Tuesday, November 11, 2008

Inna-lillahi-wa-inna-ilaihi-rooji'un


Saya berharap agar tulisan saya kali ini dapat menjawab email-email yang meminta saya memberikan formula untuk tenang ketika menghadapi masalah dan dugaan. Apabila dikatakan manusia apa yang pasti kita tidak dapat lari dari masalah. Mereka bertanya kepada saya apakah amalan yang patut mereka lakukan ketika didatangi bebanan masalah.

Dek kerana terlalu banyak formula yang ada dalam Al-Quran maka ianya akan mengambil masa dalam mengupas aplikasinya dalam hidup namun apa yang pasti intinya tetap satu iaitu cinta kepada Allah swt. Saya juga pernah ditanya mengapa banyak formula sedangkan tujuannya sama. Formula yang dikurniakan adalah mengikut tahap keupayaan manusia itu sendiri. Jika kita baru masuk darjah satu pastilah formula matematik berkisarkan tentang campur tolak dan tidak mungkin kita didedahkan dengan formula sin, cos dan sebagainya. Begitu setiap permasalahan dalam matematik akan dikupas dan dijawab dengan berpandukan formula yang berkaitan. Setiap tingkatan akan mendapat rumusan yang dipermudahkan dan akhirnya kita hanya perlu menggunakan kalkulator untuk mengira kerana kita telah pun mengetahui asasnya.

Masalah merupakan satu beban yang tersembunyi dan amat berat untuk dipikul. Walau sebesar mana pun tubuh fizikal seseorang itu belum tentu dia dapat memikul bebanan tersebut. Yang boleh memikul beban adalah tubuh spiritual manusia. Semakin sihat tubuh spiritual semakin kuat dia dalam menangani beban yang terletak dibahunya hinggakan apabila dia benar-benar hebat dia mampu menjadikan masalah sebagai teman bicara, emosi sebagai mainan, kerana tanpanya dia akan kebosanan.

Justeru bagaimanakah untuk menyihatkan tubuh spiritual. Perkara ini tidak dapat dikupas hanya dengan teori. Namun saya suka berkongsi apa yang boleh dikongsikan. Solat merupakan satu wadah kekuatan penyembuhan serta vitamin untuk tubuh spiritual jika kita memahami solat dan jika kita ‘benar-benar’ bersolat. Solat itu akan menjadi senjata yang ampuh jika kita menyakini Allah saw adalah tempat segala harapan.

Kita perlu memahami antara pelajaran dan dugaan. Yang pertama yang diajar Allah swt ialah pelajaran hidup dan dari situ barulah kita diduga. Kita selalu lupa bahawa kita telahpun diajar untuk menghadapi masalah, dan mana mungkin ujian diberi kepada yang belum belajar. Cuma kita mungkin terlupa tatacara menghadapi masalah atau kita terlepas pandang formula yang dikurniakan Allah swt.

Setelah memahami solat maka apabila berlaku sahaja masalah apa yang perlu anda lakukan ialah mengucapkan kembali Inna lillahi wa inna ilaihi roji'un yakni sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada Allah kami kembali. Mungkin ramai yang tahu hal ini. Tetapi saya menulis juga hal ini kerana ramai yang tahu tetapi tidak ambil tahu. Ramai yang tahu tetapi terlupa. Ramai yang tahu tetapi terlepas pandang. Semuanya ini berlaku kerana kesalahfahaman sesetengah pihak yang mengatakan bahawa ucapan itu hanyalah untuk kematian.

Ianya bukan sekadar untuk kematian tetapi ianya juga adalah kehidupan dan kehidupan adalah kematian. Mati dek kerana ruh kita tertimbus dengan ego manakala yang sebenarnya hidup adalah nafsu. Mengucapkan saja Inna lillahi wa inna ilaihi roji'un tanpa memahaminya hakikatnya juga tidak membawa seseorang itu ke arah penyelesaian masalah. Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada Allah kami kembali jika dikupas maka ertinya menyerahkan diri kepada Allah swt secara total kerana Allah swt yang maha mengetahui jalan keluarnya. Cubalah ucapkan dengan perlahan-lahan dan kemudian anda tidur. Insya Allah anda akan dapat mencari jalan keluarnya secepat mungkin.

Mengapa tidur? Mengapa tidak berfikir bagaimana untuk menyelesaikan masalah. Jika kita membacanya dan kemudiannya mencari jalan keluar maka kita tidaklah menyerahkan pada Allah swt secara total kita masih yakin kita boleh menyelesaikannya maka itu satu pendustaan yang besar. Kita tidur kerana tidur itu mati kecil. Orang yang mati tidak mampu berbuat apa-apa hinggakan untuk masuk ke dalam liang lahat juga dibantu orang. Untuk orang mati tidak perlu memerintah orang untuk mengangkatnya kerana orang akan mengangkatnya dan paling bagus orang melakukan kerana Allah swt.

Nah di sini kelainan soul power segalanya bermula dengan Tuhan dan berakhir dengan Tuhan. Dan apabila kita meninggal orang akan mengucapkan Inna lillahi wa inna ilaihi roji'un begitulah kiasannya. Jadi apabila kita sudah mengucapkannya kita lalui mati kecil. Orang mati akan bergantung dengan Allah swt. Begitu juga kita yang tidur. Kita tidak tahu apkah yang bakal berlaku waktu kita tidur. Jadi apabila kita tidur kita akan melepaskan segala masalah dan inilah yang dikatakan pergantungan. Insya Allah apabila kita bangun kita akan mudah melihat jalan keluar bagi setiap permasalahan baik untuk diri sendiri atau untuk orang lain.

Kita perlu ingat yang kita sering zalim terhadap diri sendiri; kita sering menilai orang lain lebih dari menilai diri sendiri maka sesuai apa yang dikatakan rasulullah saw musibah itu bagi orang yang zalim adalah pelajaran, dan bagi orang yang beriman adalah ujian. Cubalah tanamkan tekad mulai hari ini kita akan sentiasa memahami dan mengucapkan Inna lillahi wa inna ilaihi roji'un bila saja kita berhadapan musibah samada ianya berbentuk fitnah, cercaan, atau penindasan. Jangan pula setelah kita mengucapkannya kita mencari jalan untuk membuat pembalasan atau pembuktian atas alasan membuktikan kebenaran. Yang benar pasti terbukti yang batil pasti ke tepi.

Saya terbaca satu artikel yang menulis tentang Imam al Baqir berkata kepada salah seorang sahabatnya, "Aku wasiatkan engkau dengan lima hal. Jika engkau dizalimi, maka janganlah engkau menzalimi. Jika mereka mengkhianatimu, janganlah engkau berkhianat. Jika engkau didustai, janganlah engkau marah. Jika engkau dipuji, janganlah engkau bergembira. Dan jika engkau dikecam, janganlah engkau bersedih hati." Jika kita lihat kata-katanya seperti kata-kata orang lemah namun itulah sebenarnya orang yang kuat kerana orang yang kuat dia akan hidup dengan cinta Allah swt dan setiap masalah yang datang pastinya dengan izin Allah swt.

Tidak satu zarah pun yang mampu bergerak tanpa izin Allah swt. “Tiada suatu musibah pun yang menimpa diri seseorang kecuali dengan izin Allah, dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya (HR Bukhari).

Apabila sakit itu datang pastilah Allah swt akan menurunkan pasangannya iaitu penyembuhan. Untuk langkah awal dalam menangani masalah yang sedang anda hadapi cuba ucapkan Inna lillahi wa inna ilaihi roji'un sebanyak mungkin tetapi ianya tidak bermaksud pula anda harus membacanya dengan kadar kelajuan yang boleh mengalahkan keretapi ekspress. Ucapkanlah dengan santai insya Allah jika anda sering melakukan anda akan mendapati masalah adalah satu permainan yang menyeronokkan. Setelah seminggu anda mengucapkannya setiap hari, cubalah layangkan email kepada saya untuk dikongsi pengalaman anda agar dapat menjadi pembakar semangat kepada yang lain.