Thursday, November 5, 2009

Misi Sebuah Kehidupan (bhg. akhir)



Saya sambung semula artikel lepas berkenaan misi kita hidup di dunia ini..


Perlu kita sedari bahawa ada juga ibadah yang akhirnya tidak mencetuskan hasil yang baik contohnya solat. Ada yang bersolat tetapi akhirnya terjerumus ke dalam neraka akibat kelalaian solatnya, ada yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga. Menyelami misi ini adalah penting dalam arus perjalanan kehidupan yang kita lalui agar tiak menongkah arus. Perlu juga kita ingat bahawa matlamat tidak menghalalkan cara, jika kita merompak dengan tujuan bersedekah maka ianya tetap salah.

Misi utama telah kita ketahui tetapi ada sesuatu yang sering terlepas pandang iaitu bagaimana untuk menongkat perlaksanaan misi utama dengan misi secondary. Inilah yang perlu kita kupas dalam diri kita agar kita mengetahui dengan sejelas-jelasnya apakah `tools’ kita dalam melaksanakan misi utama iaitu beribadah kepada Allah swt. Dengan ringkasnya kita perlu tahu apakah watak sebenar kita di pentas dunia ini dalam melaksanakan misi sebagai seorang yang sentiasa beribadah. Makannya beribadah, tidurnya beribadah, kerjanya beribadah dan segalanya menjadi ibadah. Semuanya untuk Allah swt. Setiap dari kita adalah khalifah dan setiap dari kita juga adalah pendakwah.

Kita dilantik menjadi khalifah oleh Maharaja Agung namun sedikit sangat yang kita tahu skop kerja seorang khalifah. Kita perlu menjadi khalifah pada diri sendiri, kita juga perlu berdakwah pada diri sendiri. Adakalanya kelihatan ramai yang suka menjadi khalifah untuk orang lain serta berdakwah untuk orang lain tanpa untuk diri sendiri. Kita harus sedar bahawa ibadah mengatasi hal lain dalam setiap situasi dan keadaan. Oleh yang demikian ada suatu perkara yang perlu hadir dalam jiwa setiap insan iaitu rasa bertuhan. Bunyinya ringkas tapi jika kita lihat dari segi perasaannya berat. Kita mudah melafazkan hidup bertuhan tetapi amat menjengkelkan kerana manusia sering lupa wujudnya Tuhan tanpa sedar mereka tidak merasa kewujudan Tuhan kerana tanpa sedar juga perasaan terhadap sesuatu selain Allah swt lebih tebal.

Perasaan kerinduan terhadap segala sesuatu selain Tuhan itu telah mendahului Tuhan. Maka setiap perbuatan serta kelakuan yang dilakukan untuk Allah swt bukan lagi sebagai lambang kerinduan dan kecintaan seorang hamba terhadap Tuhannya, tetapi ikhlas dalam keterpaksaan. Menunaikan solat atas nama kewajipan maka dengan sendirinya kita menunaikan solat tanpa ruh solat. Bukankah lebih baik menunaikan solat itu kerana rindu yang mendalam terhadap Kekasih yang Maha Menyintai maka setiap huruf dan kalimah akan menjadi bait-bait cinta yang tak ternilai harganya kerana keikhlasan cinta agung. Teman saya pernah memberitahu saya satu kenyataan yang saya rasa begitu menyentuh hati saya, katanya "don’t please Him but love Him".

Saya berpendapat ianya satu kenyataan yang kita perlu semai dalam melaksanakan misi kita agar tidak tersasar. Jika kita ingin menyenangkan Allah swt atau ingin membahagiakan allah swt dengan banyaknya pahala yang kita lakukan maka kita tersilap kira kerana Allah swt adalah pemilik mutlak kesenangan dan kebahagian bahkan Dialah yang memberi sentuhan kebahagian dan kesenangan pada hamba-hambaNya. Cintailah Allah swt lebih dari segalanya insya Allah kita akan faham apa erti sebuah kehidupan dan apa pula `tools’ yang kita ada dalam rangka melaksanakan sebuah misi kehidupan. Menyintai Allah swt tidak bermakna kita lupa dunia kerana dunia itu juga milikNya. Tidak juga menjadikan kita miskin kerana Allah Swt Maha Kaya bahkan kita akan lebih kaya terutamanya kaya jiwa.