Thursday, December 3, 2009

Pentingnya Tidur


Tidak seorang pun manusia di dunia ini yang tidak pernah merasa tidak tidur. Tidur juga sebenarnya adalah salah satu aktiviti harian yang dilakukan oleh setiap manusia walau di mana mereka berada. Apa yang membezakan ialah samada kita dapat tidur lena dan berkualiti atau dek kerana banyaknya kerja hingga terpaksa mengorbankan waktu tidur. Tanpa kita sedar tidur adalah satu daripada banyaknya kurniaan Ilahi yang jarang sekali disyukuri. Tidur juga satu aktiviti yang dapa merehatkan otak sepenuhnya namun ada juga diantara kita yang waktu tidurnya berfikir kerana mungkin dibelenggu pelbagai tekanan

Tidur yang berkualiti adalah aktiviti yang akan membetulkan semua keadaan saraf setelah seharian ia bekerja sebagaimana termaktub di dalam ayat 9 surah An-Naba : "Dengan kami jadikan tidurmu sebagai pelepas lelah". Waktu tidur yang panjang bukanlah satu jaminan untuk tidur yang berkualiti. Jika dikaji para sahabat hanya memperuntukkan lebih kurang dua jam sehari untuk waktu tidur. Tetapi perlu juga diingat bahawa dua jam tidur mereka menyamai lapan jam tidur yang berkualiti. Ada di kalangan masyarakat kita yang tidurnya mencecah hingga dua belas jam tetapi apabila sedar dari tidur masih lagi keletihan dan mengantuk.

Fenomena ini terjadi disebabkan dua belas jam tidur yang dialami itu bukanlah satu aktiviti tidur yang berkualiti. Yang penting bagi tidur ialah kualitinya buka jangka waktunya. Tidur yang berkualiti merupakan salah salah pembuktian pencapaian gelombang otak yang rendah yang akhirnya akan membawa kecerian dalam hidup. Cuba kita lihat seorang bayi yang tidak cukup tidur. Bayi akan meragam, menangis dan sebagainya. Sebenarnya hal yang sama berlaku kepada orang dewasa, tanpa tidur yang berkualiti mereka akan cepat resah, buntu fikiran, mempunyai wajah yang tidak ceria dan yang agak membosankan ialah mood yang tidak menentu.

Jika anda mempunyai symptom berkenaan maka kajilah kembali kualiti tidur anda. Pembuktian kepentingan tidur telah dibuktikan di barat seawal tahun 1967 oleh Robert Keith Wallace ketika menyiapkan tesis PhDnya yang mengupas tentang perubahan fisiologi dalam meditasi transcendental. Ketika beliau mengkaji keunikan meditasi transcendental tanpa sengaja beliau mendapati kualiti tubuh yang terhasil bagi pengamal meditasi adalah hasil dari aktiviti tidur dalam sedar. Bagi manusia normal, mereka memerlukan empat hingga enam jam untuk menurunkan gelombang otak ke satu tahap relaksiasi yang tinggi.

Maka disebabkan itu manusia memerlukan jangka waktu lapan jam tidur kerana empat hingga enam jam yang pertama ialah satu proses penurunan gelombang otak ke tahap yang rendah iaitu deep theta. Maka pada peringkat kedua tidur barulah mereka mencapai kualiti tidur yang sempurna iaitu tahap gelombang delta. Apa yang memeranjatkan Robert ialah penurunan gelombang otak para pengamal meditasi yang betul hanya mangambil masa beberapa minit dan bukan beberapa jam. Lebih dari itu para pengamal meditasi masih berada dalam keadaan sedar dan bukan tidur. Dengan ertikata lain mereka mencapai gelombang orang tidur nyenyak walaupun ketika sedar penuh.

Ramai yang sentiasa mengejar masa walhal masa itu tetap saja berlalu dengan kadarnya selama 24 jam sehari. Justeru ada yang menginginkan agar masa dipanjangkan mungkin menjadi 25 jam sehari. Percayalah sebanyak mana masa dikurniakan ianya tetap saja tidak mencukupi untuk segala aktiviti manusia. Apa yang penting ialah kualiti kerja. Mencapai kualiti kerja memerlukan kualiti tidur. Disebabkan terlalu banyak yang difikirkan, terlalu banyak yang diolah oleh minda hinggakan sewaktu hendak tidur pun masih lagi berada dalam fikiran. Fikiran-fikiran yang terus-menerus dibawa hingga ke dalam tidur akan menjadi satu kerja lebih masa yang terpaksa dilakukan oleh minda.

Hasilnya objektif peringkat awal tidur tidak dapat diperolehi dan ianya berlanjutan hingga ke awal pagi maka bangunlah anda sebagai seorang yang masih belum puas tidur dan keletihan. Ini akan menyebabkan saraf-saraf anda akan menjadi rosak dan bakal mengundang pelbagai penyakit dan yang paling utama ialah penyakit cepat letih dan cepat buntu. Penyakit ini akan memberi kesan kepada setiap keputusan yang bakal anda buat. Justeru itu bagi kaum sufi atau mereka yang mengamalkan amalan sufi tidur merupakan satu nikmat yang paling penting untuk disyukuri. Mereka begitu memahami hakikat tidur dan oleh kerana itu juga mereka dengan mudah memperolehi tidur yang berkualiti.

Sebenarnya jika kita seorang yang rajin mengkaji sunnah baginda Rasulullah SAW, insyaAllah kita akan dapat menemui hikmah tidur dan kaedah mencapai tidur yang sempurna. Tidur yang sempurna ialah tidur yang berkualiti yang dapat membuatkan seseorang itu tidur dalam gelombang delta. Baginda tidak pernah melebihi tidurnya. Tidurnya awal dan kemudian bangun dua per tiga malam untuk memperbaiki hubungan dengan Allah SWT. Jadi jika dikira berapa jam yang sebenarnya baginda rasulullah saw tidur. Baginda adalah contoh yang terbaik untuk umat manusia yang perlu diteladani bagi mereka yang mencintainya dan memahaminya. Orang yang bercinta pasti akan cuba sedaya upaya memahami orang yang dicintainya.

Berwuduk dan berdoalah sebelum tidur sebagaimana salah satu dari doanya "Ya Allah jadikanlah kehidupan ini jalan untuk menambah kebaikan serta jadikanlah kematianku sebagai akhir dari melakukan maksiat terhadap Mu". Rasulullah saw sering berzikir kepada Allah hingga menyebabkan mata baginda terpejam dalam kenikmatan zikir. Perlu juga diambil kira tentang makanan yang diambil sebelum tidur kerana secra saintifik banyak yang telah dibuktikan. Rasulullah saw tidak pernah memenuhkan perut, dengan makanan atau minuman sebelum tidur. Tidurlah sebagaimana posisi yang diajar oleh kekasih Allah swt. Janganlah pula tidur meniarap kerana pernah baginda bersabda kepada seorang lelaki yang sedang tidur meniarap “bangun, duduklah ini adalah cara tidur ahli neraka jahanam”.

Mengikuti sunnah yang sebegini sering dianggap remeh tetapi dari keremehan ini akan menimbulkan kecintaan. Mencintai baginda bermakna mencinta Allah swt. Cinta yang sering dikaitkan dengan rindu akan memberi kesan pada hidup yang bakal anda lalui pada keesokan hari. Hal ini sering terjadi dalam kehidupan sufi, mereka menangis bukan kerana cengeng tetapi kerana rindu maka bangunlah mereka dua pertiga malam dengan hati yang gembira untuk mengadap Nya. Semoga anda akan memperolehi tidur yang sempurna lagi berkualiti. Pasakkan dalam minda yang panjangnya waktu tidur bukanlah jaminan kualiti tidur. Sentiasalah berterima kasih kepada Allah swt atas nikmat tidur yang dikurniakannya kerana jangan sampai dicabut kenikmatan ini hingga akhirnya mencari-cari keindahan tidur.