Monday, December 28, 2009

Dendam Halus



“Sebelum kamu memulakan dendam, galilah dua kubur” ( kata bistari )

Jika kita menonton cerita melayu hitam putih, seringkali kita lihat cerita yang mengisahkan perbalahan dua kumpulan yang mungkin terhasil dari hasad dengki atau kekecewaan. Apabila timbul perbalahan, sudah menjadi lumrah cerita yang mana pasti ada pertumpahan darah yang mengakibatkan kehilangan nyawa. Akibatnya, pihak yang kalah akan mula mencari jalan untuk membalas dendam. Setiap perlakuannya selepas kejadian itu hanyalah untuk membalas dendam, mungkin dia perlu untuk berlakon watak-watak tertentu asalkan dapat membalas dendam. Sebenarnya kisah membalas dendam ini bukan sekadar berkisar dalam cerita melayu tetapi dalam kesemua masyarakat. Jika kita penggemar cerita bollywood, kita pasti juga menjumpai elemen ini hampir dalam setiap ceritanya.

Akhirnya secara tidak langsung ianya memasuki stor simpanan minda bawah sedar dan konsep dendam akan mudah terhasil apabila satu-satu kejadian itu menyalahi keinginan dan perasaan kita. Apabila hati kita disakiti atau perasaan kita diguris atau tubuh kita dilukai, sifat dendam tadi akan mula memainkan peranan untuk membalas apa yang telah dilakukan kepada kita dengan harapan si pelaku dapat merasa apa yang telah kita rasakan selama ini. Sebenarnya tanpa kita sedari kita telahpun merosakkan corak pemikiran yang murni yang dititipkan Allah swt. Kita mula hilang tumpuan dan hanya member focus kepada apa yang kita dendami. Sifat dendam yang sedemikian amatlah mudah untuk kita kesan dan ianya akan hapus apabila kita dapat membalas perbuatan seseorang.

Walaupun kita dapat membalas namun hakikat yang sebenar ialah kita menyamakan taraf kita dengannya, bukankah lebih baik seandainya kita lebih tinggi tahap pemikiran. Kita perlu ingat bahawa dendam datang dari nafsu amarah dan nabi saw pernah bersabda “Sebaik-baik anak Adam, ialah orang yang lambat marahnya dan segera pula reda bila sesudah marah, dan sejahat-jahat anak Adam yang cepat marahnya dan lambat pula reda kemarahannya.” Hari ini saya ingin membincangkan satu lagi jenis dendam yang sebenarnya lebih kuat merosakkan diri dan menghilangkan harga diri. Dendam yang saya maksudkan adalah dendam halus. Dendam halus ialah dendam yang berpunca dari ketidakpuasan hati dan kita pula tidak berupaya untuk membalasnya secara fizikal.

Akhirnya kita sering sahaja berfikir bagaimanakah caranya supaya si polan itu menerima pembalasan agar dapat memuaskan hati kita. Bagaimanakah kita boleh tahu samada kita mempunyai dendam halus atau pun tidak. Cara mengenalpastinya cukup mudah, seandainya kita pernah bertelingkah dengan seseorang dan merasa kurang puas hati dengan tingkah lakunya dan setelah beberapa ketika kita merasakan yang ketidakpuasan hati kita sudah hilang namun untuk memastikan adakah benar ianya hilang, cuba cari gambar atau apa sahaja yang dapat di asosiasikan dengan si polan. Jika anda mempunyai gambar, renungkan gambar tersebut, jika anda mempunyai kad namanya, renungkan kad namanya. Soalannya cukup mudah, apakah yang anda rasa ketika merenung barangan tersebut. Adakah anda merasa tidak puas hati, anda sudah tidak lagi merasakan ketidakpuasan hati.

Seandainya anda sudah hilang rasa tidak puas hati, maka itu sesuatu yang bagus tetapi adakah anda masih berharap supaya dia dapat merasakan sesuatu perkara agar dia sedar akan kesalahannya terhadap anda atau dengan kata orang zaman sekarang, adakah anda masih merasa “bengkek”. Jika itu yang anda rasa maka sebenarnya anda masih berdendam dengan si polan. Dendam itu mungkin tidak anda sedari kerana ianya adalah dendam tersirat atau dendam halus yang amat merbahaya. Bahayanya kerana apabila dendam halus menular ke dalam stor simpanan memori anda, apa yang anda fikirkan adalah hal-hal berkenaan dengan si polan. Bagaimana nak membalas, kemudian mungkin anda membayangkan teknik balasan, anda mungkin berimaginasi si polan datang meminta maaf, dan pelbagai perkara yang sebenarnya membuang masa untuk anda fikirkan.

Lebih dari itu fikiran-fikiran tersebut membawa kepada energi negatif yang banyak yang mana akan membentuk satu gugusan hukum penarikan negatif. Hasilnya anda akan sentiasa berada dalam lingkungan masalah dan sentiasa bertemu dengan orang bermasalah dan tanpa sedar anda menjadi begitu negatif terhadap hidup. Anda pasti tahu apakah yang akan anda alami sekiranya anda berada dalam suasana serba negatif. Justeru mulai hari ini, anda perlu melihat adakah anda seorang yang mempunyai dendam halus atau sebaliknya. Seandainya ada hapuskannya dengan segera. Mungkin ada yang bertanya bagaimana?

Sedikit tips yang dapat saya kongsikan hari ini. Pertama anda tidak perlu berkata, saya maafkan perlakuannya terhadap saya. Saya berkata begitu kerana maaf yang anda ucapkan belum tentu ikhlas. Dalam memberi maaf anda juga mungkin merasakan yang dia sepatutnya menerima pembalasan. Kedua, apa yang harus anda lakukan hanyalah satu, renungkan kembali gambarnya dan senyum. Biarpun mula-mula senyuman itu palsu tetapi senyuman mempunyai kuasa yang hebat untuk melembutkan hati yang mana dalam masa yang singkat anda akan berubah dan tidak lagi peduli akan kisah lama. Tanda-tanda pemulihan adalah anda kini merasa kasihan dengan perlakuannya dan berharap dengan sepenuh hati agar dia menjadi teman baik anda agar anda dapat membawanya berubah.

Justeru itu mulai pada hari ini banyakkan senyum terutama kepada musuh anda kerana senyuman anda biarpun tidak dilihat tetapi dapat dirasa dan dapat melunakkan hati yang keras. Rasulullah S.A.W. bersabda “Orang Mukmin itu bukanlah seorang yang pendendam.” Maka hati-hati dengan dendam terutama dendam halus kerana ianya virus yang boleh membunuh.


Read More......

Monday, December 14, 2009

MENJADIKAN ILMU GHAIB NYATA


Dua malam lepas kawan saya datang menziarahi saya di pejabat. Katanya terlanjur dia melalui kawasan berhampiran pejabat saya, dia mengambil keputusan untuk singgah sebentar tambahan lagi lampu pejabat masih terbuka. Saya memang suka berbual dengannya kerana dia seorang yang begitu kuat membaca dan mengadaptasikan setiap pembacaannya dengan kehidupan. Datang bersama temannya dia bercerita tentang buku yang baru dibacanya. Sedang dia asyik bercerita, temannya memberitahu yang dia teringat sewaktu dia kecil dahulu orang sanggup bercakaran tentang Yuri Gagarin dan Neil Armstrong. Saya agak terkejut juga kerana mengapa orang sanggup bergaduh tentang mereka sedangkan mereka bukan mempunyai apa-apa hubungan dan mereka juga mungkin tidak mengenali keduanya.

Ceritanya lagi mereka bergaduh hanya kerana keduanya mampu pergi ke angkasa lepas. Satu puak mengatakan ianya satu pembohongan dan ianya mungkin melibatkan sihir atau jin. Di satu pihak lagi pula mereka mengatakan ianya benar dan ianya melibatkan sains. Dek kerana saling tidak puas hati mereka bercakaran sesama mereka hingga terpaksa dileraikan. Saya berkata kepada teman sahabat saya yang saya panggil abang Mansor, “kenapa cetek sangat pemikiran pihak yang satu lagi, hanya kerana meraka tidak mengetahui sesuatu segalanya menjadi negatif dan melihat perkara baru itu satu keburukan”. Abang Mansor seorang yang suka berkongsi pengalaman. Pastinya dia mempunyai pengalaman yang banyak sesuai dengan usianya yang sudah melepasi garisan pencen.

Orang veteran kalau bercerita memang menarik kerana mereka tidak bercerita dengan emosi tetapi mereka bercerita dengan jiwa yang tenang dan mampu menarik perhatian setiap ang mendengarnya. Dia berkata cerita pertengakaran jiran sekampungnya hanya difaham disebabkan musabab dalam falsafah hidup selepas beberapa tahun dari kejadian itu. Dengan penuh hati-hati dia memulakan ceritanya tentang ilmu ghaib. Dulu orang kita hanya mampu mengetahui tentang bulan dan bintang melalui pembacaan tetapi kini kita mampu mengetahui hal angkasa apabila kita mendengar sendiri cerita anak bangsa yang sudahpun sampai ke angkasa. Dulu kita berfikir mustahil untuk membuat sebuah kereta tetapi kini kita mampu pula membuat beratus buah kereta.

Tambahnya kita melihat elektrik itu satu yang berbahaya kerana kita tidak mengetahui tentangnya tetapi jika ia bahaya mengapa ada yang mampu masuk ke kawasan aliran arus elektrik yang tinggi serta memperbaikinya. Tanpa disuruh abang Mansor dengan sendirinya mengupas jawapan-jawapan yang diperlukan bagi setiap persoalan yang dilontarkan olehnya tadi. Tertarik dengan apa yang bakal dikupas oleh abang Mansor saya bertanya adakah beliau mengizinkan saya untuk berkongsi ceritanya di ruangan saya ini. Sememangnya jauh perbezaan sikap antara orang yang telah matang pemikiran dengan mereka yang baru mengenal hidup. Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau atas keizinannya dan meminta beliau meneruskan ceritanya tentang hal tadi.

Beliau bertanya kepada kami “kamu percaya, kalau saya katakan bahawa setiap ilmu itu ghaib?” memang sikapnya agaknya, belum sempat kami menjawab dia memberikan jawapan jadi tak perlulah kami membuka mulut jawapan. “sekarang sudah jam 10.30 malam, apa yang bakal berlaku pada jam 11 malam ini kepada kita?” Tanyanya, serentak kami menjawab, tak tahu. Abang Mansor mengulas itulah yang ghaib sebenarnya. Kenapa dikatakan ghaib kerana kita tidak tahu. Dulu ilmu angkasa itu ilmu ghaib kerana kita tidak mengetahui hal-hal angkasa apatah lagi memahaminya. Maka dengan itu kita mengganggapnya satu ilmu ghaib, sebab itulah orang di kampungnya bergaduh. Satu pihak sudah tidak melihatnya sebagai ilmu ghaib kerana sudah mengetahuinya dan satu pihak masih belum mengetahuinya makan dengan pantas melihatnya satu ilmu ghaib yang melibatkan jin dan sihir.

Dia berkata, ilmu ghaib sebenarnya jika kita fahami maksudnya bermakna ilmu yang kita tidak nampak. Tidak nampak bermakna tidak menyaksikan. Tidak menyaksikan bermakna kita tidak tahu dan apabila ianya kita tidak tahu itu bermaksud ghaib. Kita kembali kepada pertanyaan apakah yang akan berlaku pada jam 11 malam. Jawapan yang pasti ialah kita tidak tahu apa yang akan terjadi sebenarnya walaupun kita mempunyai rancangan tertentu pada waktu itu. Namun begitu apabila sampai waktu dan ketika jam 11 malam maka ianya tidak lagi ghaib bagi kita ianya sudah menjadi nyata. Nayata kerana kita memahami apa yang berlaku pada jam 11 malam dan kita menyaksikannya. Dengan kata lain tidak mengetahui itu ghaib dan pengetahuan itu nyata. Jika kita mengetahui tentang membuat kuih tart maka itu bermaksud ianya ilmu yang nyata bagi kita kerana kita mengetahui serta memahaminya tetapi bagi mereka yang tidak mengetahui ianya menjadi ilmu ghaib.

Justeru kita memerlukan ilmu untuk menyatakan yang ghaib. Caranya ialah belajar dengan mereka yang sudahpun nyata ilmunya. Kata abang Mansor lagi, ghaibnya sesuatu perkara adalah tertakluk kepada penglihatan pemikiran kita. Buktinya jika kita melihat sebuah kapal berlalu di lautan, kapal tersebut pada mulanya nyata bagi kita kerana kita dapat melihat ianya berlalu namun lama kelamaan kapal tersebut hilang sedikit demi sedikit dan setelah itu ghaib dengan sendirinya. Kapal itu ghaib kerana penglihatan kita stagnan, kita berdiri di satu tempat dan melihatnya dari satu arah sahaja. Berbeza pula jika kita melihat kapal tersebut melalui pemandangan udara. Seandainya kita menaiki helikopter untuk melihat kapal tersebut kita mampu melihat pergerakan kapal itu dari titi permulaan hingga titik keghaibannya.

Perbezaan di sini bukanlah titik permulaan kita melihat tetapi titik keghaiban kapal tersebut. Semakin jauh titik keghaiban semakin banyak pemahaman dan semakin nyata ilmu perjalanan kapal tersebut kepada kita. Jika kita melihat kapal tersebut dari darat kita hanya mampu melihat perjalanannya untuk masa yang singkat dan kita tidak mengetahui apa yang berlaku selepas itu kerana bagi kita ianya ghaib. Tetapi jika melihatnya dari udara kita mampu bercerita lebih dari itu kerana kita menyaksikan perjalanannnya. Jadi kata abang Mansor, apa yang diperlukan dalam hidup ialah memanjangkan titik keghaiban supaya horizon pemikiran itu jauh. Dengan itu kita bakal memahami setiap kejadian yang berlaku dengan penuh hikmah. Sekiranya kita hanya mempunya titik keghaiban yang pendek maka kita tidak akan belajar tentang hidup dan kita hanya melihat hal-hal negatif dalam hidup.

Saya sempat bertanya kepada abang Mansor, adakah terdapat amalan-amalan tertentu untuk kita memanjangkan titik keghaiban supaya kita mudah faham intisari kejadian dan melihat sesuatu kejadian itu sebagai hikmah kerana ramai yang sering melihat sesuatu kejadian itu sebagai satu bala dari melihatnya sebagai satu proses pembelajaran yang dikurnikan Allah SWT bagi orang memahami. Kita lihat jika tidak adanya tsunami, Acheh tidak akan jadi seperti sekarang. Mungkin juga banyak ketinggalan dari banyak aspek namun setelah terjadinya tsunami maka Acheh kini lebih tersusun dan konfliknya juga selesai. Bagi saya jika dilihat tsunami dari sudut yang buruk pasti setiap hari selepas tsunami juga buruk tetapi jika kita melihatnya denga positif maka setiap hari selepasnya adalah positif.

Yang sering menjadi persoalan ialah bagaimana untuk melihatnya menjadi positif. Abang Mansor telah bermurah hati berkongsi ilmu yang mungkin para pembaca boleh amalkan. Menurut beliau jika kita ingin mudah faham dan ingin sentiasa melihat setiap perkara itu positif atau dengan kata lain mempunyai minda yang positif amalkan untuk membaca ayat 79 dari surah Al-Anbiya’. Bacalah sebanyak 10 kali sebelum menunaikan solat subuh selama tujuh hari, insyaAllah anda akan menjadi seorang yang positif. Kepada mereka yang berminat untuk menjadi positif bolehlah mengamalkannya dan kepada abang Mansor, terima kasih, hanya Allah yang dapat membalas setiap ilmu yang dicurahkan.

Read More......

Thursday, December 3, 2009

SEPULUH KALI GANDA


Beberapa hari lepas, seseorang bertanyakan kepada saya tentang apa yang dimaksudkan dengan Law of Tenfold Return. Saya merasakan ianya satu topik yang agak menarik untuk dikongsi bersama. Law of Tenfold Return sepatutnya bagi kita umat Islam bukanlah sesuatu yang baru jika kita memahami apa yang diistilahkan dengan kata-kata tersebut. Jika kita terjemahkan secara mudahnya ianya bermakna Hukum Pulangan Sepuluh Kali Ganda yang memberi maksud setiap apa yang kita beri akan setiap apa pelaburan yang disemai akan bercambah menjadi sepuluh keuntungan.

Seandainya kita bertanya dengan sesiapa sekalipun yang ingin melabur pastinya mereka inginkan satu pulangan yang besar apatah lagi jika hasil pelaburan itu memberi pulangan sehingga sepuluh kali ganda. Hampir setiap hari akhbar-akhbar mahupun media elektronik menyiarkan iklan-iklan untuk mencapai kekayaan. Hampir setiap hari ada sahaja program-program yang cenderung ke arah kekayaan diadakan dan apa yang pastinya setiap program yang berbentuk sedemikian sentiasa akan dipenuhi oleh perserta-perserta yang begitu dahagakan kekayaan. Namun sedikit sekali yang berjaya dan bagi mereka yang tidak berjaya, akan terus mencari kursus-kursus menjana kekayaan moga-moga ianya membuahkan hasil.

Satu ketika dahulu saya juga tertanya-tanya kenapakah orang-orang barat mudah menjadi kaya dan antara jawapan yang saya terima ialah jumlah populasi mereka tinggi jadi mudahlah untuk membuat wang. Kemudian saya bertemu dengan ramai orang kaya dan ramai juga berkata duit bukanlah segalanya. Ada juga yang berkata saya sudah puas dengan duit tetapi saya tidak merasakan hidup yang sempurna. Pelik..orang yang ingin menjadi kaya berterusan mencari jalan bagaimana untuk cepat menjadi kaya manakala orang kaya memikir cara yang terbaik untuk merasa makna sebuah kehidupan. Jadi apa yang saya temui akhirnya ialah sesuatu yang seimbang iaitu pencapaian dunia perlu seimbang dengan pencapaian akhirat.

Apa yang menyebabkan kita ketinggalan hal-hal keilmuan sebegini ialah kedangkalan kita dalam mengupas rahsianya dan kemalasan kita dalam menadaptasikannya dalam detik kehidupan yang kita harungi. Kita mungkin lupa bahawa Islam itu adalah jalan hidup atau mungkin juga kita tidak faham apa yang diertikan dengan maksud jalan hidup. Jalan hidup merupakan ketertiban dan langkah-langkah yang perlu kita lalui tanpa membuang ataupun meringkaskannya. Ianya juga merupakan satu disiplin atau peta perjalanan yang perlu dilalui. Makanya jika kita mendalami Islam itu ianya merupakan satu panduan untuk menjadi selamat di dunia bahkan di akhirhat. Dalam Hukum pulangan sepuluh kali ganda apa yang perlu ialah benihnya yang juga sering dipanggil seed money.

Kita perlu mempunyai benih dan menyemainya agar membuahkan hasil yang memuaskan. Justeru itu kita perlu membayar zakat. Zakat itu sebenarnya seed money yang sering diabaikan kerana kealpaan ataupun kerana takut kerugian. Mengapa harus takut rugi sedangkan orang yang melihat Islam dari luar itu mempraktikkannya. Terdapat beberapa tirisan dalam mencapai keinginan pelaburan benih duit. Yang pertama sekali, apabila ditanya mengapakah kita melakukan sedekah maka jawapan yang sering kita dengar adalah ianya dapat memberi pahala. Kisah orang yang sering merungut tentang kesusahannya untuk mendapatkan pulangan sedekahnya banyak kali kedengaran.

Mereka bersedekah dengan harapan untuk mendapatkan pahala. Mereka juga mengatakan bahawa sedekah mereka itu ikhlas namun apabila datang satu ketika mereka dilanda kesusahan, mereka akan mengeluh dan kemudian bertanya mengapa terjadinya kesusahan ini sedangkan aku telah banyak bersedekah, bukankah satu kebaikan itu diberi sepuluh ganjaran kebaikan. Apa yang jelas mereka yang tergolong dalam golongan ini cukup memahami apa yang diperkatakan dalam hukum Sepuluh Kali Ganda atau Law of Tenfold Return tetapi mereka tidak pula mendapat hasilnya daripada kebaikan mereka. Kuncinya di sini ialah niat mereka.

Orang barat cukup suka mengaplikasikan apa yang diajar oleh baginda Rasulullah s.a.w dan yang paling diikuti oleh mereka ialah niat iaitu setiap perbuatan itu dimulakan dengan niat dan setiap perbuatan itu mengikut niatnya. Oleh yang demikian mereka mempraktikkan niat untuk mendapatkan pulangan yang lumayan. Kita tahu yang kita perlu berniat tetapi cuba kita renungkan kembali berapa kali kita bersedekah dengan niat. Mungkin ada mungkin tidak dan kalau pun ada jarang-jarang kita lakukan kerana kita mengambil mudah semua perkara. Kita sememangnya tahu bahawa kita memerlukan pulangan untuk dunia mengapa kita tidak berlaku jujur terhadap diri sendiri sewaktu melakukan kebaikan.

Jika kita lihat selagi seseorang itu bersifat makhluk dia pasti mahukan balasan biarpun sedikit. Seorang ibu misalnya, biar sedalam mana kasih sayangnya terhadap si anak pasti dalam hati kecilnya mahukan sesuatu dari anaknya setidak-tidaknya mahukan anaknya menjadi orang yang berguna. Kemahuan itu juga sebenarnya salah satu dari balasan. Itu juga kan balasan keduniaan. Jadi mengapa tidak sewaktu kita berbuat kebaikan itu kita memohon kepada Allah swt dengan penuh sopa agar dikurniakan juga limpahan balasan dunia. Mengapa kita hanya memfokuskan balasan itu semata-mata untuk akhirat dan kemudian merungut untuk mencapai kesenangan di dunia.

Mulai hari ini kita cuba melakukan setiap perkara itu dengan niat yang disertai dengan kedua-dua kesenangan dunia dan akhirat. Bukan bermakna saya menyebelahi pihak barat tetapi mereka mempraktikkan hal-hal yang sepatutunya kita telah lama praktikkan. Kita sering mengatakan yang kita ikhlas dalam dalam melakukan setiap perkara tetapi ironinya dalam masa yang sama kita turut berkira-kira tentang pahala yang bakal diimbuhkan. Saya suka berkongsi sedikit tatacara yang jika anda memikirkan ianya sesuatu yang baik untuk diikuti maka silakan mengamalkannya dan sekiranya ianya adalah sesuatu yang terdapat kekurangan di dalamnya maka perbaikilah agar ianya menjadi satu kegunaan bukan sahaja untuk kita tetapi untuk masyarakat sekeliling kita.

Langkah yang pertama adalah mulakan sesuatu dengan niat contohnya sesorang itu datang meminta sedekah atau ingin meminjam wang dari kita. Berilah dengan niat yang sempurna sebagai contoh kita bermohon agar setiap kebaikan yang kita lakukan ini dapat diberi ganjaran di dunia dan di akhirat dan kita tidak perlu malu dengan Allah swt sekiranya kita mahukan pulangan tersebut berbentuk nilai kewangan. Kita boleh sahaja berniat agar dengan membantu si polan ini moga ianya menjadi wadah untuk mendapat lebih banyak wang. InsyaAllah anda akan melihat hasilnya. Keduanya rajin-rajin berterima kasih kerana orang yang berterima kasih akan mendapat berlipat kali ganda imbuhannya.

Berterima kasih bukan hanya dengan manusia tetapi kepada yang Maha Memberi kerana jika Dia tidak memberi maka dengan jalan apapun kita pasti tidak akan mendapatkannya. Akhir sekali janganlah mengungkit setiap pertolongan kerana ia merupakan satu energi negatif yang akan mengurangkan kekuatan pulangan. Inilah yang menjadi inti dalam Law of Tenfold Return yang sebenarnya ada dalam kehidupan Islam namun kita tidak mempaktikkannya kerana sibuk dengan urusan pahala. Namun kita juga tercicir yang dikendong yang dikejar belum tentu dapat.


Read More......

Pentingnya Tidur


Tidak seorang pun manusia di dunia ini yang tidak pernah merasa tidak tidur. Tidur juga sebenarnya adalah salah satu aktiviti harian yang dilakukan oleh setiap manusia walau di mana mereka berada. Apa yang membezakan ialah samada kita dapat tidur lena dan berkualiti atau dek kerana banyaknya kerja hingga terpaksa mengorbankan waktu tidur. Tanpa kita sedar tidur adalah satu daripada banyaknya kurniaan Ilahi yang jarang sekali disyukuri. Tidur juga satu aktiviti yang dapa merehatkan otak sepenuhnya namun ada juga diantara kita yang waktu tidurnya berfikir kerana mungkin dibelenggu pelbagai tekanan

Tidur yang berkualiti adalah aktiviti yang akan membetulkan semua keadaan saraf setelah seharian ia bekerja sebagaimana termaktub di dalam ayat 9 surah An-Naba : "Dengan kami jadikan tidurmu sebagai pelepas lelah". Waktu tidur yang panjang bukanlah satu jaminan untuk tidur yang berkualiti. Jika dikaji para sahabat hanya memperuntukkan lebih kurang dua jam sehari untuk waktu tidur. Tetapi perlu juga diingat bahawa dua jam tidur mereka menyamai lapan jam tidur yang berkualiti. Ada di kalangan masyarakat kita yang tidurnya mencecah hingga dua belas jam tetapi apabila sedar dari tidur masih lagi keletihan dan mengantuk.

Fenomena ini terjadi disebabkan dua belas jam tidur yang dialami itu bukanlah satu aktiviti tidur yang berkualiti. Yang penting bagi tidur ialah kualitinya buka jangka waktunya. Tidur yang berkualiti merupakan salah salah pembuktian pencapaian gelombang otak yang rendah yang akhirnya akan membawa kecerian dalam hidup. Cuba kita lihat seorang bayi yang tidak cukup tidur. Bayi akan meragam, menangis dan sebagainya. Sebenarnya hal yang sama berlaku kepada orang dewasa, tanpa tidur yang berkualiti mereka akan cepat resah, buntu fikiran, mempunyai wajah yang tidak ceria dan yang agak membosankan ialah mood yang tidak menentu.

Jika anda mempunyai symptom berkenaan maka kajilah kembali kualiti tidur anda. Pembuktian kepentingan tidur telah dibuktikan di barat seawal tahun 1967 oleh Robert Keith Wallace ketika menyiapkan tesis PhDnya yang mengupas tentang perubahan fisiologi dalam meditasi transcendental. Ketika beliau mengkaji keunikan meditasi transcendental tanpa sengaja beliau mendapati kualiti tubuh yang terhasil bagi pengamal meditasi adalah hasil dari aktiviti tidur dalam sedar. Bagi manusia normal, mereka memerlukan empat hingga enam jam untuk menurunkan gelombang otak ke satu tahap relaksiasi yang tinggi.

Maka disebabkan itu manusia memerlukan jangka waktu lapan jam tidur kerana empat hingga enam jam yang pertama ialah satu proses penurunan gelombang otak ke tahap yang rendah iaitu deep theta. Maka pada peringkat kedua tidur barulah mereka mencapai kualiti tidur yang sempurna iaitu tahap gelombang delta. Apa yang memeranjatkan Robert ialah penurunan gelombang otak para pengamal meditasi yang betul hanya mangambil masa beberapa minit dan bukan beberapa jam. Lebih dari itu para pengamal meditasi masih berada dalam keadaan sedar dan bukan tidur. Dengan ertikata lain mereka mencapai gelombang orang tidur nyenyak walaupun ketika sedar penuh.

Ramai yang sentiasa mengejar masa walhal masa itu tetap saja berlalu dengan kadarnya selama 24 jam sehari. Justeru ada yang menginginkan agar masa dipanjangkan mungkin menjadi 25 jam sehari. Percayalah sebanyak mana masa dikurniakan ianya tetap saja tidak mencukupi untuk segala aktiviti manusia. Apa yang penting ialah kualiti kerja. Mencapai kualiti kerja memerlukan kualiti tidur. Disebabkan terlalu banyak yang difikirkan, terlalu banyak yang diolah oleh minda hinggakan sewaktu hendak tidur pun masih lagi berada dalam fikiran. Fikiran-fikiran yang terus-menerus dibawa hingga ke dalam tidur akan menjadi satu kerja lebih masa yang terpaksa dilakukan oleh minda.

Hasilnya objektif peringkat awal tidur tidak dapat diperolehi dan ianya berlanjutan hingga ke awal pagi maka bangunlah anda sebagai seorang yang masih belum puas tidur dan keletihan. Ini akan menyebabkan saraf-saraf anda akan menjadi rosak dan bakal mengundang pelbagai penyakit dan yang paling utama ialah penyakit cepat letih dan cepat buntu. Penyakit ini akan memberi kesan kepada setiap keputusan yang bakal anda buat. Justeru itu bagi kaum sufi atau mereka yang mengamalkan amalan sufi tidur merupakan satu nikmat yang paling penting untuk disyukuri. Mereka begitu memahami hakikat tidur dan oleh kerana itu juga mereka dengan mudah memperolehi tidur yang berkualiti.

Sebenarnya jika kita seorang yang rajin mengkaji sunnah baginda Rasulullah SAW, insyaAllah kita akan dapat menemui hikmah tidur dan kaedah mencapai tidur yang sempurna. Tidur yang sempurna ialah tidur yang berkualiti yang dapat membuatkan seseorang itu tidur dalam gelombang delta. Baginda tidak pernah melebihi tidurnya. Tidurnya awal dan kemudian bangun dua per tiga malam untuk memperbaiki hubungan dengan Allah SWT. Jadi jika dikira berapa jam yang sebenarnya baginda rasulullah saw tidur. Baginda adalah contoh yang terbaik untuk umat manusia yang perlu diteladani bagi mereka yang mencintainya dan memahaminya. Orang yang bercinta pasti akan cuba sedaya upaya memahami orang yang dicintainya.

Berwuduk dan berdoalah sebelum tidur sebagaimana salah satu dari doanya "Ya Allah jadikanlah kehidupan ini jalan untuk menambah kebaikan serta jadikanlah kematianku sebagai akhir dari melakukan maksiat terhadap Mu". Rasulullah saw sering berzikir kepada Allah hingga menyebabkan mata baginda terpejam dalam kenikmatan zikir. Perlu juga diambil kira tentang makanan yang diambil sebelum tidur kerana secra saintifik banyak yang telah dibuktikan. Rasulullah saw tidak pernah memenuhkan perut, dengan makanan atau minuman sebelum tidur. Tidurlah sebagaimana posisi yang diajar oleh kekasih Allah swt. Janganlah pula tidur meniarap kerana pernah baginda bersabda kepada seorang lelaki yang sedang tidur meniarap “bangun, duduklah ini adalah cara tidur ahli neraka jahanam”.

Mengikuti sunnah yang sebegini sering dianggap remeh tetapi dari keremehan ini akan menimbulkan kecintaan. Mencintai baginda bermakna mencinta Allah swt. Cinta yang sering dikaitkan dengan rindu akan memberi kesan pada hidup yang bakal anda lalui pada keesokan hari. Hal ini sering terjadi dalam kehidupan sufi, mereka menangis bukan kerana cengeng tetapi kerana rindu maka bangunlah mereka dua pertiga malam dengan hati yang gembira untuk mengadap Nya. Semoga anda akan memperolehi tidur yang sempurna lagi berkualiti. Pasakkan dalam minda yang panjangnya waktu tidur bukanlah jaminan kualiti tidur. Sentiasalah berterima kasih kepada Allah swt atas nikmat tidur yang dikurniakannya kerana jangan sampai dicabut kenikmatan ini hingga akhirnya mencari-cari keindahan tidur.

Read More......