Tuesday, November 3, 2009

Misi Sebuah Kehidupan (bhg 1)


Setiap hari dan setiap ketika kita mempunyai perkara yang perlu dilaksanakan. Melaksanakan setiap perkara itu merupakan satu misi pada ketika itu dan mungkin juga menyempurnakan misi yang ada merupakan satu keperluan yang amat sangat bagi sesetengah orang pada waktu-waktu yang tertentu. Jika kita ringkaskan satu kronologi kehidupan yang ada di Malaysia ini ianya hampir serupa buat semua orang namun misinya nyata berbeza. Bangun sahaja dari tidur kita perlu ke bilik air untuk membersihkan diri sebelum menunaikan fardhu subuh. Setelah siap semuanya mungkin ada yang dapat bersarapan di rumah atau mungkin terus berlari ke tempat kerja.

Pergi ke tempat kerja merupakan satu misi tetapi perlaksanaannya cukup berbeza dan tempat menyempurnakan misi itu juga cukup berbeza. Ada yang terkejar-kejar menaiki pengangkutan awam ada juga yang terkejar-kejar tetapi dengan memandu laju. Ada yang tenang untuk sampai ke tempat kerja dan telahpun punya rancangan bagaimana untuk mentadbir harinya. Kita harus tahu bagaimana untuk mentadbir hari kita agar ianya memberi manfaat yang maksima dalam pulangan hasilnya. Tidak dinafikan juga kita telah mentadbir hari kita dengan penuh teratur tetapi pulangannya masih berada dalam kerugian.


Hari-hari yang ditadbir akan memberi impak yang besar pada hari-hari yang mendatang kerana setiap keputusan hari ini adalah satu sumbangan terhadap hari yang akan datang. Jika sumbangannya negatif maka dengan sendirinya kita harus melakukan sesuatu untuk mengurangkan kesan kerugian dan menokok tambah laba moga-moga terjamin masa hadapan. Setiap badan pentadbiran mempunyai visi dan misi. Visi merupakan objektif yang ingin dicapai manakala misi pula merupa penyataan tatacara perlaksanaannya dalam memanjat setiap anak tangga dalam menuju visi yang ditetapkan.


Sebagai manusia kita tahu bahawa kita hidup di dunia ini hanya sementara. Dunia ini boleh diibaratkan sebagai satu perhentian R&R di sebuah lebuhraya sebelum kita sampai ke destinasi yang dituju. Adakalanya kita berhenti untuk menghilangkan lelah, adakalanya kita berhenti kerana lapar dan dahaga dan ada juga yang berhenti untuk menunaikan kewajipan pada yang Maha Esa. Walau apapun ceritanya kita tetap berada dalam satu kawasan perhentian. Di situ ada segala-galanya yang dapat membuatkan kita lari dari tujuan berhenti tadi. Begitu juga sebuah kehidupan dunia ini. Dunia yang kita diami hari ini merupakan satu transit dalam satu perjalanan yang jauh serta banyak pula rintangannya.

Kekasih Allah swt, baginda rasulullah saw ketika ditawarkan oleh Ibnu Mas'ud untuk tempat tidur yang selesa menjawab dengan penuh makna yang perlu kita hayati “Saudaraku, apalah ertinya dunia buatku, kecuali aku hanyalah seperti seorang pejalan kaki yang singgah sejenak di bawah naungan pohon (dunia) ini, berehat sejenak, kemudian meninggalkannya. ”Jelas sekali dunia bukanlah visi tetapi hanya waktu rehat untuk menyempurnakan visi. Visi kita adalah untuk kembali ke alam kekal dengan selamat serta dengan harapan dapat tempat yang baik untuk tinggal selamanya.

Bagaimana pula dengan misi dalam menuju visi yang telahpun ditentukan. Setiap dari kita tahu caranya kerana dari kecil lagi kita telah mendengar ayat yang berbunyi : ''Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Ku.''(Az Dzariyat : 55). Satu misi yang jelas untuk kita semua. Misi utama kita ialah ibadah. Di sini juga berlaku banyak kekhilafan fikiran. Bukanlah duduk di atas tikar sembahyang dan berwirid itu sahaja dinamakan ibadah. Bukan pula berpuasa dan bersedekah itu saha ibadah. Ibada perlu dilihat dalam satu rangka kerja yang besar. Dalam apa jua pekerjaan yang kita lakukan itu perlulah menjadi ibadah.