Saturday, July 5, 2008

Kuasa Satu 'Kuasa'


Sejarah merupakan sebuah gedung yang menyimpan pelbagai formula kehidupan. Di dalamnya kita mampu meneroka formula kejayaan sesuatu bangsa dan sejarah juga menyatakan secara jelas formula kemusnahan bangsa tersebut. Justeru itu masyarakat melayu cukup bijak untuk mempuat perumpamaan hasil dari rentetan sejarah seperti "menang sorak kampong tergadai", "gajah sama gajah berlawan pelanduk mati ditengah" dan banyak lagi yang berjaya dinukil dengan sempurna oleh datuk nenek kita. Kemudiannya kita hanya menjadikannya satu perumpamaan tanpa kita ketahui cerita terjadinya hal tersebut. Begitu juga hari ini, kita mungkin tidak perasan bahawa dalam lipatan sejarah kekuatan kuasa satu bangsa bermula dari penyatuan. Penyatuan ini cukup kuat untuk memartabatkan bangsa ke satu makam yang tinggi, namun formula yang ditulis dalam sejarah manusia ialah kejatuhan sesuatu bangsa bukanlah disebabkan oleh kebodohan peperangan tetapi kebodohan untuk mengekalkan kuasa.

Aristotle mengatakan manusia, secara semulajadi adalah political animal (haiwan berpolitik). Jika kita menilai kembali apa yang telah berlaku dalam lipatan sejarah ketamadunan manusia, tidak dapat tidak, kita akan dapati apa yang dikatakan itu ada kebenarannya. Jika kita lihat bagaimana haiwan yang bernama manusia berpolitik cukup hebat kerana sejarah telah berjaya membuktikan yang manusia memang hebat dalam permainan ini. Jika dulu kita berjuang untuk kuasa namun pada hari ini kita diambang kejatuhan akibat kuasa yang kita pegang. Jatuhnya sesuatu bangsa hanya kerana mereka tamak akan kuasa yang ada pada mereka. Ketamakan yang datang dari nafsu haiwani ini menyebabkan kita memberi peluang kepada anasir luar untuk bersatu demi mencapai kuasa yang kita ada. Jika dulu kita diberi peluang untuk berkuasa hasil ketamakan kuasa mereka yang memerintah, kini sebaliknya berlaku. Jika kita mengkaji formula yang ada dalam sejarah maka kita kini benar-benar berada diambang kehancuran. Bukan setakat bangsa tergadai bahkan negara juga hilang kedaulatan. Begitulah kaedah yang dulunya terjadi bagi membolehkan orang luar menguasai kita.

Biar siapapun kita, samada kita duduk atas timbangan atau sudah naik ke bulan mahupun bermata satu, yang pastinya kita sudah tidak berupaya. Kita sudah pun menjadi bangsa yang hampir gugur akibat kuasa yang ada di tangan. Kita berpecah akibat kuasa yang ingin kita perjuangkan tetapi tanpa sedar kita memberi orang lain berkuasa kerana kita sibuk untuk bertelagah. Kuasa yang kita perjuangkan tiada erti kerana sebenarnya kita perjuangakan untuk kepentingan diri sendiri, kita bukan pertahankan kedaulatan bangsa tetapi kepapaan diri. Diri yang sudah jatuh miskin akibat jiwa yang kosong. Kuasa hanya boleh dipertahankan apabila kita meletakkan Allah swt sebagai pemandu utama dalam perjuangan. Jika kita lihat di zaman sahabat juga begitu, apabila kita meletakkaan diri sebagai wadah untuk berkuasa maka sistem khalifah menjadi kucar kacir.

Berkuasalah dengan jiwa, bukan emosi agar kuasa tidak menguasai kita. Jika kita benar-benar ingin mendaulatkan bangsa nilaikanlah samada pertikaian yang ada ini boleh membuat kita bertambah kuat atau sebenarnya menjadi wayang gambar yang menghiburkan untuk orang lain. Akhirnya kerana marahnya anak cucu kita akibat merempat di bumi sendiri juga kita nanti dijadikan perumpamaan oleh mereka, mungkin mereka akan berkata jangan sampai mata jadi satu, nanti hilanglah timbang, gelaplah bulan.