Tuesday, November 24, 2009

Rahsia Kekuatan Nama


Kata orang apa ada pada nama kerana nama hanyalah pelambangan namun ada pula kata-kata yang mengatakan harimau mati meninggal belang manusia mati meningggalkan nama. Ada juga yang begitu teliti dan cerewet berkaitan nama dan ada pula yang tidak ambil pusing, janji ada nama. Nama sebenarnya mempunyai peranan yang tersendiri, tanpa nama kita tidak boleh mengenal sesuatu. Setiap perkara itu mempunyai nama dan dengan adanya nama maka kita terus dapat mengenalpasti apa yang dimaksudkan.

Dan ada pula yang mempunyai nama yang pelik tetapi begitu berjaya dalam hidupnya. Tidak salah bagi mereka yang mempunyai pendapat yang nama tidak membawa apa erti dalam kehidupan kerana sebagai manusia kita bebas untuk mengeluarkan pandangan asal saja pandangan itu tidak membawa porak peranda untuk masyarakat dan negara. Saya juga mempunyai pendapat tersendiri berkaitan nama hasil pengamatan yang dilakar oleh pengalaman sendiri dan orang lain serta ilmu pengetahuan yang dipelajari.

Nama bagi saya membawa seribu satu pengertian kerana dari nama juga kita boleh mengenali watak seseorang. Kupasan nama yang saya ingin ketengahkan bukan hanya termaktub kepada nama seseorang individu tetapi ianya termasuk juga nama sesebuah organisasi samada perniagaan atau pertubuhan. Ibu saya ada menceritakan kepada saya tentang kisah nama, katanya arwah datuk saya cukup cerewet berkenaan nama.

Ini jelas terbukti setiap nama yang ingin diberi untuk anak-anak beliau akan dirujuk kepada beberapa kitab kerana menurut beliau jika nama yang tidak seimbang akan memberi pengaruh negatif terhadap kehidupan seseorang itu. Jika dilihat secara kasarnya ianya mungkin satu dongengan tetapi jika dikaji dan melihat pengalaman orang yang berkaitan ianya mungkin ada kebenarannya. Beberapa saudara saya mempunyai dua nama yakni nama di kada pengenalan serta nama pangggilan yang mana keduanya berbeza sama sekali.

Hal ini terjadi kerana sewaktu kecilnya saudara saya sering sakit dan setelah puas berubat secara moden dan tradisional keadaannya masih juga sedemikian maka namanya ditukar. Selang seminggu sakitnya mulai berkurangan dan akhirnya dia jarang sekali mendapat sakit. Sama juga kisah yang difilemkan tentang nama lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Ahmad Albab. Ahmad Albab si kecil sering menangis hinggalah dia diberi nama Ahmad Albab.


Kisah yang dipaparkan bukanlah satu dongengan sebenarnya tetapi ianya lebih kepada pengkajian ilmu keseimbangan nama. Ada nama yang terlalu berat untuk dibawa oleh seseorang itu untuk seumur hidupnya dan ada pula yang terlalu ringan. Dalam hal nama ini Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sendiri tidak menggunakan nama sebenarnya dalam industri perfileman dan ramai lagi yang tidak menggunakan nama sebenar dalam kerjaya mereka. Ini tidak bermakna mereka memerlukan satu nama yang glamour tetapi samada mereka sedar atau tidak nama yang mereka gunakan secara komersil itu mempunyai kekuatan dan keseimbangan.

Teringat saya tentang filem nujum pak belalang, diakhir filem tersebut terdapat satu pertandingan yang mana si ahli nujum bertanya di manakah kekuatan Hang Tuah, pada kerisnya kah atau pada tubuhnya. Maka jawab nujum pak belalang kekuatan Dato’ Panglima hang Tuah terletak pada huruf TA. Filem tersebut juga membawa mesej yang sama tentang kekuatan sebuah nama.

Saya pernah didatangi oleh seorang yang telah mengalami banyak kerugian dalam perniagaannya. Katanya jika dilihat dari sudut produk ianya begitu bermutu dan strategi pemasarannya begitu unik namun perniagaannya tidak pula melonjak naik bahkan makin merudum. Saya memberitahu beliau yang saya bukanlah seorang penasihat korporat yang dapat membantu beliau namun mungkin saya dapat membantu beliau dari satu sudut yang berlainan.

Setelah diteliti dari beberapa sudut perniagaan, memang benar tiada cacat celanya tetapi akhirnya saya mendapati namanya tidak membawa satu pengertian yang baik dari segi kiraannya. Namanya membawa satu nilai maksud masalah. Makanya setiap kali orang berjumpa dengan beliau maka orang menyebut nama syarikatnya yang hitungannya membawa maksud masalah. Justeru saya menasihati beliau agar menukar nama syarikatnya kepada sebuah nama yang mempunyai hitungan bermaksud wang. Pada mulanya beliau agak keberatan untuk menukar nama syarikatnya kerana menurut beliau nama tersebut indah dan maksudnya dari segi bahasa agak baik.

Kita perlu ingat yang merah itu belum tentu saga yang berkilau itu belum tentu berlian. Oleh itu hitungan keseimbangan nama juga satu keperluan kerana ianya akan menjadi sebutan yang secara tidak langsung menjadi doa terhadap seseorang. Cuba anda bayangkan perasaan anda jika nama yang diberi kepada anda ialah SAKIT. Ianya lama kelamaan akan mempengaruhi nilai kehidupan anda secara tidak langsung. Setelah diberi penerangan beliau akhirnya bersetuju untuk mencuba dan akhirnya dalam masa setahun produknya terjual di luar jangkaan.

Begitulah rahsia sebuah nama yang sebenarnya mempunyai nilai hitungan yang tersendiri. Ini tidak pula bermakna jika anda sering sakit atau mempunyai perniagaan yang merudum anda terus mengambil langkah untuk menukar nama. Sebelum langkah tersebut dibuat banyak lagi yang harus dipertimbangkan termasuk mengkaji semula strategi perniagaan atau menjalani pemeriksaan doktor secara menyeluruh.

Justeru itu kadang kala ada syarikat melancarkan strategi rebranding untuk mencapai satu kemuncak perniagaan. Seperkara lagi ramai yang mengatakan yang nombor 666 itu nombor syaitan apakah buktinya, jika anda seorang yang sering mengkaji tentang nombor atau dengan istilah lainnya falak maka kiraan sebutan syaitan itu menyamai dengan nombor 666. justeru itu apabila seseorang itu ingin memberi nama untuk syarikat atau anaknya seeloknya dirujuk kepada kiraan hitungan agar tidak pula menyamai hitungan tersebut.

Rahsia kekuatan nama berkaitan rapat kepada nilai hitungan pada setiap huruf serta beberapa faktor. Adalakanya nilai tersebut tidak seimbang dan ini akan membawa kepada ketidakharmonian jalan hidup. Jika kita lihat pada zaman dahulu segalanya memerlukan kiraan bahkan tanggal kemerdekaan kita juga sebenarnya diputuskan hasil kiraan keseimbangan nama.

Namun ini bukanlah satu kemestian atau satu kewajipan tetapi jika kita lakukan satu perbandingan ianya seperti membandingkan dua orang pemandu, A dan B. Si A sering mendengar informasi tentang aliran trafik dari radio keretanya dengan harapan dapat mengelak kesesakan jalan raya. Manakala si B pula tidak menggunakan radio kereta dan selalu terperangkap dalam kesesakan trafik. Mengetahui rahsia nama bukan satu kemestian yang perlu dipatuhi tetapi ianya mampu menjadi bahan motivasi serta penunjuk arah yang mungkin dapat membantu dalam membuat keputusan.


Read More......

Wednesday, November 18, 2009

Grounding (pembumian)


Apa yang ada di luar sebenarnya ada di dalam maka jika kita ingin mengenal yang di luar perlu jugalah kita mengenal apa yang di dalam kerana wataknya sama cuma bentuknya berbeza. Jika kita lihat di luar ada mempunyai sungai yang mengalir maka jika perbandingan dilakukan dengan elmen tubuh ianya sama dengan darah yang mengalir. Ada sungai yang keruh airnya ada sungai yang jernih airnya sama juga dengan darah ada yang penuh dengan kotoran tetapi pada masa yang sama ada juga dara yang begitu bersih sifatnya. Jika di luar ada mempunyai batu-batuan, di dalam tubuh kita juga mempunyai batuan yang pelbagai. Benarlah apa yang ada di luar ada di dalam namun yang ada di dalam lebih jahat sifatnya dari apa yang ada di luar.

Buktinya binatang ada di luar dan binatang juga ada di dalam. Binatang di luar boleh dikawal atau paling tidak jika binatang tersebut mengganas ianya mampu kita bunuh. Akan tetapi binatang yang ada di dalam sifatnya lebih buruk walaupun binatang yang ada di dalam tidak berbentuk seperti binatang di luar. Maka sifat binatang yang di bawa di dalam ini lebih ganas dan buruk kerana ianya mampu merosakkan bahkan membunuh seseorang itu. Jika tidak mana mungkin ada kejadian seorang yang layak dipanggil datuk masih mahu merosakkan hidup cucunya yng masih kecil. Banyak lagi pembuktian yang dapat dilihat jika kita sering membuat perbandingan luar dan dalam. Saya pernah terbaca satu kisah sufi yang mana seorang syeikh sufi dijemput untuk memberi ceramah di sebuah perguruan. Sebaik saja syeikh ini tiba di perguruan tersebut, dia disambut dengan penuh hormat oleh guru yang mengetuai perguruan tersebut.


Tetapi pelajar-pelajar perguruan tersebut merasa pelik terhadap syeikh sufi ini kerana dia diekori dua ekor anjing. Setelah selesai memberi ceramah syeikh sufi meminta izin untuk pulang. Sebaik sahaja syeikh sufi yang dihormati ini pulang, guru tersebut ditanya oleh pelajar-pelajarnya. “wahai guru, saya rasa pelik kerana syeikh itu diekori oleh anjing. Seorang syeikh tak sepatutnya membawa anjing, saya rasa hilang hormat” kata seorang dari pelajar tersebut. Guru tersebut memnag sudah menjangkakan yang pelajar-pelajarnya akan bertanya akan hal itu. Dengan perasaan tenang si guru pun menjawab “itulah pelajaranyang hendak disampaikan”. Tercenganglah pelajar berkenaan kerana pelik dengan jawapan si guru. Memahami yang para pelajarnya memerlukan penerangan maka guru itu pun berkata “ kamu lihat syeikh itu diekori anjing atau dia mengekori anjing?” tanpa berlengah pelajarnya menjawab “anjing yang mengekorinya”.

Guru itu menyoal lagi “ kamu lihat anjing itu di luar atau di dalam?”. Berkerut dahi si pelajar kerana pelik akan soalan yang begitu mudah ditanya oleh gurunya dan tanpa ragu-ragu dia menjawab “pastinya di luar”. Guru itu kemudiannya menerangkan bahawa itulah sebenarnya pelajaran yang disampaikan oleh syeikh sufi itu secara simbolik. Dia mampu mengeluarkan binatang dan memerintah binatang mengekorinya tetapi kita belum pasti dapat mengeluarkan binatang yang ada di dalam diri kita bahkan kita sering pula mengikut arahan binatang yang ada. Terdiamlah pelajar-pelajar dan barulah mereka memahami yang mereka harus lebih melihat ke dalam diri dari melihat apa yang di luar. Mereka juga kini faham apa yang berlaku diluar adalah cerminan diri yang di dalam. Justeru itu jika elektrik ada di luar maka pastinya ada di dalam. Jika kita lihat dalam litar ada yang dipanggil pembumian maka sudah tentu juga di dalam tubuh perlu ada pembumian.

Dahulu saya ada menulis tentang kaedah membersihkan energi negative dengan penggunaan air mawar. Air mawar amat efektif jika digunakan untuk menghilangkan energi negatif yang disebabkan oleh anasir-anasir halus yang mengganggu. Meskipun begitu kita sering juga merasa letih, malas dan tiada mood. Fenomena ini berlaku kerana kita ada banyak ion-ion positif yakni caj-caj negatif. Caj-caj ini perlu dihilangkan setiap hari untuk menyeimbangkan kekuatan tubuh seseorang dengan sikapnya. Apabila terlalu banyak caj-caj negatif menguasai diri, kita akan mudah menjadi seorang yang moody, cepat letih dan mempunyai tidur yang tidak berkualiti. Mungkin anda bertanya dari mana kita dapat mengumpul caj-caj negatif yang menyelubungi hidup anda. Sebenarnya tanpa sedar setiap hari kita mengumpul caj-caj negatif hingga secara diam membawa kerosakan kepada kualiti hidup.

Kita hidup di zaman serba moden sering mendedahkan kita kepada ion-ion positif (caj negatif untuk tubuh) contohnya penggunaan komputer, sistem pengudaraan yang tidak betul dan banyak lagi keadaan bangunan yang membuatkan limpahan kepada ion-ion positif ini. Apabila anda bekerja di hadapan komputer dengan begitu lama, anda akan menyerap ion-ion positif dan apabila anda pulang ke rumah dalam keadaan keletihan anda akan mudah marah dan sebagainya. Anda juga secara tidak langsung telah menyebarkan ion-ion positif ini ke dalam seisi rumah dan ia akan membuatkan rumah anda menjadi satu tempat yang bakal menyerap energi-energi penghuninya. Akhirnya para penghuni akan mudah sakit, letih dan kurang semangat untuk kehidupan. Maka dengan itu anda perlu menyeimbangkan kutipan-kutipan ion bahkan sebenarnya anda perlu banyak ion-ion negatif (caj positif di rumah).


Antara tempat- tempat yang mempunyai ion-ion negatif yang tinggi adalah di kawasan yang keadaan semulajadinya masih lagi “dara” seperti di kawasan air terjun, hutan , pantai-pantai. Namun adalah mustahil untuk kita membawa rumah kita ke tepi pantai atau ke tengah hutan mahupun di kawasan air terjun. Kita juga jarang sekali berterima kasih atas adanya petir. Setiap perkara yang Allah swt jadikan itu pasti ada hikmahnya. Cuba kita renungkan apabila petir apa yang berlaku, kita mungkin akan terkejut dan keadaan itu sebenarnya akan membuatkan kita lebih segar. Ini kerana sewaktu petir ianya mengeluarkan trillion ion negatif yang mampu menurunkan ketegangan dan akhirnya memberi kita banyak energi. Di sekolah lagi kita telah didedahkan dengan kebocoran ion. Mengetahui sahaja tanpa ada solusinya bagi saya tidak banyak manfaatnya. Maka hari ini marilah kita berkongsi kaedah untuk membumikan caj-caj negatif agar kita hidup lebih segar, lebih sihat dan lebih berkualiti.

Kita cuba buat perbandingan orang yang tinggal di bandar dan tinggal di kampung, siapa yang lebih sihat. Ramai yang mengatakan mereka yang tinggal di kampung lebih sihat. Ini bukan kerana mereka bekerja keras kerana ramai juga yang bekerja di bandar tetapi menetap di kampung. Ini berlaku kerana mereka di kampung sering melakukan grounding atau pembumian. Mereka sering memijak tanah kaki ayam. Walaupun ianya berlaku sekejap tetapi grounding atau pembumian telah dilakukan. Apabila pembumian dilakukan maka ion-ion positif dialirkan ke bumi dan ini akan meninggalkan ion-ion negatif dalam tubuh. Cuba anda fikir kembali berapa kali dalam seminggu anda melakukan pembumian. Mulai pada hari ini cubalah lakukan sekurang-kurangnya sekali seminggu dan tempat yang layak anda gunakan ialah di kawasan semulajadi seperti pantai atau taman. Pantai adalah alat pembumian yang paling baik.

Apa yang perlu anda lakukan ialah berjalanlah tanpa menggunakan alas kaki atau dengan kata lain berjalan dengan kaki ayam selama setengah jam. Semakin kerap anda lakukan semakin banyak ion positif yang anda nyahkan, semakin banyak ion positif anda nyahkan anda akan merasakan tubuh yang ringan, mood yang teratur serta tidur yang lena. Apabila anda pulang ke rumah anda perlu ingat bahawa caj-caj negatif yang ada di rumah perlu juga anda nyahkan. Anda tidak perlukan wang beribu ringgit jika anda tidak berkemampuan tetapi anda memerlukan kaedah efektif untuk menyahkan ion positif dari dalam rumah. Apa yang perlu anda lakukan ialah ambil garam bukit dan jadikan hiasan di dalam rumah. Garam bukit adalah alat yang murah dan efektif dalam membuang ion positif. Maka sebab itu baginda saw sebelum makan akan merasa sedikit garam. Ini adalah untuk menjadikan dirinya mempunyai ion negatif (caj positif) yang banyak.

Perlu diingat bahawa garam yang digunakan bukan garam yang kita sering gunakan untuk memasak kerana jika garam tersebut digunakan kesannya tidak banyak dan jika garam tersebut yang dirasa sebelum makan anda akan mudah untuk mendapat penyakit darah tinggi dan sebagainya. Gunakanlah garam bukit. Semoga anda dapat mencuba kaedah grounding yang sebenarnya digunapakai oleh datuk nenek kita bahkan baginda saw juga menggunakan garam.

Read More......

Thursday, November 5, 2009

Misi Sebuah Kehidupan (bhg. akhir)



Saya sambung semula artikel lepas berkenaan misi kita hidup di dunia ini..


Perlu kita sedari bahawa ada juga ibadah yang akhirnya tidak mencetuskan hasil yang baik contohnya solat. Ada yang bersolat tetapi akhirnya terjerumus ke dalam neraka akibat kelalaian solatnya, ada yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga. Menyelami misi ini adalah penting dalam arus perjalanan kehidupan yang kita lalui agar tiak menongkah arus. Perlu juga kita ingat bahawa matlamat tidak menghalalkan cara, jika kita merompak dengan tujuan bersedekah maka ianya tetap salah.

Misi utama telah kita ketahui tetapi ada sesuatu yang sering terlepas pandang iaitu bagaimana untuk menongkat perlaksanaan misi utama dengan misi secondary. Inilah yang perlu kita kupas dalam diri kita agar kita mengetahui dengan sejelas-jelasnya apakah `tools’ kita dalam melaksanakan misi utama iaitu beribadah kepada Allah swt. Dengan ringkasnya kita perlu tahu apakah watak sebenar kita di pentas dunia ini dalam melaksanakan misi sebagai seorang yang sentiasa beribadah. Makannya beribadah, tidurnya beribadah, kerjanya beribadah dan segalanya menjadi ibadah. Semuanya untuk Allah swt. Setiap dari kita adalah khalifah dan setiap dari kita juga adalah pendakwah.

Kita dilantik menjadi khalifah oleh Maharaja Agung namun sedikit sangat yang kita tahu skop kerja seorang khalifah. Kita perlu menjadi khalifah pada diri sendiri, kita juga perlu berdakwah pada diri sendiri. Adakalanya kelihatan ramai yang suka menjadi khalifah untuk orang lain serta berdakwah untuk orang lain tanpa untuk diri sendiri. Kita harus sedar bahawa ibadah mengatasi hal lain dalam setiap situasi dan keadaan. Oleh yang demikian ada suatu perkara yang perlu hadir dalam jiwa setiap insan iaitu rasa bertuhan. Bunyinya ringkas tapi jika kita lihat dari segi perasaannya berat. Kita mudah melafazkan hidup bertuhan tetapi amat menjengkelkan kerana manusia sering lupa wujudnya Tuhan tanpa sedar mereka tidak merasa kewujudan Tuhan kerana tanpa sedar juga perasaan terhadap sesuatu selain Allah swt lebih tebal.

Perasaan kerinduan terhadap segala sesuatu selain Tuhan itu telah mendahului Tuhan. Maka setiap perbuatan serta kelakuan yang dilakukan untuk Allah swt bukan lagi sebagai lambang kerinduan dan kecintaan seorang hamba terhadap Tuhannya, tetapi ikhlas dalam keterpaksaan. Menunaikan solat atas nama kewajipan maka dengan sendirinya kita menunaikan solat tanpa ruh solat. Bukankah lebih baik menunaikan solat itu kerana rindu yang mendalam terhadap Kekasih yang Maha Menyintai maka setiap huruf dan kalimah akan menjadi bait-bait cinta yang tak ternilai harganya kerana keikhlasan cinta agung. Teman saya pernah memberitahu saya satu kenyataan yang saya rasa begitu menyentuh hati saya, katanya "don’t please Him but love Him".

Saya berpendapat ianya satu kenyataan yang kita perlu semai dalam melaksanakan misi kita agar tidak tersasar. Jika kita ingin menyenangkan Allah swt atau ingin membahagiakan allah swt dengan banyaknya pahala yang kita lakukan maka kita tersilap kira kerana Allah swt adalah pemilik mutlak kesenangan dan kebahagian bahkan Dialah yang memberi sentuhan kebahagian dan kesenangan pada hamba-hambaNya. Cintailah Allah swt lebih dari segalanya insya Allah kita akan faham apa erti sebuah kehidupan dan apa pula `tools’ yang kita ada dalam rangka melaksanakan sebuah misi kehidupan. Menyintai Allah swt tidak bermakna kita lupa dunia kerana dunia itu juga milikNya. Tidak juga menjadikan kita miskin kerana Allah Swt Maha Kaya bahkan kita akan lebih kaya terutamanya kaya jiwa.

Read More......

Tuesday, November 3, 2009

Misi Sebuah Kehidupan (bhg 1)


Setiap hari dan setiap ketika kita mempunyai perkara yang perlu dilaksanakan. Melaksanakan setiap perkara itu merupakan satu misi pada ketika itu dan mungkin juga menyempurnakan misi yang ada merupakan satu keperluan yang amat sangat bagi sesetengah orang pada waktu-waktu yang tertentu. Jika kita ringkaskan satu kronologi kehidupan yang ada di Malaysia ini ianya hampir serupa buat semua orang namun misinya nyata berbeza. Bangun sahaja dari tidur kita perlu ke bilik air untuk membersihkan diri sebelum menunaikan fardhu subuh. Setelah siap semuanya mungkin ada yang dapat bersarapan di rumah atau mungkin terus berlari ke tempat kerja.

Pergi ke tempat kerja merupakan satu misi tetapi perlaksanaannya cukup berbeza dan tempat menyempurnakan misi itu juga cukup berbeza. Ada yang terkejar-kejar menaiki pengangkutan awam ada juga yang terkejar-kejar tetapi dengan memandu laju. Ada yang tenang untuk sampai ke tempat kerja dan telahpun punya rancangan bagaimana untuk mentadbir harinya. Kita harus tahu bagaimana untuk mentadbir hari kita agar ianya memberi manfaat yang maksima dalam pulangan hasilnya. Tidak dinafikan juga kita telah mentadbir hari kita dengan penuh teratur tetapi pulangannya masih berada dalam kerugian.


Hari-hari yang ditadbir akan memberi impak yang besar pada hari-hari yang mendatang kerana setiap keputusan hari ini adalah satu sumbangan terhadap hari yang akan datang. Jika sumbangannya negatif maka dengan sendirinya kita harus melakukan sesuatu untuk mengurangkan kesan kerugian dan menokok tambah laba moga-moga terjamin masa hadapan. Setiap badan pentadbiran mempunyai visi dan misi. Visi merupakan objektif yang ingin dicapai manakala misi pula merupa penyataan tatacara perlaksanaannya dalam memanjat setiap anak tangga dalam menuju visi yang ditetapkan.


Sebagai manusia kita tahu bahawa kita hidup di dunia ini hanya sementara. Dunia ini boleh diibaratkan sebagai satu perhentian R&R di sebuah lebuhraya sebelum kita sampai ke destinasi yang dituju. Adakalanya kita berhenti untuk menghilangkan lelah, adakalanya kita berhenti kerana lapar dan dahaga dan ada juga yang berhenti untuk menunaikan kewajipan pada yang Maha Esa. Walau apapun ceritanya kita tetap berada dalam satu kawasan perhentian. Di situ ada segala-galanya yang dapat membuatkan kita lari dari tujuan berhenti tadi. Begitu juga sebuah kehidupan dunia ini. Dunia yang kita diami hari ini merupakan satu transit dalam satu perjalanan yang jauh serta banyak pula rintangannya.

Kekasih Allah swt, baginda rasulullah saw ketika ditawarkan oleh Ibnu Mas'ud untuk tempat tidur yang selesa menjawab dengan penuh makna yang perlu kita hayati “Saudaraku, apalah ertinya dunia buatku, kecuali aku hanyalah seperti seorang pejalan kaki yang singgah sejenak di bawah naungan pohon (dunia) ini, berehat sejenak, kemudian meninggalkannya. ”Jelas sekali dunia bukanlah visi tetapi hanya waktu rehat untuk menyempurnakan visi. Visi kita adalah untuk kembali ke alam kekal dengan selamat serta dengan harapan dapat tempat yang baik untuk tinggal selamanya.

Bagaimana pula dengan misi dalam menuju visi yang telahpun ditentukan. Setiap dari kita tahu caranya kerana dari kecil lagi kita telah mendengar ayat yang berbunyi : ''Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Ku.''(Az Dzariyat : 55). Satu misi yang jelas untuk kita semua. Misi utama kita ialah ibadah. Di sini juga berlaku banyak kekhilafan fikiran. Bukanlah duduk di atas tikar sembahyang dan berwirid itu sahaja dinamakan ibadah. Bukan pula berpuasa dan bersedekah itu saha ibadah. Ibada perlu dilihat dalam satu rangka kerja yang besar. Dalam apa jua pekerjaan yang kita lakukan itu perlulah menjadi ibadah.


Read More......