Monday, June 29, 2009

Keputusan Itu Hak Milik Mutlak Allah swt


Apa ketentuan dari Allah SWT ada hikmahnya. Janganlah berputus asa jika doa kita tak dimakbulkannya kerana mungkin ada hikmah disebalik apa yang telah dikurniakan kepada kita walaupun ianya bukan kehendak kita.
Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Disitu ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tib a tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi.Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah kesemuanya belum masak lagi. Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Allah yang menyatakan bahawa Allah dapat melakukan perkara-perkara ajaib, bahawa bagiNya tiada yang mustahil. Lalu dia pun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa , "Ya Allah , aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe . Amin"


Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa Allah pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe . Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya. Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Allah. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. "Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantu lah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin". Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi?
Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!! Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul. Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yg sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak. Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. "Ya Allah, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin". Lalu dia pun berangkat.


Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya. Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada. Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dikabulkan. Dia berasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe.
Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi. Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang. Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Allah,pasti Allah akan menolongnya.


Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, "Ya Allah, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini." Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita. "Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi." Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe , tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya "Ya Allah, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin".
Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Allah. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu. Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, "Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?" Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England, si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menj adi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap. Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Tuhan.

Moral:
Pertama: Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Tuhan sewaktu berdoa, padahal sebenarnya Tuhan lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.


Kedua:. Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Tuhan akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita.


Ketiga : Tiada yang mustahil bagi Tuhan
Keempat : Kita sering ingin Allah memenuhi hak kita sedang kita tidak pernah mahu memenuhi hak Allah seperti menjaga SEMBAHYANG 5 WAKTU ,menyegerakan solat, berkata-kata perkara yang berfaedah dan berpesan ke arah kebaikan...oleh itu, hantarlah kepada sahabat yang lain agar kebaikan boleh sama dikongsi.


Dr.A/mw/08/2007

Read More......

Wednesday, June 17, 2009

Program Ibu Tunggal - Modul Sahsiah Diri

Tarikh: 13 & 14 Jun 2009
Tempat: M-Suites Hotel, J. Bahru





Click here for more photos



Read More......

Bengkel Terapi Solat

Tarikh: 6 & 7 Jun 2009
Lokasi: Institut Integriti Malaysia




Click here for more pictures




Read More......

Tuesday, June 9, 2009

Lagu Dalam Kehidupan


Suatu ketika dahulu saya memikirkan kerjaya seorang penulis ini agak mudah tetapi kini setelah mulai bergelumang dengan mata pena tahulah saya bukanlah sesuatu yang mudah untuk menterjemahkan idea atau persepsi yang kita miliki ke bentuk penulisan yang dapat difahami serta menarik minat orang lain untuk membacanya. Daripada tidak tahu akhir ianya kini menjadi satu hobi baru bagi saya untuk melakarkan wayang yang ada di minda saya dalam bentuk tulisan.


Kadangkala kita tahu apa yang hendak disampaikan namun ianya tidak dapat dijadikan tulisan kerana bentuk penyampaian yang kurang sesuai. Kini satu perkara yang menjadi kegemaran saya ialah memerhatikan gelagat orang ramai yang adakalanya menceriakan suasana dan ada ketikanya menjadikan suasana kelam kabut.

Hujung minggu lepas kebetulan saya tidak ada jemputan dan peluang ini saya ambil untuk bersantai di rumah. Dalam suasana yang santai ini bagi saya radio merupakan satu sumber yang baik untuk menceriakan suasana. Sebetulnya saya juga sudah agak lama mendengar radio. Tanpa diminta deejay yang bertugas memutarkan sebuah lagu yang memberi satu kesan yang mendalam dalam hidup saya. Ketika lagu dendangan penyanyi Michael Bolton berjudul When i'm back on my feet again, saya merasakan seperti ada satu suntikan semangat untuk berjuang memperbaiki diri.
Liriknya yang begitu bermakna jika dihayati dapat mengembalikan semangat yang hilang. Lagu ini sering saya dendangkan walaupun kadangkala merosakkan lagu serta bersuara sumbang. Suatu ketika dahulu saya melalui kegagalan dalam banyak hal dan adakalanya suntikan motivasi yang mampu terus ke dalam jiwa perlu disemai. Lagu ini telah memberi motivasi yang baik untuk diri saya. Justeru ada teman-teman yang kadang kala bertanya bagaimanakah pengaruh sesebuah lagu terhadap seseorang.

Menurut salah seorang teman, lagu sebenarnya tidak banyak memberi unsur positif dalam hidup. Saya merasakan ada sedikit kepincangan dalam pandangan beliau kerana pandangannya itu dibuat tanpa melihat lagu atau secara amnya muzik secara menyeluruh. Sebagai contoh seseorang yang tengah mabuk bercinta pastinya akan mendengar lagu-lagu yang dapat membuai perasaan tetapi bagi mereka yang kecewa dalam bercinta lagu – lagu yang mempunyai lirik yang sedih akan menjadi pilihan.
Hal ini bagi saya memperlihatkan role sebuah lagu dalam mempengaruhi sebuah kehidupan. Saya masih ingat sewaktu bersekolah menengah dahulu. Sekolah kami mempunyai satu minggu yang dipanggil minggu aktiviti. Ketika minggu aktiviti ada masanya kami dilatih oleh RAMD untuk memenuhi satu slot aktiviti. Apa yang saya dapat perhatikan ketika kami melakukan morning drill, pelbagai lagu yang dinyanyikan dan lagu-lagu ini bertujuan untuk menaikkan semangat.

Saya mempunyai pandangan bahawa lagu mampu mengubah perwatakan seseorang kerana jika setiap hari kita disajikan dengan lagu-lagu patriotic maka kita akan menjadi seorang yang patriotic. Maka tidak salah jika kita memilih lagu sebagai satu sumber motivasi diri. Sesebuah lagu mampu menjadikan seseorang yang buntu dalam kehidupan kembali ceria kerana lagu yang dinyanyikan oleh seseorang itu akan meresap ke jiwanya. Seseorang penyanyi akan menyanyi dengan penuh perasaan.
Jika nyanyian tersebut tidak mempunyai penghayatan yang baik maka lagu tersebut tidak dapat dirasai oleh orang yang mendengar. Yang menjadi persoalan ialah lagu jenis apakah yang dapat memberi impak positif kepada seseorang. Saya berpendapat antara criteria yang utama untuk dilihat ialah pada liriknya. Lirik tersebut kemudian perlu dihayati ketika mendendangkan sesebuah lagu. Lirik yang baik dan positif sebenarnya secara tidak langsung menjadi auto suggestion kepada sub conscious memory untuk mengubah struktur emosi seseorang. Sewaktu anda menyanyikan sesebuah lagu dengan penuh perasaan maka apa yang berlaku ialah anda akan merasakan seolah-olah ianya sedang berlaku kepada anda atau dengan kata lain anda sedang mengalami sebagaimana yang tertulis dalam lirik tersebut.

Dalam sains minda telah dapat dibuktikan yang minda tidak mampu membezakan pengalaman yang betul atau tiruan. Oleh yang demikian sekiranya anda menyanyikan sebuah lagu yang penuh kesedihan maka kesedihan tersebut akan tersimpan dalam sub conscious memory anda hingga anda mampu memadamkannya. Justeru itu dalam Meditasi Islam antara perkara pokok yang perlu diberi perhatian ialah memadamkan memori-memori tersirat yang tidak lagi memberi manfaat untuk masa sekarang dan juga masa hadapan.
Sekiranya kini anda sedang menghadapi pelbagai tekanan maka janganlah rasa berat atau terganggu untuk menyanyi tetapi dengan syarat ianya bukan sekadar menghiburkan hati bahkan perlu untuk memberi motivasi diri. Carilah lagu-lagu yang mempunyai lirik yang positif serta kuat. Setelah itu carilah pula melodi yang baik. Melodi juga memainkan peranan penting dalam memupuk unsur positif dalam diri seseorang.
Sekiranya melodi tersebut tidak dapat memcecah kedalaman rasa maka nyanyian hanya menjadi nyanyian tanpa pengisian. Apabila anda mendapat sebuah lagu yang liriknya mampu memberi impak positif dan disertai dengan melodi yang mampu merendakha frekuensi gelombang otak maka insya Allah dengan penghayatan yang betul ia akan menjadi satu suggestion untuk minda agar mengubah struktur emosi kepada positif. Dengan emosi yang positif anda akan mempunyai minda yang positif dan apabila minda dan emosi yang anda miliki positif tubuh akan sihat dan hidup akan ceria. Bukan pula menjadi satu kesalahan jika anda mampu membuat satu lirik yang dapat memberi suntikan semangat dan kemudian menyanyikannya. Ianya lebih baik kerana anda lebih mengetahui jalan yang ingin anda lalui manakala lirik tadi hanyalah satu suggestion atau inspirasi kepada minda.
Jauhi dari menyanyikan lagu-lagu yang dapat membawa jiwa ke arah yang tidak sihat seperti kemurungan atau keganasan. Mereka yang gemar mendengar lagu-lagu ganas lambat laun akan mempunyai jiwa yang ganas. Dan jika lagu lagu sedih menjadi pilihan anda kan mudah terperangkap dalam emosi yang tidak sihat serta menjadi seorang yang sensitif dan mudah sedih.

when i'm back on my feet again
i'll walk proud down this street again
and they'll all look at me again
and they'll see that i'm strong

and i'm not gonna crawl again
i will learn to stand tall again
no i'm not gonna fall again
cos i'll learn to be strong

sumber:Dr.A/mw/feb/2006

Read More......

Monday, June 1, 2009

Buang Saka Dengan Meditasi Islam

Pada zaman yang serba pantas lagi mencabar ini pelbagai ragam perlu kita hadapi. Seringkali apa yang kita harapkan tidak terjadi bahkan ianya menjadi satu bebanan dalam hidup. Tekanan demi tekanan sering menjadikan kita berada dalam dilema. Adakalanya kita berusaha bersungguh-sungguh tetapi masih juga tidak mendapat apa yang diharapkan. Oleh kerana sering gagal maka kita mulalah mencari jalan keluar samada secara nyata atau secara spiritual. bagi saya yang sering menjadi persoalannnya ialah mengapa manusia sering gagal walaupun jika dilihat pada usaha ianya sudah berpatutan. Saya melihat perkara ini dari dua sudut yang berbeza.


Pertama, memang pada zahirnya kita semua mengetahui keadaan ekonomi dunia yang semakin menekankan bukan sahaja di negara kita bahkan di seluruh dunia. Justeru itu persaingan yang sengit mungkin memberi sumbangan terhadap kegagalan kita. Tetapi masih perlu diingat adakalanya usaha kita adalah yang terbaik bukan sahaja pada pandangan kita bahkan pada pandangan sekeliling kita, namun mengapakah kegagalan sering datang menghantui. Maka di sinilah kemungkinan sebab yang kedua iaitu mungkin ada halangan dari segi spiritualnya.

Seseorang yang sering terhalang pekerjaannya mungkin mengalami halangan spiritual yang tanpa sedar menjadi tembok batu yang menggagalkan banyak usaha. Dengan kata lain, ianya bermaksud perjalanan kehidupan atau rezeki kita terhalang disebabkan terdapat `sesuatu’ yang menghalang kita dari berjaya. `Sesuatu’ itu mungkin datang daripada niat jahat orang lain atau masalah keturunan iaitu saka. Jika dilihat dari segi peratusan kegagalan hidup di sebabkan masalah spiritual ini, saka mendahului sihir. Sihir mungkin terjadi kerana hasad dengki dalam pekerjaan atau perniagaan dan ianya ada kemungkinan berlaku jika kita mempunyai pesaing. Tetapi saka adalah satu masalah yang sering kali terlepas pandang. Saka adalah satu harta pusaka yang begitu membebankan. Banyak sekali maslah saka yang saya temui ketika mengajar meditasi islam. Ada diantara mereka yang berhabisan ribuan ringgit untuk membuang saka yang membelenggu diri mereka namun ianya datang dan pergi. Saya percaya bahawa kekuatan roh sahaja yang dapat membantu mengeluarkan saka. Namun ianya bukanlah dengan kaedah mengkaji roh atau menggunakan roh orang yang telah tiada. Roh itu urusan Tuhan tetapi kita boleh mencapai kekuatannya tanpa perlu mengkajinya.

Saka masih wujud dalam masyarakat kita kerana kita baru sahaja merdeka. Zaman datuk kita dalam lingkungan sebelum merdeka masih lagi duduk dalam keadaan hutan ataupun terpencil. Mereka memerlukan satu senjata untuk menjaga keluarga ataupun membantu keluarga ketika bermasalah seperti sakit dan sebagainya. Belajar tinggi ketika itu bermaksud mempunyai ilmu di dada. Mereka sering juga mencari guru-guru yang handal untuk menimba pelbagai ilmu dan apabila ilmu penuh di dada maka ibaratnya seperti mendapat ijazah ketika ini. Ilmu-ilmu ini juga digunakan untuk menjaga diri dari kejahatan manusia, binatang mahupun makhluk yang lain. Sekiranya ilmu yang diamalkan merupakan ilmu hitam maka ia perlu diwarisi oleh seseorang sebelum si pemilik meninggal dunia, jika tidak ia akan menyukarkan kematian seseorang itu. Namun sebenarnya tanpa mereka sedar bahawa kebanyakan ilmu walaupun pada asasnya digelar putih sebenarnya banyak menggunakan khadam sebagai sumber kekuatan ilmu. Khadam ini dipanggil khadam ilmu dan kebanyakan khadam ilmu berasal dari bangsa jin. Terdapat juga mereka yang gemar bersahabat dengan jin dan juga menjadikan jin sebagai khadam. Dalam masyarakat kita apabila kita mewarisi sesuatu yang baik kita memanggilnya keturunan dan jika ianya negatif kita menggelarnya saka. Perwarisan ilmu atau `kelebihan’ yang kebanyakannya cenderung ke arah perubatan sebenarnya perlu ditapis dengan teliti tidak kira samada ia digelar keturunan atau saka. Khadam ilmu atau jin yang diwarisi secara sedar atau tidak akan mempengaruhi tindak tanduk kita. Mereka telah hidup beratus tahun dan tahu benar kelemahan manusia. Terdapat seorang kenalan saya yang mewarisi ilmu keturunannya yang menyebabkan beliau berkebolehan untuk mengubat banyak penyakit. Yang sering menjadi tanda soal ialah beliau hanya akan solat dan berwirid ketika hendak menurun. Selesai melakukan solat sunat dan berwirid beliau tidak sedarkan diri dan tubuhnya kini dikawal oleh seorang yang menggelarkan dirinya syeikh. Mereka yang berubat dengan syeikh ini amat yakin kerana syeikh ini juga bijak berhujah tentang agama. Yang bermain dikotak fikiran saya ialah mengapa kenalan saya ini hanya akan solat hanya apabila ingin menurun dan solat itu kerana siapa sebenarnya. Begitulah halusnya kesilapan yang berlaku yang boleh menjejaskan aqidah seseorang.

Pewarisan saka juga banyak mempengaruhi kehidupan seseorang itu baik dari segi keputusan, sikap mahupun perjalanan hidup. Bagi mereka yang menganggap saka itu baik bagi mereka tentunya amat sukar bagi mereka untuk membuangnya tetapi jika saka tersebut jelas membebankan, mereka akan berusaha sekuat mungkin untuk membuangnya. Saka juga merupakan salah satu penyakit orang melayu. Untuk mengenali orang yang mempunyai saka tidaklah begitu sukar. Mata mereka tidak menampakkan sinar yang terang. Ada juga diantara mereka berwajah tidak ceria walaupun mereka tidak mempunyai masalah. Mereka juga sering buntu dalam membuat keputusan dan sering juga beremosi. Ini terjadi kerana dimensi manusia dan dimensi maklhluk halus amat berbeza begitu juga dengan frekuensi mereka.

Terdapat beberapa peserta kelas Meditasi Islam yang saya kembangkan berdarah bangsawasn. Menurut mereka, jodoh mereka sering terhalang, walaupun pada awal sangkaan mereka menyangka kerana jodoh mereka belum sampai tetapi setelah mengetahui tanda-tanda serta masalah saka, mereka menyelidiki permasalahan keturunan mereka. Mereka sebenarnya tidak boleh berkahwin dengan orang bukan berdarah bangsawan dan sekiranya kekasih mereka adalah orang maka hubungan tersebut akan putus ditengah jalan dengan pelbagai sebab yang kadangkala tidak munasabah. Selain itu mereka juga bersikap panas baran dan sering membuat keputusan yang salah. Jika dilihat dari raut wajah mereka adalah golongan yang lemah lembut. Sikap panas baran ini sebenarnya adalah pengaruh dari saka yang mereka miliki secara paksaan dan tanpa sedar. Khadam ilmu atau jin dijadikan oleh Allah swt daripada api, maka dengan sebab itu mereka mudah diresapi oleh nafsu amarah dan apabila nafsu ini menular dalam fikiran, setiap keputusan yang dibuat akan berasaskan emosi dan bukan rationaliti. Saka tersebut juga akan menghalang hubungan yang tidak disenangi mereka mengikut pandangan. Saka dari keturunan akan datang kepada mereka yang memiliki sikap atau watak seperti tuannya yang terdahulu. Saka juga boleh diwarisi oleh mereka yang amat disayangi oleh tuannya. Selepas tuannya meninggal dunia maka mereka yang mempunyai kriteria tersebut akan dihinggapi oleh saka. Namun begitu tidak semua diantara kita yang mampu dikuasai oleh saka. Saka tidak mampu mendatangi mereka yang mempunyai jiwa yang kental dan mantap. apabila jiwa kita kental, mantap dan sentiasa merasa keberadaannya Tuhan maka pancaran cahaya jiwa akan menolak keluar segala anasir yang boleh memudaratkan samada fizikal mahupun aqidah. Jika kita duduk dalam ketenangan jiwa maka minda yang selama ini bercelaru akan menjadi positif seterusnya tubuh akan sihat. Rawatan yang paling baik untuk mereka yang dipengaruhi oleh anasir saka ialah berjalan ke arah ketenangan jiwa (bukan ketenangan minda) kerana sewaktu kita berada dalam frekuensi ketenangan segala frekuensi di atasnya akan terbias menjauhi kita. Dalam sistem Meditasi Islam berada dalam minda tauhid itu amat perlu. Saya akui bukan mudah untuk mereka yang telah lama dipengaruhi saka untuk mencapai ketenangan kerana sikap mereka ini selalunya tergesa-gesa serta fikiran mereka aktif. Kadangkala hal-hal yang remeh turut membuatkan mereka berfikir seperti memikirkan hal yang besar dan penting. Apabila banyak berfikir tentunya emosi mereka tidak stabil. Namun perlu diingat tiada penyakit yang tiada ubatnya kecuali maut. Teknik-teknik tertentu dan efektif dalam pengolahan kekuatan jiwa yang dikupas melalui sistem Meditasi Islam insya Allah dapat membantu mengeluarkan anasir yang tidak dikehendaki ini. Alhamdulillah respons yang diterima dari pengamal Meditasi Islam yang dahulunya mempunyai masalah dengan saka amat positif. Namun perlu diingat bahawa penghalang yang sering duduk di tengah-tengah adalah komitmen mereka sendiri. Untuk menyelesaikan apa jua masalah perlu ada komitmen diri. Tanpa komitmen serta disiplin diri, maka seseorang yang dipengaruhi saka akan kekal begitu dan apa yang ditakuti ialah ianya akan diwarisi oleh anak-anak yang bakal duduk dalam zaman yang lebih mencabar. Janganlah kita juga menjadi penyumbang kepada kegagalan kehidupan anak-anak yang inginkan kehidupan yang lebih bermakna. Justeru itu langkah awal yang perlu diambil ialah berhati-hati dalam mempelajari ilmu kerana jika sedikit kesilapan kita hari ini akan membebankan waris keturunan kita. Jika masalah spiritual seperti saka ini dapat dihindari maka perjalanan kerjaya seseorang itu hanya perlu bersaing dengan kebolehan yang ada pada dirinya. Mudahnya seseorang itu mewarisi saka ialah kerana kurangnya kekuatan jiwa seseorang itu. Seseorang yang mempunyai jiwa yang kental dan mantap akan mudah mengendalikan perjalanan kehidupan serta kerezekiannya. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu hingga kaum itu sendiri mengubahnya. Makanya kita diberi peluang untuk mengubah corak serta taraf hidup kita tetapi kita perlu tahu cara dan kaedah yang betul-betul membawa kepada perubahan positif. Untuk mengubah nasib itu perlu jiwa yang kental dan mantap dan bukan hanya minda yang positif.

Minda yang dikatakan positif belum tentu mempunyai jiwa yang mantap. tetapi jiwa yang mantap sudah tentu 100% mempunyai minda yang positif. Jadi perubahan itu perlu bermula dengan jiwa, tanpa jiwa minda tidak mampu melakukan proses pemikiran. Jiwa yang tenang akan selalu mengingat kepada Penciptanya dan jiwa akan lebih mantap hasil kerana keyakinan yang jitu kepada Allah swt. Jiwa yang tenang dapat dicapai melalui kaedah meditasi super sedar dan dalam Islam keadaan meditasi super sedar ini dapat dicapai dalam solat yang benar-benar khusyuk. Dalam kekhusyukan itu segala permasalahan akan hilang kerana jiwa kita berada dalam keadaan yang begitu tenang. Apabila jiwa kita tenang dan mantap maka segala tindakan kita lebih baik dan berjaya serta kita yakin bahawa segala usaha perlu kita lakukan tetapi keputusan adalah hak milik Allah swt. Selain itu kita juga harus melihat siapakah di sekeliling kita, bersesuaian dengan hadis nabi saw, barangsiapa berkawan dengan penjual minyak wangi maka wangilah dia. Justeru jika kita dikelilingi oleh mereka yang bermasalah maka kita akan terikut bermasalah. Ini kerana apabila bermasalah, gelombang fikiran berada dalam gelombang beta. Jika anda dikelilingi mereka yang berada pada gelombang beta yang tinggi, maka gelombang tersebut akan mempengaruhi pemikiran serta gelombang otak anda secara tidak langsung.

Ramai juga yang mengetahui bahawa meditasi mampu menghilangkan saka dan ramai juga cuba mempelajari kaedah meditasi tetapi ramai yang gagal. Ada juga yang telah menjumpai kaedah meditasi tetapi masih gagal dalam bermeditasi. Ada juga yang menelefon saya untuk mengajar Meditasi Islam secara jarak jauh. Meditasi Islam menggunakan minda super sedar adalah teknik yang memerlukan pengajar mengajar dari jiwa dan bukan dari teori. Ramai yang bertanya berapa lama masa yang perlu diambil untuk menguasai meditasi dan masa yang di perlukan untuk melakukan meditasi. Sebenarnya untuk menguasai kaedah meditasi super sedar bukan sesuatu yang mudah. Ramai yang cuba melakukan namun tidak dapat mencapai matlamat yang diinginkan. Perlu saya tekankan sekali lagi, meditasi sememangnya baik untuk kesejahteraan jiwa namun jika kita tersilap melakukannya ia mampu memberi kesan negatif dalam jangkamasa panjang. Hasil kajian di barat membuktikan kesilapan dalam meditasi akan meningkatkan kadar ketegangan, kemurungan, kekeliruan atau kegelisahan akan berlaku. Ini sering terjadi kerana mereka melakukan meditasi menggunakan minda bawah sedar. Pada zaman yang memerlukan segalanya dengan pantas tetapi sempurna maka teori shaja tidak memadai. Dengan pengalaman yang ada saya telah merumuskan satu formula khusus yang begitu praktikal supaya setiap peserta tidak kira samada mereka yang baru mencuba meditasi atau mereka yang telah lama mahupun mereka yang mempunyai pelbagai penyakit samada spiritual mahupun medik mampu menguasai tahap gelombang theta dalam masa beberapa jam.

Ramai juga yang bertanya mampukah meditasi mengubati penyakit spiritual seperti saka dan sihir. Sebenarnya meditasi super sedar mampu memulihkan masalah spiritual kerana apabila seseorang yang telah dilatih untuk mencapai kekuatan jiwa (bukan kekuatan minda) beliau akan berada dalam kondisi yang begitu sihat secara spiritualnya. Ketenangan jiwa adalah satu empangan tenaga yang tiada batas. Apabila ketenangan jiwa dicapai, pancaran rohani seseorang akan memberikan anjakan paradigma yang besar yang bukan sahaja mampu memulihkan masalah spiritual tetapi mampu mengubah corak kehidupan peribadi kerana setiap tuturkata dan perbuatannya datang dari jiwa yang tenang, kuat dan mantap.

Boleh dikatakan hampir semua orang sibuk setiap hari maka agak sukar untuk mendisiplinkan diri untuk bermeditasi selama beberapa jam sehari. Tetapi bermeditasi itu perlu kerana pada pandangan Imam Ibnu Qayyim berkata “barangsiapa yang diberi makanan berupa zikir serta bersih dari penyakit duniawi kemudian diberi minuman berupa tafakur (meditasi) maka dia akan memperolehi pelbagai hikmah” Formula yang saya rumuskan untuk mencapai ketenangan jiwa dalam masa yang pantas melalui kaedah meditasi Islam yang dikembangkan hanya akan membuahkan kejayaan jika sekiranya setiap peserta tersebut mampu membuang penyakit duniawi.

Saya menumpukan kepada tiga jenis penyakit duniawi yang terlalu banyak membuangkan tenaga kita serta membuatkan fikiran kita menjadi korup. Perjalanan minda super sedar ialah masuk ke dalam diri manakala minda bawah sedar pula menuju ke arah yang bertentangan. Justeru, penyakit duniawi yang akan saya kupas akan menarik fikiran serta emosi ke arah yang bertentangan dengan minda super sedar.

1. hasad dengki
Penyakit yang pertama yang wajib dibuang ialah hasad dengki kerana ianya bersifat negatif. Jika kita merasa irihati dengan kejayaan seseorang itu dan cuba memperbaiki diri agar berjaya sepertinya ianya suatu yang positif. Tetapi jika kita irihati dan memikirkan jalan yang mampu merosakkan kejayaan seseorang itu agar kita dapat dilihat berjaya, ianya seratus peratus negatif. Sifat irihati yang negatif ini akan membawa bebanan fikiran. Seseorang itu akan sentiasa memikirkan tentang jalan ataupun kaedah yang membolehkan dia menjatuhkan seseorang. Kadangkala terdapat juga orang yang sering takut kepada bayang-bayangnya sendiri. Mereka ini tergolong dalam golongan irihati kerana takut kedudukan mereka terancam dan sering berfikiran negatif. Fikiran negatif yang sebegini akan menjana satu bentuk emosi negatif dan seterusnya membuatkan seseorang itu bersikap merosakan dan seringkali ianya dimulai dengan kata-kata fitnah atau pembohongan. Dalam kaedah super sedar kita harus duduk merenung ke dalam diri untuk memperbaiki diri dan bukannya merenungkan kaedah kemusnahan orang lain.

2. Dendam
dendam terbahagi dalam dua kategori iaitu yang kasar dan yang halus. Yang kasar agak mudah dilihat kerana ianya terus menampakkan cirri-ciri pembalasan tetapi yang halus sukar untuk dilihat. Salah seorang peserta saya yang telah menghadiri latihan Meditasi Islam dan berjaya mencapai matlamat meditasi pada hari kursus. Tetapi seminggu selepas itu beliau menghubungi saya kembali kerana menurutnya beliau gagal mencapai ketenangan jiwa dua tiga hari kebelakangan. Apabila kami bertemu dan melakukan meditasi bersama, apa yang dapat dilihat ialah sifat dendamnya kepada bekas rakan kongsinya. Menurut beliau, beliau telah difitnah dan ditipu oleh rakan kongsinya, maka sebab itu beliau berazam membalas kembali setiap perbuatan temannya agar semua orang tahu keburukannya. Ikatan emosi dendam inilah yang merosakkan fikiran serta membawa emosi negatif. Walaupun beliau duduk bermeditasi namun fikirannya tanpa sedar memikirkan jalan untuk membalas perbuatan temannya itu. Hal ini begitu merosakkan kerana selagi kita terikat dengan dendam selagi itu kita terbeban dengan hidden emotion. Sebenarnya telah banyak pembuktian yang saya lihat jika sekiranya seseorang itu benar-benar mencapai kekuatan jiwa, maka pelbagai keinginannya termasuk ingin melihat kebenaran terlaksana akan tercapai. Apa yang perlu ialah jangan mengikat diri kita dengan sifat dendam walau sedikitpun.

3. Sangka buruk
Satu lagi sikap yang perlu dikikis dari kehidupan seharian ialah sangka buruk. Ramai anggota masyarakat yang mempunyai masalah sangka buruk tanpa menyedarinya. Orang yang selalu bersangka buruk terhadap orang lain akan mempunyai satu sikap negatif iaitu gelisah jiwa. Orang yang selalu sangka buruk juga sering memikirkan orang lain juga menyangka buruk terhadap mereka. Hasilnya mereka akan terfikir-fikir bagaimana untuk membuktikan sangkaan mereka benar. Ini satu lagi sikap yang membuatkan kita berfikir untuk orang lain dengan lebih banyak daripada memikirkan diri sendiri. Segala tenaga positif yang ada digunakan untuk memikirkan orang lain dari sudut negatif.

Satu tanda yang mudah kelihatan pada mereka yang mempunyai penyakit duniwi ialah wajah yang selalunya tidak ceria dan muram. Jika anda ingin mencapai ketenangan jiwa maka hilangkanlah penyakit duniawi ini maka kita akan memperolehi pelbagai hikmah. Ramai yang memberi definisi pelbagai hikmah ini sebagai satu kelebihan dalam bidang pengubatan alternatif. Tidak, pelbagai hikmah bermakna itu bermaksud pelbagai kebijaksanaan atau dalam erti kata sebenar memahami sesuatu perkara itu secara hakikat. Contohnya seorang ahli perniagaan akan mendapat pelbagai hikmah untuk berniaga contohnya idea yang bernas, strategi yang canggih dan lain-lain kebaikan kompetitif. Begitu juga jika kita seorang penulis misalnya, kita akan dapat berkarya dengan lebih menarik melalui bentuk penulisan. Takrifan pelbagai hikmah yang sering disalah anggap tidak dapat membantu seseorang itu membina jati diri yang sempurna. Jika anda seorang pendidik maka jadilah pendidik yang hebat, jika anda seorang salesman maka jadilah salesman yang hebat. Kesemuanya mampu dicapai hanya dengan jiwa yang tenang, kental dan mantap.

Dr.A/mm/february/2006

Read More......