikirkan cara untuk menambah wang untuk hidup selesa dan tidak dapat dinafikan ramai juga yang bersikap tergesa-gesa untuk cepat menjadi kaya. Justeru itu, ada yang sanggup melakukan apa jua pekerjaan termasuk yang melanggar undang-undang samada secara nyata atau tidak nyata dan ada pula yang menangguk di air keruh. Mereka terlalu menumpukan kepada usaha kerana begitu yakin hasil usaha mereka akan membuahkan hasil. Ada juga yang berpendapat rezeki itu harus ditarik dengan pelbagai kaedah. Keadaan ini jelas membuktikan yang manusia itu sering lupa untuk meminta. Rezeki perlu diminta dari Yang Maha Empunya. Sesungguhnya Allah maha kaya dan maha Pemberi Kekayaan.

Sering kita ucapkan Islam is the way of life namun sering kali juga kita menolaknya secara halus terutama soal rezeki. Dalam Islam juga telah ditunjuk beberapa kaedah dalam mencari rezeki yang mana kita tidak mengkaji atau mungkin tidak tahu berkenaannya. Pengkajian rezeki itu perlu bermula dari mengetahui takrifan rezeki itu sendiri kerana dari situ kita akan mula mengenal rezeki. Kemudian perlu pula kita berdoa. Dalam berdoa ini kita dapat lihat ramai yang menghafal doa tanpa faham pengertian doa dan lebih parah lagi kita tidak mempunyai protokol doa. Kerana itulah dalam kursus meditasi Islam saya begitu menekan subjek doa sehinggakan saya mendefinasikan bahawa meditasi itu seni berzikir dan berdoa. Tanpa seni segalanya menjadi hambar.

Jika kita ingin membuat pinjaman di bank, perlu ada beberapa langkah dan syarat yang perlu kita patuhi, begitu juga ketika kita ingin meminjam wang dari rakan-rakan kita akan mengikuti beberapa langkah agar teman tadi dapat memberi pinjaman. Kita tidak pula berkata kepada bank atau teman “aku nak duit bagi aku duit”. Namun apabila berkomunikasi dengan Yang Maha Berkuasa kita acapkali lupa prosedur atau protocol yang harus ditempuh. Cubalah luangkan sedikit masa untuk merenung serta mengkaji setiap doa baginda rasulullah saw kerana baginda adalah contoh terbaik untuk umat manusia. Ramai juga yang berjaya memiliki kekayaan namun adakalanya kekayaan yang diperolehi tidak dapat memberi kebahagian.

Pertama sekali yang perlu dilihat ialah dari mana sumbernya. Jika wang yang banyak tetapi sumbernya agak kurang baik maka kebahagiaan itu akan menjauhi. Maka ingatlah formula asas yang telah saya jelaskan dahulu. Setiap apa jua pekerjaan yang ingin kita lakukan perlulah merujuk kepada Allah swt. Jangan kita menjadi orang yang sombong yang merasakan usahanya sudah cukup untuk membuahkan hasil. Cuba kita perhatikan berapa ramai yang berusaha keras tetapi tidak berjaya. Perlu juga kita ingat tiada seorang pun yang ingin menjalani kehidupan yang susah. Maka janganlah kita mudah merumuskan bahawa orang yang tidak berjaya itu adalah orang yang malas walaupun ada diantara mereka yang bersikap sedemikian.

Bagi saya hampir setiap perkara itu mempunyai formula seperti kita mempelajari ilmu matematik, jika kita tidak tahu formula maka agak susah untuk menjawab soalan yang diberi akan tetapi sekiranya kita sudah tahu formulanya kita juga perlu mahir dalam menggunakkannya. Tanpa kemahiran formula tadi kurang berkesan dan apabila tamat masa kita masih belum habis menjawab. Apabila kita dikatakan mempunyai magnet rezeki itu tidak bermakna kita mampu menarik rezeki kerana seperti yang saya ulas, rezeki jangan ditarik tapi diminta. Mempunyai magnet rezeki bermakna mempunyai jalan yang mudah dalam usaha mencari nafkah. Apabila segalanya mudah maka nafkah yang dicari akan cepat berhasil.

Ada beberapa langkah yang dapat diulas secara am iaitu : Langkah Pertama, perlu mengetahui prosedur atau protocol berdoa. Janganlah terus meminta tanpa mematuhi prosedur doa, ingat jika kita ingin membuat pinjaman juga perlu ada prosedur. Sebahagiannya telah saya hurai dalam artikel seni berdoa kerezekian. Luangkan masa untuk beribadah kepada Allah serta berdoalah kerana Doa adalah otak ibadah maka berdoalah dengan betul kerana doa yang betul itu akan menambah iman serta taqwa kita kita kepada Allah swt. Dalam sebuah hadith qudsi menyatakan bahawa Allah telah berfirman “Lapangkanlah dirimu untuk beribadah kepada Ku nescaya Aku penuhi dadamu dengan kekayaan dan mengatasi segala kemiskinanmu. Jika engkau tidak berbuat demikian maka Aku penuhi dadamu dengan urusan dan tidaklah aku tutupi kemiskinanmu” (riwayat termizi & baihaqi).

Langkah Kedua ialah mengetahui waktu-waktu yang penting untuk berdoa tentang kerezekian. Ada dua waktu yang begitu ditekan dalam islam yakni waktu subuh dan waktu asar. Berdoalah dalam kedua-dua waktu tersebut kerana ketika itu adalah waktu yang baik untuk berdoa bagi hal-hal kerezekian dan salah satu faktornya ialah frekuensinya yang bersesuaian dengan kewangan.

Langkah ketiga ialah mengetahui apa yang perlu diusahakan. Sering-seringlah bermunajat kepada Allah swt agar diberi petunjuk apakah yang sesuai diusahakan. Adakalanya apa yang kita fikirkan akan berjaya tidak mendatangkan hasil dan ini akan membawa kepada kekecewaan tetapi ada juga masa-masa yang mana kita memikirkan sesuatu perkara itu tidak sesuai dengan kita tetapi ianya memberi pulangan yang lumayan. Amat penting bagi kita umat islam untuk merujuk semua perkara kepada Allah swt.

Langkah Keempat adalah bersyukur, kita perlu sentiasa berterima kasih kepada Yang Maha Pemberi atas setiap perkara yang kita perolehi walaupun perkara tersebut tidak kita persetujui. Ini kerana sifat Allah swt Yang Maha Mengetahui maka pasti ada hikmah atau pengajaran di sebalik kesusahan yang dialami. Seringkali ketika mendapat sesuatu yang dihajati manusia akan berterima kasih kepada yang memberi tetapi lupa untuk berterima kasih kepada Yang Maha Memberi.

Langkah Kelima, rajinlah bersedekah, semakin banyak kita bersedekah semakin besar benteng kita dari malapetaka tetapi harus diingat bahawa sedekah itu perlu ikhlas dan bukan kerana terpaksa. Bagi yang kurang mampu perlu juga bersedekah dan seboleh-bolehnya sepanjang hari. Bagaimana? Mudah sahaja, selalulah tersenyum kerana senyum itu satu sedekah. Senyum bukan sahaha kepada manusia tetapi juga kepada alam.

Demikianlah sedikit formula secara am untuk mencapai magnet rezeki semoga bagi mereka yang tidak dapat mengikuti kursus yang saya anjurkan dapat mencuba langkah-langkah tersebut agar dapat menrelisasikan hidup yang bermakna serta dapat memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara tercinta.

Read More......

Saturday, June 21, 2008

Siapa Nak Jadi Susah



Pada satu malam saya bersama keluarga menonton sebuah rancangan realiti tv yang mengupas tentang kehidupan manusia dan kesusahan yang mereka alami. Menonton rancangan sedemikian mengingatkan saya banyak nostalgia kehidupan yang dillalui oleh saya dan beberapa orang teman. Sewaktu kami masih menuntut di sebuah universiti tempatan, masing-masing membayangkan sebuah kehidupan yang senang setelah berjaya menggenggam segulung kertas yang bagi kami amat berharga. Kebetulan sewaktu kami tamat belajar, pekerjaan agak mudah utuk diperolehi walaupun ketika itu ekonomi kita telah dikatakan mengalami sedikit over-heat.

Bagi kami inilah titik permulaan sebuah kehidupan yang berjaya. Ada juga diantara kami yang membuka syarikat serta firma sendiri kerana mungkin melihat banyak peluang yang datang. Tetapi kita sering lalai kerana sering juga menganggap bahawa langit itu sentiasa cerah tanpa memikirkan ada kemungkinan hujan akan turun di tengah hari. Sewaktu krisis ekonomi melanda ramai yang kehilangan kerja terutamanya bagi mereka yang baru sahaja membuka syarikat perniagaan. Saya masih teringat kisah seorang teman saya yang ketika itu tidak mengalami tekanan ekonomi kerana bekerja di sebuah firma yang agak besar dan stabil. Kami sememangnya merancang untuk minum petang bersama untuk meraikan kedatangan teman lama dari selatan. Sewaktu minum itu kami agak terkejut kerana teman yang datang dari jauh memberitahu bahawa perniagaannya diambang kehancuran. Kini beliau memikirkan jalan keluar untuk meleraikan banyak masalah yang tidak tertanggung oleh bahunya.

Tanpa mengetahui dengan lebih mendalam punca masalah, teman saya yang seorang lagi mencelah dengan memberikan sedikit nasihat yang pada pandangan saya bukan bersifat nasihat. Katanya beliau memang arif dalam selok belok perniagaan yang diceburi oleh teman yang tadi, justeru katanya kerugian tersebut terjadi kerana beliau tidak pandai berniaga. Pada saya ini bukanlah masa yang terbaik untuk melihat siapa yang bagus atau siapa yang pandai. Ini adalah masa untuk sama membantu mencari jalan agar perniagaan teman tadi dapat diteruskan. Justeru tiada saranan yang difikirkan dapat membantu, teman saya tadi kembali ke selatan dengan perasaan yang agak dukacita. Tetapi kini teman saya yang satu ketika dahulu begitu tertekan telah berjaya menjadi usahawan yang berjaya. Sebaliknya teman yang kononnya memberi nasihat telah berkecimpung dalam dunia perniagaan tetapi malangnya perniagaannya hanya mampu bertahan setakat setahun sahaja. Dan kini jika kami bertemu untuk minum petang bersama dia sering mengelak dan kalaupun bertemu tiada lagi kata-kata `nasihat’ darinya.

Begitulah realiti sebuah kehidupan. Jika dilakukan kajiselidik tentang kehidupan yang berkisar tentang kesusahan, antara jawapan yang menjadi majoriti ialah saya tidak mahu hidup susah. Tanyalah kepada siapa sahaja payah atau mungkin juga tiada orang yang inginkan sebuah kehidupan yang susah. Manakala secara majoriti jawapan saya ingin menjadi kaya atau orang senang akan diperolehi. Anda pula bagaimana adakah anda inginkan sebuah kehidupan yang senang serta mencukupi atau anda ingin menjadi orang yang menghadapi kesulitan dalam hidup. Jika diberi peluang untuk meneka saya akan meneka anda mahukan sebuah kehidupan yang selesa, bebas hutang serta bahagia dan tidak mahu mengalami kesusahan hidup sebagaimana yang sering dihadapi oleh segelintir masyarakat kita.

Namun yang sering menjadi tanda tanya mengapakah seringkali terdapat orang yang mencemuh mereka yang mengalami kesusahan atau sedang berhadapan dengan kesulitan. Mungkin bagi mereka yang belum lagi mengalami kesulitan atau kesusahan hidup, baik dari segi kewangan atau material tidak dapat menyelami perasaan mereka yang berada dalam situasi sebegitu. Kerana itulah kita diwajibkan berpuasa dalam bulan ramadhan agar kita dapat merasakan bagaimanakah peritnya makna kesusahan. Ianya mudah untuk diungkap tetapi terlalu berat untuk dipikul. Saya sendiri pernah merasakan kesusahan hidup yang amat sangat hingga merasakan segulung kertas yang saya perolehi dari menara gading itu tiada gunanya. Ketika itu mungkin ramai yang mengatakan mengapa tidak mencari kerja, tetapi hakikatnya setiap iklan pekerjaan yang bersesuaian dalam akhbar akan menerima permohonan dari saya namun selalunya hampa. Fenomena bukan melanda kepada saya seorang tetapi ramai teman-teman yang ketika itu berada dalam situasi yang sama. Walaupun pada ketika itu saya agak kecewa dengan apa yang berlaku namun kini saya amat berterima kasih dengan Allah swt kerana ianya satu pengalaman yang amat berharga dan tidak dapat dijualbeli. Saya dapat merasakan keperitan hidup secara realiti. Justeru itu jika ada yang datang untuk meminta pandangan dari saya maka setiap butiran itu datang dari jiwa yang telah pun mengalami erti susah.

Antara kesilapan yang sering dilakukan oleh masyarakat kita ialah ramai yang memiliki `minda graduan’ walaupun merekan bukanlah graduan dari mana-mana universiti apatah lagi mereka yang baru sahaja berjaya membawa pulang sehelai kertas yang dikejar selama empat tahun. Apakah yang dimaksudkan dengan minda graduan ini? Minda graduan yang saya maksudkan ialah mindset seorang graduan yang sering menafsirkan kehidupan dalam jalan cerita yang ringkas dan dengan harapan ianya menjadi kejayaan. Ringkasnya begini, setelah tamat belajar, apa yang yang sering bermain di fikiran ialah mencari setu pekerjaan yang dikatakan sesuai dengan taraf pendidikan. Sekiranya mereka tidak dapat pekerjaan yang diidamkan maka mereka kadang kala lebih rela untuk tidak bekerja. Senario ini telah lama berlaku dalam masyarakat kita, sejak zaman dahulu lagi. Dalam mindset sebegini kita lebih suka diberi daripada memberi, yakni jika kita diminta untuk melakukan sesuatu kita lebih suka untuk mengarah daripada melakukannya sendiri atas alasan kedudukan yang tinggi. Mindset ini perlu ditukar tidak kira samada kita benar-benar seorang graduan ataupun tidak.

Kita perlu mempunyai minda pelajar atau dalam ertikata lain mempunyai mindset seorang pelajar. Seorang pelajar akan mencari input tambahan yang mampu untuk membantunya dalam peperiksaan. Seorang pelajar masih merasakan dirinya seorang pelajar walaupun dia lulus dalam peperiksaan tetapi seorang graduan merasakan dirinya sudah cukup berilmu dan tidak perlu untuk mencari lebih banyak ilmu untuk kemajuan diri. Di sinilah titik perbezaannya, jika kita mempunyai mindset seorang pelajar kita akan sering mencari jalan untuk memperbaiki diri serta dapat lulus dalam peperiksaan, yang bermakna seseorang itu dapat mencapai satu lagi takuk kejayaan dalam hidup. Dengan adanya minda pelajar dalam diri kita maka dengan sendirinya kita akan dapat merasakan ketidaktentuan dalam takdir hidup. Kita hanya akan memberi nasihat kepada yang meminta setelah kita merasakan buah dari usaha yang kita lakukan selama ini. Jika kita lulus dengan cemerlang maka seharusnya kita mengembangkan rahsia yang dapat memberi kejayaan tanpa memandang rendah kepada orang lain. Jika kita berada dalam minda graduan kita akan memberi nasihat bukan dari pengalaman tetapi dari teori yang kita ketahui.

Sering terjadi teori adalah lebih mudah untuk diperkatakan dari dilakukan. Jika kita melihat sebuah kesusahan maka berdoalah kepada Tuhan agar ianya menjadi tauladan dan selalulah berterima kasih atas segala kurniaanNya. Inilah beberapa perkara yang sering kita lupakan. Ingatlah tidak ada seorang manusia pun di dunia yang ingin menjadi susah. Jika anda melihat sebuah kesusahan lihatlah dari sudut positif, mungkin memikirkan kaedah terbaik untuk membantu dan bukan dari sudut negatif seperti terus mengkritik kesusahan tersebut, mengapa mereka tidak berusaha dan sebagainya. Jika anda berada dalam keadaan mereka mungkin anda akan mengerti mengapa mereka tidak dapat melakukan sesuatu perubahan dan sebelum kata-kata nasihat keluar dari mulut anda ingatlah langit tidak selalu cerah.

Berjiwa pelajar, bukan graduan.

Read More......

Thursday, June 19, 2008

Seni Berdoa Kerezekian


Dalam kursus-kursus yang saya adakan, fokus utama ialah bagaimana untuk meraih kejayaan dunia dengan kekuatan jiwa. Jika jiwa tidak kental maka minda akan lemah. Kejayaan dunia ini pula tidak harus disempitkan ke satu arah sahaja. Ramai yang menghubungi saya bertanyakan samada dengan meditasi ini kita mampu mengubati penyakit dan menjadi jurusembuh alternatif. Menurut Imam Ibnu Qayyim, “barang siapa yang diberi makan berupa zikir dan bersih dari penyakit duniawi serta diberi minuman berupa tafakur akan memperolehi pelbagai hikmah.”

Ramai dikalangan masyarakat kita yang mengecilkan maksud hikmah sebagai satu kebolehan untuk mengubat penyakit secara alternatif. Hikmah di sini sebenarnya bermaksud ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan. Ramai orang yang berilmu tetapi tidak bijaksana. Ilmu boleh kita perolehi melalui pelbagai kaedah pembelajaran samada secara formal atau tidak. Namun demikian ada juga yang mempelajari sesuatu ilmu itu tetapi tidak menguasainya secara hakiki. Mereka ini tidak tergolong dalam orang yang bijaksana. Puncanya mungkin mereka mempelajari sesuatu ilmu itu kerana terpaksa atau mungkin hanya untuk lulus peperiksaan sahaja. Manakala orang yang bijaksana pula ialah orang yang mempunyai ilmu pengetahuan dan menguasainya serta mampu menggunakannya untuk kebaikan diri sendiri atau masyarakat.

Menguasai ilmu pengetahuan juga sebenarnya satu kemahiran yang dapat membantu seseorang itu dalam pelbagai aspek kehidupan. Bagi saya antara ilmu kemahiran yang sering dianggap remeh ialah kemahiran berdoa. Saya pernah ditanya oleh seorang peserta kursus meditasi islam tentang doa. Katanya dia sentiasa berdoa agar dimurahkan rezeki tetapi hingga sekarang hidupnya masih terumbang ambing. Katanya lagi dia telah melakukan pelbagai ikhtiar dalam usahanya untuk mendapatkan rezeki tetapi kebanyakannya hampa. Hidupnya kini penuh tekanan dan adakalanya dia merasakan dirinya tidak berguna. Yang pertama jawab saya ialah Allah itu Maha Adil dan pasti akan memperkenankan doa seseorang itu selagi dia tidak berkata “aku sudah berdoa tetapi Allah tidak makbulkan”. Yang kedua pula ialah kemahiran berdoa.

Justeru itu apabila ada yang bertanya kepada saya apakah definisi saya tentang meditasi, jawabnya ialah meditasi ialah seni berzikir dan seni berdoa. Kita sering berdoa, bahkan hari-hari kita berdoa. Persoalannya ialah kita sering berdoa tanpa perasaan. Apabila dikatakan seni ianya pasti melibatkan perasaan. Jika kita meminta sesuatu dari seseorang kita akan memintanya dengan penuh perasaan tetapi jika kita meminta sesuatu dari Allah swt, kita memintanya hanya dengan mulut tanpa perasaan. Ini terjadi kerana kita sering berdoa dengan doa yang dihafal tanpa menjiwai doa tersebut. Dalam berdoa juga perlu ada protokol. Yang kadangkala menjadi tanda tanya ialah apabila kita ingin sesuatu dari manusia kita akan melakukannya langkah demi langkah tetapi apabila kita meminta sesuatu dari Tuhan kita akan meringkaskan langkah-langkah yang seharusnya ada. Cuba kita lihat bagaimana rasulullah swt berdoa. Saya mungkin mempunyai pendapat yang berbeza kerana bagi saya rasulullah saw adalah sebaik-baik contoh yang perlu diteladani dari semua aspek. Oleh yang demikian untuk berjaya seseorang itu perlu mengetahui apakah sebab baginda melakukan sesuatu perkara itu secara saintifik dan juga secara falsafahnya.

Rasulullah saw apabila berdoa akan menyokong doanya dengan asmaul husna yakni memuji Allah swt dengan sifat-sifatNya. Terdapat banyak contoh-contoh doa rasulullah saw yang boleh kita lihat tertibnya. Susunan doa yang paling baik ialah surah Al-fatihah. Cuba kita kaji surah al-Fatihah maka akan terlihatlah satu kaedah berdoa yang penuh tertib. Ia dimulakan dengan pujian kepada Allah swt dan diikuti dengan asmaul husna kemudian mengrecognize tentang kekuasaan Allah swt dan barulah berdoa. Kini cuba kita lihat bagaimanakah doa yang sering kita ucapkan adakah ianya mempunyai tertib. Ada pula yang bertanya jika kita memahami kemahiran berdoa adakah doa kita makbul? Apa yang perlu kita tanam dalam diri kita keyakinan serta baik sangka kepada Allah swt. Jika kita belum memperolehi apa yang kita hajati maka pasti Allah akan memberi sesuatu yang lebih baik kerana Allah Maha Mengetahui dalam segala hal.

Berbalik kepada kisah peserta tadi, saya memberitahu beliau bahawa dalam sistem meditasi Islam yang saya latih, doa merupakan kunci utama untuk memulakan pelbagai aktiviti kerana doa itu otak ibadah dan segala apa yang kita lakukan kerana Allah adalah ibadah. Dalam sistem meditasi Islam kejayaan dalam setiap yang kita lakukan mempunyai formula asas yang sama iaitu DOA + USAHA + TAWAKAL = KEJAYAAN (DUTK). Ada juga diantara kita yang sering berdoa tetapi tidak berusaha. Sikap sebegini hendaklah ditukar kerana Rasulullah saw yang juga kekasih Allah berusaha untuk mendapatkan sesuatu.

Penekanan terhadap formula asas meditasi Islam amat penting kerana kita secara tidak sedar telah terdidik dari kecil untuk mempercayai formula berusaha pasti berjaya. Kita juga sering menasihati anak-anak agar berusaha bersungguh-sungguh agar berjaya. Sebagaimana yang pernah saya katakan dahulu, sikap buruk sebenarnya banyak diwarisi melalui didikan. Formula berusaha pasti berjaya sebenarnya tidak lengkap dan ia akan membawa kepada kekecewaan jika kita tidak mencapai sesuatu yang kita hajati. Sekali lagi saya menekankan untuk berjaya dalam sesuatu hal, kita perlu banyak mengkaji. Jika dikaji faktor kejayaan orang zaman dahulu ialah mereka juga telah menggunakan formula asas meditasi islam iaitu pada malam hari mereka akan berdoa dan akan melakukan usaha pada keesokan harinya. Setelah itu mereka akan bertawakal. Mereka bertawakal kerana mereka begitu memahami bahawa mereka hanya mampu berusaha bersungguh-sungguh namun segala keputusan adalah hak milik mutlak Allah swt.

Sikap tidak mendahului keputusan Tuhan ini akan membuahkan kejayaan kerana yang pertama mereka tidak ada tekanan atau stress kerana mereka mempunyai keyakinan penuh atas segala keputusan Allah swt. Mereka juga yakin jika sesuatu hajat itu tidak tercapai maka insya Allah mereka akan memperolehi sesuatu yang lebih baik. Jika selama ini kita mempercayai sikap berusaha pasti berjaya, maka sebaiknya dilengkapkan formula tersebut dengan berdoa kemudian berusaha bersungguh-sungguh. Setelah usaha yang bersungguh maka barulah kita bertawakal kepada Allah swt. Ini kerana setiap keputusan usaha kita ada dalam pengetahuan Allah. Hasilnya insya Allah kita akan menemui kejayaan kerana seandainya kita tidak mencapai sesuatu matlamat maka kita akan berdoa kembali supaya ditunjukkan tindakan yang sepatutnya diambil untuk menuju kejayaan.

Dalam pencarian rezeki misalnya, apa yang sering terjadi ialah kita sering lalai dalam berdoa. Saya sering bertanya kepada para peserta kursus bagaimana mereka memanjatkan doa mengenai rezeki. Saya juga pernah mengalami masalah berkenaan hal-hal kerezekian. Adakalanya kita mendapat seratus ringgit tetapi yang mampu disimpan hanya sepuluh ringgit. Selebihnya keluar atas pelbagai sebab yang kadang-kadang tidak disangka langsung. Pengamatan saya mendapati dalam kita berdoa mengenai rezeki jarang sekali kita meminta sesuatu yang khusus atau specific. Kita sering berdoa agar dimurahkan rezeki. Dan apabila kita menghadapi masalah berkaitan wang ringgit, kita akan tertanya tanya mengapa kita sering berdoa dimurahkan rezeki tetapi kedudukan kewangan masih ditakuk lama.

Sebenarnya kontek rezeki itu amat luas, cuba anda fikirkan adakah anda membuang air hari ini, cuba bayangkan apa yang terjadi jika anda tidak dapat membuang air selama seminggu. Sistem tubuh akan mula mengalami gangguan dan anda mungkin menjadi seorang yang moody dan sebagainya. Maka bukankah dapat membuang air dengan lancar setiap hari itu satu rezeki. Tidur yang lena juga satu rezeki. Oleh yang demikian jika anda berkehendakkan wang ringgit maka anda perlu menyebutnya juga dalam ucapan doa dan bukan sekadar menyebut rezeki kerana takrifan rezeki itu luas. Mintalah dengan penuh khusyuk disertai tertib doa dan tawakal insya Allah usaha anda yang bersungguh akan berhasil.

Read More......

Wednesday, June 18, 2008

Mengapa Si Kaya Bertambah Kaya



Hampir kebanyakan perkara di dunia ini mempunyai pasangan. Mereka hidup berpasangan, lelaki dan perempuan, tua dan muda, susah dan senang, utara dan selatan serta banyak lagi jika ingin disenaraikan. Jika dilihat disebalik istilah berpasangan itu adalah berlawanan atau dengan erti kata lain berlawanan itu berpasangan dan berpasangan itu berlawanan. Hasil kepada berpasangan itu maka timbullah satu aktiviti yang akan menancakkan kehidupan. Tanpa si kaya mungkin saja ekonomi tidak berkembang kerana tiada modal untuk disalurkan dalam perlaksanaan ekonomi dan tiada pula aktiviti dagangan. Tanpa si tua maka si muda tidak wujud dan akhirnya dunia ketanduasan manusia. Tanpa si tua maka tiada pengalaman dan pengetahuan yang dapat disalurkan kerana kesemuanya masih duduk dalam kelompok tidak tahu. Tanpa utara tidak wujud daerah yang di panggil selatan. Kesimpulannya pasangan itu perlu dalam mencetus satu hasil yang dapat memberi nafas kehidupan.


Baru-baru ini saya ketika saya dijemput ke sebuah surau bagi saya menyatakan dalam ceramah saya agar kita tidak memikirkan apa yang kita minta. Contohnya jika kita inginkan pendapatan bulanan sebanyak RM5000 sebulan kita perlu memohon ke hadrat Ilahi dan kemudiannya jangan fikirkan dari mana sumber pendapatan itu akan dijana. Lalu saya ditanya jika halnya begitu bagaimana untuk kita mencapainya sedangkan kita perlu memikir cara untuk mendapatkannya. Lalu saya buatkan satu perumpamaan yang mana jika kita minta seseorang yang mempunyai kepakaran dalam bidang IT untuk membaiki kerosakan komputer kita dan kemudian kita memikirkan bagaimana untuk membaiki kerosakan komputer tersebut, apakah maksud di sebalik tindakan kita itu. Maksudnya kita tidak yakin dengan keupayaan pakar IT itu untuk membantu membaiki kerosakan yang dialami. Justeru apa gunanya meminta pertolongan pakar IT tersebut. Begitu juga jika anda memohon untuk mendapatkan RM5000 kepada Allah swt namun setelah itu anda memikirkan jalan untuk mendapatkannya, nah itu tanpa anda sedari anda telah memperlekehkan keupayaan Allah swt dalam memberi rezeki dan dalam memakbul doa anda.


Sesungguhnya Allah swt Maha Bijaksana dan Allah swt tahu untuk mengaturkan rezeki anda. Jadi persoalannya mengapa anda perlu memohon sekiranya anda ingin memikirkan. Ini adalah satu petunjuk yang mana kita sering yakin dengan setiap usaha dan buah fikiran kita akan membuahkan hasil dan kita kurang yakin bahawa Allah swt yang memberi rezeki dan yang lain itu adalah sebab. Namun itu tidak pula bermakna kita perlu berpeluk tubuh menunggu duit datang menggolek. Kadangkala kerana singkatnya fikiran kita terlepas pandang dalam memahami setiap tindakan yang kita ambil apalagi jika ia berkaitan dengan hal-hal kewangan. Seorang teman baru-baru ini kerosakan keretanya dan tidak mempunyai wang untuk memperbaikinya. Dia memikirkan bagaimana cara yang paling cepat untuk mendapatkan wang bagi menyelesaikan masalahnya. Dia bertanya kepada saya soalan itu dan saya menjawab cara paling cepat dan efektif untuk mendapatkan wang ialah memohon kepada Allah swt kerana Allah swt itu Maha Kaya maka pasti ada pertolongan. Katanya dia faham yang itu tetapi kini dia perlu memikirkan cara paling cepat dan mudah kerana dia agak terdesak. Saya bertanya kepadanya, kamu yakin Allah swt Maha Kaya, kamu yakin Allah swt sahaja yang dapat membantu kamu? Dengan penuh keyakinan dia menjawab, Ya aku yakin sememangnya Allah swt yang Maha Kaya tapi bagaimana untuk menyelesaikan masalah yang ada sekarang. Saya katakana kepadanya, kamu mohon saja kepada Nya dan jangan kamu fikirkan jalan keluar untuk masalah ini dan jika kamu masih memikir jalan keluar maka kamu mungkin boleh mengatasi masalah ini dan akan lebih menyusahkan. “Saya cuba” jawabnya ringkas. “Saya tidak mahu cuba kerana dalam menanam keyakinan kepada Allah swt tidak boleh cuba-cuba kerana Allah swt itu Maha Bijaksana lagi Maha Sempurna”. Dia bersetuju akhirnya dan saya menyuruhnya memohon ketika itu dan selepas itu saya mengajaknya untuk pergi ke sebuah retoran untuk menghilangkan dahaga.


Dalam perjalanan itu saya melayannya berbual bagi mengelakkannya dari berfikir mencari jalan keluar. Sedang kami berbual, tiba-tiba dia berkata dia sudah dapat jalan penyelasaian kepada masalah keretanya tadi. “Nah… begitu caranya. Apabila kita yakin kepada Allah swt maka kita sering medapat ilham untuk keluar dari belenggu masalah. Orang sekarang memanggilnya berfikir di luar kotak tetapi orang meditasi memanggilnya ilham sahaja dan perkara ini sudah lama dipraktikkan.” Tambah saya lagi “ maka sebab itu orang kaya bertambah kaya”. Dengan wajahnya yang ceria dia bertanya mengapa si kaya bertambah kaya.


Saya menerangkan kepadanya apakah yang menyebabkan kita melekat di bumi dan tidak terapung di udara dan jawapannya adalah daya graviti dan ianya terjadi hasil dari tindakan daya medan magnet. Begitu juga dengan manusia dan duit. Manusia dan duit masing-masing mempunyai kutub magnet dan kutub magnet duit tidak boleh ditukar manakala kutub magnet manusia bertukar ganti. Nama kutub magnet duit ketergesaan dan nama nama kutub magnet manusia ketergesaan dan ketenangan. Jika kita berada dalam kutub ketergesaan maka kita mempunyai kutub yang sama dengan magnet maka hukum magnet akan menolak. Ini bermakna jika kita berfikir-fikr tentang duit maka kita akan menjadi tergesa-gesa dalam mencukupkan keperluan kewangan dan akhirnya kita kelelahan kerana sering mengejar duit yang makin dikejar makin jauh. Duit semakin menjauhi kerana kita dan duit mempunyai kutub yang sama. Tetapi jika kita duduk dalam ketenangan maka duit akan melekat dengan kita dan segalanya kelihatan mudah. Ini terjadi kerana kita mempunyai kutub yang berlawanan dengan duit. “Bagaimana cara duit itu datang?” tanyanya dengan penuh minat. “Duit tidak akan datang bergolek tetapi duit datang dengan ilham atau nama lainnya idea” terang saya kepadanya. Jika kita lihat orang kaya bertambah kaya kerana mereka tidak lagi memikirkan soal duit untuk hidup kerana bagi kehidupan yang ada duit mereka sudah mencukupi. Maka tanpa bebanan fikiran tentang duit, ilham untuk membuat lebih banyak duit akan bertambah. Idea itu tadi ditukar menjadi aktiviti yang dapat menjana kewangan. Tetapi bagi mereka yang sering memikirkan wang maka wang yang ada sebanyak mana akan terasa tidak bercukupan dan mereka akan berfikir tentang bagaimana untuk menambah wang. Fikiran demi fikiran yang akhirnya membawa bencana. Bencana dari segi apa yang dikerjakan kini tiada kualiti, apa yang dicari tidak berjumpa dan kesihatan akan mula mengalami gangguan.


Bijaknya serta teraturnya hidup orang dahulu hingga membuat satu peribahasa yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran. Jika kita sering memahami serta menghayati petua orang lama tentang kehidupan maka insya Allah akan ada jalan keluar. Begitu juga dengan masalah yang lain, selagi kita memikirkan masalah yang sedang kita lalui, kita sebenarnya membenamkan diri dalam neraka dunia. Berhentilah dari memikirkan masalah kerana hidup adalah sinonim dengan masalah.


Saya teringat ungkapan seorang teman seketika dahulu, katanya jangan melawan dunia dengan dunia kerana kamu akan kalah. Dunia punya banyak pengalaman, banyak rencah tetapi kamu amat kecil dari segi pengalaman dan tiada kekuatan. Lihat sahaja umur dunia. Tambah teman saya itu : lawanlah dunia dengan akhirat. Maksudnya bergantunglah dengan Allah swt kerana Allah itu Maha Kuat dan Allah swt tidak sekali-kali menyusahkan hambanya kecuali hambanya sendiri yang menyusahkan dirinya. Oleh yang demikian jika anda mempunyai masalah janganlah anda risau kerana kerisauan anda akan menambah masalah. Anda perlu risau jika anda kehilangan cinta Allah swt. Anda perlu santai dan merendahkan gelombang fikiran dan idea insya Allah akan menerjah pintu minda anda. Penyelesaian adalah idea. Tiada idea tiada penyelesaian. Idea timbul bila kita bertawakal secara total kepada Allah swt. Namun jangan pula anda berpeluk tubuh, lakukan apa yang perlu anda lakukan. Seperti teman saya tadi, keretanya rosak diajar untuk bertawakal tetapi usahanya tetap ada iaitu bertanya kepada saya bagaimana cara menyelesaikan masalahnya. Jika anda mempunyai masalah, munajatlah kepada Allah swt dan kemudian keluarlah untuk melakukan apa yang terdaya kerana anda tidak berjaya jika anda melakukan apa yang anda tidak terdaya.


Fikirkanlah mengapa orang kaya bertambah kaya dan ingatlah love trumps all dan seperti kata Benjamin Franklin, tragedi paling besar dalam kehidupan ialah kita tua terlalu cepat dan bijak terlalu lambat. Renunglah ke dalam diri kerana di situ ada lubuk yang dipanggil kebijaksanaan.

Read More......

Tuesday, June 17, 2008

Kisah Seekor Katak

Sebenarnya ramai diantara kita yang mempunyai motivasi yang tinggi dalam hidup mereka. mereka tidak memerlukan motivasi luaran kerana kekuatan dalaman mereka sudah mencukupi untuk mereka pergi jauh. Ada juga diantara kita yang sering inginkan motivasi kerana tanpanya mereka seolah-olah tiada kekuatan dan tidak kurang juga yang sering menyertai program motivasi tetapi tiada impak dalam kehidupan mereka kerana mereka hanya mendengar tetapi mungkin juga tidak memahami atau berat untuk berubah.

Saya lebih suka kepada kumpulan pertama kerana mereka sebenarnya mempunyai jiwa yang kuat, mereka tidak terdedah kepada input-input luaran yang mungkin saja menjadikan mereka negatif. Ini tidak pula bermakna mereka bodoh sombong tetapi mempunyai keyakinan yang kuat untuk berjaya tanpa mempedulikan ejekan luar yang ingin menggugat motivasi mereka. Mereka tabah untuk menghadapi cabaran dengan mencari jalan keluar melalui kajian atau pandangan orang yang lebih berpengalaman. Tetapi ada juga yang tergolong dalam golongan yang boleh dikategorikan sebagai bodoh sombong, biarpun kasar namun itu adalah hakikat sebenar. Dalam mengharungi cabaran mereka hanya percaya pada diri sendiri, mereka tidak dapat menerima pandangan luar kerana mereka percaya mereka yang terbaik.

Sebenarnya walau bagaimana terbaik sekalipun kita perlu menerima pandangan luar dan mengimbangkan dengan pengetahuan yang kita ada. Kita perlu ingat walau sehebat mana pun kita, kita tetap saja tidak mempunyai kesemua ilmu, dan dalam erti kata lain kita tidak sempurna. Di sinilah peranan jiwa yang akan membantu menunjuk arah dalam hidup, kita akan mengolah hidup kita dengan kaedah soul driven dan bukan lagi mind driven. Saya sering menggunakan kisah seekor katak dalam motivasi insan. Kisah ini telah lama saya terima dan saya gunakan dalam kehidupan seharian untuk kita menjadi kebal dalam dunia yang kadangkala meremehkan visi yang kita inginkan.

Di suatu ketika ada sekumpulan katak-katak berkumpul untuk mengadakan satu pertandingan. Mereka berbincang apakah pertandingan yang dapat memberi cabaran; yang dapat menguji serta memperlihatkan kehebatan katak dan billakah waktu yang sesuai untuk mereka mengadakan pertandingan tersebut. Pelbagai cadangan diterima, ada yang mengatakan pertandingan mencari serangga, ada juga yang mencadangkan pertandingan suara terhebat dan banyak lagi. Tiba-tiba ada seekor katak yang datang dengan cadangan yang lain dari lain. Katak tersebut mencadangkan agar diadakan cabaran perlumbaan ke puncak menara komunikasi yang begitu tinggi. Ramai yang terkejut mendengar cadangan yang tidak masuk akal ini. Namun katak tersebut bukanlah katak sembarangan, dengan hujah serta pandangan yang begitu menakjubkan maka kumpulan katak-katak tersebut bersetuju untuk mengadakan pertandingan tersebut.

Setelah dipersetujui waktu dan tarikh, maka promosi pertandingan itu diadakan secara besar-besaran. Banyak katak-katak menyertainya kerana hadiahnya juga lumayan dan mereka bakal mencipta rekod dunia. Masing-masing mula berlatih, menambah stamina dan pelbagai cara lagi dilakukan untuk memastikan mereka sihat dan kuat pada hari pertandingan dan tak lupa juga mereka mencari pakar-pakar motivasi untuk menolong mereka dari segi moral. Pada satu pagi yang nyaman mereka berkumpul tidak jauh dari menara yang tinggi itu bagi memulakan pertandingan. Begitu ramai penonton mengelilingi katak-katak tersebut bagi melihat satu pertandingan tidak masuk akal. Katak-katak tersebut begitu bermotivasi kerana telah menjalani latihan yang cukup serta telah dimotivasikan oleh mereka yang pakar.

Sebenarnya hampir kesemua penonton yang datang tidak percaya yang katak-katak ini akan berjaya memanjat menara jaya yang cukup tinggi itu. Kedatangan mereka hanyalah untuk melihat kegagalan katak-katak tersebut dan bagi mereka ianya pasti menghiburkan apabila melihat setiap seekor katak-katak yang bertanding jatuh kecundang dengan pelbagai aksi. Setelah kesemua peserta bersedia maka pengadil meniup wisel tanda permulaan telah di mulakan. Melompat-lompatlah katak-katak tadi dengan penuh harapan akan menjadi juara dalam pertandingan yang diadakan tambahan lagi wang untuk persediaan telah banyak dilaburkan.

Ketika bermulanya pertandingan terdengar suara-suara sumbang yang berkata “ aku yakin kata-katak ni, tidak seekor pun menang kerana mana boleh katak panjat menara, kelakarlah…” Kata-kata tersebut disambut oleh seorang lagi penonton “ aku pun yakin macam tu”. Tetapi dek kerana kuatnya semangat tadi katak-katak tersebut tidak mempedulikannya dan terus memanjat menara yang tinggi tadi. Ketika mula menaiki aras pertama menara tersebut, seorang penonton berteriak menyuruh katak-katak tersebut melihat ke atas dan mentertawakan katak-katak tersebut kerana mereka pasti akan jatuh dan tidak mampu untuk naik ke atas. Tiba-tiba beberapa ekor katak memandang ke atas dan mereka terhenti dari melakukan pendakian dan jatuh dari aras tersebut. Meskipun begitu peserta-serta lain tidak mempedulikan apa yang berlaku, mereka terus cekal dalam mengharungi cabaran pendakian. Sedang mereka mendaki ke aras seterusnya penonton terus bersorak sambil mengejek “tak payah lah di teruskan benda yang tak mungkin kamu lakukan, kamu tak mungkin berjaya… ha.. ha.. ha”. Begitulah sorakan penonton yang hanya ingin melihat kegagalan dalam pertandingan itu. Semakin kuat sorakan begitu semakin banyak katak-katak yang jatuh dan aksi kejatuhan mereka merupakan hiburan kepada penonton. Mereka begitu terhibur melihat katak-katak yang bertanding gagal dan jatuh. Tetapi dalam banyak-banyak katak yang bertanding terdapat seekor katak yang begitu bersemangat dan tidak langsung menghiraukan sorakan negatif penonton. Ia terus melompat dan melompat. Katak-katak lain biarpun telah dimotivasi oleh pakar-pakar namun tidak dapat meneruskan pendakian menara puncak jaya yang tinggi kerana mereka mula lemah apabila mengenangkan ketinggian menara tersebut. Dalam fikiran mereka ada betulnya apa yang dikatakan para penonton kerana pertandingan ini merupakan satu kerja yang mustahil, biar pun mereka tahu berada di puncak merupakan satu penghargaan yang tinggi nilainya dalam kehidupan seekor katak.

Di kala seekor demi seekor katak kecundang jatuh ke tanah, katak yang tadi terus sahaja memanjat menara tadi tanpa memperdulikan ejekan penonton yang ingin melihat aksinya jatuh dari aras yang cukup tinggi. Namun harapan penonton tadi tidak kesampaian kerana katak tersebut akhirnya sampai ke puncak dan menjadi katak pertama dalam dunia yang berjaya memanjat menara jaya hingga ke puncaknya yang terkenal tinggi itu. Katak-katak lain kagum dengan kebolehan katak tersebut sampai ke puncak. Apabila katak yang berjaya turun dari puncak, maka berebut-rebutlah mereka bertanya kepada katak-katak tersebut tentang rahsia kejayaan hingga berjaya sedemikian rupa.

Apabila ditanya apakah rahsia katak tersebut mempunyai kekuatan yang cukup tinggi biarpun lebih kecil berbanding dengan katak-katak lain, katak tersebut tidak menjawab satu soalan pun. Setelah berkali-kali ditanya tanpa menerima sebarang jawapan maka mereka berpendapat bahawa katak kecil ini sengaja mahu merahsiakan kunci kejayaannya. Mereka mula beredar menjauhi katak kecil itu tadi, tiba- tiba datang seekor lagi katak yang memberitahu dia adalah teman kepada katak kecil yang berjaya tadi. Ia meminta maaf kerana katak kecil yang berjaya tadi tidak menjawab, tetapi itu tidak pula bermakna ia sombong jauh sekali merahsiakan kunci kejayaannya. Tambah teman si katak tadi sebenarnya katak kecil tadi bukan sahaja kecil dari segi saiznya tetapi katak itu juga pekak. Meloponglah kata-katak yang mendengar cerita teman katak kecil tadi. Barulah mereka tahu bahawa katak kecil itu berjaya hingga ke puncak kerana ia pekak dan tidak langsung mendengar ejekan para penonton.

Kita juga perlu menjadi pekak untuk berjaya, pekak dari mendengar kejian, pekak dari mendengar komen negatif dan dari mereka yang pesimis. Jika kita duduk seiring dengan mereka yang sering tidak percaya yang Allah swt mampu memberi apa saja secara tidak langsung kita juga akan terbelakang kerana kita yakin sesuatu yang ingin kita lakukan adalah perkara yang sukar dan kegagalan pasti menjelma. Kita tidak pula menjadi pekak dari mendengar pandangan positif yang mampu memberi ruang lebih besar untuk berjaya tetapi kita perlu menjadi pekak dengan pujian melampau kerana kita perlu ingat bahawa kita ini fakir. Yang memberi kejayaan itu adalah Allah swt. Jika kita percaya bahawa kita sebenarnya yang mencipta kejayaan maka kita taksub dengan diri dan ia bakal mengundang kerosakan. Ketahuilah kita hanya pelakon yang berusaha untuk menghayati watak sebaik mungkin agar lakonan kita berjaya. Kita mampu melakukan apa sahaja tetapi keputusan adalah hak milik mutlak Allah swt, maka kita perlu faham bahawa kejayaan kita pada hari ini adalah kurniaanNya. Oleh yang demikian seringlah berterima kasih kepadaNya agar kejayaan yang ada berkekalan dan berpanjangan. Untuk menjadi pelakon dunia yang baik kita perlu menjadi pekak dari ejekan, ugutan bahkan hinaan. Kita juga perlu pekak dari pujian kerana pujian sering juga menjatuhkan seseorang kerana ia mencipta kealpaan. Ingatlah kita tidak hidup kerana pujian dan tidak pula mati kerana keji.

Read More......

Bercinta dengan Tuhan


Ke mana sahaja kita pergi kita pasti mendengar perkataan cinta, baik dalam akhbar, novel mahupun kata-kata. Ramai yang mengatakan bahawa cinta itu buta dan ramai juga yang menyatakan bahawa kita boleh buta kerana cinta. Mungkin benar mungkin tidak.

Pada pandangan saya memang benar jika cinta yang hanya melihat dengan nafsu. Nafsu bagi pengamal meditasi islam bukanlah seperti yang digambarkan oleh kebanyakan tetapi nafsu adalah sesuatu yang mempunyai skop kerja yang begitu luas. Mungkin cinta itu tidak buta jika cinta dijadikan panduan untuk menyuluh hidup sekiranya memahami hakikat cinta. Kerana cintakan anak-anak maka kita tidak akan rela jika anak–anak kita tidak mempunyai masa depan yang cerah. Maka percintaan sedemikian akan memandu ke arah yang lebih positif serta kita akan melakukan apa sahaja termasuk berkorban atau memarahai anak-anak kita supaya dapat membentuk sebuah kehidupan yang bermakna.

Jika ditanya adakah cinta itu sesuatu yang negatif maka jawapan saya tidak, kerana cinta yang tulus serta tidak dibayangi oleh tuntunan nafsu adalah satu energi yang begitu kuat; maka dengan sebab itu saya mengatakan meditasi islam itu membuktikan tentang kuasa serta kehebatan cinta agung yang begitu tulus. Saya seringkali dihujani dengan soalan bagaimana caranya untuk bercinta dengan Allah swt. Ramai sekali yang ingin bercinta dengan Allah swt hinggakan ramai yang tersilap langkah. Sebelum menjawab soalan sedemikian, saya akan akan bertanya kepada si penanya “adakah kamu pernah bercinta?” lantas saya bertanya lagi “sewaktu kamu bercinta kira-kira berapa lama kamu bergayut di telefon?” ada yang menjawab dua jam bahkan ada yang mencapai lapan jam sama seperti orang bekerja lamanya, begitulah hebat penangan cinta. Jika kita bekerja lapan jam pasti kita akan berhenti makan paling tidak kita mencuri sedikit waktu untuk melepaskan lelah tetapi mereka yang bercinta tidak dapat berbuat demikian kerana takut membazir waktu dalam berhubungan.

Ketika waktu generasi dahulu, bercinta menggunakan surat dan apabila membaca surat kiriman yang tersayang maka hati berbunga-bunga hingga terasa si dia yang dicintai berada di sisi serta tak kurang juga terdengar suaranya membaca surat yang dikirim. Dengan arus kemodenan yang mangalir terus ke negara Malaysia yang tercinta, kaedah bercinta pun mula berubah, surat yang dulu rajin ditulis kini bertukar menjadi telefon. Hal ini terjadi kerana ketika itu telah banyak pondok telefon awam didirikan serta banyak rumah yang mempunyai kemudahan telefon. Jika dahulu boleh kita lihat mereka yang bercinta akan membawa segenggam duit syiling untuk dijadikan bekalan telefon… seringgit mungkin tidak cukup kerana nanti nak bercakap di telefon mengambil masa yang lama.

Dahulu telefon-telefon awam didirikan di tepi jalan maka ketika kita menggungakan telefon sering terganggu dengan bunyi kenderaan yang lalu lalang. Hal ini mungkin membangkitkan kenangan kepada mereka yang dahulu bercinta dengan menggunakan telefon awam. Apa yang menghairankan ialah mereka yang bercinta menggunakan telefon awam boleh bercakap dengan si dia dalam keadaan apa pun samada keadaan itu bising dengan kenderaan atau panas terik mahupun hujan. Keadaan sekeliling tidak langsung mempengaruhi mereka kerana ketika apa yang penting ialah mendengar suara orang yan dicintai dan mengucapkan ucapan yang sering disebut ketika dahulu jiwang-jiwang.

Cuba anda renungkan kembali hebatnya penangan cinta jika bukan kerana cinta maka pasti mereka tidak mahu bersusah payah pergi ke telefon awam dalam keadaan sedemikian hanya untuk bercakap. Arus kemodenan terus melanda negara kita dan hasil dari kemodenan maka ramai pula diantara kita memliliki telefon bimbit serta computer. Cinta yang dahulunya ditunjangi oleh surat dan kemudian bertukar ke telefon awam dan rumah kini ditunjangi oleh satu wadah yang lebih efisyen iaitu telefon bimbit dan internet. Ramai yang menikmati kemudahan bercinta ini dan ramai juga yang mengakhiri alam percintaan maya ini dengan perkahwinan. Dengan adanya kemudahan telefon bimbit, pasangan bercinta saling berhubung hampir setiap masa tidak mengira batas waktu dan batas jarak; yang membataskan selalunya adalah signal handfon atau bateri yang kering kehausan. Hubungan terjalin dengan percakapan atau mungkin juga dengan sms dan sekarang mms mungkin pada masa hadapan ianya lebih hebat lagi. Hebat.. hebat …

Kuasa cinta membuatkan siapa sahaja yang mengalaminya menjadi hebat walaupun adakalnya pada mata orang lain ianya satu kelemahan dan merimaskan tapi mereka tidak peduli kerana ungkapan “aku cinta pada mu” lebih menguasai diri. Yang dikatakan cinta itu buta ialah kerana pasangan yang bercinta tidak langsung melihat negativity yang ada pada pasangan masing-masing.

Izinkan saya mengambil contoh satu pasangan yang bercinta dan si lelaki tanpa pengetahuan si perempuan rupanya adalah seorang penagih dadah. Hal ini kemudiannya terhidu juga oleh si perempuan dan bukan dia sahaja yang dapat menghidunya tetapi kaum keluarganya juga dapat menghidu rahsia yang disimpan oleh si lelaki. Keluarga sebelah perempuan kemudian menasihatkan si perempuan tadi untuk memutuskan hubungan dengan si lelaki kerana pada pemerhatian mereka si lelaki adalah seorang penagih tegar. Tetapi cinta menguasai segalanya, nasihat yang dicurahkah tidak langsung memberi kesan mahupun masuk ke telinga si perempuan kerana dia mempunyai keyakinan penuh terhadap pasangannya. Dia begitu yakin dengan teman lelakinya kerana dia mempercayai setiap apa yang yang dikatakan oleh teman lelakinya.

Kata teman lelakinya, ketagihan itu telah menjadi sejarah, dia tidak lagi menagih dadah walaupun pada hakikatnya dia masih lagi menagih. Pujuk rayu si lelaki itu termakan oleh si perempuan. Saya berpendapat pujuk rayu itu tidak termakan oleh si perempuan tetapi wanita tersebut telah dikuasai oleh cinta dan jiwanya hanya mendengar kata-kata teman lelakinya. Sekali lagi hebatnya cinta… walaupun akhirnya cinta sedemikian merosakkan diri tetapi dengan pantas mereka menjawab cinta perlukan pengorbanan. Itu lah cinta… begitu berkuasa, begitu hebat dan mampu mengubah apa sahaja kerana kekuatannya bukan tandingan manusia… lebih hebat dari nuclear… lebih halus dari sihir hingga begitu susah untuk mengubatnya.

Persoalannya sekarang mengapa kita mampu bercinta dengan manusia tanpa disuruh–suruh dan mengapa kita begitu payah untuk kita bercinta dengan Allah swt. Manusia hanya berada dengan kita sewaktu kita jaga sedangkan Allah swt sentiasa dengan kita. Bertahun lamanya saya memohon kepadaNya agar dikurniakan kupasan yang mudah dalam memahami hakikat cinta. Kerana cinta ramai yang sesat, kerana cinta ramai yang ego dan kerana cinta ramai yang berpura-pura.

Rumusan saya mengatakan bahawa Allah swt mengurniakan benih cinta dalam diri manusia terhadap manusia lain dan juga terhadap makhluk lain kerana Allah swt ingin mengajar kita bagaimana caranya untuk mencapai cintaNya. Setelah kita memahami rasa cinta itu dan mengetahui hakikat cinta itu maka kita pasti mampu bercinta dengan Allah swt dengan jiwa yang luhur.

Masalahhnya sekarang kita mengambil Islam itu sebagai apa yang saya terjemahkan sebagai ritual based religion yang mana islam itu hanya dikaitkan dengan ibadah khusus sahaja. Saya berpandangan Islam itu melangkaui ritual kerana Islam itu adalah tatacara hidup ataupun way of life yang perlu dibawa ke mana sahaja dan di mana sahaja dan bukannya hanya sekadar dalam masjid dan setelah keluar dari situ kita tidak berperangai seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah saw.

Untuk menjadikan Islam itu sebagai way of life maka perlu ada cinta. Pasangan yang bercinta akan memahami kehendak pasangan masing-masing dan kemudiannya akan mengikut jalan ataupun sikap salah seorang yang dominant diantara mereka. Begitu juga jika kita bercinta dengan Allah swt sudah pasti kita akan hidup dengan tatacara yang Allah swt sinarkan kepada kita. Yang menghalang kita dari berbuat demikian ialah kita tiada rasa cinta dengan Allah swt kerana kita hanya menyatakan rasa cinta tanpa punya perasaan cinta maka kita itu sebenarnya tergolong dalam golongan pembohong.

Dalam ruang ini saya ingin berkongsi pemahaman cinta serta jalan bercinta namun sekiranya pembaca ingin mendalaminya sertailah program-program yang saya adakan kerana kadangkala tulisan kurang menyampaikan maksud serta praktikalnya.

Ketika kita bercinta sesama insan kita akan mulakan dengan bercinta dan dari cinta lahirlah keyakinan kerana kita banyak melihat pembuktian cinta contohnya mengingati hari lahir, memberi hadiah, membantu ketika susah dan sebagainya. Dari keyakinan itu timbullah kepercayaan yang tidak berbelah bahagi kerana kita kita merasakan bahawa orang yang kita cintai tidak akan menipu kerana dia telah sanggup berkorban wang ringgit dan masa untuk kita dan masakan dia sanggup menyakiti hati orang yang dicintainya. Justeru itu apa jua yang keluar dari mulutnya adalah benar belaka dan apa jua pandangan negative orang lain pada waktu itu hanya kerana berlandaskan cemburu atas kebahgian yang sedang dinikmati.

Itu rantai cinta ynag kita bina apabila berhubungan denngan manusia, dari cinta datang yakin dan dari yakin timbul percaya; tetapi hal sebaliknya berlaku apabila kita bercinta dengan Allah swt. Kita mulakan dengan percaya dan dari percaya barulah menambah ilmu mencari yakin walaupun kita lupa yakin hanya akan datang dengan bukti dan ilmu itu sekadar panduan. Bukti Allah cintakan kita terlalu banyak dan oleh kerana terlalu banyak maka kita rambang mata dan dari rambang mata kita tidak perasan dan akhirnya kita buta lalu memutuskan bahawa setiap kejayaan itu berlaku hanya kerana usaha keras kita. Hasilnya kita kemudian akan terus mencari-cari bagaimana jalannya bercinta dengan Allah swt.

Cinta kemudian difikirkan boleh dibuat-buat tetapi kita juga lupa bahawa cinta itu perasaan dan perasaan tidak menipu. Walau sebanyak mana kita keluarkan kata-kata cinta tetapi jiwa masih bertuhankan nafsu maka tiada istilah cinta di situ. Masalah yang terjadi kini ialah aturan untuk cinta dengan Allah swt telah kita mulakan dengan percaya walhal jika boleh saya katakana percaya itu tahapnya amat rendah. Saya boleh jadi percaya dengan seseorang tetapi belum tentu saya yakin dengannya apatah lagi cinta. Tetapi jika saya menyintai seseorang saya sudah pasti yakin dengannya bahkan setiap tuturkatanya menjadi azimat kerana saya mempercayainya.

Maka sekarang perbetulkanlah susun atur rantai hubungan cinta agar kita dapat merasai nilai cinta agung dan setiap perkara itu pasti mempunyai kunci. Di ruang yang terhad saya tidak dapat berkongsi kuncinya apatah lagi pemahaman setiap individu itu berlainan diantara satu sama lain. Sekiranya kita mengandaikan semua orang mempunyai pemahaman yang sama yang kita mengajar dalam bentuk yang sama maka bagi saya itu satu kesalahan besar kerana kita akan cenderung merosakkan mereka yang baru hendak memahami, kepada satu persepsi yang tidak akan difahami dan kita akan merosakkan orang yang sudah memahami kerana mereka mula mencari yang lebih tinggi.

Semoga dengan ruangan ini para pembaca dapat mengubah persepsi cinta Allah swt dan dapat memulakan satu kehidupan yang dipenuhi dengan rasa cinta, dan kita kita akan hidup aman bahagia tanpa syak wasangka serta melihat setiap insan itu adalah makhluk Allah swt yang kita cintai dan rasa cinta akan melangkaui suku bangsa, agama, keturunan bahkan dengan makhluk lainnya seperti binatang dan tumbuhan. Segala yang kita lihat dan sentuh akan terasa nilai kecintaan kita kepada Allah swt dan apabila disebut nama Allah swt yang dicintai lagi dirindui maka bergetarlah dada. Sama juga keadaannya jika seseorang menyebut nama pasangan anda pasti anda merasakan getaran cinta. Begitulah juga apabila nama Allah swt Tuhan yang Maha Menyintai disebut maka bergetarlah dada meruntunlah sukma.

Kata bijak bistari cinta letaknya di hati, meskipun tersembunyi, namun getarannya jelas sekali. Ia mampu mempengaruhi fikiran sekaligus mengendalikan tindakan.

Read More......

Saturday, June 14, 2008

Meningkatkan Potensi Otak Kanan

Suatu ketika dahulu saya ada menulis tentang kelebihan penggunaan otak kanan. Bagaimana dalam tubuh kita sendiri mempunyai dua kuasa yang dapat membantu kita dalam menjalani kehidupan yang penuh harmoni. Namun jika kedua-duanya tidak digunakan maka berlakulah konflik diri yang mungkin membawa kekecewaan dalam perjalanan kehidupan. Ramai yang menghantar e-mail kepada saya bertanyakan bagaimana untuk merangsang otak kanan agar lebih berpotensi. Dek kerana sedikit kesibukan yang tak kunjung sepi saya ketika itu masih belum bersedia untuk mengadakan latihan merangsang otak kanan seperti yang diminta dan kini insya Allah ianya akan mula diadakan.

Ramai yang berpendapat melatih otak kanan agak payah dan memerlukan masa yang banyak dalam ertikata lain membebankan. Pendapat yang sama telah dilontarkan kepada meditasi islam yang mana perkataan meditasi itu seolah olah menggambarkan kepayahan kerana memerlukan banyak perkara atau langkah dalam menyepikan minda.

Ini agak berlainan dengan pandangan saya, bagi saya setiap sesuatu yang susah pasti ada jalan senangnya. Setiap destinasi yang kita tuju mempunyai banyak jalan tetapi pasti ada jalan pintas yang cepat dan selesa. Jika anda ingin ke johor bahru, pilhan berada di tangan anda samada ingin menaiki keretapi atau memandu melalui jalan lama atau lebuhraya. Jika anda ingin yang lebih cepat, kapalterbang mungkin pilihan yang bijak. Setiap keputusan yang kita ambil pasti membawa bersama opportunity cost yang berlainan. Maka jalan mudah serta efektif selalunya membawa nilai harga yang tinggi. Begitu juga dalam bidang-bidang lain. Justeru, saya amat menggemari cara yang mudah, praktikal dan efektif kerana pada zaman IT yang mengutamakan kepantasan manusia mengejar masa, masa itu seolah olah berlari pantas hingga manusia tiada ruang untuk dirinya sendiri.

Oleh itu dalam kaedah melatih masyarakat bermeditasi saya menggunakan pendekatan yang sama yang sejajar dengan kesuntukkan masa yang ada pada manusia. Untuk melatih potensi otak kanan secara mudahnya, kita telahpun melatihnya setiap hari tanpa sedar. Setiap hari yang kita lalui pasti dengan latihan-latihan yang dapat membantu kita dalam hidup sebagaimana seorang bayi yang lasak akhirnya pandai merangkak dan berjalan. Antara latihan potensi otak kanan yang pasti lakukan ialah tidur. Setiap dari kita pasti akan tidur Cuma yang membezakannya adakah tidur tersebut berkualiti. Tidur yang berkualiti juga merupakan satu bentuk meditasi. Tidur yang berkualiti akan membawa gelombang otak ke jajaran yang lebih rendah hingga ke gelombang otak delta. Oleh yang demikian pastikan tidur anda adalah tidur yang berkualiti bukan tidur yang masih berfikir, yakni tidur yang resah dan jagan tidur dalam keadaan berfikir.

Mengapa kanak-kanak lebih kreatif pemikirannya. Ianya kerana mereka berada dalam gelombang otak yang rendah dan potensi otak kanan digunakan selalu. Sebenarnya kalau kita seorang yang rajin menganalisa tentang kehidupan maka kelihatan hidup ini banyak yang mudah dipelajari dengan common sense. Kita jarang menggunakan kaedah common sense kerana kita jarang melepaskan diri dari keterikatan fikiran. Kita sering mengikat minda kita dengan logik serta apa yang saya namakan sebagai mental trap. Ada diantara kita yang mempunyai mental block yang mana sebelum sesuatu perkara yang dilakukannya mereka terlebih dahulu tewas kerana memikirkan hanya impak negatif yang akan berlaku dan tanpa sedar mereka mengikat diri mereka dengan halangan minda yang mereka cipta sendiri dari segi logik sahaja.

Agak berbeza dengan mental trap satu nama yang saya fikirkan agak sesuai dengan fenomena yang sering melanda manusia. Mereka tidak mempunyai mental block tetapi mereka sering membiarkan input yang masuk ke dalam minda merosakkan jaringan minda. Mereka akan berfikir tentang sesuatu dan akhirnya terperangkap dengan apa yang mereka fikirkan. Mereka akan menjadi buntu serta berada dalam permainan maze yang akan membawa jalan keluar yang salah. Perangkap minda ini akan merosakkan system decision making yang sepatutnya dapat memberi jalan keluar terhadap masalah tetapi hanya membawa kepada bebanan minda.

Jika keadaan ini dibiarkan berlarutan maka bebanan minda semakin hari semakin banyak maka banyak pula kesilapan yang berlaku dalam percaturan hidup. Kesilapan yang berlaku akibat mental trap adalah kerana perangkap yang dibina oleh manusia itu sendiri pada otak kirinya. Dengan lain perkataan sikap yang membawa kepada mental trap itu telah meredam atau meminimakan potensi otak kanan untuk berkembang. Justeru meditasi islam yang saya kembangkan, saya amat menekankan kaedah yang unik dan praktikal dalam melepaskan diri dari belenggu mental trap. Apabila meditasi dijalani dengan betul maka ianya akan meningkatkan potensi otak kanan dengan lebih cepat dan dengan itu mereka akan menjalani satu kehidupan yang bermakna.

Kita perlu ingat bahawa kedua dua bahagian otak kita melihat dunia dengan persepsi mereka yang tersendiri. Apa yang dilihat oleh otak kiri tidak pula dilihat oleh otak kanan. Tanpa kesimbangan yang betul maka kejayaan tidak akan dicapai. Orang yang bijak ialah orang yang berjaya untuk mengimplementasikan daya kreativiti yang diilhamkan oleh otak kanan agar menjadi satu realiti melalui otak kiri. Jika hanya tertakluk kepada otak kanan sahaja keseimbangan tidak dicapai.

Daya kreatif dalam apa jua bidang tanpa tahu cara perlaksanaan tidak akan memberikan hasil duniawi. Minda sedar kita akan melihat menggunakan otak kiri dan jika tidak terperangkap dalam mental trap maka kita mampu untuk bertukar haluan ke kanan dengan cepat kerana terdapatnya kabel penghubung corpus collosum intact walaupun ianya bukan mudah untuk dilakukan.

Dalam satu kajian menunjukkan bahawa 90% dari populasi dunia menggunakan otak kiri. Ini tidak pula bermakna mereka tidak menggunakan otak kanan tetapi penggunaannya begitu terhad kerana mereka terbatas oleh logik. Oleh yang demikian itu berlakulah banyak keresahan serta kerakusan dalam menjalani drama kehidupan dunia. Setiap dari kita mempunyai keupayaan yang sama jika tahu melatih merangsang potensi otak kanan.

Satu lagi cara yang mudah bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk mendapat tidur yang berkualiti atau melakukan meditasi yang sempurna ialah denagn cara yang saya panggil pandang kilas. Caranya muda tanpa perlu anda tetapkan di mana ianya patut dilakukan. Cuba anda lihat apa yang berada di sebelah kanan anda, pandang dengan santai dan kemudian pandang ke sebalah kiri anda. Dapatkah anda MELIHAT kembali apa yang ada di sebelah kanan anda. Jika tidak jangan paksa, lihatlah kembali di kanan dan kemudian berpaling ke sebelah kiri. Yang sering berlaku ialah ramai yang memaksa untuk melihat seperti apa yang dilihat tadi. Ini akan memberi tekanan dalam minda yang menjerumuskan dalam mental trap. Anda boleh lakukan dengan apa sahaja, mungkin juga dengan kad, atau pembacaan.

Kunci kejayaan ialah JANGAN MEMAKSA minda untuk melihat apa yang telah anda pandang. Jika paksaan berlaku ini bermakna anda tidak melatih otak kanan tetapi anda membayangkan sesuatu itu melalui otak kiri. Lakukan selalu insya Allah kebijaksanaan anda akan berkembang dan common sense anda akan membawa nilai yang sempurna.

Saya sendiri hingga ke hari ini masih melakukan latihan tersebut, tidak kira di mana, hinggakan pada waktu makan saya akan melihat makanan saya terlebih dahulu. Kaedah ini saya perolehi dari seorang guru kampung pada tahun 1994 melalui satu teknik yang dipanggil tenung makrifat. Dek kerana minat saya melihatnya dari sudut sains minda agar dapat menterjemahkan praktikal kaedahnya ini dalam bentuk yang lebih mudah difahami serta tidak membuang banyak masa sejajar dengan sabda nabi saw mudahkahlah jangan menyusahkan. Semoga anda berhasil dalam mengembangkan potensi otak kanan anda. Selamat mencuba.

Read More......

Bodoh Sombong atau Sombong Bodoh


Ini bukan cerita ayam dan telur atau telur dan ayam. Ini adalah kupasan perbuatan yang perlu kita perhalusi agar mendapat satu jalan kesempurnaan hidup yang tidak pernah sempurna.

Al kisah bermula apabila seorang hamba Allah bernama Farid ingin membantu ibunya untuk keluar kota. Dengan tujuan ikhlas dia ingin membantu ibunya agar dapat berbakti kepada ibunya apabila dapat memudahkan urusan pemergiaannya ke luar kota. Dengan azam yang tinggi dia pergi menemui ibunya dan bertanyakan tentang urusan yang perlu dibantu. Hasil permuafakatan kedua beranak itu maka si ibu bersetuju untuk menyerahkan urusan pemergiannya ke luar kota diuruskan oleh Farid, tambahan pula beliau mempunyai banyak kenalan.

Farid pulang ke rumah dengan hati yang gembira kerana dapat membantu urusan ibunya. Memandangkan siang sudah melabuhkan tirai maka Farid berpendapat untuk menyelesaikan urusan ibunya besok sahaja. Besok pada awal pagi Farid menuju ke pejabatnya untuk melihat apa yang seharusnya dilakukan bagi tujuan memudahkan urusan ibunya itu. Dek kerana mempunyai banyak kenalan maka Farid mudah mengatur rancangan dan kerana keramahannya dikalangan teman-teman, urusan Farid begitu mudah.

Setelah selesai semuanya, Farid dengan nada gembira menghubungi ibunya untuk memberitahu tarikh yang sesuai untuk ibunya berangkat. Malangnya nombor yang dailnya tidak berjawab. Ahh! Mungkin saja ibunya sedang ke kedai, kata-kata saranan yang terpacul di mindanya. Selang beberapa minit dia mencuba lagi, kali ini berhasil ada jawapan dari ibunya. Tanpa banyak bicara dia memberitahu tentang urusan yang telah dilaksanakan. Namun Farid begitu hampa kerana menurut ibunya dia telah selesai membuat tempahan kerana kakaknya menyuruh ibunya membuat segala urusan melalui kenalan temannya.

Farid terdiam dan dalam diamnya dia merasa agak kecewa kerana dia telah berjanji dengan temannya dan dia juga kecewa dengan sikap kakanya yang sedari dulu tidak boleh orang lain melebihi beliau. Farid memberitahu ibunya yang dia juga telah menyatakan persetujuan kepada temannya kerana petang semalam ibunya meminta agar dia menyelesaikan segala urusan. Namun sebagai anak yang taat dia memberitahu ibunya yang dia akan memberitahu temannya yang urusan yang telah dilakukan itu dibatalkan.

Sebelah petangnya Farid menghubungi abangnya bertanyakan mengapa hal sedemikian terjadi. Menurut abangnya, perancangan ibunya untuk ke luar kota pada mulanya dilakukan oleh kakak Farid atas kehendak kakak Farid sendiri yang katanya dia lebih arif dalam hal tersebut tetapi ianya menemui jalan buntu kerana kurangnya pengalaman. Justeru itu ibu meminta Farid yang menguruskan hal tersebut namun apabila mendengar Farid yang akan menguruskan, dia dengan lekas mencari jalan keluar agar segala urusan dia yang menyelesaikan.

Kini fahamlah Farid situasi sebenarnya. Keadaan yang sama berlaku pada hari keberangkatan ibunya ke luar kota. Farid cuba membantu namun dengan pantas kakaknya berkata dia lebih arif hingga menyebabkan saudaranya yang lain terpinga-pinga kehairanan. Farid yang faham dengan situasi tersebut diam tanpa banyak bicara.

Selesai urusan pemergian ibunya Farid terus meluncur ke pejabat saya. Kami makan tengahari bersama dan Farid menceritakan tentang kisah kakaknya kepada saya. Katanya kakaknya itu bodoh sombong. Peluang yang ada kami gunakan untuk membahaskan apakah sebenarnya bodoh sombong atau yang sebenarnya sombong bodoh.

Hasil dari perbualan kami merumuskan sesuatu yang mungkin boleh kita kongsi bersama. Yang pertama bodoh sombong. Bodoh bermakna orang yang tidak mengetahui. Jika kita pergi lebih jauh bodoh juga bermakna kurang cerdik atau lemah. Sombong pula adalah rasa bangga diri kerana kehebatan yang mungkin datang dari kekayaan, pangkat, ilmu dan seumpamanya. Maka orang yang bodoh sombong adalah orang yang kurang cerdik atau lemah atau kurang mengetahui tetapi merasakan dirinya telah menguasai sesuatu perkara itu lebih dari yang lain. Orang yang bodoh sombong ini perlu dikasihani dan diberi tunjuk ajar kerana dia menjadi sombong hasil dari kebodohannya.

Di bahagian yang satu lagi adalah orang yang sombong bodoh. Sombong bodoh ini adalah golongan mereka yang sombong dek kerana pencapaian mereka samada dari segi kekayaan duniawi, mahupun keilmuan. Ramai yang tidak menyedari yang mereka sesat dan sombong kerana banyak ilmu. Mengapa terjadinya hal demikian? Ilmu adalah penyuluh hidup namun jika ilmu yang dimiliki membawa kepada kebinasaan diri kerana kerakusan nafsu maka ilmu yang tadi hanya menyuluh kini memberi silauan yang menyebabkan mereka hilang arah tuju. Mereka akan merasa mereka yang paling bijak, mereka yang paling cemerlang dan mereka sentiasa berada di puncak. Golongan sebegini menjatuhkan diri mereka secara halus.

Justeru kita dapat melihat kadangkala kejayaan yang tidak dipupuk dengan rasa cinta Ilahi membawa seseorang itu ke lembah yang terang tapi gelap, berduit tetapi hilang kebahagian, senang tetapi tiada nikmat. Golongan sombong bodoh ini adalah golongan yang begitu rugi kerana apabila mereka senang dan berada di pusingan atas roda kehidupan mereka alpa dan menjauhkan diri dari masyarakat yang pernah bersama mereka. Mereka hanya menyedari yang mereka tidak punya sesiapa apabila mereka mula berada pada pusingan ke bawah roda kehidupan. Jika dulu mereka menjauhi namun kini mereka pula dijauhi. Mereka mula menyesal kerana kesombongan mereka dahulu.

Mereka ketika sombong adalah tergolong dari golongan orang yang bodoh kerana tidak pernah memikirkan kejatuhan, tidak pernah mengetahui bahawa hidup ini adalah sebuah roda. Mereka mula menjadi bijak apabila diambang kejatuhan. Andai boleh dibuat perbandingan diantara keduanya maka saya berpendapat mereka yang duduk dalam golongan sombong bodoh ini lebih pendek akalnya dan lebih teruk perangainya berbanding mereka yang bodoh sombong.

Meskipun begitu, walau apa jua pandangan kita terhadap dua golongan ini kita perlu faham bahawa peranan kita di dunia ini adalah sebagai seorang hamba dan hamba tidak boleh sombong kerana Allah swt tidak suka kepada orang yang angkuh dan sombong (al-Hadid: 23). Mengapa perlu kita sombong walau apapun alasannya kerana selagi kita bernama manusia kita akan saling memerluka diantara satu sama lain. Jika hari ini kita bersikap sombong maka hukum alam akan berbalik kepada kita.

Kita pastinya akan tersinggung jika seseorang menyombong diri apabila bertemu dengan kita, maka janganlah lakukan kepada orang lain sesuatu yang anda tidak suka diperlakukan terhadap diri anda. Kesombongan tidak akan bertahan lama kerana hasil kesombongan itu satu sumpahan. Ya, sumpahan, buktinya jika anda sombong terhadap masyarakat maka masyarakat akan meminggirkan anda, bukan itu saja ada juga diantara mereka mendoakan anda agar menerima pembalasan yang setimpal. Bukankah itu satu sumpahan. Cuba anda bayangkan jika yang berkecil hati terhadap sikap sombong anda itu jumlahnya ramai, anda bukan sahaja mendapat doa yang kurang baik tetapi anda juga kini mempunyai ramai musuh.

Justeru ingatlah pesan Luqman as kepada anaknya agar tidak memalingkan wajahnya dari manusia dengan sombong dan jangan pula berjalan di muka bumi dengan angkuh kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang menyombongkan diri. Kesombongan membawa kebodohan, kebodohan merosakkan akhlak, tanpa akhlak yang baik anda tidak dapat mencapai kebahagian. Jatuhnya iblis bukan kerana yang lain tetapi kerana kesombongannya.

Ingatlah bahawa sebagaimana yang disabdakan oleh baginda nabi saw, mereka yang mempunyai nilai kesombongan walau sebesar zarah tidak akan mencium bau syurga. Syurga adalah kebahagian dan kesombongan akan menjatuhkan mereka ke alam terang tapi gelap. Terang kerana mereka berpendapat mereka sentiasa di atas tetapi sebenarnya gelap kerana mereka tidak tahu bahawa mereka sedang jatuh.

Jauhilah sikap bodoh sombong dan sombong bodoh kerana kedua-duanya tidak bermakna. Kerendahan hati adalah ibu kebijaksanaan manakala kesombongan merupakan ibu kejahilan maka orang yang lemah cintanya kepada Allah swt akan meningkatkan kebanggaan dirinya. Semoga kita terhindar dari sikap yang merugikan ini. Amiin.

Read More......