"If the only prayer you ever say in your entire life is thank you, it will be enough"
Meister Eckhardt
Meister Eckhardt
“Mak… nak beli baju spiderman” rengek seorang anak kecil kepada ibunya di sebuah gedung membeli belah. Saya tersenyum mendengar rengekannya kerana dalam rengekannya, dia sempat memberi pelbagai alasan untuk memujuk ibunya supaya membelikannya sepasang baju spiderman. Spiderman satu watak yang wujud sejak saya kecil lagi. Saya juga sewaktu kecil berminat untuk menjadi spiderman, seorang manusia luar biasa namun setelah dewasa barulah saya tahu bahawa kewujudannya hanyalah satu fiksyen.
Namun saya masih lagi ingin menjadi manusia luarbiasa kerana dengan menjadi manusia luarbiasa saya mampu membantu orang yang yang sedang mengalami masalah. Hari ini mungkin juga saya sudah menjadi luarbiasa tanpa sedar kerana dalam diam saya telah banyak juga mengubah orang serta membantu membuka jalan keluar kepada pelbagai masalah. Akhirnya saya fikir, tidak dapat menjadi spiderman pun tidak mengapa asalkan sudah dapat menjadi sebahagian manusia luar biasa.
Beberapa minggu lepas, saya ke berada di satu kawasan peranginan tempatan. Saya dan teman saya mencuri sedikit masa terluang untuk minum malam di kawasan peranginan. Ketika kami sedang menghirup angin malam sambil menikmati makanan yang terhidang, beberapa peserta program kami datang untuk menyertai minum malam kami. Perkenalan singkat itu mengungkai pelbagai soalan dan minum malam tersebut sudah mula menjadi satu program informal. Ada beberapa kenyataan yang ingin saya kongsikan bersama dan ianya bagi saya amat penting untuk kita renungi.
Seorang dari mereka bertanyakan satu soalan kepada kawan saya, “Dato’ Roslizam… saya ada satu soalan, Dato’ Roslizam seorang yang hebat dan saya teringin sekali untuk menjadi seorang yang hebat seperti Dato’, cuma saya ingin nak tau bagaimana Dato’ boleh membantu untuk mencipta seorang lagi orang seperti Dato’ dan orang tersebut mampu pula untuk mencipta salinan dirinya?”
Terus terang, saya sebenarnya amat menyukai soalan yang diajukan kepada teman saya itu. Bagi saya soalan itu hanya akan datang dari seseorang yang dahagakan perubahan diri dan bagi seseorang yang mempunyai visi dalam hidupnya. Menurutnya orang yang sudah berjaya mudah bercerita yang dia kini sudah berjaya dalam hidupnya dan amat gemar sekali menceritakan bagaimana dia berjaya dan dia menghadapi saat sukarnya. Peserta itu juga memberi komen bahawa memberi motivasi itu mudah tetapi formula untuk mencetak seorang lagi sehebat orang yang bercerita itu seringkali tidak dimaklumkan.
Saya bersetuju dengan pandangan peserta tadi, apalah guna kita hanya bercerita tanpa memberitahu apakah formula sebenarnya tanpa menyembunyikan sebarang fakta.
Saya suka mengambil beberapa contoh program jutawan yang ada di Malaysia. Mereka berkata mereka menjadi kaya hasil dari program yang mereka cipta namun hakikatnya apakah benar mereka menjadi kaya dengan program yang mereka cipta atau mereka menjual program mereka untuk menjadi kaya. Ini adalah fakta kerana ramai yang hanya menjual program dan mereka berubah menjadi kaya bukan kerana hasil program mereka tetapi sebenarnya hanya menjual idea tentang program mereka.
Amat mudah untuk bercerita bagaimana untuk menjadi seorang yang hebat tetapi sebenarnya jalannya bukan semudah yang diceritakan. Justeru itu saya sering mengingatkan trainer-trainer saya bahawa tujuan utama kita berada dalam industri ini sebenarnya adalah untuk mengubah orang secara praktikal dan bukan sekadar melepaskan batuk di tepi tangga. Seorang yang hebat perlu tahu bagaimana dia menjadi hebat dan dia akan menjadi lebih hebat apabila dia dapat mencipta seorang lagi seperti dia dan dia amat hebat apabila orang yang dibentuknya itu dapat pula mencipta seorang lagi duplikasi kehebatannya.
Kata seorang bijak pandai “We need to learn to set our course by the stars, not by the lights of every passing ship”. Setelah dijelaskan oleh teman saya, peserta tersebut berpuas hati dengan jawapan yang diberikan. Dia berharap agar teman saya dapat membantunya untuk menjadi seperti teman saya itu dan berjanji tidak akan melupakan jasanya.
Dalam suasana gelak ketawa teman saya berkata “ooo begitu… saya kalau tolong orang dan orang tersebut lupa kepada saya itu normal, tak de masalah, tetapi kalau saya tolong dia dan kemudian dia ingat kepada saya maka orang itu luar biasa”.
Satu lagi kenyataan yang begitu menarik. Sesungguhnya teman saya itu benar kerana jika sekiranya kita membantu orang yang datang dengan nada sedih untuk meminta bantuan kita dan kita dengan rasa penuh bertanggungjawab membantunya dan setelah dia berjaya dalam mencapai apa jua matlamatnya dan dia kemudiannya melupakan kita maka itu perkara biasa dan tiada apa yang perlu kita sedihkan kerana sememangnya sifat manusia itu mudah lupa.
Kalau anda berfikir bahawa pertolongan itu seharusnya ikhlas maka itu juga satu kesilapan kerana saya berpendapat tiada seorang pun yang membantu dan tiada mahu imbalan hasil dari bantuannya. Buktinya seorang ibu yang melahirkan serta mendidik anaknya hingga dewasa masih mahukan imbalan, sekurang-kurangnya doa dari seorang anak untuknya. Nah… itu seorang ibu yang nilai kasih sayangnya tidak boleh dipertikaikan, apatah lagi mereka yang tidak langsung mempunyai ikatan darah pastinya imbalannya ada walaupun hari ini dia tidak memintanya.
Hari ini saya ingin mengajak anda semua yang saya hormati lagi hargai untuk menjadi manusia luarbiasa dan mungkin kita akan lebih hebat dari spiderman kerana spiderman hanya membantu orang tetapi kita hebat kerana sentiasa ingat bantuan orang dan tidak menjadi seperti kacang lupakan kulit.
The truth of the matter is that you always know the right thing to do. The hard part is doing it. Kita mungkin tahu yang kita perlu berterima kasih namun tahu sahaja tidak memadai jika kita tidak pandai mengucapkannya dan mengucapkannya tidak sempurna jika kita tidak pula melakukannya. Untuk belajar menjadi orang luarbiasa maka beberapa langkah perlu kita ambil dan semoga langkah-langkah ini jika anda lakukan saya yakin insya Allah anda akan menjadi manusia luarbiasa dan pastinya manusia luarbiasa itu menjadi sebutan orang dan seandainya kita mati, kita bukan sekadar meninggalkan nama tetapi lebih hebatnya mati kita diiringi doa-doa yang datang dari mereka juga yang sudah manusia luarbiasa.
Langkah awal ialah dengan belajar berterima kasih dengan Allah swt. Caranya ialah sentiasa berterima kasih denganNya. Cuba anda fikirkan berapa kali anda buang air dan setelah buang air anda berterima kasih kepada Allah swt kerana memberi kemudahan untuk anda membuang air besar misalnya. Maka kita tanpa sedar kufur nikmat kerana cuba bayangkan apakah yang yang akan terjadi jika sekiranya anda tidak dapat membuang air besar selama seminggu. Mulai hari ini cuba anda ucapkan “terima kasih Ya Allah kerana….”. Ungkapkan ucapan itu dari lubuk hati dan ucapkannya untuk setiap akitivi yang bakal anda lakukan dan setelah anda lakukan.
Pengalaman saya dalam melatih peserta saya, setelah hal ini dilakukan dalam masa seminggu anda akan mempunyai hati yang lunak serta anda akan mula tahu bagaimana berterima kasih dengan manusia secara jujur dan mengingati jasa mereka yang membantu anda. Apabila ini berlaku maka anda sudah layak untuk menerima anugerah manusia luar biasa dan manusia luar biasa pasti akan mudah mendapat pertolongan Allah swt dan manusia sejagat.
Memetik kata-kata pujangga "to put the world right in order, we must first put the nation in order; to put the nation in order, we must first put the family in order; to put the family in order, we must first cultivate our personal life; we must first set our hearts right".
Langkah kedua ialah dengan sering membantu manusia lain kerana sikap orang yang anda bantu itu juga bakal mengingatkan untuk berterima kasih kepada mereka yang berjasa dan sikap mereka juga adalah reflek sikap diri anda sebenarnya. Semoga seminggu selepas ini anda akan menjadi manusia luarbiasa.