“Ilmu tanpa amalan, ibarat pokok yang tidak berbuah.”
Sejak dua minggu kebelakangan ini saya diajukan soalan yang begitu senada yang bertanyakan apakah perbezaan saya dengan yang lain. Saya lebih senang untuk tidak menjawab soalan tersebut dengan membandingkan kandungan program tetapi saya lebih berasa aman jika saya mengupas tentang dua bidang yang berlainan untuk difikirkan. Suatu waktu dulu saya terlibat dalam bidang jualan. Keghairahan saya untuk maju dalam bidang itu menyebabkan saya sering menyertai program-program seminar berkaitan dengan bidang kejurujualan. Setiap kali selepas selesai seminar saya menjadi begitu ghairah dan bersemangat sekali untuk bekerja dan mencari wang.
Saya begitu bersemangat untuk berjumpa pelanggan dan berusaha untuk memenangi hati pelanggan. Namun seringkali pula semangat saya luntur di tengah jalan. Semangat yang pada awalnya begitu membara, padam akibat kekecewaan yang mungkin datang dari pelbagai sudut. Justeru untuk meningkatkan kembali semangat, saya kembali lagi untuk mencari program-program seminar yang dapat mengubah saya. Setelah mengikuti program yang seterusnya, hal yang sama berlaku lagi. Akhirnya saya menjadi malas untuk mengikuti program sedemikian kerana hangatnya sementara dan wang yang dibelanjakan bukan sedikit. Namun semangat untuk berubah masih kental dan akhirnya saya ditemukan dengan seorang yang bernama Andrew Cheng.
Dia telah melatih saya hingga saya tahu apa yang patut saya lakukan dan bagaimana harus saya lakukan. Mengapakah beliau dapat mengubah saya dan mengekalkan semangat saya hingga ke hari ini. Sebenarnya beliau tidak mengubah saya tetapi beliau melatih saya untuk berubah. Hari ini kita sering keliru dengan motivasi dan latihan(training). Ramai yang terperangkap dengan situasi ini sama seperti saya terperangkap satu ketika dahulu. Ramai yang menganggap latihan itu satu motivasi dan motivasi itu satu latihan. Sebenarnya ianya dua perkara yang berbeza. Motivasi dalam bahasa mudahnya memberi alasan. Ianya bertitik tolak dari soalan MENGAPA, contohnya mengapa kita dijadikan, mengapa kita perlu melakukan ibadah dan sebagainya.
Motivator pula adalah orang yang membuka minda untuk kita melihat alasan tersebut dan bagaimana alasan tersebut dapat menyebabkan kita melakukan sesuatu. Seseorang motivator perlu tahu cara paling efektif untuk menyampaikan bentuk alasan supaya diterima pakai oleh hadirin. Contohnya jika motivasi itu diberi kepada anak-anak sekolah, alasan yang sering kita dengar ialah jika kita belajar dan berjaya dalam peperiksaan maka kita akan dapat memasuki universiti. Alasan atau motivasi yang sering diberi oleh ibubapa untuk menyuruh anak-anak berpuasa mungkin dengan memberi upah pada setiap hari berpuasa.
Barat sudah lama menolak motivasi dalam sistem perkembangan insaniah kerana mengikut kajian University of California, Los Angeles, MOTIVASI GAGAL kerana ianya membawa sindrom yoyo atau bagi orang melayu hangat-hangat tahi ayam kerana kajian menunjukkan bahawa daya ketahanan motivasi hanya 4 hingga ke 5 hari sahaja yang mana cantuman neuro (neuro connection) belum berlaku sepenuhnya. Motivasi hanya menceritakan sebab mengapa dan ini berbeza dengan latihan atau training. Latihan bermaksud kaedah atau tatacara untuk mendapatkan sesuatu atau dengan kata lain latihan bertitik tolak dengan soalan BAGAIMANA.
Contohnya kita mungkin sering diajar mengapa kita dilahirkan di dunia. Kita perlu menjadi hamba yang taat, kita perlu beribadah dengan khusyuk. Jika soalan mengapa dan mengapa dikupas, kita semakin faham namun kita tak mungkin berubah kerana kita tidak dilatih untuk mendapatkannya. Kita hanya diajar untuk melakukan ibadah kerana motivasi atau alasannya syurga dan neraka. Tetapi kita jarang sekali dilatih untuk beribadah. Hanya dengan kata-kata tidak akan mengubah apa-apa kerana sudah terbukti kata-kata hanya bertahan untuk beberapa ketika. Dalam latihan ada motivasi tetapi dalam motivasi tiada latihan.
Cuba kita renungkan sama-sama secara jujur, berapa kali kita mengikuti kursus motivasi dan kemudian berubah. Saya yakin ramai yang berubah namun cuba ditanya lagi dalam diri berapa lama perubahan itu kekal dalam diri dan adakah ianya perubahan atau semangat. Tanyakan lagi dalam diri, berapa kali kita menghadiri ceramah-ceramah agama sejak kita kecil hingga dewasa, sekali, dua kali, tiga kali atau banyak kali. Tanyakan lagi ke dalam diri berapa kali kita berubah atau ketakutan kita pada azab Allah swt hanya ketika itu dan mungkin kita berasa seperti baru lahir di dunia pada keesokan harinya akibat ceramah yang hebat tetapi lusanya back to square one, atau kembali seperti asal.
Mengapakan seorang pelajar undang-undang tak kira bagaimana hebat keputusan peperiksaannya tetap sahaja perlu melakukan chambering sebelum layak digelar peguam, pasti ada alasannya. Alasan yang penting ialah setelah dia faham MENGAPA, dia perlu pula tahu BAGAIMANA. Justeru apabila orang bertanya kepada soalan yang saya nyatakan, saya sering menjelaskan bahawa saya seorang trainer yang melatih BAGAIMANA dan semestinya sebelum latihan dimulakan saya juga menceritakan MENGAPA. Saya sering diperkenalkan sebagai perunding motivasi ketika dijemput berceramah.
Saya sering meminta ruang untuk membetulkan kekhilafan itu yang mana saya kurang selesa dipanggil perunding motivasi kerana saya bukan motivator tetapi saya seorang trainer atau coach. Namun seorang pemotivasi boleh menaikkan semangat pemain bolasepak untuk menang perlawanan akan tetapi semangat tanpa strategi dan KAEDAH tidak dapat memberi kemenangan maka seorang jurulatih diperlukan untuk MELATIH supaya mereka pandai bermain bukan hanya bersemangat kerana semangat boleh datang dari pelbagai sudut sama ada dalaman, yang mana pemain ingin membuktikan kejaguhannya atau luaran yang mana pemain diberi ganjaran atas kemenangan.
Seorang jurulatih pula mestilah seorang bolasepak mestilah seorang yang pandai bermain bolasepak, mana mungkin orang yang tidak tahu menendang bola melatih pemain bola. Semoga kita kini dapat membezakan perbezaan yang jelas diantara motivasi dan latihan dan menjawab soalan mengapa motivasi gagal dalam mengubah secara efektif peribadi insan. Kata nabi saw, janganlah kamu ajar sesuatu yang kamu sendiri belum merasai manfaatnya.