Sunday, December 28, 2008

Terapi Alam


Dek banyaknya kita memikirkan hal dunia sering menyebabkan kita buntu dan sakit. Biar sebanyak mana kita memikirkan dunia namun dunia tidak pula bersimpati kepada kita. Beberapa hari lepas kebanyakan akhbar aliran perdana menulis tentang depresi atau kemurungan. Saya juga banyak menerima email yang sebegitu.

Masalah yang menimpa dan pendaman perasaan adalah satu dari unsur yang banyak menyumbang kepada kebuntuan otak dan perasaan. Semakin kita mencari jalan keluar semakin sempit lorong yang kita lihat. Semakin banyak orang yang kita temui semakin resah kita dibuatnya. Semakin banyak nasihat yang diterima,semakin berat masalah yang kita pikul. Akhirnya hidup jadi tidak keruan. Apabila ini terjadi kita akan mula mencari siapakah yang dapat membantu dan terapi apakah yang sesuai.

Hal ini berlaku pada seorang teman dan saya berterima kasih kepada beliau kerana membenarkan saya berkongsi ceritanya dalam artikel kali ini. Beliau seorang yang begitu rajin bekerja dan mempunyai cita-cita besar. Beliau seorang yang amat baik namun saya berpendapat dia juga seorang yang amat murah hati. Meminjam kata-kata filem P.Ramlee `biar baik hati tapi jangan murah hati’. Murah hati ini sebenarnya banyak bahaya dari baiknya kerana apabila seseorang itu murah hati maka selalunya dia tidak mampu menolak permintaan orang lain walaupun berlawanan dengan kehendaknya.

Begitulah dengan teman saya tadi, dia amat sukar menolak kemahuan orang lain. Jika sekiranya ada orang datang bertemu dengannya dan meminta pertolongan, dia akan menolongnya walaupun dia tidak mampu melakukannya. Contohnya sewaktu dia kekurangan wang dan pada waktu yang sama ada temannya datang meminta bantuan kewangan darinya. Biarpun dia kekurangan wang namun dia cuba sedaya upaya membantu hingga dia pula terpaksa meminjam dari orang lain. Setelah beberapa ketika,teman yang ditolong dahulu hilang entah ke mana dan dia pula terpaksa menanggung beban yang dilakukannya dahulu.

Teman saya ini pula kini menghadapi pelbagai masalah dan ditambah dengan beban yang sedia ada menjadikan dia tertekan. Akibatnya dia kini lebih suka menyendiri dan memendam rasa. Kualiti kerjanya merudum dan secara tidak langsung kualiti hidupnya juga merosot. Tidak salah jika baik hati kerana apabila baik hati kita akan memikirkan diri kita dahulu walaupun ianya kelihatan seperti pentingkan diri sendiri. Seharusnya kita pentingkan diri sendiri dalam beberapa hal.

Jika kita berkorban untuk orang lain dan pengorbanan itu atas dasar kasihan dan bukan atas dasar Tuhan, kita tanpa sedar membawa diri kita ke lembah masalah. Satu ketika nanti hilang kasihan maka timbul pula kebencian dan akibat kebencian ini timbul pula penyakit. Apabila kita berkorban atas namaNya, Allah pasti memberi pertolongan tetapi apabila atas nama kasihan, maka seharusnya kita bersedia menanggung akibatnya. Penyakit yang sering mendatangi manusia tanpa kita sedari.

Akibat tekanan perasaan yang berlarutan, teman saya mula mencari jalan keluar. Dia mencari orang boleh mendoakan dia agar kuat dan mencapai kekuatan diri. Puas dia mencari, asal dia tahu ada orang yang alim,dia akan pergi berjumpa hingga satu ketika dia hampir berputus asa kerana tekanan perasaannya masih tebal.

Setahun yang lepas dia datang berjumpa saya dan bertanya tentang terapi yang patut dia lalui.
Saya bertanya kepadanya, “seandainya kamu berjumpa orang yang alim yang tidak pernah sesaat pun melupakan Allah, apakah kamu suka dan mahukah kamu minta didoakan olehnya?’”
tanpa banyak bicara dia terus menjawab “ya itu pasti”.
Saya bertanya lagi kepadanya "apakah yang mampu membuat hati tenteram".
Dia berkata dia hanya jadi tenteram bila dia keluar berjalan.
“Ooo… begitu, bukankah hati hanya jadi tenteram apabila mengingati Allah?” tanya saya.
Dia membenarkan kata-kata tersebut tetapi dia berkata dia telah cuba berzikir namun masih juga tidak mencapai ketenteraman jiwa.
Ya, itulah yang selalu kita dengar. Ini kerana kita sering berzikir dibibir tetapi fikirannya melayang entah ke mana.

Dalam program Soul Power, kita perlu menjadikan fakulti jiwa, fakulti minda dan fakulti mulut berjalan ke satu destinasi yang sama. Tanpa destinasi yang sama, pastinya kekuatan diri tidak akan dapat dicapai.

Berbalik kepada teman saya tadi saya menjelaskan kepada teman saya bahawa jika kita lihat dari satu sudut gelombang otak, hanya dengan mengingati Allah dengan ketiga-tiga fakulti itu tadi akan membawa seseorang itu ke satu tahap gelombang yang rendah. Justeru itu gelombang di kaabah begitu rendah kerana di sana manusia mengingati Allah dengan seluruh jiwa dan raganya.

Saya terangkan lagi, selain manusia, jin dan syaitan, alam ini kesemuanya bertasbih kepada Allah selama 24 jam sehari dan mereka tidak pernah melanggar amanah Allah.

Dalam suarah Al Isra :44, Allah berfirman:
"Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tiada suatu pun melainkan bertasbih dengan memujiNya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun".

Pastinya jika kita kenal orang yang mengingati Allah swt dengan seluruh jiwa dan raganya, kita akan mahu bersamanya selama kita hidup. Mengapa tidak kita duduk bersama dengan pokok dan binatang. Kita memandang remeh akan kedudukan tumbuhan dan binatang kerana meraka tidak setaraf dengan kita. Jika anda mempunyai masalah sama dengan teman saya maka saya syorkan satu terapi yang murah bahkan adakalanya boleh didapati secara percuma. Namanya terapi alam. Terapi alam ini bermaksud kita menjadi sahabat kepada alam. Persoalan yang mungkin timbul adalah mengapa alam dan apakah manfaatnya.

Alam mengandungi pelbagai makhluk yang ada di dalamnya. Antaranya angin, tumbuhan dan binatang. Mereka ini tidak pernah lupa pada Tuhan tidak sebagaimana manusia yang sentiasa sibuk dalam urusan dunianya. Mereka yakin pada aliran hidup yang ditentukan oleh Allah swt. Maka dengan itu gelombangnya rendah. Untuk menjadi sahabat kepada alam terlebih dahulu kita perlu untuk mengenal alam itu sendiri.

Salah satu terapi alam yang kian mendapat tempat di hati manusia di barat ialah bercakap dengan pokok. Apabila kita ingin menjadi sahabat kepada seseorang itu, perkara pertama yang kita akan lakukan ialah bercakap dengannya dan oleh sebab itu kita perlu bercakap dengan pokok atau tumbuhan yang ada. Kita tidak perlu meluahkannya secara lisan kerana ianya boleh dilakukan dalam hati. Pokok atau tumbuhan mempunya gelombang yang rendah dan ia mampu mempengaruhi gelombang fikiran kita apatah lagi sewaktu kita mempunyai gelombang otak yang tinggi.

Apabila kita sering melakukan hal yang demikian yakni meluahkan perasaan negatif yang ada dalam diri kepada alam, lama kelamaan ianya akan susut dan energi positif akan mula mengambil alih ruang kosong yang ditinggalkan. Sekiranya anda merasa tertekan, atau merasa kesunyian atau mempunyai masalah yang begitu sukar untuk dirungkai, cubalah bersahabat dengan alam kerana alam mempunyai jiwa yang tenteram kerana mereka sentiasa mengingati Allah swt.

Insya Allah jiwa anda akan menjadi lembut kerana tanpa sedar anda juga akan mengingati Allah swt dengan seluruh jiwa dan raga. Anda tidak perlu beli bunga yang mahal atau pokok yang besar tetapi memadai mempunyai pokok hiasan yang anda gemari dan sejuk mata memandang. Dan mulakan dengan memberi salam dan teruslah berbicara seadanya dengan bunga tersebut. Semoga anda akan mencapai keadaan baik hati dan bukan murah hati. Ingatlah bahawa alam itu lebih taat kepada Penciptanya maka hilangkanlah kesombongan kita terhadap alam.