Monday, October 13, 2008

Power Niat


Bercerita tentang niat, saya telah banyak mengkaji serta pernah melihat bagaimana seseorang itu berniat dan kemudian niatnya menjadi kenyataan. Saya yakin setiap sesuatu itu ada formulanya. Niat itu adalah doa dan setiap perbuatan itu hendaklah disertai niat sesuai maksud hadith. Walau apa ibadah yang kita lakukan ianya pasti mempunyai niat, baik berwuduk, solat mahupun berpuasa. Namun kita sering mengambil ringan terhadap niat kerana kita kurang cenderung untuk cuba memahami kenapa sesuatu itu berlaku atau kadang kala kita agak takut untuk bertanya.

Seperti yang saya nyatakan bahawa hadith ada menyebut setiap perbuatan itu dimulai dengan niat. Sememangnya ia benar, masakan kita bersolat asar untuk isyak. Tetapi untuk aplikasi dunianya perlu kita mengkaji secara mendalam. Kita perlu ingat bahawa contoh terbaik di dunia ini ialah junjungan besar Nabi Muhammad saw dan setiap hadith baginda merupakan wahyu makanya baginda telah memberi guideline atau petunjuk bagaimana untuk memulakan sesuatu pekerjaan itu dengan niat.

Niat itu pada dasarnya adalah doa. Ini bermakna sebelum kita melakukan sesuatu perkara kita perlu berdoa. Tetapi sunnah ini jarang sekali kita ambil peduli. Dalam kursus Meditasi Super Sedar saya ada menekankan tentang kuasa niat.

Niat atau doa ini sebenarnya mempunyai kuasa untuk mengubah cara hidup kita. Kuasa tersebut adalah getaran-getaran aliran tenaga positif yang akan merangsang minda bawah sedar kita dan secara tidak langsung mengubah bio-kimia tubuh untuk melakukan sesuatu. Saya begitu tertarik untuk mengkaji kuasa niat, bagaimana niat itu akan menjadi realiti serta apakah situasi sebenar untuk berniat.

Niat itu satu kaedah doa dan berdoa ini perlu ada seninya. Justeru cuba kita lihat mengapa seseorang yang berdoa di hadapan kaabah amat mustajab. Pasti ada sebab serta bukti saintifiknya. Semua orang berniat tetapi perlu ada satu formula untuk menjadikan niat kita satu realiti. Setiap formula itu perlu pula dibuktikan kesahihannya dan bukannya self claim. Justeru itu setiap peserta Soul Power diwajibkan untuk mencari bukti kuasa niat agar pembuktian itu akan menambah keimanan serta ketaqwaan kepada Allah swt. Niat itu menjadi satu realiti jika kita mengikut setiap langkah dalam formula dan kemudian menyerahkan setiap keputusan perbuatan atau niat kita kepada Allah semata.

Kira-kira empat bulan yang lepas seorang peserta yang menyertai kursus meditasi memberitahu saya tujuan beliau datang belajar ialah untuk mendalami pembacaannya tentang kuasa niat. Saya agak terkejut kerana saya juga belum pernah menemui buku tentang kuasa niat walaupun kerap mencarinya di took-toko buku yang besar. Rupa-rupanya kaedah kuasa niat ini telahpun dikaji oleh orang barat dan diterima secara meluas. Buku yang ditulis oleh Dr. Wayne berjudul the power of intention menceritakan tentang kuasa universal yang mempengaruhi niat seseorang. Begitu pantas orang barat untuk mengkaji hadith-hadith nabi saw dan begitu perlahan orang kita untuk mengikuti sunnah baginda.

Secara mudahnya saya melihat niat yang kita ucapkan samada di bibir atau di hati perlu mempunyai beberapa kriteria yang insyaAllah jika diamalkan akan menukar niat tersebut menjadi satu realiti.

Pertama, niat itu perlu bersih serta seimbang. Niat yang baik mempunyai getaran kerana setiap niat yang baik akan ditulis kebaikannya manakala niat yang buruk akan ditangguhkan hingga menjadi perbuatan. Niat juga perlu seimbang yakni realistik, seperti kita berniat untuk mendapat wang sebanyak RM10,000 dalam waktu satu jam. Niat yang tidak realistik akan menjadi angan-angan dan tanpa disedari akan membebani minda seseorang.

Kedua, niat tersebut perlulah dilakukan dalam frekuensi yang mempunyai getaran yang kuat.

Ketiga, niat tersebut hendaklah disusuli dengan pekerjaan yang sesuai. Kebanyakan masyarakat kita mempunyai keinginan untuk mencapai sesuatu secara instant. Saya berfikiran sesuatu yang mudah datang ianya juga akan mudah pergi. Setiap sesuatu itu perlu ada usahanya. Saya pernah didatangi oleh seseorang hamba Allah bertanyakan kepada saya tentang meditasi. Katanya beliau dalam kesempitan wang, boleh atau tidak meditasi membantu. Jawapan saya agak mudah, meditasi akan membantu untuk menyepikan fikiran yang sedang buntu dan dengan itu insyaAllah jalan keluar akan kelihatan. Katanya lagi berapa lama fikiran – fikiran akan senyap. Kata saya fikiran akan senyap apabila emosi berkurangan. Tambah beliau “jika demikian itu agak lambat, boleh atau tidak dengan meditasi saya mendapat wang secara ghaib yakni secara tiba-tiba ada wang di hadapan saya?” saya agak hairan dengan pertanyaan yang saya kira tidak masuk akal dan akhirnya saya memberitahu hamba Allah tersebut jika sekiranya meditasi mampu mendatangkan wang secara begitu pasti ahli meditasi sudah ramai menjadi jutawan serta tidak akan mengajarkan kaedah meditasi. Meditasi merupakan salah satu jalan untuk memberi ruang kepada akal mencari jalan keluar. Para rasul, para nabi serta para wali juga bekerja. Justeru itu niat perlulah disusuli dengan tindakan yang sesuai.

Yang terakhir ialah tawakal. Setelah berdoa dan berusaha maka kita perlu bertawakal. Setiap keputusan bukan milik kita tetapi milik Yang Maha Mengetahui. Ini bermakna jika niat kita tidak kesampaian jangan gusar kerana Allah Maha Mengetahui cause & effect sesuatu perkara dan apa yang pasti kita akan mendapat sesuatu yang lebih baik lagi.

Hal ini telah banyak terbukti dalam kehidupan kita seharian. Cuba pejamkan mata anda buat seketika dan ingatkan keinginan anda yang tidak kesampaian dan perkara yang anda perolehi. Jangan kita melihat sesuatu yang tidak kesampaian itu merugikan kerana sesuatu yang kita fikir bagus mungkin memberi kesan buruk buat kehidupan kita tetapi sesuatu yang kita fikir buruk adalah merupakan sesuatu yang baik untuk kita. Itulah buktinya bahawa Allah lebih mengetahui daripada hambanya.