Sunday, October 26, 2008

Mencorak Anak


Jika kita perhatikan kain batik yang indah coraknya apatah lagi jika digubah menjadi pakaian yang cantik rekaannya, kadang kita lupa bahawa ianya bermula dengan kain tanpa warna yang bersih tanpa ada sedikit pun kotoran . Jika kain tersebut kotor maka pasti akan memberi kesan kepada corak yang akan dilukis serta warna yang bakal digunakan. Kita tahu juga bahawa setiap anak yang dilahirkan itu adalah ibarat kain putih, dan itulah yang dinamakan fitrah. Ianya begitu bersih dan menerima apa sahaja corak yang bakal dicoret diatasnya dan kemudian membentuk perlakuan mengikut corak yang telah dilukis tadi.

Kain putih yang datang dengan fitrahnya itu amat bergantung kepada orang tuanya untuk memberi corak samada ia corak yahudi, nasrani mahupun majusi. Jika itu corak yang kita lukis maka kita telah melakukan banyak kesilapan dan pelaburan kita. jika corak yahudi kita taburkan tidak pula bermakna si kain putih ini menjadi orang yahudi tetapi apa yang pastinya dia akan membawa sikap yahudi dalam dirinya. Dia akan sentiasa ingin duduk di atas dan sentiasa merasakan bahawa dirinya adalah yang terbaik. Keegoaan yang tinggi ini bukan sahaja akan membawa kemusnahan hidup pada si anak tetapi mungkin juga kepada orang tua kerana berkemungkinan mereka akan disisihkan dari kehidupan si anak.

Kita mungkin melihat bahawa takrifan samada ibubapa yang membentuknya samada menjadikannya seorang yahudi, nasrani, majusi mahupun Islam bermaksud agama yang akan dianuti. Itu satu kesalahfahaman yang besar. Ianya sebenarnya juga merujuk kepada kiasan jalan hidup. Kalau cara kita mencorakkan anak ialah cara nasrani maka kita akan dapat melihat corak kehidupan anak di masa hadapan cenderung kepada nasrani. Inilah yang dimaksudkan yang kadangkala kita ambil ringan kerana pada fikiran kita mereka sudahpun beragama Islam dan mana mungkin mereka menjadi selain dari Islam. Namun kita lupa bahawa Islam warisan hanya mungkin bermaksud pengakuan namun pada kehidupannya adalah corak yang sudah dibentuk dari kecil.

Kali ini saya ingin mengupas tentang apakah yang dimaksudkan dengan mencorakkan anak. Cuba kita renung dan buat satu pemerhatian. Cuba kita ambil sehelai kain putih yang bersih dan bentangkan di hadapan kita untuk kita corakkan. Sebelum kita mencorakkan apakah yang perlu kita lakukan seandainya kita bukan seorang pelukis. Sudah pasti kita akan memikirkan apakah yang perlu kita lakukan untuk melukis dan warna apakah yang sesuai serta corak sebagaimana yang patut kita coretkan di atasnya.

Itu bagi kita yang tidak pandai melukis namun bagi mereka yang berjiwa seni mereka terus sahaja memegang alat untuk mencanting untuk melakarkan corak. Mungkin kita berkata “ oh itu memang tugasnya, jadi memang lah mudah untuk mereka lukis”. Bagi saya itu hanyalah kata-kata mereka yang kurang mengkaji dan membuat pemerhatian atas kehidupan. Mereka sebenarnya melukis dengan penuh perasaan dan adakalanya mereka melontarkan perasaan mereka di atas kain putih samada mencanting batik mahupun melukis lukisan.

Apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah seorang pelukis akan melukis dengan penuh kesenian dan kesenian itu datang dari perasaannya. Dia membentuk setiap strok lukisan dengan jiwanya dan hasilnya pasti akan menyenangkan hatinya. Tetapi berbeza dengan mereka yang tidak berjiwa seni, mereka membentuk lukisan dengan apa yang difikirkan bagus tanpa ada jiwanya. Maka lukisannya akan berhadapan dengan banyak kemungkinan, mungkin cantik, mungkin tidak. Dan sekiranya tidak, mudah sahaja, tak perlulah kita fikirkan untuk menggantungnya jauh sekali menjualnya.

Jika sekiranya lukisan itu cantik, mungkin tanpa sedar kita telah melukisnya dengan penuh perasaan dan mungkin kita telah meniru satu bentuk lukisan yang lain. Kemungkinan yang berlaku ialah kita mungkin menjualnya dengan harga yang mahal jika ia lukisan asli namun jika ianya adalah salinan dari lukisan yang lain mungkin ada harga atau mungkin tiada.

Begitulah dengan corak yang bakal kita bentuk dengan anak kita. sebenarnya kita hari ini sering memikirkan bagaimana membentuk anak kita agar berjaya mengikut acuan yang ingin kita lihat. Seringkali kita terlupa adakalanya atau selalunya acuan kita itu tidak sama dengan saiz yang sepatutnya untuk anak kita jika ianya kecil dan sempit, tanpa sedar kita telah menyiksa jiwa si anak hingga mental dan jiwa cedera. Ini boleh dilihat dari segi perlakuan dan jika acuan kita terlalu besar, pastinya berlaku juga ketidak selesaan kerana si anak dapat merasakan dia berada di bawah potensi dirinya yang sebenar.

Saya berpendapat jika kain putih yang ingin kita corakkan perlukan satu corakan yang mempunyai nilai seni, kita perlu bermula dengan jiwa. Pendidikan awal ialah pendidikan jiwa. Dari jiwa barulah datang corak yang sesuai dengan si anak. Jika jiwa si anak ialah jiwa seorang ahli sukan tetapi kita ingin mencorakkannya menjadi seorang chef maka pasti berlaku konflik diri yang bakal memberi kecederaaan yang teruk. Justeru kita yang mencorakkan anak haruslah terlebih dahulu mencorakkan diri kita dengan perasaan yang betul kerana anak yang dicorak dengan perasaan marah akan membawa sifat marah hingga ke akhir hayat jika dia tiada inisisatif untuk megubahnya.

Kita perlu mendidik atau mencorakkan anak kita dengan penuh perasaan dan dari situ akan timbullah rasa hormatnya kepada kita. bentuklah anak dengan penuh perasaan bukan dengan hanya logik akal. Fahamilah apa yang dapat dilakukan oleh si anak dengan kekuatan jiwanya. Rumah merupakan sekolah pertama untuk setiap dari kita . Rumah juga suatu tempat untuk membentuk anak-anak dalam menyelusuri masa hadapannya. Sebelum anak itu mengenal masyarakat besar, dia terlebih dahulu mengenal komuniti kecil dalam keluarganya. Jika dalam komuniti kecil ini anak tidak didik dengan perasaan tetapi dididik dengan paksaan, suatu hari nanti anak akan mencapai satu titik maksima dan berlakulah sesuatu di luar jangkaan kita. pada waktu itu kita mungkin menyalahkan anak tetapi kita lupa unsur paksaan itu amat besar impak negatifnya.

Ini tidak pula bermakna kita perlu mengikut apa jua yang dikehendaki oleh si anak. Kita perlu menolak kemahuan yang diinginkan oleh mereka seandainya ianya bakal memberi kemudaratan samada secara fiikal ataupun mental. Namun caranya bukan dengan paksaan, kita perlu membentuknya dengan perasaan. Saya sering diingatkan oleh bos lama saya sewaktu bekerja dulu… don’t get the respect but earn it. Jika kita ingin dihormati kita tidak perlu memaksa orang untuk menghormati kita kerana itu satu penghormatan palsu tetapi biarlah rasa hormat itu datang tanpa diminta. Begitu juga dengan anak. Kita perlu melakukan sesuatu agar rasa hormat datang dari jiwanya bukan sekadar meminta mereka menghormati kita.

kita perlu faham bahawa anak yang baik belum tentu soleh tetapi anak yang soleh sudah tentu baik. Jika anak kita berjaya dalam hidup secara fizikalnya belum tentu dia berjaya secara rohaninya. Orang yang sebenar kaya ialah orang yang kaya jiwanya. Orang yang kaya jiwanya adalah orang yang sedar bahawa dirinya sentiasa memerlukan Allah swt dan dirinya sentiasa faqir di hadapan Allah swt. Kita perlu mendidik anak-anak kita peranan Allah swt dalam hidup kita bukan sekadar hanya berkata Allah itu Tuhan sekalian alam. Berkata amat mudah tetapi menjiwainya amat sukar tanpa pemahaman yang betul. Biar sibijak mana anak kita tetapi jika dia tidak faham kedudukan dia dan Allah swt maka kecendurangan untuk menjadi orang yang egois amatlah besar.

Adakah kita mahu anak –anak kita menjadi seperti kita yang hanya mengingat Allah swt di kala susah dan melupakannya di kala senang walaupun kita sedar bahawa kesenangan itu adalah pemberian Allah swt. Cuba kita renungkan sewaktu kita di alam barzakh, apakah perasaan kita jika kita melihat anak-anak kita hanya sedih di hari kematian kita tetapi setelah pengagihan harta diselesaikan semuanya tersenyum tanpa memikirkan penat lelah kita yang berusaha untuk membahagiakan mereka.

Kita perlu didik anak-anak kita agar faham bahawa kita perlukan Allah swt sepanjang masa. Jika anak kita melakukan kesalahan janganlah kita hanya berkata bahawa dia telah melakukan kesalahan tetapi sampaikan kepadanya bahawa masih punya peluang untuk diampunkan Allah swt, dia masih dicintai Allah swt. Kita perlu mengajarnya untuk berterima kasih kepada Allah swt. Kita sering mengajar anak kita untuk berterima kasih kepada orang apabila diberi pemberian tetapi jarang sekali kita memberitahu anak kita untuk berterima kasih kepada Allah swt atas setiap kebaikan yang kita perolehi dan keburukan yang kita hadapi kerana apabila kita ditimpa musibah itu juga tandanya Allah swt mengingati kita…. manakan tidak hanya sewaktu susah kita beriya-iya meminta pertolongan darinya jika tidak kita akan minta pertolongan dari mereka yang kita fikirkan boleh membantu kita.

Bermula dari hari ini cubalah kita ajar anak kita untuk berterima kasih kepada Allah swt. Persoalannya bagaimana… jika kita memaksa, mereka akan memberontak. Cara paling mudah ialah kita terlebih dahulu melakukannya dan anak pasti mengikut perlakuan kita. Samada kita sedar atau tidak anak adalah cermin kita, jika kita berhias anak akan berhias. Jika kita dapat mencorakkan anak kita dengan kefahaman tentang cinta Ilahi maka Insya Allah anak kita akan hidup dengan penuh kasih sayang sesama makhluk.

Read More......

Tuesday, October 21, 2008




Read More......

Monday, October 13, 2008

Power Niat


Bercerita tentang niat, saya telah banyak mengkaji serta pernah melihat bagaimana seseorang itu berniat dan kemudian niatnya menjadi kenyataan. Saya yakin setiap sesuatu itu ada formulanya. Niat itu adalah doa dan setiap perbuatan itu hendaklah disertai niat sesuai maksud hadith. Walau apa ibadah yang kita lakukan ianya pasti mempunyai niat, baik berwuduk, solat mahupun berpuasa. Namun kita sering mengambil ringan terhadap niat kerana kita kurang cenderung untuk cuba memahami kenapa sesuatu itu berlaku atau kadang kala kita agak takut untuk bertanya.

Seperti yang saya nyatakan bahawa hadith ada menyebut setiap perbuatan itu dimulai dengan niat. Sememangnya ia benar, masakan kita bersolat asar untuk isyak. Tetapi untuk aplikasi dunianya perlu kita mengkaji secara mendalam. Kita perlu ingat bahawa contoh terbaik di dunia ini ialah junjungan besar Nabi Muhammad saw dan setiap hadith baginda merupakan wahyu makanya baginda telah memberi guideline atau petunjuk bagaimana untuk memulakan sesuatu pekerjaan itu dengan niat.

Niat itu pada dasarnya adalah doa. Ini bermakna sebelum kita melakukan sesuatu perkara kita perlu berdoa. Tetapi sunnah ini jarang sekali kita ambil peduli. Dalam kursus Meditasi Super Sedar saya ada menekankan tentang kuasa niat.

Niat atau doa ini sebenarnya mempunyai kuasa untuk mengubah cara hidup kita. Kuasa tersebut adalah getaran-getaran aliran tenaga positif yang akan merangsang minda bawah sedar kita dan secara tidak langsung mengubah bio-kimia tubuh untuk melakukan sesuatu. Saya begitu tertarik untuk mengkaji kuasa niat, bagaimana niat itu akan menjadi realiti serta apakah situasi sebenar untuk berniat.

Niat itu satu kaedah doa dan berdoa ini perlu ada seninya. Justeru cuba kita lihat mengapa seseorang yang berdoa di hadapan kaabah amat mustajab. Pasti ada sebab serta bukti saintifiknya. Semua orang berniat tetapi perlu ada satu formula untuk menjadikan niat kita satu realiti. Setiap formula itu perlu pula dibuktikan kesahihannya dan bukannya self claim. Justeru itu setiap peserta Soul Power diwajibkan untuk mencari bukti kuasa niat agar pembuktian itu akan menambah keimanan serta ketaqwaan kepada Allah swt. Niat itu menjadi satu realiti jika kita mengikut setiap langkah dalam formula dan kemudian menyerahkan setiap keputusan perbuatan atau niat kita kepada Allah semata.

Kira-kira empat bulan yang lepas seorang peserta yang menyertai kursus meditasi memberitahu saya tujuan beliau datang belajar ialah untuk mendalami pembacaannya tentang kuasa niat. Saya agak terkejut kerana saya juga belum pernah menemui buku tentang kuasa niat walaupun kerap mencarinya di took-toko buku yang besar. Rupa-rupanya kaedah kuasa niat ini telahpun dikaji oleh orang barat dan diterima secara meluas. Buku yang ditulis oleh Dr. Wayne berjudul the power of intention menceritakan tentang kuasa universal yang mempengaruhi niat seseorang. Begitu pantas orang barat untuk mengkaji hadith-hadith nabi saw dan begitu perlahan orang kita untuk mengikuti sunnah baginda.

Secara mudahnya saya melihat niat yang kita ucapkan samada di bibir atau di hati perlu mempunyai beberapa kriteria yang insyaAllah jika diamalkan akan menukar niat tersebut menjadi satu realiti.

Pertama, niat itu perlu bersih serta seimbang. Niat yang baik mempunyai getaran kerana setiap niat yang baik akan ditulis kebaikannya manakala niat yang buruk akan ditangguhkan hingga menjadi perbuatan. Niat juga perlu seimbang yakni realistik, seperti kita berniat untuk mendapat wang sebanyak RM10,000 dalam waktu satu jam. Niat yang tidak realistik akan menjadi angan-angan dan tanpa disedari akan membebani minda seseorang.

Kedua, niat tersebut perlulah dilakukan dalam frekuensi yang mempunyai getaran yang kuat.

Ketiga, niat tersebut hendaklah disusuli dengan pekerjaan yang sesuai. Kebanyakan masyarakat kita mempunyai keinginan untuk mencapai sesuatu secara instant. Saya berfikiran sesuatu yang mudah datang ianya juga akan mudah pergi. Setiap sesuatu itu perlu ada usahanya. Saya pernah didatangi oleh seseorang hamba Allah bertanyakan kepada saya tentang meditasi. Katanya beliau dalam kesempitan wang, boleh atau tidak meditasi membantu. Jawapan saya agak mudah, meditasi akan membantu untuk menyepikan fikiran yang sedang buntu dan dengan itu insyaAllah jalan keluar akan kelihatan. Katanya lagi berapa lama fikiran – fikiran akan senyap. Kata saya fikiran akan senyap apabila emosi berkurangan. Tambah beliau “jika demikian itu agak lambat, boleh atau tidak dengan meditasi saya mendapat wang secara ghaib yakni secara tiba-tiba ada wang di hadapan saya?” saya agak hairan dengan pertanyaan yang saya kira tidak masuk akal dan akhirnya saya memberitahu hamba Allah tersebut jika sekiranya meditasi mampu mendatangkan wang secara begitu pasti ahli meditasi sudah ramai menjadi jutawan serta tidak akan mengajarkan kaedah meditasi. Meditasi merupakan salah satu jalan untuk memberi ruang kepada akal mencari jalan keluar. Para rasul, para nabi serta para wali juga bekerja. Justeru itu niat perlulah disusuli dengan tindakan yang sesuai.

Yang terakhir ialah tawakal. Setelah berdoa dan berusaha maka kita perlu bertawakal. Setiap keputusan bukan milik kita tetapi milik Yang Maha Mengetahui. Ini bermakna jika niat kita tidak kesampaian jangan gusar kerana Allah Maha Mengetahui cause & effect sesuatu perkara dan apa yang pasti kita akan mendapat sesuatu yang lebih baik lagi.

Hal ini telah banyak terbukti dalam kehidupan kita seharian. Cuba pejamkan mata anda buat seketika dan ingatkan keinginan anda yang tidak kesampaian dan perkara yang anda perolehi. Jangan kita melihat sesuatu yang tidak kesampaian itu merugikan kerana sesuatu yang kita fikir bagus mungkin memberi kesan buruk buat kehidupan kita tetapi sesuatu yang kita fikir buruk adalah merupakan sesuatu yang baik untuk kita. Itulah buktinya bahawa Allah lebih mengetahui daripada hambanya.

Read More......

Tuesday, October 7, 2008

Tujuhpuluhribu Hijab

Read More......

Monday, October 6, 2008

Perlunya Meditasi untuk Pelajar

Saya terpesona ketika membaca petikan perbualan antara Saidina Ali r.a dan anaknya Saidina Husin. Sewaktu Saidina Husin masih kecil, dia pernah bertanya kepada ayahnya, Saidina Ali r.a, "Adakah ayah mencintai Allah?" Lalu dijawab oleh Saidina Ali ra, "Ya". Kemudian Saidina Husin bertanya lagi, "Adakah ayah mencintai datuk (Rasulullah saw)?" Saidina Ali r.a menjawab dengan jawapan yang sama seperti tadi. Mendengar jawapan tersebut lalu Saidina Husin pun bertanya, "Adakah ayah mencintai ibuku?" Saidina Ali r.a tetap juga memberikan jawapan yang sama seperti sebelumnya. Akhirnya Saidina Husin bertanya samada ayahnya mencintai dirinya dan Saidina Ali tetap menjawab, "Ya".

Dengan kebingungan saidina Husin bertanya kepada ayahnya, "Ayahku, bagaimanakah ayah menyatukan begitu banyak cinta di hatimu?" Sambil tersenyum Saidina Ali menerangkan dengan bijaksana kepada Saidina Husin, "Anakku, pertanyaanmu hebat! Cintaku pada datukmu (Rasulullah saw.), ibumu (Fatimah r.a) dan kepada kamu adalah kerana cinta kepada Allah. Kerana sesungguhnya semua cinta itu adalah cabang-cabang cinta kepada Allah swt” Saidina Husin tersenyum apabila mendengar jawapan saidina Ali r.a. begitulah bijaknya Saidina Ali menjelaskan kepada anaknya dan begitu juga dengan Saidina Husin yang mampu melontarkan pertanyaan yang kita sendiri jarang-jarang terfikir tentangnya.

Kebijaksanaan itu dahulunya mungkin dikatakan sebagai satu pemberian (gifted). Namun jika kita faham dengan jelas apakah fungsi meditasi dan impaknya terhadap pemikiran kanak-kanak, kita akan tahu bahawa kebijaksanaan itu sebenarnya boleh dibentuk. Cuba kita renungkan mengapa kebanyakan pakar matematik dan IT datangnya dari India. Kita mungkin memikirkan ianya satu faktor keturunan tetapi apakah yang membentuk keturunan itu. Pastinya bermula dengan ibubapa. Di sana mereka mendidik anak-anak mereka untuk melakukan meditasi ketika kecil dan kemudian diberi makanan yang dapat memberi kekuatan kepada minda.

Banyak kajian telah membuktikan kebaikan dan manfaat meditasi kepada golongan pelajar. Salah satu kajian menunjukkan bahawa jika sekiranya anak-anak itu mempunyai tekanan maka tahap IQ mereka akan berkurangan sebanyak 13%. Tekanan yang diperolehi oleh kanak-kanak atau remaja bukan sahaja datang dari pembelajaran di sekolah, tetapi juga disumbang oleh factor persekitaran.

Kita juga tanpa sedar telah memberi tekanan kepada anak-anak kita apabila mengharapkan keputusan yang terbaik dalam peperiksaan tanpa membantu membuka ruang memori mereka untuk lebih luas agar mudah menerima pembelajaran. Kita mungkin hanya menyuruh mereka membaca, tanpa melihat beban fikiran yang dibawa oleh seseorang kanak-kanak atau remaja.

Kajian saintifik (rujukan: Perceptual Motor Skills (39: 1031–1034, 1974)) yang dijalankan oleh para penyelidik ke atas para pelajar yang mengamalkan meditasi mindfulness (supersedar) mendapati terdapat peningkatan dalam kadar memori mereka. Ini bermakna semakin kerap mereka bermeditasi maka kadar memori mereka semakin baik dan luas dan justeru itu pembacaan mereka lebih banyak diingati.

Bahkan kajian tersebut juga menunjukkan bahawa mereka yang mengamalkan meditasi mempunyai struktur pengalaman yang baik dan kreativiti yang lebih bagus. Hal ini amat bermakna kerana sebelum ini ianya dapat menepis pendapat yang mengatakan bahawa keupayaan persepsi tidak boleh dimiliki sebelum mencapai kedewasaan.

Kita hanya akan melakukan perkara-perkara yang menuju ke arah negativiti hanya apabila kita terperangkap dalam penggunaan otak kiri yang berlebihan. Untuk itu kita perlu keluar dari otak kiri untuk mencapai kekuatan diri, dan fakta ini telah dibuktikan apabila kajian dijalankan terhadap mereka yang sedang bermeditasi (rujukan : Human Physiology 25: 171–180, 1999). Kajian tersebut mendapati komponen sensori dalam otak dapat disalurkan dengan lebih banyak di cortex. Hal ini menunujukkan peningkatan daya penggunaan otak kanan.

Otak kanan dapat memberi solusi yang jitu terhadap penyelesaian masalah, serta mampu membentuk sahsiah dan perwatakan yang baik kepada setiap individu. Ini bersesuaian dengan kajian yang ditulis dalam jurnal Modern Science and Vedic Science yang mengatakan bahawa pelajar universiti yang mengamalkan meditasi mempunyai peningkatan yang ketara di dalam pembangunan diri dan kesihatan psikologi.

Apabila kebaikan ini menjadi darah daging generasi muda kita, pastinya kita dapat melihat penurunan emosi negatif yang sering dimanifestasikan dengan perbuatan fizikal seperti kurang ajar, ponteng sekolah, pergaduhan atau hal hal yang berkaitan dengan penyakit sosial.

Untuk saya mengungkai manfaat meditasi supersedar (mindfulness) ini dalam bentuk kajian saintifik amatlah banyak dan ruang ini tidak dapat menampung rumusan hasil kajian tersebut. Namun ianya memadai untuk kita tahu bahawa meditasi sebenarnya merupakan satu faktor pengubah yang hebat yang tidak diketahui oleh masyarakat kita, kerana kurangnya pembacaan dan pendedahan. Di Negara-negara maju misalnya, meditasi merupakan satu keperluan pembelajaran dan ianya dapat diterima ramai kerana telah terbukti secara klinikal.

Jika kita iniginkan anak yang mempunyai sikap baik dan mempunyai sahsiah murni, tidaklah cukup dengan hanya memberi nasihat atau motivasi tetapi perubahan dalaman perlu dilakukan, dan meditasi telah membuktikan keupayaannya dalam melakukan hal ini. Di Chicago misalnya, beberapa sekolah telah diminta oleh persatuan ibubapa dan guru untuk mewajibkan meditasi sebelum bermulanya sesi persekolahan setiap hari, kerana terdapat perubahan medadak dari segi akademik dan sikap anak mereka.

Menurut Dr. Rita Benn, seorang penyelidik dari Universiti Michigan, kanak-kanak yang melakukan meditasi sekurang-kurangnya tiga bulan akan mempunyai keyakinan diri yang tinggi, kurang perasaan negatif dan lebih mudah menyesuaikan diri dalam pelbagai bentuk situasi dan masalah. Perkara ini akan dapat membawa seorang remaja itu ke arah kematangan fikiran dan sikap dengan lebih cepat. Bukan itu sahaja, mereka bahkan dapat mencapai keputusan yang lebih baik dalam pelajaran.

Kini kajian terhadap impak meditasi dalam kehidupan pelajar dan individu banyak dilakukan oleh universiti terkenal seperti Harvard, Stanford, UCLA dan lain-lain. Saya sendiri telah berkali-kali diminta oleh para ibubapa untuk melatih anak-anak mereka melakukan meditasi untuk membentuk transformasi pembelajarann serta sikap yang cemerlang.

Generasi ini amat perlu kita bentuk jiwa mereka agar benar-benar mantap demi melahirkan kecemerlangan bangsa. Ini bukan omongan kosong tetapi telahpun dibuktikan secara saintifik. Jika generasi pelapis ini dibiarkan dengan kehidupan mereka yang ada sekarang, saya kira kita bakal menghadapi kemusnahan tamadun dan pastinya tanpa moral. Pembangunan fizikal semata-mata tidak akan memberi sebarang makna sekiranya tidak berjalan seiring dengan pembangunan moral dan spiritual. Modal insan yang sebenar adalah jiwa yang mantap dan cemerlang.

InsyaAllah buat pertama kalinya saya dan rakan-rakan akan mengadakan program meditasi untuk pelajar di awal cuti sekolah ini, bertujuan agar mereka dapat membentuk satu sikap positif yang baru sepanjang cuti dan meraih kejayaan sepanjang hidup.
Bagi mereka yang ingin melakukan transformasi terhadap anak-anak mereka sila hubungi 012 – 660 2322 (En. Zairos) atau klik di sini untuk maklumat lanjut.

Read More......