Begitulah rutin hidup di sekolah rendah. Segalanya bermula dengan loceng, sebelum bermula kelas loceng dibunyikan begitu juga pada waktu rehat dan waktu balik. Setiap seorang dari mereka akan selalu menanti loceng dibunyikan untuk mengetahui samada masa sudah tiba untuk melakukan sesuatu atau belum. Jika kita samakan dengan kehidupan kita di dunia ini sebenarnya begitu banyak loceng yang berbunyi untuk memberi tanda agar kita lebih berhati-hati dalam tindakan. Namun loceng kehidupan tidak mengeluarkan bunyi dan oleh kerana itu juga ramai yang kurang menyedari wujudnya loceng kehidupan. Loceng kehidupan merupakan pelbagai tanda-tanda yang dikurniakan Allah swt sebagai tanda untuk kita membetulkan keadaan yang akan atau sedang kita alami.
Saya bertemu seorang teman ketika menganjurkan kursus latihan soul power-meditasi islam baru-baru ini. Saya melihat dia seperti mempunyai keluarga bahagia tetapi ketika dia meluahkan perasaannya kepada saya saya begitu terkejut dengan apa yang selama ini dia alami. Memang selama ini saya kerap mendengar tentang kehidupannya yang sering dilanda tetapi tidaklah saya sangka bahawa dia mempunyai masalah yang saya kira agak besar kerana tidak langsung kelihatan masalah itu pada wajahnya. Masalahnya ialah dia sudah begitu tawar dengan isterinya dan ia sudahpun berlarutan bertahun-tahun. Selama beberapa tahun bahkan seawal usia perkahwinan mereka pelbagai masalah mula timbul.
Sikap isterinya yang terlalu panas baran dan bermulut celupar itu sering menghiris hatinya. Setiap kali dinasihati pasti banyak kata-kata nista terhambur dari mulutnya. Katanya lagi isterinya juga sering meminta cerai dan selama bertahun-tahun juga dia memikirkan apakah perkara tersebut patut dilakukannya. Dia banyak bersabar kerana memikirkan anaknya yang masih kecil dan sering juga menjadi mangsa amukan sang isteri. Apa yang merisaukan ialah jika anak tersebut di bawah jagaan isteri maka penderitaan si kecil akan lebih hebat dan ia akan membentuk sahsiah yang tidak bagus. Tetapi jika difikirkan penderitaan batinnya yang terlalu kerap bergaduh dengan si isteri membuatkan dia berfikir untuk berpisah.
Saya bertanya kembali bagaimana sekiranya si isteri ingin berubah adakah dia sedia menerima perubahan itu. Menurutnya sejak dari mula lagi isterinya memberitahu akan berubah tetapi perubahan yang ada bukan ke arah positif bahkan bertambah teruk perangainya dan katanya lagi beliau tidak dapat mengampun dosa isterinya yang lepas-lepas kerana ianya terlalu berat untuk seorang manusia memaafkan. Oleh yang demikian teman saya ini sentiasa hidup dalam tekanan yang halus dan ini kerapkali mengganggu prestasi kerjayanya. Katanya dia tidak mampu untuk menunggu isterinya berubah dan jika dia berbuat demikian, lebih banyak masa dihabiskan dalam kenestapaan dan dan dalam diam ini mengganggu hubungan dia dengan Tuhan dan manusia lain.
Tanpa memberi sebarang komen saya biarkan teman saya untuk membuat keputusan sendiri tetapi sebelum beberapa keputusan diambil beberapa langkah perlu diambil untuk memastikan langkah yang diambil tidak salah. Saya menghuraikan serba sedikit langkah yang perlu diambil iaitu PASTIKAN yang dia telah merujuk perkara ini kepada Allah swt. Selalunya kita mengambil langkah yang kita rasa betul untuk diri kita tetapi sebenarnya ianya adalah satu keputusan yang akan membawa kita ke lembah yang tidak dijangka. Sebagai seorang hamba setiap masalah perlulah dirujuk kepada Allah swt yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya. Setelah itu barulah berjalan sunnatullah yakni perlulah kita mengambil tindakan yang sepatutnya.
Apa yang sering berlaku ialah jika seseorang itu menghadapi masalah sumber rujukannya ialah kepada manusia walaupun diketahui pandangan manusia ini berbeza-beza dan ketepatannya tetap tidak akan dapat menyamai takdir Allah swt. Semakin banyak pandangan diminta maka semakin keliru seseorang itu dalam membuat satu-satu keputusan. Hasil kekeliruan itu akan membawa kepada satu keputusan yang silap. Justeru itu apabila diminta memberi pandangan oleh teman saya, saya mengelak kerana selama ini beliau sendiri tidak mengadu sepenuhnya kepada Tuhan Yang Maha Kuasa. Apa yang dapat saya bantu ialah menyedarkan dia agar kembali merujuk kepada Allah swt dalam setiap keputusan agar kita tidak menghadapi tekanan dan saya berikan juga beberapa teknik berdoa secara kotemplatif.
Jika kita berurusan dengan manusia banyak tekanan dan kekecewaan tetapi jika kita berurusan dengan Allah swt maka banyak kecintaan dan ketenangan yang dapat diperolehi. Keadaan ini akan membawa seseorang itu kepada kebahagian hakiki dan kemudahan duniawi. Begitulah hakikat manusia, selagi loceng terakhir tidak berbunyi selagi itu kita alpa. Bagi saya, keadaan teman saya satu pelajaran yang cukup baik untuk dirinya dan untuk saya juga kerana ianya merupakan satu loceng kehidupan yang mengingatkan kita untuk kembali kepada Yang Maha Berkuasa. Tanpa menghadapi masalah sedemikian, mungkin saya tidak mengetahui masalah teman saya dan saya tidak dapat menyampaikan sesuatu kepadanya dan baginya pula mungkin dia kian alpa.
Dalam kehidupan kita hamper setiap hari loceng berbunyi samada kita sedari atau kita tidak peduli nak menunggu hingga ke saat akhir. Setaip yang berlaku janganlah kita kesalkan dan apa yang perlu kita lakukan ialah menghadapinya dengan Tuhan. Hanya Allah yang berkuasa atas segala sesuatu. Adakalanya prinsip kehidupan kita bercanggah dengan kehidupan yang mendatang. Maka laluinya dengan tabah kerana bagi kita ianya satu kebetulan tetapi bagi Allah swt ianya satu ketetapan. Menerima ketetapan Allah SWT tanpa keluh kesah sukar sekali bagi makhluk yang bernama manusia kerana mereka semahunya membuatkan setiap keadaan mengikut selera mereka.
Tetapi kita boleh meminimakan keadaan tersebut hasil dari sikap tawakal dan berserah seratus peratus kepada Allah SWT tentang setiap keputusan yang bakal kita ketahui hasil dari usaha yang kita tanami. Ingatlah tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah swt Yang Maha Agung.
Read More......
















