Wednesday, May 6, 2009

Bisnes tanpa modal


Seperti yang saya janjikan pada keluaran lalu, saya kali ini akan cuba untuk mengupas pengalaman serta pengetahuan tentang apayang disebut bisnes tanpa modal. Saya pernah membicangkan tentang modal asas setiap perniagaan dan mungkin tidar sedar setiap dari kita adalah juga satu entiti perniagaan. Satu perkara yang sama dalam setiap perniagaan iaitu matlamat untuk mencapai keuntungan. Tiada siapa yang mahukan kerugian, aneh kalau ada yang mahu perniagaan mereka rugi. Jika kita mengganggap diri kita satu entiti perniagaan pastinya kita tidak mahu membuatkan diri kita mengalami kerugian.

Saya masih berpegang teguh dalam menyatakan modal asas yang amat perlu untuk kita mulakan perniagaan ialah diri kita sendiri. Kita harus tahu bagaimana untuk menjual diri kita sendiri. Jika kita mempunyai produk yang baik sekalipun tetapi tidak tahu bagaimana untuk menjual diri kita dengan betul maka produk tersebut sukar juga untuk dijual. Begitu juga dengan soal pengurusan, seandainya kita gagal dalam mengurus diri kita sendiri maka kita pastinya juga bakal melihat kegagalan dalam urusan dunia kita. Justeru modal asas setiap perniagaan adalah keupayaan diri sendiri dan perkara paling pokok ialah keberanian.

Keberanian
Keberanian adalah perlu untuk setiap perniagaan. Kita mungkin pandai berhujah tentang perniagaan tetapi adakah kita cukup berani untuk berenang di lautan perniagaan yang penuh gelora. Jika sekadar menyandarkan teknik semata-mata maka ianya masih berlu mencukupi. Berani yang saya maksudkan bukanlah bermaksud berani membuta tuli. Jika membuta tuli itu dianggap berani, saya menganggapnya sebagai satu kebodohan. Kita perlu mengira jumlah risiko yang terdapat dalam setiap tindakan kita.

Justeru itu saya pernah menulis bahawa solat istikharah itu patut diutamakan dari solat hajat. Ini kerana kita mungkin menyukai sesuatu bidang perniagaan tetapi mungkin tidak serasi atau sesuai dengan kita. Kita perlu faham bahawa adakalanya perkara yang kita suka boleh jadi suatu perkara yang bakal membawa keburukan kepada kita dan sering berlaku juga perkara yang kita benci rupa-rupanya adalah perkara yang member manfaat kepada kita. Maka yang mengetahui baik dan buruk sesuatu perkara untuk kita bukanlah diri kita tetapi Allah swt yang maha mengetahui lagi maha bijaksana.

Mengapa tidak kita melakukan istikharah sebelum memasuki bidang-bidang yang kita inginkan. Berbekalkan jawapan yang ada, barulah anda melangkah seterusnya ke bidang-bidang yang ditunjukkan yang mungkin adakalanya amat bertentangan dengan kehendak naluri kita. Jika ianya tidak sama dengan apa yang anda impikan mungkin ada suatu perkara yang anda terlepas pandang iaitu potensi diri.

Potensi diri
Kita mungkin sudah hidup berpuluh tahun dan kita mungkin merasakan yang kita cukup kenal dengan diri kita sendiri. Kita mungkin juga begitu yakin yang kita sudah membongkar kesemua potensi diri yang ada. Jika keyakinan sebegitu yang kita sandarkan untuk meneruskan bisnes maka ianya mungkin menjadi satu kesilapan yang perlu diperbetulkan segera. Mungkin ramai yang kurang sedar yang potensi diri itu akan menonjol sedikit demi sedikit mengikut peningkatan umur.

Untuk membuktikan hal ini tidaklah begitu sukar, contoh paling mudah ialah sewaktu kita bayi kita mungkin tidak akan tahu adakah kita boleh berlari atau pun tidak, kita juga tidak tahu samada kita boleh melukis ataupun tidak. Meskipun begitu ibubapa kita tetap sahaja yakin bahawa kita mampu melakukan itu apabila tiba masanya. Apabila tiba waktu dan ketika maka sedikit demi sedikit pembongkaran potensi diri itu mula terserlah. Mungkin sahaja ianya berlaku dalam masa yang berlainan dengan yang lain akan tetapi waktu pembongkaran potensi ini boleh dipercepatkan atau dilambatkan.

Jika kita inginkan anak kita berjalan dengan cepat, kita pastinya akan mengambil jalan-jalan atau cara-cara untuk melatih agar anak kita akan lebih cepat berjalan. Ini juga jelas membuktikan apabila anda ingin memulakan perniagaan, apa yang perlu ialah untuk melihat potensi diri. Anda perlu tahu apakan potensi-potensi umum yang anda perlukan untuk menjadi seorang usahawan. Seandainya anda melihat potensi diri umum yang sepatutnya ada pada seorang usahawan itu tiada pada diri anda maka anda haruslah terlebih dahulu membongkarnya.

Misalnya antara potensi awal seorang usahawan ialah keberanian, dan jika anda melihat potensi ini tiada dalam diri anda, perlulah anda galinya terlebih dahulu mungkin melalui program-program yang menghidangkan sajian menu untuk keberanian diri ini. Sesudah semua potensi umum itu terserlah maka barulah anda perlu meneruskan langkah seterusnya iaitu melihat kelainan potensi keunikan anda. Anda perlu mencari dalam diri anda apakah yang membuatkan anda begitu berlainan dari yang lain dan apakah yang membuatkan anda begitu unik.

Keunikan adalah satu produk yang dapat memberi pulangan yang lumayan. Anda kini sudahpun mula mempunyai produk yang mungkin selama ini masih tercari-cari produk untuk dijual. Anda tidak perlukan modal kerana modal dan produk itu datang dalam diri anda. Sekiranya anda melihat keunikan anda ialah kebijaksanaan dalam memujuk atau mempengaruhi, mungkin anda boleh menjualkan keunikan anda kepada syarikat-syarikat mahupun orang perseorangan untuk meningkatkan keuntungan mereka. Jika anda mendapati anda boleh memasak dengan baik, anda mungkin boleh cuba untuk menjadikannya sebagai produk latihan.

Jika selama ini orang memikirkan dengan pandai memasak anda boleh menjual makanan tetapi jika anda bijak mungkin anda mampu mencipta seorang lagi yang mempunyai keupayaan seperti anda. Keunikan yang ada pada anda perlulah dilaksanakan dengan penuh kreatif. Jika anda tiada modal pusingan, anda mungkin boleh memulakan bisnes anda dengan bergabung atau atas dasar komisyen. Ini adalah asas kepada bermulanya perniagaan tanpa modal dan mungkin dalam ruangan yang terhad ini tidak semua yang dapat dikupas maka jika anda inginkan kupasan serta teknik yang lebih dalam insya Allah bengkel ini akan diadakan pada 24hb Mei 2009.

Bengkel : Soul Power - Zero Capital
Tarikh : 24hb mei 2009
Masa : 9.00am hingga 5.30pm
Tempat : wisma sejarah kuala lumpur
Speaker : Dr.Azhar Bin Sarip (master trainer soul power),
Datuk Salleh Abd Majid (felo utama UKM dan mantan presiden BSKL)