Tuesday, April 14, 2009

Anda di golongan yang mana - bahagian akhir


Dalam dua posting saya sebelum ini, saya telah membincangkan tentang manusia di golongan pertama dan dan kedua. Saya teruskan lagi dengan kupasan mereka di golongan kedua dan yang terakhir manusia di golongan ketiga..

Untuk mengenali golongan ini, selain dengan beberapa pendekatan, cara paling mudah ialah golongan ini sering inginkan amalan untuk hal-hal tertentu samada amalan tersebut mungkin dari gugusan amalan murni atau mungkin juga dari golongan hitam. Setiap perkara yang ingin mereka lakukan pastinya ada unsur-unsur batiniah yang menyusul. Contohnya jika mereka ada masalah, mereka yang berada di landasan putih akan mula mencari wirid-wirid tertentu dan bagi golongan yang tersasar pula mereka akan mula menggunakan jampi serapah atau tangkal-tangkal.

Justeru sekiranya ada dari golongan ini datang untuk bertanyakan pandangan terhadap masalah mereka atau anda sendiri tergolong dalam golongan ini maka setiap pandangan itu perlu disusuli dengan amalan-amalan kerana tanpanya mereka agak kurang untuk mendengar serta akhirnya mungkin mereka akan mencari jalan mudah dengan berurusan dengan golongan hitam yang jauh tersasar dari kehidupan islamiah.

Golongan ini juga sebenarnya agak kurang berjaya di dunia kerana mereka terlalu sibuk terkongkong dengan hal-hal batiniah namun mereka akan berjaya jika amal mereka sama beratnya dengan usaha dunia. Yang sering menjadi masalah ialah mereka terlalu fokus terhadap hal-hal batiniah hingga lupa urusan dunia dan adalah salah jika menganggap batiniah dapat memandu dunia. Antara mereka yang tersasar ialah mereka yang percaya tentang duit tarik, bank ghaib dan sebagainya.

Bagi golongan ketiga ialah golongan spiritual. Golongan ini perlu mendahulukan Allah swt dalam setiap hal dan seandainya dia tidak tahu bahawa dia tergolongan dalam golongan ini maka hidupnya sering sahaja di timpa kesusahan. Saya tergolong dalam golongan ini. Sebelum saya tahu yang saya berada dalam lingkungan ini, bagi mereka yang mengenali diri saya sudah pasti tahu bagaimana susahnya saya dahulu, banyak masalah yang terpaksa saya hadapi. Untuk menyelesaikan masalah saya sering bersolat hajat namun banyak juga masalah yang datang.

Saya juga sering melakukan solat sunat dhuha namun tidak juga kelihatan rezeki yang datang. Pelbagai usaha fizikal dan wirid serta amalan yang saya lakukan namun ada sahaja masalah yang datang menimpa hingga ada yang mengatakan mungkin ada sial di tubuh. Tetapi janji Allah swt tidak pernah dimungkiri, barangsiapa yang berjalan ke arahnya maka Dia pasti berlari menuju mereka, barangsiapa yang ingin bertemunya, Dia pasti member ruang cintaNya, barangsiapa yang percaya wujudNya, Dia pasti menjagaNya. Akhirnya saya temui jalan keluar yang selama ini saya cari. Punca datangnya masalah saya ialah, saya tidak ikhlas dengan Allah swt.

Saya melakukan solat dan zikir bukanlah untukNya tetapi untuk menyelesaikan masalah saya biarpun dalam niat saya mengatakan bahawa ianya lillahi taala namun hakikatnya untuk kepentingan diri sendiri. Saya berbohong kepadaNya biarpun saya tahu Dia amat maha mengetahui. Justeru bagi golongan spiritual, janganlah cuba untuk membelakangkan Allah swt walau satu detik dan apa yang pasti biar dari golongan mana anda pada awalnya, jika anda mendidik jiwa nurani pastinya anda akan tergolong dalam golongan spiritual.

Insya Allah saya akan mengadakan program soul power selama dua hari bermula 9hb Mei hingga 10Mei 2009 yang akan mengupas secara terperinci hal-hal penyelesaian setiap masalah secara spiritual dan insya Allah dalam program dua hari itu juga akan saya laksanakan pembelajaran solat khusyuk asas yang insya Allah jika dicuba formulanya akan dirasakan kelainan rasa dalam solat dan menghilangkan fikiran sering mengganggu dalam solat.