Tuesday, January 20, 2009

Kepayahan Satu Latihan, Kesenangan Satu Ujian

Setiap hari merupakan satu pengalaman untuk kita. Mungkin kita tidak pernah meminum secawan kopi yang begitu pahit tetapi hari ini kita secara tidak sengaja teleh meminum secawan kopi pahit. Satu pengalaman yang mungkin akan dikenang sepanjang hayat.


Hari ini kita telah memandu ke satu daerah yang belum pernah kita sampai, sewaktu sampai sahaja di daerah itu kita begitu sukar untuk sampai ke destinasi yang dituju kerana sememangnya kita tidak tahu langsung selok belok jalan-jalan di situ. Banyak kali kita tersesat dalam perjalanan. Itu hari pertama tetapi pada hari kedua kita mulai faham jalan sekitar tempat kediaman dek kerana pengalaman sesat semalam. Mungkin juga semalam anda telah mengalami satu kejadian yang akan memberi kesan dalam hidup anda.
Pengalaman pada saya merupakan satu kejadian yang telah lepas samada baru tadi tadi ianya berlaku atau mungkin juga kejadian tersebut berlaku beberapa hari lepas. Keseimpulannya pengalaman hanya akan kita perolehi apabila kita telah melewati waktu-waktu yang kita alami setiap saat. Pengalaman adalah sesuatu yang praktikal dan tidak akan dapat diperolehi secara teori. Pengalaman melibatkan rasa dan perasaan.

Kita mungkin sebelum ini tidak pandai memasak dan hanya belajar dengan membaca buku-buku masakan tanpa mencubanya tetapi kita akan lebih pandai jika kita mempraktikkan apa yang dibaca dan kesilapan-kesilapan yang berlaku adalah satu pengalaman baru bagi kita. Pengalaman lebih mudah diingati daripada pembacaan.

Saya bertanya kepada seorang rakan tentang pengalamannya dalam kerjayanya. Katanya setelah menamatkan pelajarannya di salah sebuah IPTA dia telah membeli buku-buku yang memberi tunjuk ajar bagaimana untuk menghadapi temuduga kerjaya. Sehelai demi sehelai lembaran buku tersebut dibacanya dengan harapan apabila dia dipanggil untuk temuduga nanti dia akan lebih bersedia. Ternyata ada beberapa tips yang diberikan dalam buku tersebut berjaya digunakan sebagai senjata keyakinan diri tetapi menurutnya apa yang lebih penting ialah teknik kita menjawab soalan penemuduga denga baik dan pada mulanya dia agak gugup untuk menghadapi temuduga pertamanya tetapi pengalamannya berinteraksi dalam temuduga pertamannya telah mematangkannya dalam menghadapi temuduga-temuduga yang lain hingga akhirnya dia mendapatkan kerja di sebuah syarikat yang agak besar di ibukota.

Walaupun telah Berjaya mendapatkan kerja dan ianya amat mengembirakan hati sahabat saya tetapi ada sesuatu yang amat merunsingkan dirinya. Dia begitu runsing untuk menghadapi hari pertama bekerja kerana dia belum pernah bekerja. Dia tidak tahu bagaimana suasana sebenar alam pekerjaan serta tekanan yang bakal dihadapinya. Pada hari pertama dia bekerja, dengan hati yang berdebar-debar dia melangkah masuk ke ruang pejabat menunggu apa yang perlu dilakukan. Seorang yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai atasan sahabat saya telah membawa sahabat saya ke setiap bahagian yang terdapat di syarikat berkenaan untuk sesi suaikenal. Setelah berkenalan dia mula diberikan tugas-tugas yang perlu dilakukan olehnya sesuai dengan taraf jawatan yang diberikan.

Sahabat saya mula mempelajari setiap dari aspek tugasan yang diberikan kepadanya untuk disiapkan. Setelah sebulan berada di syarikat berkenaan , sahabat saya mempunyai ramai teman serta mula mempelajari banyak perkara yang tidak pernah diketahuinya sewaktu belajar di IPTA dahulu. Dia mula tahu bagaimana untuk mencuri masa dalam kerja dan dia juga mula tahu bagaimana untuk menangguhkan kerja yang sepatutnya disiapkannya. Akibat dari sering mencuri masa dan sering menangguhkan kerja, sahabat saya akhirnya kerap melakukan kesilapan kerana setiap tugasannya selalu dilakukan pada saat akhir dan dia tiada masa untuk menyemak tugasan yang diberi. Justeru pegawai atasan yang dahulunya menyukai teman saya tadi mula menyinga kerana terpaksa menyelia teman saya dengan lebih teliti dan ini menyebabkan tugasan beliau bertambah. Beliau memutuskan untuk memberi surat amaran kepada teman saya.

Teman saya yang sebelumnya sering mencuri masa agak terkejut dengan kehadiran surat tersebut di atas mejanya. Dia menyesal kerana mensia-siakan kepercayaan yang telah diberikan. Dia tahu walaupun tidak terlewat untuk dia berubah namun reputasinya sedikit sebanyak tercalar dan ini akan melambatkan proses pengesahan jawatan yang akan dibuat.

Kita sering merasa tertekan apabila berhadapan kepayahan. Kepayahan bagi kita satu pengalaman buruk yang sebolehnya kita hindari. Kepayahan bagi sesetengan orang adalah milik mereka yang tidak tahu mengatur hidup. Walau di mana pun kita berada kita sering terdengar akan rengusan atau keluhan manusia tentang kepayahan. Saya melihatnya dari satu sudut yang lain. Kita ambil contoh teman saya tadi kepayahannya dalam menghadapi temuduga telah membuatkannya berusaha bersungguh-sungguh agar berjaya mendapatkan satu pekerjaan untuk meneruskan kehidupan. Kepayahan yang dialaminya sewaktu mula-mula bekerja telah menyebabkan dia berusaha untuk menguasai setiap aspek pekerjaannya agar setiap langkah yang diambil menjadi satu kejayaaan dalam menyiapkan tugasan yang diamanahkan kepadanya. Dengan itu saya menyimpulkan kepayahan yang sering dilihat negatif itu adalah satu bentuk latihan yang dikurniakan oleh Allah swt kepada kita agar dengannya kita akan menjadi lebih bijaksana, lebih teliti serta tabah untuk menjalani episod seterusnya dalam hidup.

Cuba bayangkan anda tidak pernah langsung mengalami kepayahan apakah yang akan terjadi jika satu ketika anda melihat orang yang berada dalam kepayahan. Mungkin perasaan perikemanusiaan anda amat kurang dan ini menunjukkan nilai cinta anda sesama makhluk juga begitu kurang. Jika anda tidak pernah menghadapi kepayahan, anda juga tidak akan pandai menenilai erti kesenangan. Kita menghargai kemerdekaan yang kita ada kerana kita pernah menghadapi kepayahan hidup sewaktu dijajah. Saya lahir setelah Negara mencapai kemerdekaan namun saya begitu menghargai kemerdekaan serta keamanan kerana ketika saya kecil negara menghadapi ancaman pengganas komunis yang membataskan setiap pergerakan rakyat. Dahulu tidak sebebas sekarang, dahulu kita tidak sewenang-wenangnya pergi berkhemah di tengah hutan kerana ianya begitu merbahaya. Kini kita bebas untuk keluar masuk hutan.

Kepayahan pada pandangan saya adalah satu langkah kematangan hidup dan juga satu jalan mencari jawapan kepada setiap persoalan yang kita hadapi. Untuk mengatasinya kita perlu bergantung secara total kepada Allah swt, menguasai diri kita, menguasai emosi kita serta berusaha untuk memberi yang terbaik terhadap penyelesaiannya. Apabila berjaya kita akan mula melangkah lebih jauh dan kesilapan seringkali berlaku dalam fasa kedua iaitu untuk mengekalkan kesenangan.

Sewaktu kita berada dalam kepayahan kita sentiasa ingat Allah swt dan berdoa kepadanya agar memberikan jalan keluar yang terbaik untuk diri kita, tetapi apabila kesenangan menjenguk diri kita mula berkurangan menyebut nama Tuhan yang telah membantu kita. Mengambil contoh teman saya tadi, apabila dia mahir dalam pekerjaannya dia mula mencari jalan untuk mencuri masa ketika bekerja. Dia mula merasakan bahawa tugasan yang diberi itu mudah dan dia mampu melakukannya. Oleh yang demikian saya merasakan bahawa kesenangan itu satu ujian.

Kita akan diuji hanya setelah kita menjalani latihan. Ramai yang mungkin salah faham kerana mengganggap ujian itu datang ketika kepayahan. Bagi pengamal Meditasi Super Sedar, ujian adalah sewaktu kita menghadapi kesenangan. Dengan kesenangan itu kita mungkin menjadi seorang yang tamak, mungkin menjadi seorang yang sibuk dan yang paling menggerunkan ialah menjadi seorang yang lupa Tuhan. Jika kita tahu bahawa kesenangan itu satu ujian kita akan menghadapi kesenangan itu dengan lebih berhati-hati dan menguasainya lebih daipada apa yang kita lakukan sewaktu zaman kepayahan. Kita juga tahu kesenangan itu boleh menjatuhkan kita dengan lebih teruk daripada kepayahan.

Ketika payah kita hanya jatuh secara fizikal dan emosi tetapi ketika senang kita jatuh dari segi rohani dan jika dibiarkan, kita akan lebih mengingati kesenangan yang kita ada lebih dari mengingati Allah swt. Sewaktu senang juga kita lebih takut untuk menjadi susah daripada takut kehilangan cinta Allah swt. Kita mula merasakan apa yang kita kecapi hari ini adalah kerana usaha kita dan bukan pemberian Allah swt. Permainannya begitu halus.

Maka fahamilah secara bijaksana apa itu kepayahan dan apa itu kesenangan. Kepayahan itu mungkin boleh membunuh tetapi caranya kasar manakala kesenangan itu sebenarnya lebih bahaya. Ini tidak pula bermakna kita tidak perlu mencari kesenangan. Kita perlukan kesenangan tetapi kita perlu menguasai diri kita sewaktu kita berada dalam lingkungannya kerana kepayahan itu satu latihan hidup dan kesenangan itu ujiannya. Kita perlu lulus dalam uijan agar mendapat kesenangan di kedua-dua alam.

Read More......

Monday, January 12, 2009

Istimewanya Wanita


Beberapa hari lepas saya mengambil peluang untuk berehat di rumah. Kesempatan itu juga saya gunakan untuk mengemaskan barang-barang dalam bilik bacaan. Ketika asyik berkemas saya terpandang album gambar yang sudah lama tidak saya lihat. Merenung satu persatu gambar-gambar yang termuat dalam album tersebut membawa saya kepada kenangan lama yang banyak memberi pengajaran kepada saya.

Antaranya gambar sepasang suami isteri yang juga bekas pelajar kelas meditasi saya. Suaminya seorang pegawai di siang hari dan jurulatih sebuah persilatan di malam hari manakala si isteri adalah suri rumah sepenuh masa. Kedua-dua mereka kelihatan begitu saling sayang menyayangi dan begitu bersopan. Saya kagum dengan sikap mereka yang begitu menghormati sesiapa saja yang mereka kenal. Mereka mengikuti kursus meditasi yang saya anjurkan selepas melihat perubahan corak hidup yang dialami oleh teman mereka. Mereka memutuskan untuk mengambil kursus secara kelas khusus. Pada hari yang ditetapkan saya mula mengajar mereka dari segi konsep hingga ke praktikal.

Sewaktu latihan praktikal si isteri ternyata lebih mudah mencapai setiap objektif modul manakala si suami begitu payah untuk menghilangkan kebisingan minda. Akhirnya si isteri lebih dahulu mencapai gelombang theta tetapi si suami baru terkial-kial mencapai alpha. Ketika mengadakan sessi meditasi bersama saya mengamati sebab musabab yang mengganggu pegawai tersebut dari merendahkan gelombang otak. Hasil pengamatan saya, ego si suami amat tinggi, walaupun secara zahirnya nampak lembut dan bersopan tetapi di dalam dirinya terdapat sikap ego yang amat tinggi. Beliau tidak suka melihat orang lain melebihi beliau dari apa segi pun. Jadi, ketika bermeditasi juga beliau sebenarnya tidak mahu isterinya melebihi beliau dari segi pencapaian spiritual. Walaupun saya dapat mengamati masalah si suami namun saya tidak pula mengkritik beliau kerana apa jua kritikan walaupun membina amat sukar diterima oleh orang yang sedemikian apatah lagi di hadapan isterinya.

Saya memberi mereka kira-kira sepuluh minit untuk berehat. Ketika ini si suami datang berjumpa saya dan katanya ingin bertanya sesuatu yang agak peribadi. Soalannya “mengapa saya tidak dapat masuk dalam meditasi (mencapai gelombang theta) padahal saya lebih berpengalaman dan jurulatih silat, isteri saya tak tahu apapun. Sepatutnya dia yang susah dapat”. Soalan beliau membenarkan pengamatan saya tadi. Ego si suami begitu tinggi hinggakan baginya mustahil si isteri mampu mengatasi beliau dari apa segi sekalipun. Inilah istimewanya wanita, kalau saya rumuskan hasil pencapaian spiritual (SQ), kaum wanita lebih mudah untuk mencapai tahap yang tinggi berbanding kaum lelaki.

"Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan paling indah ialah wanita yang solehah" – hadith riwayat muslim.

Hadith ini jelas membuktikan ketinggian kedudukan wanita di dunia ini, bahkan di dalam Al-Quran juga terdapat satu surah mengenai kaum wanita iaitu An-Nisa. Ini adalah pembuktian bahawa status seseorang itu di hadapan Allah tidak ditentukan oleh jenis kelamin, melainkan nilai keikhlasan dalam mengabdikan diri serta ketakwaannya. Walaupun secara fizikalnya wanita lebih lemah dari lelaki, kedudukan emosinya lebih tinggi. Wanita mudah menghayati dan menjiwai setiap pergerakan dan tutur kata mereka. Dalam jiwa mereka telah tertanam sifat kasih sayang yang ikhlas secara semual jadi. Justeru itu jika mereka mencintai seseorang itu mereka mencintai sepenuh hati.

Secara hakikatnya kekuatan dan kelemahan kaum wanita itu terletak pada emosi yang tersemat di dada mereka. Oleh kerana itu doa kaum wanita sebenarnya lebih mustajab kerana nilai kasih sayang dan penghayatan mereka amat tinggi. Meskipun begitu kedudukan emosi yang tinggi itu tadi juga merupakan kelemahan utama wanita. Mereka juga mudah kalah kerana emosi. Kebanyakan peserta wanita yang hadir dalam kursus saya mudah mencapai matlamat meditasi tetapi mereka juga akan datang kembali berjumpa saya kerana mereka juga amat mudah jatuh. Jika kekuatan emosi yang ada pada kaum wanita itu dijaga dengan baik serta diolah denagn sempurna untuk mencapai sesuatu matlamat, insya Allah mereka akan berjaya mencapai pelbagai kehendak yang mereka inginkan selama ini.

Demi memastikan emosi tersebut agar sentiasa positif beberapa langkah harus diambil, jika tidak mereka akan mudah jatuh dan akhirnya gagal dalam hidup. Emosi yang positif ini adalah salah satu dari dari elemen jiwa, jika elemen ini tidak terganggu maka kita dapat dengan mudah bergerak ke arah ketenangan jiwa yang dalam dan mampu menjana minda positif yang sebenar serta satu anjakan paradigma dapat dilakukan.

Bagi kaum lelaki pula masalah utamanya ialah ego. Ia merupakan satu sifat semulajadi bagi seseorang lelaki. Tidak salah mempunyai ego tetapi apabila ego itu berlebihan dan tidak kena pada tempatnya akan merosakkan diri.

Berbalik kepada kisah pasangan suami isteri itu tadi, saya memberitahu kepada si suami bahawa egonya merupakan hambatannya atau halangan utama untuk beliau mencapai matlamat meditasi. Jika kita ingin mencapai keadaan super sedar, perkara pokok yang wajib kita lakukan ialah membuang ego. Selagi kita ego selagi itu kita tidak akan mencapai apa-apa dalam meditasi. Sepatutnya sebagai seorang suami beliau harus berbangga dengan pencapaian isterinya yang secara tidak langsung akan memberi kesan positif terhadap keluarganya. Saya mengingatkan beliau bahawa yang terbaik diantara manusia adalah yang terbaik sikap dan perilakunya terhadap kaum wanita. Emosi positif hasil dari sikap kasih sayang semula jadi dalam diri wanita memberikan satu lonjakan tenaga yang kuat. Tenaga yang sedemikian akan membawa kepada kekentalan jiwa serta keberanian mengharungi kehidupan dunia. Justeru hadith mengatakan

"barangsiapa yang membesarkan dan mendidik dua puterinya dengan kasih sayang, ia akan masuk syurga".

Jika dikaji sebenarnya hadith ini menghendaki kita berlatih agar dapat mencapai emosi positif serta lonjakan energi yang kuat. Apabila kita memdidik anak perempuan kita dengan kasih saying secara tidak langsung kita juga memupuk nilai kasih sayang dalam diri secara ikhlas. Perasaan kasih sayang ini mampu membawa kita ke gelombang otak theta yang mana kita akan merasa keadaan syahdu yang penuh nikmat. Bagi mereka yang mencapai gelombang delta dalam meditasi, hidup mereka akan penuh dengan kasih sayang. Adakalanya mereka merasa begitu sedih jika hendak memetik bunga tanpa tujuan. Jika gelombang ini ditebarkan dalam keluarga, maka seluruh keluarga akan berada dalam keadaan kasih sayang dan hidup penuh bahagia.

Read More......

Friday, January 2, 2009

Manusia Luar Biasa

"If the only prayer you ever say in your entire life is thank you, it will be enough"
Meister Eckhardt
“Mak… nak beli baju spiderman” rengek seorang anak kecil kepada ibunya di sebuah gedung membeli belah. Saya tersenyum mendengar rengekannya kerana dalam rengekannya, dia sempat memberi pelbagai alasan untuk memujuk ibunya supaya membelikannya sepasang baju spiderman. Spiderman satu watak yang wujud sejak saya kecil lagi. Saya juga sewaktu kecil berminat untuk menjadi spiderman, seorang manusia luar biasa namun setelah dewasa barulah saya tahu bahawa kewujudannya hanyalah satu fiksyen.
Namun saya masih lagi ingin menjadi manusia luarbiasa kerana dengan menjadi manusia luarbiasa saya mampu membantu orang yang yang sedang mengalami masalah. Hari ini mungkin juga saya sudah menjadi luarbiasa tanpa sedar kerana dalam diam saya telah banyak juga mengubah orang serta membantu membuka jalan keluar kepada pelbagai masalah. Akhirnya saya fikir, tidak dapat menjadi spiderman pun tidak mengapa asalkan sudah dapat menjadi sebahagian manusia luar biasa.
Beberapa minggu lepas, saya ke berada di satu kawasan peranginan tempatan. Saya dan teman saya mencuri sedikit masa terluang untuk minum malam di kawasan peranginan. Ketika kami sedang menghirup angin malam sambil menikmati makanan yang terhidang, beberapa peserta program kami datang untuk menyertai minum malam kami. Perkenalan singkat itu mengungkai pelbagai soalan dan minum malam tersebut sudah mula menjadi satu program informal. Ada beberapa kenyataan yang ingin saya kongsikan bersama dan ianya bagi saya amat penting untuk kita renungi.
Seorang dari mereka bertanyakan satu soalan kepada kawan saya, “Dato’ Roslizam… saya ada satu soalan, Dato’ Roslizam seorang yang hebat dan saya teringin sekali untuk menjadi seorang yang hebat seperti Dato’, cuma saya ingin nak tau bagaimana Dato’ boleh membantu untuk mencipta seorang lagi orang seperti Dato’ dan orang tersebut mampu pula untuk mencipta salinan dirinya?”
Terus terang, saya sebenarnya amat menyukai soalan yang diajukan kepada teman saya itu. Bagi saya soalan itu hanya akan datang dari seseorang yang dahagakan perubahan diri dan bagi seseorang yang mempunyai visi dalam hidupnya. Menurutnya orang yang sudah berjaya mudah bercerita yang dia kini sudah berjaya dalam hidupnya dan amat gemar sekali menceritakan bagaimana dia berjaya dan dia menghadapi saat sukarnya. Peserta itu juga memberi komen bahawa memberi motivasi itu mudah tetapi formula untuk mencetak seorang lagi sehebat orang yang bercerita itu seringkali tidak dimaklumkan.
Saya bersetuju dengan pandangan peserta tadi, apalah guna kita hanya bercerita tanpa memberitahu apakah formula sebenarnya tanpa menyembunyikan sebarang fakta.
Saya suka mengambil beberapa contoh program jutawan yang ada di Malaysia. Mereka berkata mereka menjadi kaya hasil dari program yang mereka cipta namun hakikatnya apakah benar mereka menjadi kaya dengan program yang mereka cipta atau mereka menjual program mereka untuk menjadi kaya. Ini adalah fakta kerana ramai yang hanya menjual program dan mereka berubah menjadi kaya bukan kerana hasil program mereka tetapi sebenarnya hanya menjual idea tentang program mereka.
Amat mudah untuk bercerita bagaimana untuk menjadi seorang yang hebat tetapi sebenarnya jalannya bukan semudah yang diceritakan. Justeru itu saya sering mengingatkan trainer-trainer saya bahawa tujuan utama kita berada dalam industri ini sebenarnya adalah untuk mengubah orang secara praktikal dan bukan sekadar melepaskan batuk di tepi tangga. Seorang yang hebat perlu tahu bagaimana dia menjadi hebat dan dia akan menjadi lebih hebat apabila dia dapat mencipta seorang lagi seperti dia dan dia amat hebat apabila orang yang dibentuknya itu dapat pula mencipta seorang lagi duplikasi kehebatannya.
Kata seorang bijak pandai “We need to learn to set our course by the stars, not by the lights of every passing ship”. Setelah dijelaskan oleh teman saya, peserta tersebut berpuas hati dengan jawapan yang diberikan. Dia berharap agar teman saya dapat membantunya untuk menjadi seperti teman saya itu dan berjanji tidak akan melupakan jasanya.
Dalam suasana gelak ketawa teman saya berkata “ooo begitu… saya kalau tolong orang dan orang tersebut lupa kepada saya itu normal, tak de masalah, tetapi kalau saya tolong dia dan kemudian dia ingat kepada saya maka orang itu luar biasa”.
Satu lagi kenyataan yang begitu menarik. Sesungguhnya teman saya itu benar kerana jika sekiranya kita membantu orang yang datang dengan nada sedih untuk meminta bantuan kita dan kita dengan rasa penuh bertanggungjawab membantunya dan setelah dia berjaya dalam mencapai apa jua matlamatnya dan dia kemudiannya melupakan kita maka itu perkara biasa dan tiada apa yang perlu kita sedihkan kerana sememangnya sifat manusia itu mudah lupa.
Kalau anda berfikir bahawa pertolongan itu seharusnya ikhlas maka itu juga satu kesilapan kerana saya berpendapat tiada seorang pun yang membantu dan tiada mahu imbalan hasil dari bantuannya. Buktinya seorang ibu yang melahirkan serta mendidik anaknya hingga dewasa masih mahukan imbalan, sekurang-kurangnya doa dari seorang anak untuknya. Nah… itu seorang ibu yang nilai kasih sayangnya tidak boleh dipertikaikan, apatah lagi mereka yang tidak langsung mempunyai ikatan darah pastinya imbalannya ada walaupun hari ini dia tidak memintanya.
Hari ini saya ingin mengajak anda semua yang saya hormati lagi hargai untuk menjadi manusia luarbiasa dan mungkin kita akan lebih hebat dari spiderman kerana spiderman hanya membantu orang tetapi kita hebat kerana sentiasa ingat bantuan orang dan tidak menjadi seperti kacang lupakan kulit.
The truth of the matter is that you always know the right thing to do. The hard part is doing it. Kita mungkin tahu yang kita perlu berterima kasih namun tahu sahaja tidak memadai jika kita tidak pandai mengucapkannya dan mengucapkannya tidak sempurna jika kita tidak pula melakukannya. Untuk belajar menjadi orang luarbiasa maka beberapa langkah perlu kita ambil dan semoga langkah-langkah ini jika anda lakukan saya yakin insya Allah anda akan menjadi manusia luarbiasa dan pastinya manusia luarbiasa itu menjadi sebutan orang dan seandainya kita mati, kita bukan sekadar meninggalkan nama tetapi lebih hebatnya mati kita diiringi doa-doa yang datang dari mereka juga yang sudah manusia luarbiasa.
Langkah awal ialah dengan belajar berterima kasih dengan Allah swt. Caranya ialah sentiasa berterima kasih denganNya. Cuba anda fikirkan berapa kali anda buang air dan setelah buang air anda berterima kasih kepada Allah swt kerana memberi kemudahan untuk anda membuang air besar misalnya. Maka kita tanpa sedar kufur nikmat kerana cuba bayangkan apakah yang yang akan terjadi jika sekiranya anda tidak dapat membuang air besar selama seminggu. Mulai hari ini cuba anda ucapkan “terima kasih Ya Allah kerana….”. Ungkapkan ucapan itu dari lubuk hati dan ucapkannya untuk setiap akitivi yang bakal anda lakukan dan setelah anda lakukan.
Pengalaman saya dalam melatih peserta saya, setelah hal ini dilakukan dalam masa seminggu anda akan mempunyai hati yang lunak serta anda akan mula tahu bagaimana berterima kasih dengan manusia secara jujur dan mengingati jasa mereka yang membantu anda. Apabila ini berlaku maka anda sudah layak untuk menerima anugerah manusia luar biasa dan manusia luar biasa pasti akan mudah mendapat pertolongan Allah swt dan manusia sejagat.
Memetik kata-kata pujangga "to put the world right in order, we must first put the nation in order; to put the nation in order, we must first put the family in order; to put the family in order, we must first cultivate our personal life; we must first set our hearts right".
Langkah kedua ialah dengan sering membantu manusia lain kerana sikap orang yang anda bantu itu juga bakal mengingatkan untuk berterima kasih kepada mereka yang berjasa dan sikap mereka juga adalah reflek sikap diri anda sebenarnya. Semoga seminggu selepas ini anda akan menjadi manusia luarbiasa.

Read More......