Friday, October 16, 2009

Sumpah Orang Minyak


Whatever you have in your mind - forget it, Whatever you have in your hand - give it, Whatever is to be your fate - face it . (abu sa'id)


Sewaktu menonton cerita lama berjudul sumpah orang minyak saya tersenyum sendiri bahkan saya jika orang minyak tersebut berada pada hari ini pastinya dia menyesal dengan ilmunya. Jika pada waktu itu dia mungkin boleh berbangga dengan ilmunya namun sekarang orang minyak juga sudah mula pening kepala. Semuanya gara-gara minyak di pasaran dunia meningkat dari masa ke semasa, justeru dia pastinya akan terasa bahangnya kerana dia perlukan minyak untuk ilmunya walaupun bukan petrol atau diesel tetapi bahang harga pasti terasa.

Bermula pada hari minyak dinaikkan hinggalah ke hari ini ianya masih menjadi topik hangat bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia. Pada setiap ketika kita akan mendengar orang mengeluh tentang minyak. Saya memberitahu peserta saya baru-baru ini yang gaji mereka pada bulan ini adalah wang sumpahan. “Mengapa pulak?” Tanya salah seorang dari mereka. Inilah halyang sering diambil ringan oleh manusia. Kita sering bercerita tentang duit dan apabila kita bercerita tentang duit pasti topik hangat ialah duit tidak cukup. Dalam program saya, sifat dan sikap duit ini harus kita ketahui sebelum kita asyik bercerita tentang duit kerana apabila bercerita tentang duit hasilnya selalu emosi murahan yang sering mendatangkan keluhan dan rungutan. Semakin hari kita merasakan kita sentiasa dihimpit oleh kesengsaraan yang diakibatkan oleh duit. Biarpun mereka berduit, mereka akan tetap memikirkan duit yang tidak pernah cukup dan tidak akan cukup. Apatah lagi bila hal berkait minyak kini berlaku.

Mengapa saya katakana gaji pada ketika harga minyak dinaikkan adalah merupakan wang sumpahan. Cuba kita lihat satu senario yang mudah, pada suatu hari seorang pemuda yang hidupnya serba sederhana. Setiap hari dia akan ke pejabat untuk mencari nafkah dan setiap bulan dia akan menerima imbuhan hasil kerjanya. Imbuhan tersebut digunakan untuk menyara kehidupannya sekeluarga. Dia merasakan apa yang diperolehinya cukup untuk mereka sekeluarga. Tetapi pada suatu hari dia dikejutkan dengan satu berita gempar. Harga minyak naik 41%, dia mula risau dengan keadaan itu. Sikapnya yang dahulu pendiam kini mula berubah, dia banyak membebel tentang gajinya yang tidak cukup, bukan itu sahaja,dia kini tidak lagi seperti dahulu,dia kini menjadi seorang yang bengis. Jika dahulu sewaktu mahu ke pejabat dia akan tersenyum ke tempat dia mencari nafkah tetapi sekarang setiap pagi dia akan merengus kerana menurutnya wangnya akan kurang dan hidupnya akan menjadi susah.

Dia menjalani satu kehidupan yang tidak tenang selama beberapa minggu hinggalah sewaktu dia mendapat gajinya. Sewaktu mendapat gajinya pada bulan tersebut dia mulanya gembira, hilang seketika apa yang selama ini dirunsingkan namun cerianya hanya seketika, dia telah mendapat sakit demam panas dan terpaksa ke pusat kesihatan berhampiran rumahnya. “dah lah duit makin kurang sakit pulak tu” dia melepaskan rasa geramnya. Setelah sihat dia kembali bekerja, selang beberapa hari isterinya pula jatuh sakit, sekali lagi dia menyumpah seranah keadaannya. Dia mula berkata, ”macamana nak menyimpan kalau hari hari asyik keluar,ini semua salah minyak”. Hatinya panas mengenangkan duitnya yang makin berkurangan. Dan dipendekkan cerita akhirnya pada bulan itu duitnya memang terus tidak mencukupi dan ianya berlarutan hingga dia terpaksa memikirkan jalan keluar. Apakah moral cerita yang ingin saya sampaikan. Mudah sahaja, jangan menyumpah duit kerana duit yang disumpah itu jugalah yang akan menjadi bahan tukaran untuk makanan dan kehidupan kita.

Jika kita menyumpah duit yang ada dengan kata-kata nista, maka duit yang disumpah itu sebenarnya bakal mempunyai energi negatif dan apabila energi tersebut masuk menyerap ke tubuh kita maka kita akan menjadi negatif. Contoh paling mudah dan paling sering kita dengar ialah apabila orang yang memenangi nombor ekor dan menggunakan wangnya untuk membeli kereta, sering kita dengar ialah kereta tersebut akan mengalami kemalangan. Mengapa terjadinya kecelakaan sebegitu, nanti kita pasti mendengar jawapannya wang itu wang judi jadi wang itu panas. Benar namun apakah penjelasana kepada `kepanasan’ wang tersebut. Wang sebenarnya adalah bahan sumpahanyang sekian lama disumpah, bukan makhluk lain yang menyumpah tetapi manusia. Jika seseorang itu mendapat wang judi yang dimenangi dengan nombor 1234 misalnya, maka mereka yang membeli nombor 1233 atau mana nombor yang menghampiri nombor tersebut akan berkata, “celaka sikit lagi aku kena”.

Kata-kata ini merupakan satu sumpahan kepada wang yang dimenangi oleh penjudi yang memiliki 1234. cuba kita bayangkan jika ada sepuluh ribu orang yang berkata demikian, bukankah si penjudi tersebut sekarang memliki wang yang bernama celaka, denagn wang yang bernama celaka dia membeli makanan atau apa yang dia hajati selama ini. Secara tidak langsung barangan yang dia beli juga juga lahir dari wang celaka, ibarat seorang anak lahir lalu dibinkan dengan celaka. Jika makan makan makanan itu juga pasti bernama celaka,apabila makanan celaka ini masuk ke dalam tubuh maka tubuhnya juga menjadi celaka. Justeru itu dia juga akan mendapat celaka. Hal wang itu bukan tertakluk pada skop yang kecil yang melibatkan perjudian bahkan segalanya. Minyak umpamanya, jika hari-hari merungut dan setiap kali pergi ke stesen minyak kita akan berkata, ”hai susahnya sekarang…” maka itu menandakan duit yang kita bayar kepada si empunya station itu namanya susah.

Duit susah ini pula dimasukkan ke dalam bank damn akhirnya kita gunakan kembali. Maka akhirnya kita akan mengalami kesusahan. Oleh yang demikian itu saya mengatakan ianya adalah wang sumpahan. Untuk bulan ini amat sukar bagi kita untuk mencari mereka yang tidak mengeluh, memaki atau berkata negatif tentang duit walaupun mereka kata mereka tidak melakukan demikian kepada duit tetapi secara tidak langsung apabila minyak diperkatakan ianya juga adalah sebahagian dari duit. Jadi saya menyeru kepada para pembaca mulai hari ini kita sama-sama untuk berhenti menyumpah apa yang kita guna untuk membeli barangan kerana wang sebenarnya telah lama menjadi bahan sumpahan maka tidak perlulah untuk kita menambah energi negatif yang ada. Kita bukan sahaja bakal merosakkan diri kita bahkan generasi akan datang kerana setiap makanan yang kita beli itu akan menjadi darah daging dan ia akan membentuk satuk generasi yang sudah terpateri energi negatif.

Mungkin ada yang bertanya bagaimana pula untuk meneutralkan energi negatif yang yang sudah terpatri dalam kertas yang digelar duit itu. Islam itu amat mudah bagi mereka yang memahami dan amat sukar bagi mereka yang suka untuk menyukarkan. Bagi saya cara paling mudah untuk mereka yang belum menghadiri program saya ialah dengan berselawat. Sebelum kita gunapakai wang tersebut kita perlulah berselawat. Mungkin masih ada lagi yang bertanya, berapa kali perlu kita lakukan selawat. Ini adalah hakikat jiwa, jika kita melakukankan dengan bibir maka ianya tidak menusuk dan mengubah banyak namun jika kita lakukan dengan jiwa maka ianya insya Allah akan berubah. Dalam super sedar bilangan tidak menjanjikan apa-apa tetapi keikhlasan memberi satu momentum yang sukar diterjemahkan dengan bahasa.

Seperkara lagi, mulai hari ini juga berhentilah dari menghipnotis diri kita dengan kata-kata negatif. Contohnya “susahlah sekarang, berniaga pun susah,kerja pun susah…” atau apa jua kata-kata berbentuk negatif. Seharusnya kita bersyukur harga minyak naik kerana itu pastinya juga datang dengan rezeki kerana bagi mereka yang percaya dengan penuh yakin serta bergantung terus kepada Allah swt pasti tiada rasa kebimbangan. Allah swt berfirman bahawa barangsiapa yang bertawakal kepadanya pasti akan cukup keperluannya. Allah swt tidak berfirman jika minyak naik maka kecukupan kita akan dikurangkan. Kita hanya perlu bimbang harga minya jika kita bergantung pada duit untuk hidup dan bukan pada Allah swt. Saya mohon maaf andainya ada kekasaran pada kata-kata saya namun percayalah Allah Swt itu Maha Adil dan tidak akan sekali-kali membebankan hambaNya. Amiin.