Monday, December 29, 2008

Salam Maal Hijrah

Selamat menyambut Maal Hijrah 1430 kepada seluruh umat Islam terutamanya para peserta dan pengunjung setia blog soul power. Semoga tahun baru ini dipenuhi keberkatan dan di dekatkan hati kita kepadaNya

Read More......

Sunday, December 28, 2008

Terapi Alam


Dek banyaknya kita memikirkan hal dunia sering menyebabkan kita buntu dan sakit. Biar sebanyak mana kita memikirkan dunia namun dunia tidak pula bersimpati kepada kita. Beberapa hari lepas kebanyakan akhbar aliran perdana menulis tentang depresi atau kemurungan. Saya juga banyak menerima email yang sebegitu.

Masalah yang menimpa dan pendaman perasaan adalah satu dari unsur yang banyak menyumbang kepada kebuntuan otak dan perasaan. Semakin kita mencari jalan keluar semakin sempit lorong yang kita lihat. Semakin banyak orang yang kita temui semakin resah kita dibuatnya. Semakin banyak nasihat yang diterima,semakin berat masalah yang kita pikul. Akhirnya hidup jadi tidak keruan. Apabila ini terjadi kita akan mula mencari siapakah yang dapat membantu dan terapi apakah yang sesuai.

Hal ini berlaku pada seorang teman dan saya berterima kasih kepada beliau kerana membenarkan saya berkongsi ceritanya dalam artikel kali ini. Beliau seorang yang begitu rajin bekerja dan mempunyai cita-cita besar. Beliau seorang yang amat baik namun saya berpendapat dia juga seorang yang amat murah hati. Meminjam kata-kata filem P.Ramlee `biar baik hati tapi jangan murah hati’. Murah hati ini sebenarnya banyak bahaya dari baiknya kerana apabila seseorang itu murah hati maka selalunya dia tidak mampu menolak permintaan orang lain walaupun berlawanan dengan kehendaknya.

Begitulah dengan teman saya tadi, dia amat sukar menolak kemahuan orang lain. Jika sekiranya ada orang datang bertemu dengannya dan meminta pertolongan, dia akan menolongnya walaupun dia tidak mampu melakukannya. Contohnya sewaktu dia kekurangan wang dan pada waktu yang sama ada temannya datang meminta bantuan kewangan darinya. Biarpun dia kekurangan wang namun dia cuba sedaya upaya membantu hingga dia pula terpaksa meminjam dari orang lain. Setelah beberapa ketika,teman yang ditolong dahulu hilang entah ke mana dan dia pula terpaksa menanggung beban yang dilakukannya dahulu.

Teman saya ini pula kini menghadapi pelbagai masalah dan ditambah dengan beban yang sedia ada menjadikan dia tertekan. Akibatnya dia kini lebih suka menyendiri dan memendam rasa. Kualiti kerjanya merudum dan secara tidak langsung kualiti hidupnya juga merosot. Tidak salah jika baik hati kerana apabila baik hati kita akan memikirkan diri kita dahulu walaupun ianya kelihatan seperti pentingkan diri sendiri. Seharusnya kita pentingkan diri sendiri dalam beberapa hal.

Jika kita berkorban untuk orang lain dan pengorbanan itu atas dasar kasihan dan bukan atas dasar Tuhan, kita tanpa sedar membawa diri kita ke lembah masalah. Satu ketika nanti hilang kasihan maka timbul pula kebencian dan akibat kebencian ini timbul pula penyakit. Apabila kita berkorban atas namaNya, Allah pasti memberi pertolongan tetapi apabila atas nama kasihan, maka seharusnya kita bersedia menanggung akibatnya. Penyakit yang sering mendatangi manusia tanpa kita sedari.

Akibat tekanan perasaan yang berlarutan, teman saya mula mencari jalan keluar. Dia mencari orang boleh mendoakan dia agar kuat dan mencapai kekuatan diri. Puas dia mencari, asal dia tahu ada orang yang alim,dia akan pergi berjumpa hingga satu ketika dia hampir berputus asa kerana tekanan perasaannya masih tebal.

Setahun yang lepas dia datang berjumpa saya dan bertanya tentang terapi yang patut dia lalui.
Saya bertanya kepadanya, “seandainya kamu berjumpa orang yang alim yang tidak pernah sesaat pun melupakan Allah, apakah kamu suka dan mahukah kamu minta didoakan olehnya?’”
tanpa banyak bicara dia terus menjawab “ya itu pasti”.
Saya bertanya lagi kepadanya "apakah yang mampu membuat hati tenteram".
Dia berkata dia hanya jadi tenteram bila dia keluar berjalan.
“Ooo… begitu, bukankah hati hanya jadi tenteram apabila mengingati Allah?” tanya saya.
Dia membenarkan kata-kata tersebut tetapi dia berkata dia telah cuba berzikir namun masih juga tidak mencapai ketenteraman jiwa.
Ya, itulah yang selalu kita dengar. Ini kerana kita sering berzikir dibibir tetapi fikirannya melayang entah ke mana.

Dalam program Soul Power, kita perlu menjadikan fakulti jiwa, fakulti minda dan fakulti mulut berjalan ke satu destinasi yang sama. Tanpa destinasi yang sama, pastinya kekuatan diri tidak akan dapat dicapai.

Berbalik kepada teman saya tadi saya menjelaskan kepada teman saya bahawa jika kita lihat dari satu sudut gelombang otak, hanya dengan mengingati Allah dengan ketiga-tiga fakulti itu tadi akan membawa seseorang itu ke satu tahap gelombang yang rendah. Justeru itu gelombang di kaabah begitu rendah kerana di sana manusia mengingati Allah dengan seluruh jiwa dan raganya.

Saya terangkan lagi, selain manusia, jin dan syaitan, alam ini kesemuanya bertasbih kepada Allah selama 24 jam sehari dan mereka tidak pernah melanggar amanah Allah.

Dalam suarah Al Isra :44, Allah berfirman:
"Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tiada suatu pun melainkan bertasbih dengan memujiNya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun".

Pastinya jika kita kenal orang yang mengingati Allah swt dengan seluruh jiwa dan raganya, kita akan mahu bersamanya selama kita hidup. Mengapa tidak kita duduk bersama dengan pokok dan binatang. Kita memandang remeh akan kedudukan tumbuhan dan binatang kerana meraka tidak setaraf dengan kita. Jika anda mempunyai masalah sama dengan teman saya maka saya syorkan satu terapi yang murah bahkan adakalanya boleh didapati secara percuma. Namanya terapi alam. Terapi alam ini bermaksud kita menjadi sahabat kepada alam. Persoalan yang mungkin timbul adalah mengapa alam dan apakah manfaatnya.

Alam mengandungi pelbagai makhluk yang ada di dalamnya. Antaranya angin, tumbuhan dan binatang. Mereka ini tidak pernah lupa pada Tuhan tidak sebagaimana manusia yang sentiasa sibuk dalam urusan dunianya. Mereka yakin pada aliran hidup yang ditentukan oleh Allah swt. Maka dengan itu gelombangnya rendah. Untuk menjadi sahabat kepada alam terlebih dahulu kita perlu untuk mengenal alam itu sendiri.

Salah satu terapi alam yang kian mendapat tempat di hati manusia di barat ialah bercakap dengan pokok. Apabila kita ingin menjadi sahabat kepada seseorang itu, perkara pertama yang kita akan lakukan ialah bercakap dengannya dan oleh sebab itu kita perlu bercakap dengan pokok atau tumbuhan yang ada. Kita tidak perlu meluahkannya secara lisan kerana ianya boleh dilakukan dalam hati. Pokok atau tumbuhan mempunya gelombang yang rendah dan ia mampu mempengaruhi gelombang fikiran kita apatah lagi sewaktu kita mempunyai gelombang otak yang tinggi.

Apabila kita sering melakukan hal yang demikian yakni meluahkan perasaan negatif yang ada dalam diri kepada alam, lama kelamaan ianya akan susut dan energi positif akan mula mengambil alih ruang kosong yang ditinggalkan. Sekiranya anda merasa tertekan, atau merasa kesunyian atau mempunyai masalah yang begitu sukar untuk dirungkai, cubalah bersahabat dengan alam kerana alam mempunyai jiwa yang tenteram kerana mereka sentiasa mengingati Allah swt.

Insya Allah jiwa anda akan menjadi lembut kerana tanpa sedar anda juga akan mengingati Allah swt dengan seluruh jiwa dan raga. Anda tidak perlu beli bunga yang mahal atau pokok yang besar tetapi memadai mempunyai pokok hiasan yang anda gemari dan sejuk mata memandang. Dan mulakan dengan memberi salam dan teruslah berbicara seadanya dengan bunga tersebut. Semoga anda akan mencapai keadaan baik hati dan bukan murah hati. Ingatlah bahawa alam itu lebih taat kepada Penciptanya maka hilangkanlah kesombongan kita terhadap alam.

Read More......

Wednesday, December 17, 2008

Iman Semut


Di zaman Nabi Allah Sulaiman berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Allah Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu; lantas Nabi Allah Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus. Kelebihan yang Allah s.w.t berikan pada Nabi Allah Sulaiman adalah baginda boleh dengar binatang bercakap dan faham maknanya dan boleh bercakap dengan binatang yang melata di bumi in

Nabi Allah Sulaiman pun bertanya kepada semut: "Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan cukup untuk kamu".

Semut pun menjawab: "Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang tandus ini ada rezeki untuk ku".

Lantas Nabi Allah Sulaiman pun bertanya: "Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?"

Jawab semut: "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan". Nabi Allah Sulaiman pun mencadangkan: "Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong"..

Nabi Allah Sulaiman lantas mengambil satu bekas; baginda mengangkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas tersebut; seterusnya Nabi Allah Sulaiman mengambil sebiji gandum dan memasukkannya ke dalam bekas itu dan menutupnya.

Kemudian Nabi Sulaiman tinggalkan semut tersebut didalam bekas itu dengan sebiji gandum selama satu bulan. Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanya dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Allah Sulaiman menemplak semut: "Kamu rupanya berbohong pada aku!.

Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu hanya makan setengah".

Jawab semut: "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada di atas batu aku pasti makan apapun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku.

Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa".


Itulah Iman Semut!! Biar tubuhnya kecil tapi imannya besar namun manusia tubuhnya besar imannya belum tentu sebesar tubuhnya…

Read More......

Saturday, December 13, 2008

Terapi Gelombang Otak


"You’ve no idea how hard I’ve looked for a gift to bring you. Nothing seemed right. What’s the point of bringing gold to the gold mine or water to the ocean. Everything I came up with was like taking spices to the orient. It’s no good giving my heart and my soul because you already have these. So… I’ve brought you a mirror. Look at yourself and remember me."
Jalauddin rumi

Beberapa bulan lepas saya mengadakan satu program latihan soul power. Alhamdulillah sambutan yang diberikan begitu memuaskan. Agak lama juga untuk memperkenalkan kepada masyarakat kita tentang soul power yang mengupas kepentingan kekuatan jiwa seseorang dalam menjana satu kehidupan yang aman lagi istimewa.

Kekuatan jiwa itu ibu kepada segala kekuatan kerana tanpanya tidak akan terhasil kekuatan fizikal, tidak akan terhasil kekuatan ilmu dan tidak akan terhasil juga kekuatan minda. Jika kekuatan jiwa itu di pandang remeh maka kelemahan sudah pasti ada.

Saya pernah diminta memberi komen tentang apakah cirri yang perlu untuk seorang pemimpin. Saya berkata, tidak semua orang itu boleh memimpin dan tidak semua orang juga boleh dituruti keinginannya. Kita berkata seorang pemimpin itu perlukan karisma namun persoalannya dari manakah karisma itu timbul. Saya melihat bahawa pemimpin itu terbahagi kepada dua jenis iaitu pertama pemimpin masyarakat seperti pemimpin politik, pemimpin perusahaan dan sepertinya.

Di sebelah satu sisi lagi adalah pemimpin spiritual yang diperlukan untuk membangunkan kekuatan spiritual. Pemimpin spiritual tidak sesuai menjadi seorang pemimpin masyarakat dan pemimpin masyarakat pula juga tidak sesuai untuk menjadi pemimpin spiritual biarpun kedua mereka mungkin mempunyai keilmuan dalam bidang tersebut. Pemimpin spiritual perlu membantu pemimpin masyarakat dalam memberi pandangan serta kepimpinan.

Dalam bahasa mudahnya dia ibarat guru yang perlu dirujuk pandangannya walaupun tidak semestinya pandangan itu dilaksanakan. Mereka saling memerlukan kerana nilai kepimpinan mereka itu berbeza. Mereka ibarat sekeping duit syiling yang mana hanya akan laku untuk dijadikan perantara transaksi apabila kedua-dua sisinya mempunyai nilai sah laku. Seandai hanya ada satu sisi sahaja tanpa sisi yang lain maka sebanyak manapun duit yang kita ada tiada nilainya.

Justeru, saya memberitahu si penanya yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin itu ialah kekuatan spiritual. “oooo… maksudnya mereka perlu kuat beribadah ya” saya kembali ditanya. Bukan itu maksud saya, orang yang kelihatannya religious belum tentu mempunyai kekuatan spiritual namun orang yang mempunyai kekuatan spiritual itu sudah hampir pasti religious. Maksudnya orang yang menguasai diri sendiri itu hampir pasti religious dan orang yang religious itu belum pasti menguasai diri sendiri.

Bukti paling mudah, ada orang yang begitu kuat beribadah tetapi masih lagi panas baran, masih lagi suka menilai manusia dari aspek yang baginya baik maka jelas sekali dia belum lagi menguasai dirinya dan bukankah Baginda saw memberitahu bahawa orang yang hebat itu ialah orang yang boleh mengawal nafsu amarahnya. Tetapi orang yang sudah bijak menguasai dirinya pasti akan dapat membenamkan sifat amarahnya dalam kehidupannya. Hanya ada seorang manusia yang mampu memimpin manusia secara duniawi serta spiritual dan ini telah diakui oleh barat yakni Baginda saw.

Dalam sains minda, penguasaan diri itu akan berlaku apabila gelombang otak kita turun dan apabila ianya berada pada tahap delta maka kekuatan ruh sudah mula dirasai. Bagi kita hal sebegini mungkin sahaja baru didengar tetapi hal ini sudah mula dikaji seawal tahun 1929.

Sewaktu program Soul Power tersebut saya telah ditanya tentang penggunaan cd audio brainwave (gelombang otak) yang boleh didapati dengan mudah sekarang. Kebetulan juga saya baru beberapa bulan menduduki peperiksaan untuk menjadi wakil di Malaysia untuk peralatan terapi gelombang otak. Sekarang ini ramai yang sudah faham akan kepentingan gelombang otak dalam hidup dan ini satu perkara yang membanggakan saya. Ada yang mencuba menggunakan bunyi gelombang theta atau alfa sebagai langkah untuk menurunkan kadar getaran gelombang otak. Namun anehnya setelah mereka mendengar cd audio itu mereka lebih menjadi tertekan bahkan reaksi positif yang diharapkan telah bertukar dengan emosi negatif yang membebankan.

AVE adalah ringkasan dari audio visual entrainment yang mana banyak sekali kajian dilakukan oleh universiti di luar negara untuk melihat keupayaannya alat-alat audio ini dalam merawat gelombang otak manusia. Ianya bermula dari alat yang dipanggil Dream Machine hingga kini banyak di pasaran. Alat-alat ini termasuk juga cd audio banyak yang memberi masalah kerana mereka yang mengeluarkannya hanya meniru teknologi tanpa mengetahui rahsianya. Yang paling mudah ialah perbezaan diantara entrainment dan entertainment.

Dalam cd audio gelombang yang berlambak di pasaran isu paling penting ialah kehilangan audio wave kerana ada banyak yang dicetak rompak. Apabila cetak rompak teknologi audio wave tidak dimasukkan dan kesannya pastilah tiada, oleh itu ia bukan sahaja membosankan bahkan merosakkan gelombang otak yang sedia ada. Keduanya ialah kesan yang dikenali oleh ahli meditasi dan psikologi sebagai somnatic shock. Somnatic shock yang berlaku akan memberi kesan jangka pendek dan jangka panjang. Kesan jangka pendek ialah sebaik sahaja selesai mendengar cd audio tersebut, pendengar mungkin berasa mual atau pening kepala. Ini kerana kejutan yang berlaku apabila tamatnya satu sesi cd audio itu tidak dikendalikan dengan betul kerana pendengar terus sahaja membuka mata.

Dalam latihan meditasi yang saya adakan saya cukup prihatin dengan somnatic shock ini justeru saya mempunyai teknik manual untuk mengatasinya. Apabila ketiadaan kesan audiowave dan somnatic shock ini berlaku maka ianya tidak layak untuk digelar sebagai brainwave entrainment tetapi ianya hanyalah entertainment yang sekadar menghiburkan tetapi tiada kesan yang doleh dibanggakan. AVE atau audio visual entrainment, merangsang gelombang untuk sampai kepada 4hz secara berturutan. Respon ini dipanggil sebagai cortical frequency following response. Respon inilah yang digelar entrainment yang mana otak kita mula mengikuti gelombang yang dirangsang.

Hasilnya kita akan mula merasai pengalaman alpha dan seterusnya dilanjutkankan dengan gelombang yang lebih rendah. Dan bagi menghilangkan somnatic shock para pendengar perlu di bawa ke gelombang yang sedikit tinggi dari apa yang dialami semasa sesi itu berlaku. Seandainya ianya tidak berlaku maka pendengar akan terperangkap dalam gelombang tertentu dan akhirnya merosakkan persepsi hidup. Alhamduliilah kini saya telahpun memperolehi kebenaran antarabangsa untuk melakukan terapi dengan alatan AVE bagi merawat masalah gelombang otak.

Apa yang anda perlu tahu tentang gelombang sebenarnya? Gelombang otak memainkan peranan yang cukup penting dalam membentuk sikap kita secara fizikal. Sekiranya kita berada dalam gelombang yang tinggi, kita akan sering mendapat masalah serta buntu fikiran bahkan secara fizikalnya kita pasti akan lemah dan mudah untuk mendapat sakit. Seandainya kita terperangkap dalam gelombang otak kita akan menjadi orang yang tidak langsung mempunyai motivasi hidup… sikap "tak pa lah…” itu sebenarnya datang dari kehidupan yang terperangkap dalam gelombang yang dipanggil talpha.

Anak yang malas serta degil adalah anak yang mana gelombangnya sering berada pada tahap tinggi. Mereka aktif tetapi jika tidak dibentuk kepada gelombang yang betul mereka akan menjadi degil bahkan merosakkan masa hadapan mereka. Penyelesaian masalah dan penyembuhan penyakit berada dalam gelombang yang rendah. Persoalannya kini bagaimana untuk mendapat tahap gelombang yang sesuai. Ada dua jalan iaitu dengan melakukan meditasi super sedar atau dengan menjalani terapi gelombang otak. Sepanjang pengalaman saya bertemu orang yang bermasalah, mereka teruja untuk bermeditasi tetapi mereka malas untuk melakukannya. Bagi mereka yang bersikap demikian eloklah sekiranya mereka menjalani terapi gelombang otak dengan perlatan AVE kerana ianya akan membawa seseorang itu ke gelombang yang sepatutnya biarpun seseorang itu malas melakukan meditasi. Mereka akan memperolehi manfaat sebagaimana yang diperolehi oleh mereka yang melakukan meditasi.

Antara manfaat meditasi yang paling saya suka ialah pembetulan kadar melatonin hormone. Apabila melatonin hormone ini tidak berada pada kadar yang sepatutnya, maka pelbagai penyakit akan mula datang. Orang bertanya kepada saya bagaimana seseorang yang kurang fokus, migraine bahkan hingga ke kanser dapat mencapai kesembuhan hanya dengan meditasi. Rahsianya terletak kepada melatonin hormone yang juga dipanggil pengawal segala pengawal. Dia yang menjadi pengawal kepada segala kadar tubuh. Contohnya jika ianya tidak stabil makanya kita mungkin sahaja boleh mendapat migraine kerana cahaya yang memsuki mata itu tidak bertepatan dengan kadar yang sepatutnya. Akibat dari itu orang migraine cukup terseksa jika melihat cahaya yang berlebihan tetapi normal pada orang lain. Begitu juga dengan kelajuan sel yang akan kembali normal sekiranya pemngawal trafik tahu menjalankan tugasnya.
Untuk lebih jelas tentang AVE, sila klik di sini.

Read More......

Monday, December 8, 2008

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA




Read More......