Kata orang apa ada pada nama kerana nama hanyalah pelambangan namun ada pula kata-kata yang mengatakan harimau mati meninggal belang manusia mati meningggalkan nama. Ada juga yang begitu teliti dan cerewet berkaitan nama dan ada pula yang tidak ambil pusing, janji ada nama. Nama sebenarnya mempunyai peranan yang tersendiri, tanpa nama kita tidak boleh mengenal sesuatu. Setiap perkara itu mempunyai nama dan dengan adanya nama maka kita terus dapat mengenalpasti apa yang dimaksudkan.
Dan ada pula yang mempunyai nama yang pelik tetapi begitu berjaya dalam hidupnya. Tidak salah bagi mereka yang mempunyai pendapat yang nama tidak membawa apa erti dalam kehidupan kerana sebagai manusia kita bebas untuk mengeluarkan pandangan asal saja pandangan itu tidak membawa porak peranda untuk masyarakat dan negara. Saya juga mempunyai pendapat tersendiri berkaitan nama hasil pengamatan yang dilakar oleh pengalaman sendiri dan orang lain serta ilmu pengetahuan yang dipelajari.
Nama bagi saya membawa seribu satu pengertian kerana dari nama juga kita boleh mengenali watak seseorang. Kupasan nama yang saya ingin ketengahkan bukan hanya termaktub kepada nama seseorang individu tetapi ianya termasuk juga nama sesebuah organisasi samada perniagaan atau pertubuhan. Ibu saya ada menceritakan kepada saya tentang kisah nama, katanya arwah datuk saya cukup cerewet berkenaan nama.
Ini jelas terbukti setiap nama yang ingin diberi untuk anak-anak beliau akan dirujuk kepada beberapa kitab kerana menurut beliau jika nama yang tidak seimbang akan memberi pengaruh negatif terhadap kehidupan seseorang itu. Jika dilihat secara kasarnya ianya mungkin satu dongengan tetapi jika dikaji dan melihat pengalaman orang yang berkaitan ianya mungkin ada kebenarannya. Beberapa saudara saya mempunyai dua nama yakni nama di kada pengenalan serta nama pangggilan yang mana keduanya berbeza sama sekali.
Hal ini terjadi kerana sewaktu kecilnya saudara saya sering sakit dan setelah puas berubat secara moden dan tradisional keadaannya masih juga sedemikian maka namanya ditukar. Selang seminggu sakitnya mulai berkurangan dan akhirnya dia jarang sekali mendapat sakit. Sama juga kisah yang difilemkan tentang nama lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Ahmad Albab. Ahmad Albab si kecil sering menangis hinggalah dia diberi nama Ahmad Albab.
Kisah yang dipaparkan bukanlah satu dongengan sebenarnya tetapi ianya lebih kepada pengkajian ilmu keseimbangan nama. Ada nama yang terlalu berat untuk dibawa oleh seseorang itu untuk seumur hidupnya dan ada pula yang terlalu ringan. Dalam hal nama ini Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sendiri tidak menggunakan nama sebenarnya dalam industri perfileman dan ramai lagi yang tidak menggunakan nama sebenar dalam kerjaya mereka. Ini tidak bermakna mereka memerlukan satu nama yang glamour tetapi samada mereka sedar atau tidak nama yang mereka gunakan secara komersil itu mempunyai kekuatan dan keseimbangan.
Teringat saya tentang filem nujum pak belalang, diakhir filem tersebut terdapat satu pertandingan yang mana si ahli nujum bertanya di manakah kekuatan Hang Tuah, pada kerisnya kah atau pada tubuhnya. Maka jawab nujum pak belalang kekuatan Dato’ Panglima hang Tuah terletak pada huruf TA. Filem tersebut juga membawa mesej yang sama tentang kekuatan sebuah nama.
Saya pernah didatangi oleh seorang yang telah mengalami banyak kerugian dalam perniagaannya. Katanya jika dilihat dari sudut produk ianya begitu bermutu dan strategi pemasarannya begitu unik namun perniagaannya tidak pula melonjak naik bahkan makin merudum. Saya memberitahu beliau yang saya bukanlah seorang penasihat korporat yang dapat membantu beliau namun mungkin saya dapat membantu beliau dari satu sudut yang berlainan.
Setelah diteliti dari beberapa sudut perniagaan, memang benar tiada cacat celanya tetapi akhirnya saya mendapati namanya tidak membawa satu pengertian yang baik dari segi kiraannya. Namanya membawa satu nilai maksud masalah. Makanya setiap kali orang berjumpa dengan beliau maka orang menyebut nama syarikatnya yang hitungannya membawa maksud masalah. Justeru saya menasihati beliau agar menukar nama syarikatnya kepada sebuah nama yang mempunyai hitungan bermaksud wang. Pada mulanya beliau agak keberatan untuk menukar nama syarikatnya kerana menurut beliau nama tersebut indah dan maksudnya dari segi bahasa agak baik.
Kita perlu ingat yang merah itu belum tentu saga yang berkilau itu belum tentu berlian. Oleh itu hitungan keseimbangan nama juga satu keperluan kerana ianya akan menjadi sebutan yang secara tidak langsung menjadi doa terhadap seseorang. Cuba anda bayangkan perasaan anda jika nama yang diberi kepada anda ialah SAKIT. Ianya lama kelamaan akan mempengaruhi nilai kehidupan anda secara tidak langsung. Setelah diberi penerangan beliau akhirnya bersetuju untuk mencuba dan akhirnya dalam masa setahun produknya terjual di luar jangkaan.
Begitulah rahsia sebuah nama yang sebenarnya mempunyai nilai hitungan yang tersendiri. Ini tidak pula bermakna jika anda sering sakit atau mempunyai perniagaan yang merudum anda terus mengambil langkah untuk menukar nama. Sebelum langkah tersebut dibuat banyak lagi yang harus dipertimbangkan termasuk mengkaji semula strategi perniagaan atau menjalani pemeriksaan doktor secara menyeluruh.
Justeru itu kadang kala ada syarikat melancarkan strategi rebranding untuk mencapai satu kemuncak perniagaan. Seperkara lagi ramai yang mengatakan yang nombor 666 itu nombor syaitan apakah buktinya, jika anda seorang yang sering mengkaji tentang nombor atau dengan istilah lainnya falak maka kiraan sebutan syaitan itu menyamai dengan nombor 666. justeru itu apabila seseorang itu ingin memberi nama untuk syarikat atau anaknya seeloknya dirujuk kepada kiraan hitungan agar tidak pula menyamai hitungan tersebut.
Rahsia kekuatan nama berkaitan rapat kepada nilai hitungan pada setiap huruf serta beberapa faktor. Adalakanya nilai tersebut tidak seimbang dan ini akan membawa kepada ketidakharmonian jalan hidup. Jika kita lihat pada zaman dahulu segalanya memerlukan kiraan bahkan tanggal kemerdekaan kita juga sebenarnya diputuskan hasil kiraan keseimbangan nama.
Namun ini bukanlah satu kemestian atau satu kewajipan tetapi jika kita lakukan satu perbandingan ianya seperti membandingkan dua orang pemandu, A dan B. Si A sering mendengar informasi tentang aliran trafik dari radio keretanya dengan harapan dapat mengelak kesesakan jalan raya. Manakala si B pula tidak menggunakan radio kereta dan selalu terperangkap dalam kesesakan trafik. Mengetahui rahsia nama bukan satu kemestian yang perlu dipatuhi tetapi ianya mampu menjadi bahan motivasi serta penunjuk arah yang mungkin dapat membantu dalam membuat keputusan.