Tuesday, March 16, 2010

Alam Kecil vs. Alam Besar


Semenjak dari zaman belajar lagi saya begitu meminati lagu-lagu puitis yang didendangkan oleh penyanyi Ebiet G. Ade yang banyak mempunyai unsur-unsur renungan untuk diri kita dan untuk lihat ke arah mana kehidupan ini hendak dibawa. Salah satu lagu yang saya rasakan cukup terkesan bagi kita yang sedang menghadapi cuaca yang begitu panas ada lagu yang berjudul berita kepada kawan yang mana ada diantara liriknya menyebut “atau alam mulai enggan bersahabat dengan kita”.

Jika kita renungkan dengan pelbagai kejadian bencana alam yang sering sahaja melanda dunia ketika ini, mungkin ada benarnya yang alam sudah mula tidak mahu bersahabat dengan kita kerana kesombongan kita yang berada di atas muka bumi ini hingga kita alpa yang kita bakal menghuni perut bumi keseorangan dalam kegelapan satu hari nanti. Jika kita duduk di kedai-kedai ramai yang bercerita tentang kenal diri dan seringkalilah diungkapkan kata-kata “barangsiapa kenal dirinya akan kenal Tuhannya” dan ramai yang menganggap ianya hadis walaupun hakikatnya bukan.

Walaubagaimanapun saya berpendapat ada perkara yang baik yang boleh kita ambil dari kata ungkapan tersebut. “Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?” Surah : FUSSILAT Ayat : 53. Maka nyata sekali tanda kebesaran Allah swt boleh dilihat pada diri kita sendiri.

Kita seringkali merenung alam untuk mengenal penciptanya, kita melihat keajaiban alam dan kita memuji penciptanya, kita terlupa pula untuk merenung diri sendiri untuk mengenal penciptanya, kita alpa untuk melihat keajaiban diri untuk mengenal penciptanya kerana bagi kita hanya alam tanda kebesaran Allah swt maka dek kerana sering merenung ke luar kita lupa merenung ke dalam. Kita lupa bahawa diri kita sebenarnya adalah alam kecil yang di dalamnya terkandung alam besar. Memahami alam kecil akan membuka rahsia alam besar.

Jika di luar ada sungai, di tubuh kita juga ada sungai, jika di luar ada batu di tubuh kita juga ada batu, jika di luar itu panas, di dalam ini juga ada cuaca. Jika panas menjadikan kita demam maka panas juga menjadikan dunia semakin sakit. Jika kita semakin lemah apabila usia meningkat maka dunia juga semakin longlai dalam mengharungi hidupnya. Terlalu kurang diantara kita yang begitu merenungi dirinya sendiri dalam menafsir hakikat alam. Kita begitu sibuk untuk melihat apa yang di luar dan kita ambil ringan apa yang di dalam.

Bagi kita yang di luar itu lebih penting maka apabila ini terjadi huru-haralah hidup kita. Saya sering memberitahu para peserta program saya bahawa jika di luar itu ada binatang maka di dalam ada juga binatang bahkan lebih buruk lagi kerana ianya membawa kepada sifat kebinatangan yang buas. Binatang hidup liar kerana habitatnya tetapi nafsu kebinatangan yang buas dalam diri manusia boleh membunuh apabila dibiarkan.

Saya teringat satu kisah sufi yang mana seorang Syeikh besar sufi dijemput untuk memberikan ceramahnya di satu tempat. Ketika itu ramailah yang menunggu akan kedatangan Syeikh yang mereka kagumi ilmunya. Ketika sampai di tempat berkenaan, Syeikh tersebut disambut oleh guru yang mengundang syeikh tersebut. Mereka yang pada mulanya begitu teruja untuk mendengar ceramah Syeikh pada awalnya, menjadi diam dan lesu kerana melihatkan Syeikh tersebut membawa anjing. Dan setelah program habis, berpusu-pusulah mereka mendatangi guru yang mengundang Syeikh tersebut untuk meluahkan rasa kecewa mereka terhadap Syeikh tersebut.

“Mengapakah seorang Syeikh besar datang memberi ceramah membawa anjing?” soalan yang kelihatan keras, dijawab secara lembut oleh guru tersebut “ hanya itu yang kamu semua ragui?” lalu dia menyoal kembali mereka yang hadir “kamu melihat anjing yang dibawa Syeikh tersebut?” “ya!” jawab sekelian yang ada.
“kamu lihat anjing itu di luar atau di dalam?” tanya guru itu lagi. “Di luar” jawab mereka.
“kamu lihat anjing itu yang mengikut Syeikh besar atau Syeikh besar yang mengikut anjing?” tanya guru kepada muridnya yang tadi memikirkan kesalahan Syeikh besar.

Jawab muridnya “wahai guru, kami melihat anjing itu di luar dan Syeikh besar berjalan mendahului anjing”, lalu si guru mengupas dengan tertib tanpa sedikitpun emosi “itulah pelajaran yang paling penting yang ingin disampaikan oleh syeikh besar… kita lihat anjingnya sudah di luar sedangkan anjing kita masih di dalam. Kita lihat anjingnya mengikuti beliau dari belakang sedangkan kita dipimpin anjing di dalam diri. Bukankah Syeikh ingin menunjukkan yang perlu bagi kita adalah mengeluarkan anjing dalam diri dan memimpinnya dan bukan sebaliknya."

Jika berlaku sebaliknya maka kita belum lagi layak digelar pemimpin.” Terpegunlan murid-murid yang hadir mendengar kupasan tersebut lalu mereka berusaha untuk mengeluarkan sifat kebinatangan yang ada dalam diri masing-masing dalam usaha membentuk diri. Jika kita lihat dunia ini mengandungi 70% air, begitu juga dengan diri kita. Justeru jika hari ini dunia semakin panas pastinya ada kaitan dengan diri kita. Satu kajian mendapati bahawa dunia mempunyai gelombang alpha yang dikeluarkan oleh tumbuh tumbuhan. Perlu juga kita tahu mengapa?

Ianya kerana pokok-pokok serta binatang bertasbih 24 jam kepada Allah swt dan mengingati Allah swt itu membawa kepada gelombang yang rendah. Kini bumi semakin telanjang akibat kerakusan manusia, pokok-pokok yang dulunya menghijau kini menjadi batu serta tar yang panas. Kita boleh lihat di sekeliling kita, kita boleh lihat di kampung halaman kita, semakin kurang untuk melihat kehijauan yang dulunya cukup indah, cukup menyegarkan. Apabila pokok-pokok kian terhapus, binatang-binatang kian pupus maka jumlah yang bertasbih tanpa henti kepada Allah swt semakin berkurangan.

Manusia hanya mengingati Allah swt sewaktu susahnya selebihnya mereka membantu mengeluarkan gelombang beta dari fikiran mereka tanpa hentinya dek kerana mengejar hal-hal duniawi hingga mereka lupa yang paling penting dalam hidup adalah hubungan dengan Allah swt kemudian barulah diikuti hungan dengan manusia. Maka hari ini kita sudah terjerat dalam diri sendiri akibat tidak memahami diri sendiri kerana jika kita memahami diri sendir pastinya kita juga akan menjaga diri yang besar yakni alam.

Jika tubuh yang panas menjadi kurang selesa untuk kita maka samalah dengan cuaca yang panas untuk dunia ini. Justeru yang paling utama kini adalah dengan mengurangkan gelombang otak beta yang kita sumbangkan untuk kepanasan dunia. Apabila gelombang ini berjaya kita kurangkan dunia akan lebih selesa untuk didiami dan panjanglah umur dunia. Belajarlah untuk mengeluarkan gelombang rendah yang banyak. Bagi mereka ingin mempelajari terapi azan untuk menurunkan gelombang, sila layari www.aku-ok.com, semoga kita sentiasa dipayungi rahmat Allah swt dalam merencanakan setiap gerak langkah kehidupan.