Beberapa hari lepas saya mengambil peluang untuk berehat di rumah. Kesempatan itu juga saya gunakan untuk mengemaskan barang-barang dalam bilik bacaan. Ketika asyik berkemas saya terpandang album gambar yang sudah lama tidak saya lihat. Merenung satu persatu gambar-gambar yang termuat dalam album tersebut membawa saya kepada kenangan lama yang banyak memberi pengajaran kepada saya.
Antaranya gambar sepasang suami isteri yang juga bekas pelajar kelas meditasi saya. Suaminya seorang pegawai di siang hari dan jurulatih sebuah persilatan di malam hari manakala si isteri adalah suri rumah sepenuh masa. Kedua-dua mereka kelihatan begitu saling sayang menyayangi dan begitu bersopan. Saya kagum dengan sikap mereka yang begitu menghormati sesiapa saja yang mereka kenal. Mereka mengikuti kursus meditasi yang saya anjurkan selepas melihat perubahan corak hidup yang dialami oleh teman mereka. Mereka memutuskan untuk mengambil kursus secara kelas khusus. Pada hari yang ditetapkan saya mula mengajar mereka dari segi konsep hingga ke praktikal.
Sewaktu latihan praktikal si isteri ternyata lebih mudah mencapai setiap objektif modul manakala si suami begitu payah untuk menghilangkan kebisingan minda. Akhirnya si isteri lebih dahulu mencapai gelombang theta tetapi si suami baru terkial-kial mencapai alpha. Ketika mengadakan sessi meditasi bersama saya mengamati sebab musabab yang mengganggu pegawai tersebut dari merendahkan gelombang otak. Hasil pengamatan saya, ego si suami amat tinggi, walaupun secara zahirnya nampak lembut dan bersopan tetapi di dalam dirinya terdapat sikap ego yang amat tinggi. Beliau tidak suka melihat orang lain melebihi beliau dari apa segi pun. Jadi, ketika bermeditasi juga beliau sebenarnya tidak mahu isterinya melebihi beliau dari segi pencapaian spiritual. Walaupun saya dapat mengamati masalah si suami namun saya tidak pula mengkritik beliau kerana apa jua kritikan walaupun membina amat sukar diterima oleh orang yang sedemikian apatah lagi di hadapan isterinya.
Saya memberi mereka kira-kira sepuluh minit untuk berehat. Ketika ini si suami datang berjumpa saya dan katanya ingin bertanya sesuatu yang agak peribadi. Soalannya “mengapa saya tidak dapat masuk dalam meditasi (mencapai gelombang theta) padahal saya lebih berpengalaman dan jurulatih silat, isteri saya tak tahu apapun. Sepatutnya dia yang susah dapat”. Soalan beliau membenarkan pengamatan saya tadi. Ego si suami begitu tinggi hinggakan baginya mustahil si isteri mampu mengatasi beliau dari apa segi sekalipun. Inilah istimewanya wanita, kalau saya rumuskan hasil pencapaian spiritual (SQ), kaum wanita lebih mudah untuk mencapai tahap yang tinggi berbanding kaum lelaki.
"Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan paling indah ialah wanita yang solehah" – hadith riwayat muslim.
Hadith ini jelas membuktikan ketinggian kedudukan wanita di dunia ini, bahkan di dalam Al-Quran juga terdapat satu surah mengenai kaum wanita iaitu An-Nisa. Ini adalah pembuktian bahawa status seseorang itu di hadapan Allah tidak ditentukan oleh jenis kelamin, melainkan nilai keikhlasan dalam mengabdikan diri serta ketakwaannya. Walaupun secara fizikalnya wanita lebih lemah dari lelaki, kedudukan emosinya lebih tinggi. Wanita mudah menghayati dan menjiwai setiap pergerakan dan tutur kata mereka. Dalam jiwa mereka telah tertanam sifat kasih sayang yang ikhlas secara semual jadi. Justeru itu jika mereka mencintai seseorang itu mereka mencintai sepenuh hati.
Secara hakikatnya kekuatan dan kelemahan kaum wanita itu terletak pada emosi yang tersemat di dada mereka. Oleh kerana itu doa kaum wanita sebenarnya lebih mustajab kerana nilai kasih sayang dan penghayatan mereka amat tinggi. Meskipun begitu kedudukan emosi yang tinggi itu tadi juga merupakan kelemahan utama wanita. Mereka juga mudah kalah kerana emosi. Kebanyakan peserta wanita yang hadir dalam kursus saya mudah mencapai matlamat meditasi tetapi mereka juga akan datang kembali berjumpa saya kerana mereka juga amat mudah jatuh. Jika kekuatan emosi yang ada pada kaum wanita itu dijaga dengan baik serta diolah denagn sempurna untuk mencapai sesuatu matlamat, insya Allah mereka akan berjaya mencapai pelbagai kehendak yang mereka inginkan selama ini.
Demi memastikan emosi tersebut agar sentiasa positif beberapa langkah harus diambil, jika tidak mereka akan mudah jatuh dan akhirnya gagal dalam hidup. Emosi yang positif ini adalah salah satu dari dari elemen jiwa, jika elemen ini tidak terganggu maka kita dapat dengan mudah bergerak ke arah ketenangan jiwa yang dalam dan mampu menjana minda positif yang sebenar serta satu anjakan paradigma dapat dilakukan.
Bagi kaum lelaki pula masalah utamanya ialah ego. Ia merupakan satu sifat semulajadi bagi seseorang lelaki. Tidak salah mempunyai ego tetapi apabila ego itu berlebihan dan tidak kena pada tempatnya akan merosakkan diri.
Berbalik kepada kisah pasangan suami isteri itu tadi, saya memberitahu kepada si suami bahawa egonya merupakan hambatannya atau halangan utama untuk beliau mencapai matlamat meditasi. Jika kita ingin mencapai keadaan super sedar, perkara pokok yang wajib kita lakukan ialah membuang ego. Selagi kita ego selagi itu kita tidak akan mencapai apa-apa dalam meditasi. Sepatutnya sebagai seorang suami beliau harus berbangga dengan pencapaian isterinya yang secara tidak langsung akan memberi kesan positif terhadap keluarganya. Saya mengingatkan beliau bahawa yang terbaik diantara manusia adalah yang terbaik sikap dan perilakunya terhadap kaum wanita. Emosi positif hasil dari sikap kasih sayang semula jadi dalam diri wanita memberikan satu lonjakan tenaga yang kuat. Tenaga yang sedemikian akan membawa kepada kekentalan jiwa serta keberanian mengharungi kehidupan dunia. Justeru hadith mengatakan
"barangsiapa yang membesarkan dan mendidik dua puterinya dengan kasih sayang, ia akan masuk syurga".
Jika dikaji sebenarnya hadith ini menghendaki kita berlatih agar dapat mencapai emosi positif serta lonjakan energi yang kuat. Apabila kita memdidik anak perempuan kita dengan kasih saying secara tidak langsung kita juga memupuk nilai kasih sayang dalam diri secara ikhlas. Perasaan kasih sayang ini mampu membawa kita ke gelombang otak theta yang mana kita akan merasa keadaan syahdu yang penuh nikmat. Bagi mereka yang mencapai gelombang delta dalam meditasi, hidup mereka akan penuh dengan kasih sayang. Adakalanya mereka merasa begitu sedih jika hendak memetik bunga tanpa tujuan. Jika gelombang ini ditebarkan dalam keluarga, maka seluruh keluarga akan berada dalam keadaan kasih sayang dan hidup penuh bahagia.