Thursday, July 9, 2009

bodoh sombong atau sombong bodoh

Ini bukan cerita ayam dan telur atau telur dan ayam. Ini adalah kupasan perbuatan yang perlu kita perhalusi agar mendapat satu jalan kesempurnaan hidup yang tidak pernah sempurna. Al kisah bermula apabila seorang hamba Allah bernama Farid ingin membantu ibunya untuk keluar kota. Dengan tujuan ikhlas dia inginmembantu ibunya agar dapat berbakti kepada ibunya apabila dapat memudahkan urusan pemergiaannya ke luar kota. Dengan azam yang tinggi dia pergi menemui ibunya dan bertanyakan tentang urusan yang perlu dibantu. Hasil permuafakatan kedua beranak itu maka si ibu bersetuju untuk menyerahkan urusan pemergiannya ke luar kota diuruskan oleh Farid, tambahan pula beliau mempunyai banyak kenalan. Farid pulang ke rumah dengan hati yang gembira kerana dapat membantu urusan ibunya. Memandangkan siang sudah melabuhkan tirai maka Farid berpendapat untuk menyelesaikan urusan ibunya besok sahaja. Besok pada awal pagi Farid menuju ke pejabatnya untuk melihat apa yang seharusnya dilakukan bagi tujuan memudahkan urusan ibunya itu. Dek kerana mempunyai banyak kenalan maka Farid mudah mengatur rancangan dan kerana keramahannya dikalangan teman-teman, urusan Farid begitu mudah.

Setelah selesai semuanya, Farid dengan nada gembira menghubungi ibunya untuk memberitahu tarikh yang sesuai untuk ibunya berangkat. Malangnya nombor yang dailnya tidak berjawab. Ahh! Mungkin saja ibunya sedang ke kedai, kata-kata saranan yang terpacul di mindanya. Selang beberapa minit dia mencuba lagi, kali ini berhasil ada jawapan dari ibunya. Tanpa banyak bicara dia memberitahu tentang urusan yang telah dilaksanakan. Namun Farid begitu hampa kerana menurut ibunya dia telah selesai membuat tempahan kerana kakaknya menyuruh ibunya membuat segala urusan melalui kenalan temannya. Farid terdiam dan dalam diamnya dia merasa agak kecewa kerana dia telah berjanji dengan temannya dan dia juga kecewa dengan sikap kakanya yang sedari dulu tidak boleh orang lain melebihi beliau. Farid memberitahu ibunya yang dia juga telah menyatakan persetujuan kepada temannya kerana petang semalam ibunya meminta agar dia menyelesaikan segala urusan. Namun sebagai anak yang taat dia memberitahu ibunya yang dia akan memberitahu temannya yang urusan yang telah dilakukan itu dibatalkan. Sebelah petangnya Farid menghubungi abangnya bertanyakan mengapa hal sedemikian terjadi. Menurut abangnya perancang ibunya untuk ke luar kota pada mulanya dilakukan oleh kakak Farid atas kehendak kakak Farid sendiri yang katanya dia leih arif dalam hal tersebut tetapi ianya menemui jalan buntu kerana kurangnya pengalaman. Justeru itu ibu meminta Farid yang menguruskan hal tersebut namun apabila mendengar Farid yang akan menguruskan dia dengan lekas mencari jalan keluar agar segala urusan dia yang menyelesaikan. Kini fahamlah Farid situasi sebenarnya.

Keadaan yang sama berlaku pada hari keberangkatan ibunya di luar kota. Farid cuba membantu namun dengan pantas kakaknya berkata dia lebih arif hingga menyebabkan saudaranya yang lain terpinga-pinga kehairanan. Farid yang faham dengan situasi tersebut diam tanpa banyak bicara. Selesai urusan pemergian ibunya Farid terus meluncur ke pejabat saya. Kami makan tengahari bersama dan Farid menceritakan kisah tentang kakanya kepada saya. Katanya kakaknya itu bodoh sombong. Peluang yang ada kami gunakan untuk membahaskan apakah sebenarnya bodoh sombong atau yang sebenarnya sombong bodoh. Hasil dari perbualan kami kami merumuskan sesuatu yang mungkin boleh kita kongsi bersama.

Yang pertama bodoh sombong. Bodoh bermakna orang yang tidak mengetahui. Jika kita pergi lebih jauh bodoh juga bermakna kurang cerdik atau lemah. Sombong pula adalah rasa bangga diri kerana kehebatan yang mungkin datang dari kekayaan, pangkat, ilmu dan seumpamanya. Maka orang yang bodoh sombong adalah orang yang kurang cerdik atau lemah atau kurang mengetahui tetapi merasakan dirinya telah menguasai sesuatu perkara itu lebih dari yang lain. Orang yang bodoh sombong ini perlu dikasihani dan diberi tunjuk ajar kerana dia menjadi sombong hasil dari kebodohannya. Di bahagian yang satu lagi adalah orang yang sombong bodoh.

Sombong bodoh ini adalah golongan mereka yang sombong dek kerana pencapaian mereka samada dari segi kekayaan duniawi, mahupun keilmuan. Ramai yang tidak menyedari yang mereka sesat dan sombong kerana banyak ilmu. Mengapa terjadinya hal demikian? Ilmu adalah penyuluh hidup namun jika ilmu yang dimiliki membawa kepada kebinasaan diri kerana kerakusan nafsu maka ilmu yang tadi hanya menyuluh kini memberi silauan yang menyebabkan mereka hilang arah tuju. Mereka akan merasa mereka yang paling bijak, mereka yang paling cemerlang dan mereka sentiasa berada di puncak. Golongan sebegini menjatuhkan diri mereka secara halus. Justeru kita dapat melihat kadangkala kejayaan yang tidak dipupuk denga rasa cinta Ilahi membawa seseorang itu ke lembah yang terang tapi gelap, berduit tetapi hilang kebahagian, senang tetapi tiada nikmat.

Golongan sombong bodoh ini adalah golongan yang begitu rugi kerana apabila mereka senang dan berada di pusingan atas roda kehidupan mereka alpa dan menjauhkan diri dari masyarakat yang pernah bersama mereka. Mereka hanya menyedari yang mereka tidak punya sesiapa apabila mereka mula berada pada pusingan ke bawah roda kehidupan. Jika dulu mereka menjauhi namun kini mereka pula dijauhi. Mereka mula menyesal kerana kesombongan mereka dahulu. Mereka ketika sombong adalah tergolong dari golongan orang yang bodoh kerana tidak pernah memikirkan kejatuhan, tidak pernah mengetahui bahawa hidup ini adalah sebuah roda. Mereka mula menjadi bijak apabila diambang kejatuhan. Andai boleh dibuat perbandingan diantara keduanya maka saya berpendapat mereka yang duduk dalam golongan sombong bodoh ini lebih pendek akalnya dan lebih teruk perangainya berbanding mereka yang bodoh sombong. Meskipun begitu, walau apa jua pandangan kita terhadap dua golongan ini kita perlu faham bahawa peranan kita di dunia ini adalah sebagai seorang hamba dan hamba tidak boleh sombong kerana Allah swt tidak setiap orang yang angkuh dan sombong (al-Hadid: 23).

Mengapa perlu kita sombong walau apapun alasannya kerana selagi kita bernama manusia kita akan saling memerlukan diantara satu sama lain. Jika hari ini kita bersikap sombong maka hukum alam akan berbalik kepada kita. Kita pastinya akan tersinggung jika seseorang menyombong diri apabila bertemu dengan kita, maka janganlah lakukan kepada orang lain sesuatu yang anda tidak suka diperlakukan terhadap diri anda.

Kesombongan tidak akan bertahan lama kerana hasil kesombongan itu satu sumpahan. Ya, sumpahan, buktinya jika anda sombong terhadap masyarakat maka masyarakat akan meminggirkan anda, bukan itu saja ada juga diantara mereka mendoakan anda agar menerima pembalasan yang setimpal. Bukankah itu satu sumpahan. Cuba anda bayangkan jika yang berkecil hati terhadap sikap sombong anda itu jumlahnya ramai, anda bukan sahaja mendapat doa yang kurang baik tetapi anda juga kini mempunyai ramai musuh. Justeru ingatlah pesan Luqman as kepada anaknya agar tidak memalingkan wajahnya dari manusia dengan sombong dan jangan pula berjalan di muka bumi dengan angkuh kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang menyombongkan diri.

Kesombongan membawa kebodohan, kebodohan merosakkan akhlak, tanpa akhlak yang baik anda tidak dapat mencapai kebahagian. Jatuhnya iblis bukan kerana yang lain tetapi kerana kesombongannya. Ingatlah bahawa sebagaimana yang disabdakan oleh baginda nabi saw mereka yang mempunyai nilai kesombongan walau sebesar zarah tidak akan mencium bau syurga. Syurga adalah kebahagian dan kesombongan akan menjatuhkan mereka ke alam terang tapi gelap. Terang kerana mereka berpendapat mereka sentiasa di atas tetapi sebenarnya gelap kerana mereka tidak tahu bahawa mereka sedang jatuh. Jauhilah sikap bodoh sombong dan sombong bodoh kerana kedua-duanya tidak bermakna. Kerendahan hati adalah ibu kebijaksanaan manakala kesombongan merupakan ibu kejahilan maka orang yang lemah cintanya kepada Allah swt akan meningkatkan kebanggaan dirinya. Semoga kita terhindar dari sikap yang merugikan ini. Amiin.