Tuesday, April 7, 2009

Anda dalam golongan mana - bahagian 2


Kita perlu sedar bahawa seandainya kita dikelilingi dengan masalah, maka kita secara tidak langsung juga jauh dari Allah swt. Kerana semakin banyak masalah semakin banyaklah keterikatan kita kepada masalah hingga tiada masa untuk mengingati Allah swt. Bahkan waima dalam solat sekalipun kita tidak mampu untuk mengingati Allah swt. Cuba kita renungkan sejenak kebenaran ini dalam hidup kita.

Sewaktu kita bermasalah, kita tetap juga solat seperti biasa. Tetapi yang membezakan solat dalam keadaan bermasalah dan solat ketika tiada masalah ialah ketika kita bermasalah dalam solat, kita sentiasa terfikir tentang masalah yang sedang kita hadapi dan akhirnya kita sering solat dalam minda bawah sedar. Maksudnya, kita tidak sedar yang kita sudahpun habis solat kerana sewaktu dalam solat kita sibuk memikirkan hal-hal duniawi kita.

Bukankah kita sebenarnya lalai dalam solat kita. Insya Allah di satu waktu nanti saya akan cuba mengupas solat khusyuk secara terperinci kerana membahaskan solat khusyuk tanpa mengajarnya secara praktikal tidak akan membawa apa-apa erti. Dalam program-program saya yang mendatang solat khusyuk akan diajar secara praktikal kerana ianya adalah asas kehidupan.

Berbalik kepada bicara kita kali ini, manusia terbahagi kepada tiga golongan yakni golongan zahir, golongan zahir batin dan golongan spiritual. Kita wajib tahu di golongan manakah kita tergolong agar mudah untuk kita mencari jalan keluar setiap masalah kehidupan. Golongan zahir adalah satu golongan yang hanya melihat kepada fizikal serta material sahaja.

Jika mereka sakit, mereka hanya perlu mencari jalan secara fizikal untuk menghilangkan kesakitan, contohnya mereka hanya percaya tentang ubata moden dan kewujudan sakit-sakit misteri ini adalah suatu yang tidak logik pada mereka. Justeru jika kita berjumpa dengan mereka yang tergolong dalam golongan ini maka paling mudah ialah member mereka jalan keluar secara fizikal dan material.

Seandainya mereka bermasalah dari segi rezeki, mengajar mereka untuk berdoa supaya keluar dari masalah kerezekian tidak akan mampu membantu mereka kerana mereka perlu juga disertai dengan bantuan fizikal, seperti memberi kerjaya, atau material yang pada pandangan mereka itulah jalan keluar bagi mereka. Mereka ini amat kagum dengan kehebatan diri dan mereka berpendapat kejayaan itu datangnya dari usaha mereka sendiri. Jika boleh saya katakan kerjaya mereka juga lebih melibatkan penzahiran fizikal dan material.

Kedua pula adalah golongan zahir batin, yang mana golongan ini adalah golongan yang percaya bahawa selain daripada unsur fizikal dan material, unsur-unsur batin atau tidak nyata ini juga penting dalam menjana kejayaan. Bagi mereka, siang mereka bekerja dan malam mereka akan berusaha untuk menguatkan usaha mereka secara batiniah. Mungkin mereka akan melakukan amal-amal untuk melorongkan mereka ke arah kerezekian yang pantas dan ada juga di kalangan mereka ini yang terjerumus ke lembah kenistaan dengan bersetongkol dengan jin dan syaitan, contohnya memakai susuk pelaris, ilmu-ilmu yang bersangkutan dengan jin dan sebagainya.