Saturday, June 14, 2008

MARI BERTUTUR BAHASA POSITIF



Baru-baru ini saya bersama beberapa orang teman meluangkan masa untuk berbual panjang kerana kebetulan mereka juga mendapat cuti hujung minggu yang panjang. Bila kawan lama berjumpa pelbagai topik yang keluar termasuklah cerita-cerita yang mencuit hati satu ketika dahulu.

Kalau dahulu perbualan kami agak kurang berisi tetapi kini walau dalam jenaka sekalipun ada mesej yang menjadi iktibar untuk kami semua. Perbualan orang bujang dan orang yang telah bekeluarga jauh berbeza. Perbualan kami diselang seli dengan pertanyaan tentang keluarga hingga ada yang meminta pandangan dan ada juga yang memberi pandangan tanpa diminta. Namun tatacara cara kami berbual tetap seperti dahulu banyak yang negatif. Oh! Oh! Jangan salah sangka pula, yang negatif itu bukan hasil kandungan tetapi susunan ayat yang secara tidak langsung akan menyemai fikiran yang negatif dalam sub conscious memory kita.

Ketika ini cuba kita nilai dalam sehari berapa kali kita menyemai perkataan negatif tanpa kita sedari. Apakah yang dipanggil ayat –ayat yang meransang beban negatif dalam sub conscious memory kita sehari-hari? Contoh ayat yang sering kita gunakan ialah “betul TAK?” atau “jadi datang TAK?’. Tak ataupun tidak di sini memberi impak negatif dalam fakulti minda kita.

Sebenarnya bukan salah bahasa kerana jika kita menggunakan bahasa dengan betul dan bukan seperti bahasa pasar maka ayat tersebut dapat dipositifkan contohnya “adakah ianya BETUL?”. Betul dan tidak adalah dua perkataan yang berlawanan maksud. Penggunaan bahasa yang disusun secara negatif ini juga merupakan warisan kita tetapi bukan dari zaman berzaman kerana ianya hanya bermula pulhan tahun sahaja.

Semakin moden kehidupan yang kita lalui semakin kurang masa yang kita miliki justeru segalanya perlu diringkaskan termasuklah bahasa. Cuba kita lihat filem filem zaman kegemilangan melaka, bahasa yang digunapakai bukan sahaja indah tetapi disusun dalam susunan yang positif. Kalau dahulu mereka tidak mengucapkan “jadi datang TAK?’ sebaliknya mereka bertanya dengan penuh sopan dan positif “adakah tuan hamba jadi ke mari?”. Pada era yang kian maju dan di mana-mana terdengar perbincangan tentang dunia IT yang canggih, maka bahasa menjadi semakin ringkas kerana mungkin dalam kemudahan sms ruang untuk menulis itu terhad.

Bahasa yang ringkas bukan isu yang besar tetapi yang perlu ditekankan adakah ianya menjadi medium untuk beban fikiran negatif disemai dalam minda seseorang itu. Jadikan setiap yang kita tuturkan itu positif seperti “jadi datang KE?’. Kita harus cuba untuk meminimakan perkataan negatif seperti tidak, jangan dan sebagainya dengan hanya menggunakan perkataan-perkataan ini pada ketika ianya diperlukan. Adakah ianya sesuatu yang susah? Bagi saya tidak tetapi oleh kerana kita sudah terbiasa dengan ayat negatif yang disajikan dari kecil maka ianya mengambil masa untuk seseorang itu menyusun ayat. Saya sendiri kadang-kadang tersasul juga kerana ayat-ayat yang baru disusun kedengaran seperti terlalu formal. Jika kita kaji mereka yang sering menggunakan bahasa inggeris yang standard mempunyai keyakinan diri serta berfikiran positif. Ini terjadi bukanlah kerana mereka lebih pandai dari orang lain tetapi dalam bahasa standard termasuk bahasa melayu susunan ayat adalah positif.

Saya bukanlah pakar bahasa tetapi saya percaya bahasa memainkan peranan yang agak penting dalam menjana sahsiah seseorang. Begitu juga sewaktu kita mendidik anak, seringkali kita memarahi tanpa memberi penjelasan. Jika seseorang melihat anaknya ingin bermain api maka tanpa berlengah lagi dia akan menjerit “JANGAN api”. Dengan keadaan terperanjat kanak-kanak tersebut menjadi takut lalu berlari menjauhi api. Mungkin end resultnya dapat dicapai namun jika dilihat dari suatu sudut seseorang yang melakukan hal tersebut secara tidak sedar telah menyemai benih-benih persaan takut tanpa sebab. Alangkah baiknya jika dia mendatangi kanak-kanak tersebut lalu mengatakan “Hati-hati api ini panas dan jika terkena tangan akan mendatangkan kecederaan. Bermainlah jauh dari api agar tidak cedera”. Mungkin ayat ini dilihat agak panjang tetapi ianya dapat memberi satu ilmu pengetahuan kepada kanak-kanak tersebut tentang api dan dia faham konsekuen dari perbuatannya bermain api. Perubahan dalam menyusun ayat bertenaga positif ini mungkin mengambil masa tetapi ianya lebih baik kerana sesuatu yang yang dilakukan secara tergesa-gesa akan memberikan hasil yang kurang memberangsangkan.

Hasil habit yang kita tanam sejak kecil maka kita sehingga kini seringkali dibebani dengan fikiran yang mempunyai elemen negatif. Ramai orang yang melalui kesusahan hidup sering mengucapkan perkara negatif. Dahulu saya juga begitu. Dalam menjalani kehidupan yang begitu banyak onak dan duri saya sering berkata pada diri saya “aku TAK mahu hidup susah lagi, aku akan berusaha” maka sebenarnya awal-awal lagi mental block telah diwujudkan hinggalah suatu hari abang angkat saya berkata “zhar, cuba ucapkan perkara positif tanpa ada negatif” Saya pada mulanya agak musykil dengan saranannya. Melihat saya seperti kurang faham beliau menambah cuba hanya diucapkan aku akan berusaha dan jangan lagi mengucapkan perkataan yang awal tadi.

Lama juga saya mencuba mengguna ayat yang beraliran positif ini dan akhirnya saya dapat melihat perubahan demi perubahan positif yang terjadi dalam kehidupan seharian. Saya telah pun merasai manfaat dari pengetahuan yang saya perolehi maka alangkah bagusnya jika saya dapat berkongsi dengan pembaca ruangan ini.

Dalam apa jua bidang kita perlu merasai manfaat sesuatu perkara atau keilmuan barulah kita mengajarnya kepada orang lain. Jika seseorang yang mengajar sesuatu tanpa dia merasa manfaat ilmu pengetahuan yang diajarnya maka orang tersebut secara tidak langsung akan merosakkan orang yang diajarnya, mana mungkin orang yang belum sampai ke kota london dapat menceritakan secara terperinci kota london serta suasana sebenar kota london. Kita perlu mengajar dari jiwa kerana apa juga yang keluar dari jiwa mempunyai tenaga yang kuat dan mudah untuk diterima oleh jiwa pendengar.

Berbalik kepada bahasa positif, kita seharusnya cuba menggunakan bahasa yang betul dan positif walupun ringkas. Langkah yang perlu diambil untuk bertutur dalam bahasa positif ialah berfikir dahulu tentang apa yang hendak kita ucapkan. Jika ucapan tersebut mengandungi unkapan negatif tanpa ada keperluan bagi ungkapan tersebut maka susunan bahasa itu perlu dirombak. Lakukan tanpa tergesa-gesa contohnya untuk permulaan elakkan menggunakan perkataan TIDAK atau TAK jika tidak diperlukan dan gantikan dengan perkataan lain contohnya KE. Setelah agak berkurangan maka cuba pula untuk kurang menggunakan perkataan JANGAN tanpa sebab. Cuba tukar susun ayat kepada ayat yang dapat memberi kenyataan tentang sesuatu hal. InsyaAllah lama kelamaan ianya akan menjadi satu habit untuk anda agar dapat bertutur dengan positif yang mana secara tidak langsung akan memperbanyakkan unsur-unsur positif dalam sub conscious memory anda.

Dengan bertambahnya unsur-unsur positif ini tadi secara tidak langsung akan memberi motivasi yang dapat mengubah persepsi anda terhadap satu perjalanan yang dipanggil kehidupan. Selamat mencuba