Saturday, November 29, 2008

Bila Semuanya Segera

Beberapa hari lepas saya mengadakan program soul power dan alhamdulillah semakin ramai yang kini kian faham peranan kekuatan jiwa dalam perjalanan hidup serta semakin ramai juga yang faham akan kedudukan Allah swt dalam hidup secara praktikal. Kita semua tahu Allah swt kedudukannya adalah paling utama dalam kehidupan hinggakan rukun negara juga bermula dengan kepercayaan kepada Tuhan. Meskipun begitu hakikatnya kita tanpa sedar meletakkan Allah swt di kedudukan terakhir dalam senarai keutamaan.

Beberapa hari sebelum training, datang seorang bakal peserta bertemu saya di pejabat. Katanya dia ada beberapa persoalan yang perlu diklarifikasikan sebelum menyertai program ini. Dia mempunyai banyak persoalan dalam kepalanya yang selama ini dibiarkan tanpa jawapan. Dia suka mentelaah buku-buku yang berkaitan dengan minda dan justeru itu saya amat suka dengan pertanyaannya kerana setiap butiran soalan itu penuh pengisisan yang perlu dikupas.

Setelah saya menjawab kesemua soalan akhirnya dia membuat keputusan untuk menyertai program tersebut. Sebelum beredar beliau sempat memohon maaf. Saya memberitahunya tiada apa yang perlu dimaafkan kerana jika saya juga pasti saya mahukan kepastian tentang perkara yang telah kami bincangkan. “Bukan kerana itu” jawapan yang spontan darinya yang menyebabkan saya meminta penjelasan dari beliau. “Sebenarnya saya dah banyak terkena” katanya memulakan cerita.

Menurutnya lagi beliau memang suka untuk menyertai program-program sebegini namun seringkali mencapai kekecewaan dalam beberapa perkara. “mengapa?” Tanya saya. “Seringkali kita dimomokkan dengan kata-kata iklan yang hebat namun apabila sudah menyertai ianya jauh dari apa yang dijangkakan” katanya lagi. Saya memberitahunya mungkin ini berlaku kerana dia seorang yang banyak terdedah dengan perkembangan terbaru dunia sains minda dan suka mengkaji hal-hal berkaitan minda. Mungkin juga katanya, akan tetapi sebab sebenarnya adalah kewujudan ramai instant trainer.

Tambahnya lagi, mereka sebenarnya hanya menyampaikan apa yang mereka dengar dan tidak melalui latihan yang sewajarnya. Saya tidak memberikan komen apa-apa kepada kenyataan tersebut namun saya tidak menafikan kewujudan hal ini. Sememangnya perkara ini bakal merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap program-program yang benar-benar bertujuan membentuk manusia menjadi positif. Budaya cut and paste sememangnya berlaku dari dulu. Jepun juga mempunyai budaya ini namun mereka tidak hanya meniru tetapi mengolahnya supaya menjadi lebih baik.

Komentar saya kali ini bukan untuk merendahkan atau memperlekehkan sesiapa tetapi hanya untuk kita melihat kembali kepentingan ilmu dalam melaksanakan tugas. Seorang guru yang hanya menjadi guru atas sebab sudah tiada kerja yang dapat dicari dan hanya kerja menjadi guru sahaja yang ada bukanlah seorang guru yang tulen. Jika seorang guru yang menganggap kerjaya guru itu tidak lebih dari kerja, dia telah merosakkan masa depan pelajarnya. Mungkin sahaja dia memberikan soalan bocor atau mengajar sambil lewa. Baginya dia hanya perlu menyampaikan apa yang tertulis di buku dan apa yang penting baginya ialah gaji. Tiada gaji tiada kerja. Keghairahan mengajar itu tiada. Masa mengajar tidak lebih dari apa yang ditetapkan.

Seorang guru tulen pula mengajar kerana minat mendalam (passion) terhadap apa yang dilakukan. Mengajar itu bukan hanya satu profesi tetapi juga hobi bahkan ianya satu kehidupan. Sehari tidak mengajar itu seperti sehari menjadi bodoh. Jika dia sakit, hilang sakitnya apabila mengajar. Dia sering mencari ilmu bukan hanya untuk dirinya tetapi untuk pelajarnya. Jika kita renung senario ini tentunya banyak sekali perbezaannya.

Begitu juga dengan trainer. Kita mungkin kurang faham tentang istilah motivator dan trainer. Saya sering juga didatangi oleh mereka yang ingin menjemput untuk memberi motivasi kepada kumpulan sasar mereka. Saya menjawab mudah akan hal ini. “Saya seorang trainer dan bukan motivator” sering juga mereka bertanya “ada beza ke?” Banyak sekali perbezaannya. Seorang trainer adalah seorang jurulatih. Untuk menjadi jurulatih pastinya dia perlu melalui pelbagai tahap.

Lihat sahaja seorang jurulatih bolasepak di negara kita atau di mana-mana sahaja dalam dunia. Tidak ada terdapat seorang jurulatih bolasepak yang kaki bangku. Untuk menjadi jurulatih bolasepak, dia sendiri perlu tahu bermain bola sepak. Mana mungkin orang yang tidak tahu meyepak bola melatih orang untuk membuat sepakan yang betul. Maka jika ada jurulatih segera (instant coach) maka sudah hampir pasti pasukan yang dilatihnya tidak akan mencapai sasaran pertandingan.

Mengapa saya memberitahu yang saya bukan motivator. Menjadi seorang motivator juga memerlukan kemahiran iaitu yang paling utama ialah kemahiran bercakap. Tugas seorang motivator ialah menyampaikan ilmu yang ada dengan gaya bahasa yang betul serta mampu membuatkan sesorang itu lebih bermotivasi. Seorang trainer tidak semestinya motivator. Untuk menjadi seorang motivator juga bukan mengambil masa yang sekejap kerana seseorang itu perlu banyak menyingkap helaian buku serta mampu menterjemahkannya mengikut kefahaman peserta yang ada.

Jadi kesimpulannya tiada satu pun yang boleh terbit dengan segera baik trainer mahupun motivator. Saya sendiri pernah juga ditanya tentang peranan meditasi dalam hidup. Setelah memberi penjelasan tentang hal tersebut saya ditanya lagi apakah ilmu yang lebih ampuh dalam peringkat seterusnya. Ini membuatkan saya berkerut dahi kerana saya tahu bahawa yang bertanya mempunyai tanggapan yang salah tentang meditasi.

Apabila ditanya mengapa soalan itu ditimbulkan maka jawapan yang diberi adalah beliau pernah diberitahu bahawa selepas mempelajari meditasi kita perlu mendalami beberapa jenis keilmuan untuk menjadi lebih hebat. Jawapan saya kepada persoalan ini adalah mudah, Rasulullah saw pernah bersabda jangan kamu ajari seseorang itu jika kamu sendiri belum merasai manfaatnya. Jelas sekali dia mempelajari meditasi dari rekaan tanpa kupasan ilmiah.

Meditasi melatih kita meletakkan kebergantungan itu total kepada Allah swt (total surrender). Apakah ada ilmu yang lebih tinggi selain bergantung kepada Tuhan Yang Satu dan menjadi ikhlas terhadapNya.

Jika ada yang menganggap bahawa meditasi itu sebenarnya bertujuan untuk mencari kekuatan diri serta mencapai kehebatan duniawi maka jelas sekali mereka bukan pengamal meditasi tetapi hanya pencerita meditasi. Mana mungkin kita dapat menjelaskan kemanisan madu tanpa merasanya. Jika kita tidak pernah merasa madu lalu menceritakan kemanisannya maka itu satu pembohongan besar dan kita tidak mampu mengungkap kemanisan madu hanya dengan kata-kata. Kita perlu melatih sesorang itu untuk mengenal madu lalu tatacara untuk meminumnya. Nah, dari situ barulah manfaat madu itu dapat dikupas setelah kita meminumnya. Tanpa minum maka tiadalah kesan.

Kita perlu tahu bahawa kita akan dipertanggungjawabkan tentang apa yang kita ajar, latih mahupun sampaikan walaupun sekadar satu ayat. Saya juga kini mendapat banyak pertanyaan bagaimanakah caranya untuk menjadi salah seorang dari instruktor saya. Untuk menjadi seorang instruktor meditasi bukanlah semudah yang disangka. Seseorang itu perlu melalui banyak perkara. Seseorang itu tidak mungkin dapat mendeteksi pesertanya berada dalam theta jika dia sendiri tidak pernah sampai ke theta dan yang paling penting seorang instruktor sendiri perlu melakukan meditasi itu secara kekal tanpa ada alasan.

Menjadi seorang pelatih itu mudah namun untuk menjadi jurulatih itu sukar kerana anak murid paling degil, paling nakal serta paling sukar perlu diubah untuk menjadi anak murid paling baik, paling bijak serta paling mendengar kata. Anak murid itu bukan orang luar tetapi diri sendiri. Justeru bagi mereka yang ingin menjadi seorang motivator mahupun trainer baik dalam apa bidang sekalipun, perlu kita ingat akan tanggungjawab sebenar kita adalah untuk merngubah manusia agar kembali positif dan bukan sekadar membesarkan poket.

Wang itu perlu tetapi tanggungjawab itu perlu mendahuluinya. Sekiranya itu tidak berlaku maka tanpa sedar kita telah mula memupuk kerosakan pada bangsa kita dan apabila ini menjadi virus masa hadapan generasi akan datang akan kelam. Orang yang bijaksana adalah orang yang tahu menilai dirinya serta beramal untuk kehidupan sesudah kematian. Sedangkan orang yang lemah adalah mereka mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah swt.

Read More......

Tuesday, November 11, 2008

Inna-lillahi-wa-inna-ilaihi-rooji'un


Saya berharap agar tulisan saya kali ini dapat menjawab email-email yang meminta saya memberikan formula untuk tenang ketika menghadapi masalah dan dugaan. Apabila dikatakan manusia apa yang pasti kita tidak dapat lari dari masalah. Mereka bertanya kepada saya apakah amalan yang patut mereka lakukan ketika didatangi bebanan masalah.

Dek kerana terlalu banyak formula yang ada dalam Al-Quran maka ianya akan mengambil masa dalam mengupas aplikasinya dalam hidup namun apa yang pasti intinya tetap satu iaitu cinta kepada Allah swt. Saya juga pernah ditanya mengapa banyak formula sedangkan tujuannya sama. Formula yang dikurniakan adalah mengikut tahap keupayaan manusia itu sendiri. Jika kita baru masuk darjah satu pastilah formula matematik berkisarkan tentang campur tolak dan tidak mungkin kita didedahkan dengan formula sin, cos dan sebagainya. Begitu setiap permasalahan dalam matematik akan dikupas dan dijawab dengan berpandukan formula yang berkaitan. Setiap tingkatan akan mendapat rumusan yang dipermudahkan dan akhirnya kita hanya perlu menggunakan kalkulator untuk mengira kerana kita telah pun mengetahui asasnya.

Masalah merupakan satu beban yang tersembunyi dan amat berat untuk dipikul. Walau sebesar mana pun tubuh fizikal seseorang itu belum tentu dia dapat memikul bebanan tersebut. Yang boleh memikul beban adalah tubuh spiritual manusia. Semakin sihat tubuh spiritual semakin kuat dia dalam menangani beban yang terletak dibahunya hinggakan apabila dia benar-benar hebat dia mampu menjadikan masalah sebagai teman bicara, emosi sebagai mainan, kerana tanpanya dia akan kebosanan.

Justeru bagaimanakah untuk menyihatkan tubuh spiritual. Perkara ini tidak dapat dikupas hanya dengan teori. Namun saya suka berkongsi apa yang boleh dikongsikan. Solat merupakan satu wadah kekuatan penyembuhan serta vitamin untuk tubuh spiritual jika kita memahami solat dan jika kita ‘benar-benar’ bersolat. Solat itu akan menjadi senjata yang ampuh jika kita menyakini Allah saw adalah tempat segala harapan.

Kita perlu memahami antara pelajaran dan dugaan. Yang pertama yang diajar Allah swt ialah pelajaran hidup dan dari situ barulah kita diduga. Kita selalu lupa bahawa kita telahpun diajar untuk menghadapi masalah, dan mana mungkin ujian diberi kepada yang belum belajar. Cuma kita mungkin terlupa tatacara menghadapi masalah atau kita terlepas pandang formula yang dikurniakan Allah swt.

Setelah memahami solat maka apabila berlaku sahaja masalah apa yang perlu anda lakukan ialah mengucapkan kembali Inna lillahi wa inna ilaihi roji'un yakni sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada Allah kami kembali. Mungkin ramai yang tahu hal ini. Tetapi saya menulis juga hal ini kerana ramai yang tahu tetapi tidak ambil tahu. Ramai yang tahu tetapi terlupa. Ramai yang tahu tetapi terlepas pandang. Semuanya ini berlaku kerana kesalahfahaman sesetengah pihak yang mengatakan bahawa ucapan itu hanyalah untuk kematian.

Ianya bukan sekadar untuk kematian tetapi ianya juga adalah kehidupan dan kehidupan adalah kematian. Mati dek kerana ruh kita tertimbus dengan ego manakala yang sebenarnya hidup adalah nafsu. Mengucapkan saja Inna lillahi wa inna ilaihi roji'un tanpa memahaminya hakikatnya juga tidak membawa seseorang itu ke arah penyelesaian masalah. Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada Allah kami kembali jika dikupas maka ertinya menyerahkan diri kepada Allah swt secara total kerana Allah swt yang maha mengetahui jalan keluarnya. Cubalah ucapkan dengan perlahan-lahan dan kemudian anda tidur. Insya Allah anda akan dapat mencari jalan keluarnya secepat mungkin.

Mengapa tidur? Mengapa tidak berfikir bagaimana untuk menyelesaikan masalah. Jika kita membacanya dan kemudiannya mencari jalan keluar maka kita tidaklah menyerahkan pada Allah swt secara total kita masih yakin kita boleh menyelesaikannya maka itu satu pendustaan yang besar. Kita tidur kerana tidur itu mati kecil. Orang yang mati tidak mampu berbuat apa-apa hinggakan untuk masuk ke dalam liang lahat juga dibantu orang. Untuk orang mati tidak perlu memerintah orang untuk mengangkatnya kerana orang akan mengangkatnya dan paling bagus orang melakukan kerana Allah swt.

Nah di sini kelainan soul power segalanya bermula dengan Tuhan dan berakhir dengan Tuhan. Dan apabila kita meninggal orang akan mengucapkan Inna lillahi wa inna ilaihi roji'un begitulah kiasannya. Jadi apabila kita sudah mengucapkannya kita lalui mati kecil. Orang mati akan bergantung dengan Allah swt. Begitu juga kita yang tidur. Kita tidak tahu apkah yang bakal berlaku waktu kita tidur. Jadi apabila kita tidur kita akan melepaskan segala masalah dan inilah yang dikatakan pergantungan. Insya Allah apabila kita bangun kita akan mudah melihat jalan keluar bagi setiap permasalahan baik untuk diri sendiri atau untuk orang lain.

Kita perlu ingat yang kita sering zalim terhadap diri sendiri; kita sering menilai orang lain lebih dari menilai diri sendiri maka sesuai apa yang dikatakan rasulullah saw musibah itu bagi orang yang zalim adalah pelajaran, dan bagi orang yang beriman adalah ujian. Cubalah tanamkan tekad mulai hari ini kita akan sentiasa memahami dan mengucapkan Inna lillahi wa inna ilaihi roji'un bila saja kita berhadapan musibah samada ianya berbentuk fitnah, cercaan, atau penindasan. Jangan pula setelah kita mengucapkannya kita mencari jalan untuk membuat pembalasan atau pembuktian atas alasan membuktikan kebenaran. Yang benar pasti terbukti yang batil pasti ke tepi.

Saya terbaca satu artikel yang menulis tentang Imam al Baqir berkata kepada salah seorang sahabatnya, "Aku wasiatkan engkau dengan lima hal. Jika engkau dizalimi, maka janganlah engkau menzalimi. Jika mereka mengkhianatimu, janganlah engkau berkhianat. Jika engkau didustai, janganlah engkau marah. Jika engkau dipuji, janganlah engkau bergembira. Dan jika engkau dikecam, janganlah engkau bersedih hati." Jika kita lihat kata-katanya seperti kata-kata orang lemah namun itulah sebenarnya orang yang kuat kerana orang yang kuat dia akan hidup dengan cinta Allah swt dan setiap masalah yang datang pastinya dengan izin Allah swt.

Tidak satu zarah pun yang mampu bergerak tanpa izin Allah swt. “Tiada suatu musibah pun yang menimpa diri seseorang kecuali dengan izin Allah, dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya (HR Bukhari).

Apabila sakit itu datang pastilah Allah swt akan menurunkan pasangannya iaitu penyembuhan. Untuk langkah awal dalam menangani masalah yang sedang anda hadapi cuba ucapkan Inna lillahi wa inna ilaihi roji'un sebanyak mungkin tetapi ianya tidak bermaksud pula anda harus membacanya dengan kadar kelajuan yang boleh mengalahkan keretapi ekspress. Ucapkanlah dengan santai insya Allah jika anda sering melakukan anda akan mendapati masalah adalah satu permainan yang menyeronokkan. Setelah seminggu anda mengucapkannya setiap hari, cubalah layangkan email kepada saya untuk dikongsi pengalaman anda agar dapat menjadi pembakar semangat kepada yang lain.

Read More......