Friday, April 30, 2010

Blog Migration / Perpindahan Blog

PERHATIAN

Untuk Makluman, blog ini telah berpindah ke http://www.aku-ok.com/blog
Sila layari alamat di atas untuk posting terbaru dan sebarang update.

Terima kasih

Read More......

Saturday, April 10, 2010

Dakwah Menghukum


Saya amat percaya bahawa biar apapun latar belakang kita, biar dari mana pun kita datang, biar apa pun bangsa kita, masa depan kita adalah tanggungjawab kita. Kita sering mendengar rungutan tentang latar belakang keluarga yang kurang baik yang membuatkan seseorang itu merasa tempiasnya namun sebagai orang yang matang, walaupun datang dari latar belakang yang kurang baik, seharusnya ianya akan menjadi pengalaman baik untuk mengubahkan keadaan diri agar tidak lagi duduk dalam keadaan yang sama. Memang tidak dinafikan bahawa keluarga bertanggungjawab memainkan peranan dalam kehidupan namun sebagai empunya diri, kita lebih bertanggungjawab dalam menjadikan siapa diri kita pada masa akan datang.

Saya menonton satu rancangan realiti televisyen barat di mana salah seorang pesertanya menangis memberitahu penonton yang dia menyertai pertandingan realiti tersebut demi untuk mengubah dirinya kerana tidak mahu duduk dalam keadaan keluarganya yang mengambil dadah. Begitulah tanggungjawab yang diperlukan pada setiap insan dalam menakhoda kehidupannya. Saya yakin sebenarnya ramai di kalangan masyarakt kita yang faham tentang tanggungjawab ini dan mahu berubah namun mengapa sukar sekali untuk berubah. Saya melihat faktor dakwah yang difahami oleh kita di malaysia ini. Saya melihat dakwah dari satu sudut berlainan yang mungkin boleh kita sama-sama renungkan.

Sewaktu saya kecil dahulu, saya agak keliru tentang maksud dakwah kerana seseorang yang bertudung akan dipanggil orang dakwah dan lebih mengelirukan apabila mereka juga dipanggil orang pakai dakwah. Justeru pada waktu itu saya berfikir bahawa dakwah adalah nama lain bagi tudung. Tetapi apabila meningkat dewasa saya, saya mula memahami dakwah rupanya membawa seruan perubahan dari satu titik ketidakfahaman kepada satu titik jelas, dari satu kegelapan ke satu pencerahan dan lebih membuatkan saya faham apabila ianya didefinisikan sebagai satu program lengkap, yang pada setiap peringkat mengandungi semua ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh manusia bagi menjelaskan tujuan dan matlamat hidup dan bagi menyingkap petunjuk jalan yang menjadi petunjuk kepada manusia.

Maka saya berpandangan bahawa setiap dari kita adalah pendakwah dan apabila disebut bahawa setiap dari kita adalah pendakwah kita mula memikirkan kepada siapa harus kita berdakwah. Bagi mereka yang sudah sedia bergelar pendakwah pula akan tahu bahawa sememangnya tugas mereka untuk berdakwah dan mereka sudah ada kumpulan sasar. Maka pada pandangan saya di sinilah mulanya berlaku kesilapan pandangan. Saya berpendapat yang dakwah atau program pencerahan itu perlu dimulakan untuk diri sendiri. Kita kadangkala lupa untuk melakukan dakwah pada diri kita sendiri. Kita kadangkala lupa untuk menyeru diri kita ke arah kebaikan kerana kita kadangkala lebih sibuk untuk menyeru orang lain ke arah kebaikan hingga terlepas pandang akan diri yang ditumbuhi ego yang banyak.

Hari ini kita sering menzalimi diri kita sendiri. Kitalah sebenarnya yang membentuk diri kita hari ini hasil sistem dakwah songsang yang kita lakukan. Apakah yang saya maksudkan dengan dakwah songsang. Pertamanya saya yakin bahawa konsep dakwah perlulah dimulakan dari diri sendiri. Jika kita tidak mampu berdakwah atau menyeru Islam kepada diri kita sendiri maka kita gagal jugalah nanti untuk menyerunya kepada masyarakat. Dakwah adalah kerja yang melibatkan kasih sayang. Justeru, diri kita sendiri adalah lapangan latihan terbaik untuk kita mulakan latihan dakwah.

Jika kita lihat hari ini, ramai orang menyeru ke arah kebaikan dengan hukum. Mereka lebih gemar menghukum sesuatu perkara itu dari membawanya ke arah pencerahan dengan kasih sayang. Kita mungkin lupa bahawa baginda saw itu berdakwah dengan kasih sayang. Jika ada yang mengatakan bahawa baginda saw berdakwah dengan mata pedang, saya rasa cukup jelas yang mereka ini kurang menganalisi hakikat sejarah. Dengan kasih sayanglah baginda mulakan dakwah Islamiyyah ini. Mengapa saya katakan yang kita berdakwah songsang tadi adalah kerana kita sering menceritakan keburukan dan hukuman lebih dari kebaikan dan ganjaran.

Kita sering berdakwah kepada diri kita sendiri dengan melontarkan pandangan negatif terhadap Allah swt tanpa sedar. Dari mana datangnya pengalaman sebegini, dari ibu dan bapa. Seandainya hari ini kita juga adalah ibu dan bapa maka renungkanlah perkara ini. Cuba kita lihat berapa ramai anak-anak kita yang apabila dewasa, mereka tidak hidup dengan cara yang betul atau mencari jalan untuk ketenangan diri dengan cara yang salah. Jika soalan ini dilontarkan kepada majoriti rakyat kita, jawapannya adalah pergaulan. Namun saya berpandangan bahawa ianya adalah kesalahan teknik dakwah yang dibawa oleh para ibubapa.

Pernah saya katakan bahawa, dalam dunia ini ada dua tenaga yang cukup kuat untuk mengubah seseorang itu, takut dan cinta. Cinta adalah tenaga yang perlu dibentuk secara perlahan dan jika terbentuk ketahanannya cukup lama, manakala takut adalah tenaga yang dibentuk dengan kadar segera namun ianya amat rapuh. Majoriti kita suka menggunakan tenaga takut dalam berdakwah, tak kira berdakwah kepada diri sendiri, keluarga mahupun masyarakat kerana hasilnya agak pantas. Tetapi kita lupa bahawa ianya amat rapuh, setelah hilang ketakutan timbullah kebinasaan.

Sejak dari kecil kita ditakutkan dengan hukuman. Mungkin kita pernah mendengar orang tua kita berkata “jangan menipu, nanti Allah potong lidah”… atau “jangan mencuri nanti Allah potong tangan”. Anak-anak akan mengelak dari melakukan kesalahan kerana takut nanti lidah dipotong atau takut mencuri kerana hilang pula nanti tangan. Bagi saya ini adalah satu fitnah besar. Setiap hari kita membaca dengan nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha Pengasih, tidak pula kita baca dengan nama Allah yang maha menghukum. Ini kerana sifat Allah yang Maha Pengasih dan perlu kita ingat bahawa rahmatNya sentiasa mendahului murkaNya.

Namun mengapa pula kita sering menyampaikan kemurkaannya lebih dahulu dari sifatnya yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Apabila anak itu dewasa dia mula melakukan apa yang dipanggil self sabotage kerana dia melihat lebih banyak keburukan dari kebaikan. Perlu kita ingat tujuh tahun pertama pembesaran adalah masa paling baik untuk memberi saranan atau pembentukan jiwa yang baik. Jika dalam masa tersebut semua momokan negatif yang dimasukkan dalam minda maka ianya akan membawa kehidupan anak itu dalam negatif yang tidak nampak.

Maksud negatif yang tidak nampak adalah, mereka merasakan mereka positif tetapi jauh di dalam diri, banyak sifat negatif yang terpatri. Jika dewasa kelak mereka menjadi pendakwah kepada masyarakat, tanpa mereka sedar mereka akan menggunakan kaedah yang sama sebagaimana kaedah takut melebih kasih sayang yang diterapkan kepada mereka sedari kecil. Mereka mungkin lebih suka bercerita tentang hukum dari kasih sayang. Jika bertemu orang yang tidak melakukan solat contohnya, mereka lebih mudah menceritakan dosa dari menceritakan kerugian kasih sayang.

Allah yang dilimpahkan dalam solat, mereka mungkin lebih mudah menceritakan amaran dari menceritakan keindahan solat. Maka tidak hairanlah hari ini masyarakat kita semakin lemah kerana teknik penyampaian ilmu sudah songsang. teknik yang seharusnya dimulakan dengan kasih sayang telah dimulakan dengan hukuman. Akibat banyak sekali terapan hukuman dari kasih sayang, hilanglah seri timbullah benci. Marilah kita sama-sama menghayati teknik dakwah junjungan besar baginda saw dalam berdakwah, dalam menyampaikan kebaikan samada dengan perbuatan mahupun lisan.

Bagi saya, setiap apa yang dilakukan baginda saw perlu kita tekuni kerana baginda saw menunjukkan applikasi pengetahuan al-quran untuk kita gunapakai dalam hidup. Mulakan hari kita dengan menyeru ke arah kabaikan kepada diri kita dengan kata-kata kasih sayang dan positif dan insya Allah rendahlah ego kita nanti. Dengan kerendahan ego, dakwah kepada masyarakat akan mudah terlaksana dan kebenaran islam jelas terpancar. Kurangkan hukum, banyakkan kasih sayang kerana teknik kasih sayanglah islam kekal hingga ke hari ini.


Read More......